::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 30, 2011

Selamat Sejahtera Atas Kesabaranmu!


~Sebaik-baik tempat pengaduan adalah kepada-Nya yang Maha Mengetahui segala isi hati~



Wahai hati,
Dalam hari apa pun kau akan pasti menemukan hari-hari yang mencabar dan menduga dirimu.
Tidak akan ada hari yang sentiasa ada pelangi indah menghias.
Tidak akan ada selalu mentari indah menyinar seperti pagi hari di atas kepalamu.

Pasti akan ada hari bila angin kencang dan ribut kuat.
Pasti jua akan ada hari musim terik mentari di tempatmu.

Lalu, jadilah sepeti pohon yang akar keimanannya tertancap kuat.
Usah dilawan ribut dan angin kencang.
Jika tidak, pasti kau jua ditiup jauh menjadi korban.
Usah dilawan hangatnya mentari.
Sebaliknya tawarkan kehausanmu ke tanah iman.

Carilah kekuatan dari akar hatimu.
Dasarnya adalah keimanan.
Terasnya adalah dari Pencipta-Mu.

Tidak ada yang mampu melemahkan.
Apatah lagi memberi kekuatan.
Melainkan Dia, Allah Tuhanmu.
Kuatkan pohon hatimu untuk teguh ke dasar-Nya.

Nescaya walaupun hari itu indah, cerah, hujan atau kemarau sekalipun,
Bunga-bunga  dari hatimu tidak akan pernah pudar warnanya.
Pasti akan menarik yang lainnya.
Untuk kau ajak kembali kepada Tuhanmu.
Moga madu bungaan itu menjadi kemanisan iman untukmu.

Wahai hati,
Sesungguhnya Allah bersamamu,
Selamat sejahtera atas kesabaranmu!

"Dan orang yang sabar kerana mengharap keredhaan Tuhannya., melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik) (iaitu) syurga-syurga 'Adn , mereka masuk ke dalamnya bersama orang-orang soleh dari nenek moyangnya, pasangan-pasangannya dan anak cucunya, sedang para malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan), "Selamat sejahtera ke atasmu atas kesabaranmu." Maka alangkah nikmatnya kesabaran itu."
(Ar-Ra'd; 13: 22-24)


~Alangkah nikmatnya kesudahan itu, maka bersabarlah!~

Jan 25, 2011

Silaturrahim


~Silaturrahim itu adalah hubungan kasih sayang dan persaudaraan dengan iman~



Imam Bukhari berkata;
Telah tertulis dari Abdul Rahman bin 'Auf r.a, dia berkata; aku mendengar dari Rasulullah s.a.w bersabda:
"Allah s.w.t berfirman, Aku adalah Allah. Aku Maha Pengasih. Aku ciptakan Rahim dan Aku ambil untuknya nama dari-Ku. Siapa menghubunginya, Aku akan menghubunginya. Tapi siapa memutuskannya, Aku pun memutuskannya."

"Janganlah menjadi orang yang berpendirian: jika orang berbuat baik kepadaku, aku berbaik-baik padanya. Jikan mereka menzalimiku, aku pun akan menzaliminya.Tetapi berpendirianlah: jika orang berbuat baik, kamu juga berbuat baik. Jika mereka berbuat buruk, jangan kau zalimi mereka."
(H.R Tarmizi)

Dirawikan oleh Imam Ahmad:
"Siapa diberi rasa 'penyayang', maka ia telah diberi kebaikan dunia dan Akhirat, kebaikan silaturrahim, berjiran dan berbudi pekerti hingga kampung ini bertambah indah."

Petikan dari: Mukasyafatul Qulub (Penawar Jiwa) -Imam Al-Ghazali-

~Penuhilah hati dengan kasih dan sayang kerana Allah seperti bekas-bekas hati yang sentiasa menadah redha Allah. Nescaya ia akan terpancar ke wajah~

Jan 24, 2011

Dua Wanita Itu Ratu Hatiku


~Dua wanita yang sentiasa menyayangi saya. Saya ingin menyayangi mereka sepertimana sayangnya mereka pada saya. Dan moga Allah menyayangi mereka melebihi sayangnya mereka pada saya.~





Sudah hampir 3 minggu Allah uji saya dengan musibah. Penyakit eczema yang biasanya saya alami sewaktu kecil hanya di bahagian tertentu, tiba-tiba sahaja sesudah 25 tahun ini merebak hampir ke seluruh badan.

Ibrah Kesakitan

Ibrahnya sangat banyak saya dapati. Allah bagi saya rasa bagaimana perit dan pedihnya mengalami  kesakitan ini. Rasa rendah diri. Bukan saja perlu berkorban wang ringgit untuk ubatan, juga saya harus banyak 'berpuasa' menahan nafsu dari makan banyak makanan yang saya suka.

Bukan mudah menjadi 'orang sakit'. Benarlah, sihat itu adalah suatu nikmat yang selalu manusia lupakan. Lalu, hargailah nikmat kesihatan selagi Allah masih memberi nikmat pinjaman itu.

Saya tahu pasti ada hikmahnya di sebalik semua ini.

Namun, bukan itu sebenarnya yang ingin saya sampaikan di sini.

Dua Wanita Itu

1) 

Sewaktu dalam masa beberapa hari setelah saya mengalami musibah ini, ibu bertanyakan khabar saya melalui telefon.

"Ma, minta maaf. Selalu je menyusahkan. Dulu, waktu kecil asyik susahkan wan. Kena dukung Nadiah jauh-jauh dari 'bus stand' sampai ke klinik."

Ucap saya pada ibu apabila ibu bertegas mahu datang juga hujung minggu bersama nenek saya untuk melawat saya.

Lalu, kedengaran bunyi suara ibu saya menahan sendu. Saya bertanyakan sebabnya kepada ibu.

"Ma sedih bila kau cerita pasal wan dukung kau dulu." Kata Ma.

Teringat waktu kecil, nenek saya lah yang mendukung saya ke klinik ketika eczema pada kaki saya agak teruk. Tiada kereta mahupun orang menumpangkan kami. Hanya bas. Dan dari situ nenek saya yang sudah tua itu mendukung saya.

2) 

Sekembalinya saya semalam dari rumah hanya berhajat untuk memandu dari Putrajaya ke Johor seorang diri. Tetapi ibu bertegas untuk menemani saya hingga ke Kota Tinggi bersama abah.

Alhamdulillah, kami sampai ke Kota Tinggi mengambil masa 4 jam perjalanan dari rumah. Lebih kurang tengah hari kami tiba. Ibu dan abah sudah membeli tiket ke Kuala Lumpur jam 6 petang.

Jadi, bagi memenuhi masa, kami ke sekitar Kota Tinggi hinggalah pukul 4 petang.

Ingin saja diikutkan hati saya menunggu hingga ke pukul 6. Menantikan dan melihat sehingga ibu dan abah naik ke atas bas. Seperti mana yang biasa dilakukan ibu dan abah apabila menghantar saya ke perhentian bas.
Oleh kerana hari yang semakin petang dan perjalanan dari Kota Tinggi ke Bandar Penawar yang mengambil masa hampir sejam, ibu meminta saya pulang segera.

Lalu, saya pulang.

Memikirkan bahawa saya tidak mampu untuk jadi seperti ibu...

Air mata bergenang.

"Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kedua orang tuamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu."
(Luqman; 14)

~Ramai orang kata seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak. Tetapi sepuluh orang anak mungkin tidak dapat menjaga seorang ibunya.~

Jan 23, 2011

Saya Budak Baik?


~Setiap Muslim itu adalah agen pengilkanan Islam kepada dunia~

Semasa saya menyemak 'planner' saya pada tahun lalu yang ditinggalkan di rumah, saya terjumpa bait-bait ayat yang dahulu saya dengar dan catat di muka surat belakangnya.

Dienul Islam tidak hanya mementingkan ilmu dan kata-kata. Lebih dari itu, Islam amat memperhatikan amal soleh, apatah lagi ke atas jiwa dan cara hidup seorang aktivis dakwah. 

"Kenapa kalian menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kalian lupa akan diri kalian sendiri (tidak melakukannya); padahal kalian semua membaca kitab Allah (mengetahuinya), apakah kalian tidak berfikir?"
(Fussilat : 33)

Kata-kata itu merefleksi diri.

Refleksi Diri

"Kau budak baik, lainlah. Tak sama macam aku."

Pernah di gelar sebagai budak baik? Budak surau? Minah Tudung Labuh dan seangkatan dengannya?
Apakah perasaan anda? 
Gembira? Malu? Sedih? Terkilan?

Mungkin ada yang berasa seperti diperli atau disindir. 

Fikirlah secara positif.

Sebenarnya, secara tidak langsung, orang di sekeliling anda melihat anda sebagai 'ikon' untuk apa yang digelarkan oleh mereka. Mereka melihat kualiti yang ada pada diri anda. 

Mereka melihat kualiti itu adalah sebagai contoh. 

Namun, jangan terkilan atau kecewa apabila satu hari nanti bila kita berbuat sedikit kesilapan maka ia akan digembar-gemburkan. 

"Budak baik pun buat jugak? Macam tak percaya."

Itu menunjukkan mereka prihatin kepada kita. 

Setiap tutur kata, setiap gerak geri kita, setiap amal kita sebenarnya dalam diam diperhatikan oleh mereka.  

Nah, bukankah sebaik-baik dakwah itu adalah dengan contoh tauladan.

Terpulang kepada mereka untuk memprosesnya. Sekurang-kurangnya tauladan yang diberikan melalui akhlak kita telah sampai kepada mereka. 

Bukan Hipokrit

Bukan juga saya bermaksud di sini untuk kita menjadi insan bermuka dua di hadapan manusia.

Tetapi kita perlu sentiasa untuk menjadi baik atau dalam erti kata lain sentiasa berusaha memperbaiki diri  kerana kita membawa imej Islam pada diri kita. Apatah lagi yang menjadi aktivis dakwah,  budak surau, pak lebai dan sebagainya. 

Kita dipandang. Dan imej Islam itu seperti sudah dilabel sinonim dengan kita. 

Maka, biarlah setiap gerak langkah dan amal soleh itu membawa Islam untuk dihormati. 

Satu Muslim, Satu Imej

Ayat di atas juga bukan sahaja khusus buat aktivis dakwah, 'budak baik' atau apa saja gelaran yang bersangkutan dengannya tetapi ditujukan kepada sesiapa sahaja yang bergelar seorang Muslim. 

Seorang Muslim itu, secara tidak langsung dia membawa nama Islam itu sebagai 'jenama untuk dipromosikannya.' (Seperti yang telah dicoret oleh entri sebelum ini : Surat daripada wanita Kristian kepada Wanita Islam.)

Saya paling pedih mendengar apabila gejala-gejala sosial yang paling tinggi dikaitkan dengan Melayu dan Islam. Walaupun, mereka yang terlibat bukanlah aktivis dakwah, namun, selagi mana mereka adalah Muslim, mereka membawa jenama Islam bersama-sama mereka. 

Oleh itu, biar siapa pun kita dan apa pun gelaran kita, selagi mana kita adalah seorang Muslim yang menjunjung nama Allah dan bersaksikan Rasulullah sebagai utusan-Nya, ingatlah bahawa kitalah yang mempromosi Islam kepada dunia. 

Manusia melihat Islam melalui kita. 



~Kita tidak akan pernah sempurna tetapi kita akan terus berusaha. Jom, sama-sama membaiki diri~





Jan 13, 2011

Jalan Ke Syurga


~Sedikit hasil perkongsian dari pertemuan hati-hati yang inginkan naungan redha-Nya. Moga bermanfaat~


Syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak diingini nafsu. Jalannya jauh dan sukar. Jalan ini tidak akan disukai oleh mereka yang inginkan kesenangan, kemewahan dan kerehatan. Ia tak akan sanggup dihadapi oleh mereka yang tidak sabar menghadapi cercaan dan cacian. Jalan ini jalan pembersihan jiwa, penyucian hati dan pembersihan diri. Hanya sanggup dihadapi oleh orang-orang mukmin yang hatinya kukuh bertaut pada tali Allah.

(Olahan dari Mujahid Fathi Yakan)

~Syurga bukanlah satu angan-angan kosong di pengakhiran kehidupan. Untuk mendapatkannya, ada bayaran yang harus dibayar iaitu jalan sukar yang perlu ditempuh bagi mendapatkan redha-Nya.~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino