Sudah hampir 3 minggu Allah uji saya dengan musibah. Penyakit eczema yang biasanya saya alami sewaktu kecil hanya di bahagian tertentu, tiba-tiba sahaja sesudah 25 tahun ini merebak hampir ke seluruh badan.
Ibrah Kesakitan
Ibrahnya sangat banyak saya dapati. Allah bagi saya rasa bagaimana perit dan pedihnya mengalami kesakitan ini. Rasa rendah diri. Bukan saja perlu berkorban wang ringgit untuk ubatan, juga saya harus banyak 'berpuasa' menahan nafsu dari makan banyak makanan yang saya suka.
Bukan mudah menjadi 'orang sakit'. Benarlah, sihat itu adalah suatu nikmat yang selalu manusia lupakan. Lalu, hargailah nikmat kesihatan selagi Allah masih memberi nikmat pinjaman itu.
Saya tahu pasti ada hikmahnya di sebalik semua ini.
Namun, bukan itu sebenarnya yang ingin saya sampaikan di sini.
Dua Wanita Itu
1)
Sewaktu dalam masa beberapa hari setelah saya mengalami musibah ini, ibu bertanyakan khabar saya melalui telefon.
"Ma, minta maaf. Selalu je menyusahkan. Dulu, waktu kecil asyik susahkan wan. Kena dukung Nadiah jauh-jauh dari 'bus stand' sampai ke klinik."
Ucap saya pada ibu apabila ibu bertegas mahu datang juga hujung minggu bersama nenek saya untuk melawat saya.
Lalu, kedengaran bunyi suara ibu saya menahan sendu. Saya bertanyakan sebabnya kepada ibu.
"Ma sedih bila kau cerita pasal wan dukung kau dulu." Kata Ma.
Teringat waktu kecil, nenek saya lah yang mendukung saya ke klinik ketika eczema pada kaki saya agak teruk. Tiada kereta mahupun orang menumpangkan kami. Hanya bas. Dan dari situ nenek saya yang sudah tua itu mendukung saya.
2)
Sekembalinya saya semalam dari rumah hanya berhajat untuk memandu dari Putrajaya ke Johor seorang diri. Tetapi ibu bertegas untuk menemani saya hingga ke Kota Tinggi bersama abah.
Alhamdulillah, kami sampai ke Kota Tinggi mengambil masa 4 jam perjalanan dari rumah. Lebih kurang tengah hari kami tiba. Ibu dan abah sudah membeli tiket ke Kuala Lumpur jam 6 petang.
Jadi, bagi memenuhi masa, kami ke sekitar Kota Tinggi hinggalah pukul 4 petang.
Ingin saja diikutkan hati saya menunggu hingga ke pukul 6. Menantikan dan melihat sehingga ibu dan abah naik ke atas bas. Seperti mana yang biasa dilakukan ibu dan abah apabila menghantar saya ke perhentian bas.
Oleh kerana hari yang semakin petang dan perjalanan dari Kota Tinggi ke Bandar Penawar yang mengambil masa hampir sejam, ibu meminta saya pulang segera.
Lalu, saya pulang.
Memikirkan bahawa saya tidak mampu untuk jadi seperti ibu...
Air mata bergenang.
"Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kedua orang tuamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu."
(Luqman; 14)
~Ramai orang kata seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak. Tetapi sepuluh orang anak mungkin tidak dapat menjaga seorang ibunya.~
0 comments:
Post a Comment