::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 20, 2010

Per'HATI'an: Fitrah Yang Dicari


~Dia yang sentiasa sibuk masih ada masa untuk mendengar rintihanmu dengan sepenuh per'HATI'an~




Kita dan Perhatian

Saya teringat sewaktu saya masih kecil sekitar umur 4 hingga 5 tahun. Saya suka sangat bertanya. Saya hanya akan diam dari bertanya apabila saya membuat aktiviti sendiri atau tidur. Sifat ingin tahu sangat tinggi. Penat ibu saya menjawabnya. Sekiranya saya tidak mendapat jawapan yang memuaskan, saya akan membuat 'eksperimen' sendiri. Pernah sewaktu saya dan ibu menaiki 'escalator' di pusat membeli belah, saya bertanya ibu tentang butang apakah yang berwarna hijau dan merah di hujung 'escalator' itu. Apabila ibu tidak menjawab soalan saya, saya menekan salah satu  butang itu menyebabkan 'escalator' berhenti bergerak. Dan semua memandang saya ketika itu.

Apabila teringat peristiwa itu dan peristiwa lain-lain, saya tersenyum sendiri. Kadang-kadang saya fikir memang kanak-kanak perlukan perhatian.

Tapi apabila ramai orang mengemukakan teori bahawa kanak-kanak memerlukan perhatian, bagi saya bukan saja kanak-kanak, bahkan setiap golongan manusia perlukan perhatian dan kasih sayang.

Itu Fitrah Kita

Siapa kata hanya satu golongan saja yang perlukan perhatian dan kasih sayang. Allah ciptakan manusia di setiap peringkat umur mahukan sebegitu. Terutama daripada orang-orang yang mereka sayangi. Sekiranya tidak, mereka akan mencari alternatif lain untuk mendapatkan perhatian itu. Semua orang mahu orang lain mendengar luahan mereka dengan sepenuh HATI, menyayangi mereka dengan sepenuh HATI, menjaga mereka dengan sepenuh HATI. Mahu HATI mereka didengari, mahu HATI mereka dijaga dan dikasihi. Inilah per'HATI'an yang mereka cari.

Ramai anak-anak hari ini yang tidak mendapat perhatian di rumah daripada ibu bapa mereka mencari alternatif lain di luar rumah. Suami atau isteri yang kurang mendapat perhatian daripada pasangan mereka juga mencari alternatif lain. Golongan tua juga ingin mendapatkan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak mereka dan bukan nilai ringgit semata.

Perhatian Allah Pada Kita


Allah ciptakan fitrah itu tulus dan murni untuk kita uruskan sebaiknya. Ramai merasakan kekosongan di jiwa mereka dan kesedihan melanda apabila mereka tidak dapat memenuhi fitrah mereka ini.

Tapi ramai antara kita lupa bahawa kekosongan dan kelompongan mengisi tuntutan fitrah dalam jiwa ini sebenarnya dicipta untuk kita menagih perhatian Dia pada kita.

Manusia seringkali lupa atau tidak mampu untuk memberikan perhatian mereka sewajarnya kepada banyak perkara dalam kehidupan mereka. Lupa untuk telefon ibu dan ayah apabila sibuk dengan kerja. Tidak mampu untuk bercuti bersama keluraga apabila dibebankan dengan kerja yang bertimbun. Ada yang memang mahu cuma mungkin tidak mampu. Atau ada juga tidak terfikir untuk mahu kerana lupa untuk memberi kepada orang di sisi.

Manusia itu lemah, itulah jawapan ringkasnya.

"Allah tiada Tuhan melainkan Dia yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus makhluk-Nya, tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang ada di langit dan di bumi. Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa di hadapan mereka dan di belakang mereka dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Aallah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
(Ayat Kursi / Al-Baqarah; 2: 225)

Tapi hubungan manusia bukan saja dengan manusia. Ada lebih penting dari itu. Iaitu hubungan kita dengan Allah, Maha Pencipta.

Fitrah kita; perhatian dan kasih sayang - teras utamanya adalah perhatian dan kasih sayang Allah kepada kita. Dalam apa jua keadaan Allah yang sentiasa memandang kita, berharap setiap kali kita bangun dari tidur, kita ingat pada Dia. Apabila kita hendak tidur juga, kita ingat pada Dia. Kesimpulannya, setiap saat Allah memandang kita, Dia mahu kita juga mengingati-Nya. Perlu beri perhatian kepada-Nya. Sentiasa ingin mendamba kasih dan sayang dari-Nya.

Isilah Hatimu Dengan Perhatian Kepada-Nya

Sebenarnya dalam apa pun jua situasi kita, jadikan Allah sebagai teras utama untuk berharap dan beringat kepadanya tiap waktu. Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu. Nescaya setiap kemudaratan dalam hidupmu, tidak akan ada yang dapat memberi kecuali dengan izin-Nya. Dan setiap kebaikan tidak ada yang dapat memberi kecuali dengan izin-Nya jua.


~Isikan fitrah hati dengan perhatian serta kasih sayang-Nya. Nescaya akan terlihatlah segala keindahan dalam hidup yang penuh warna-warni.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino