::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 8, 2010

Ujian Dalam Penghijrahan


~Setiap penghijrahan itu pasti melalui detik kepayahan dan kesusahan. Itulah harga untuk mereka yang berjual beli untuk berada di jalan-Nya.~




Zulkaedah 1431H

Suasana dewan makan sekolah hingar-bingar seperti pasar. Di sudut hujung dewan, Fatihah, Safi, Aini, Fatimah bersama Carol, pelajar tingkatan empat baru itu memulakan kudapan mereka.

Fatihah mencapai buah tembikai dahulu di pinggannya.

"Fatihah,  memang suka makan buah-buahan dulu ke?" tanya Carol yang berketurunan Cina. Semenjak Carol tinggal di dormitori mereka, dia memerhati cara pemakanan rakannya itu.

Fatihah mengangguk dan tersenyum. Di dalam hatinya berfikir cara untuk menerangkan kepada Carol tentang kelebihan mengikut cara pemakanan Rasulullah ini.

"Kenapa ye? Beza ke makan selepas dan sebelum?" Tanya Carol lagi.

"Ala, makan mana-mana dulu pun sama je." Aini mencelah.

Fatihah tersentap.


Zulhijah 1431H

Fatihah sudah menyiapkan bekalnya. Memikirkan Aini, sahabat yang sudah dikenalinya semenjak sekolah rendah itu baru saja sudah sembuh dari penyakit demam dengginya, kek coklat dibuatnya sepanjang malam tadi akan dibawa sebagai buah tangan untuk sahabatnya itu.

"Aini, ambillah ni." Ujar Fatihah yang melihat Aini yang masih sedikit pucat di biliknya ketika ziarah.

Aini membuka kotak kek.

"Kek coklat ke? Kalau dapat kek pisang mesti lagi sedap." Ucap Aini.

Perasaan halus Fatihah seperti bercakaran.


30 Zulhijah 1431H

Selesai menyapu rumput di laman, Fatihah mengambil masa duduk di pondok di luar rumahnya.

Hujan renyai-renyai menaikkan lagi aroma alam. Wangian bunga-bungaan, rumput hijau dan bau tanah menjadi kombinasi pewangi yang amat menyegarkan.

Fatihah menarik nafas panjang seraya menghidu aromaterapi semulajadi ciptaan-Nya di kala ini.

"Mengeluh panjang ke adik kakak ni?" Raihan menyapa.

"Eh, taklah." Fatihah tersenyum sambil menidakkan.

"Senyum macam mangga kelat je adik kakak ni. Tak ceria macam dulu pun bila akak balik. Betul ke ok?" Raihan cuba 'memancing'.

Fatihah memuncungkan mulutnye ke kiri dan ke kanan. Berfikir sama ada perlu atau tidak dia bertanya.

"Kak, apa kita nak buat kalau sahabat kita tiba-tiba membenci kita?"

"Mungkin Fatihah pernah lukakan hati dia. Ada?"

"Entahla. Tak pasti pulak."

"Cuba ambil masa bercakap dari hati ke hati dengan dia. Mungkin boleh tahu puncanya." Cadang Raihan lagi.

Fatihah mengeluh. "Pandang mata Fatihah pun dia tak mahu. Apatah lagi nak ajak bicara hati ke hati."

"Fatihah belum cuba lagi dah mengalah. Macam nilah, apa-apa pun kita patut contohi akhlak Rasulullah. Biar macammana sekalipun orang layan kita, berbuat baiklah dengan dia. Doa agar Allah lembutkan hatinya." Raihan melihat masih ada kegusaran di wajah adiknya.

"Fatihah, akak tahu memang kita rasa sakit, rasa sedih bila kita dilakukan sebegitu. Apatah lagi dengan orang yang kita kasihi, tapi bersabarlah. Allah sedang bagi ujian pada Fatihah. Allah nak melihat tahap keimanan adik akak ni. Lihat Rasulullah. Keimanan dalam hatinya sangat tinggi. Keimanan itulah yang menumbuhkan kasih dan sayang. Fatihah pun tahu betapa banyak kisah-kisah Rasulullah berbuat baik pada mereka yang selalu memusuhi baginda. Tapi Rasulullah tetap berbuat baik pada mereka. Jangan berputus asa. Ingat, Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Allah mengetahui isi hati kamu." Raihan mencuit pipi Fatihah.

Tangan Fatihah menyapu-nyapu pipinya yang dicubit.

"Dah, jom masuk rumah. Boleh kita baca doa akhir tahun dan awal tahun nanti." Raihan bangun dari tempat duduknya menuju ke dalam rumah, sengaja membiarkan adiknya memproses hati dan mindanya.

'Awal tahun dah nak menjelang. Mungkin Tahun Hijrah ini Allah memberi ujian agar diri ini berhijrah dari satu tahap keimanan ke tahap yang lebih baik. Melalui ujian untuk penambahbaikan.Tabahlah Fatihah!' Monolognya sendiri.

Fatihah tersenyum memandang langit yang sudah berona jingga.

"Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memeperoleh kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan memberikan rahmat, keridhaan dan syurga, mereka memperoleh kesenangan yang kekal di dalamnya."
(At-Taubah; 9: 20-21)

~Ujian itu proses penambahbaikan~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino