~Setiap Muslim itu adalah agen pengilkanan Islam kepada dunia~
Dienul Islam tidak hanya mementingkan ilmu dan kata-kata. Lebih dari itu, Islam amat memperhatikan amal soleh, apatah lagi ke atas jiwa dan cara hidup seorang aktivis dakwah.
"Kenapa kalian menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kalian lupa akan diri kalian sendiri (tidak melakukannya); padahal kalian semua membaca kitab Allah (mengetahuinya), apakah kalian tidak berfikir?"
(Fussilat : 33)
Kata-kata itu merefleksi diri.
Refleksi Diri
"Kau budak baik, lainlah. Tak sama macam aku."
Pernah di gelar sebagai budak baik? Budak surau? Minah Tudung Labuh dan seangkatan dengannya?
Apakah perasaan anda?
Gembira? Malu? Sedih? Terkilan?
Mungkin ada yang berasa seperti diperli atau disindir.
Fikirlah secara positif.
Sebenarnya, secara tidak langsung, orang di sekeliling anda melihat anda sebagai 'ikon' untuk apa yang digelarkan oleh mereka. Mereka melihat kualiti yang ada pada diri anda.
Mereka melihat kualiti itu adalah sebagai contoh.
Namun, jangan terkilan atau kecewa apabila satu hari nanti bila kita berbuat sedikit kesilapan maka ia akan digembar-gemburkan.
"Budak baik pun buat jugak? Macam tak percaya."
Itu menunjukkan mereka prihatin kepada kita.
Setiap tutur kata, setiap gerak geri kita, setiap amal kita sebenarnya dalam diam diperhatikan oleh mereka.
Nah, bukankah sebaik-baik dakwah itu adalah dengan contoh tauladan.
Terpulang kepada mereka untuk memprosesnya. Sekurang-kurangnya tauladan yang diberikan melalui akhlak kita telah sampai kepada mereka.
Bukan Hipokrit
Bukan juga saya bermaksud di sini untuk kita menjadi insan bermuka dua di hadapan manusia.
Tetapi kita perlu sentiasa untuk menjadi baik atau dalam erti kata lain sentiasa berusaha memperbaiki diri kerana kita membawa imej Islam pada diri kita. Apatah lagi yang menjadi aktivis dakwah, budak surau, pak lebai dan sebagainya.
Kita dipandang. Dan imej Islam itu seperti sudah dilabel sinonim dengan kita.
Maka, biarlah setiap gerak langkah dan amal soleh itu membawa Islam untuk dihormati.
Satu Muslim, Satu Imej
Ayat di atas juga bukan sahaja khusus buat aktivis dakwah, 'budak baik' atau apa saja gelaran yang bersangkutan dengannya tetapi ditujukan kepada sesiapa sahaja yang bergelar seorang Muslim.
Seorang Muslim itu, secara tidak langsung dia membawa nama Islam itu sebagai 'jenama untuk dipromosikannya.' (Seperti yang telah dicoret oleh entri sebelum ini : Surat daripada wanita Kristian kepada Wanita Islam.)
Saya paling pedih mendengar apabila gejala-gejala sosial yang paling tinggi dikaitkan dengan Melayu dan Islam. Walaupun, mereka yang terlibat bukanlah aktivis dakwah, namun, selagi mana mereka adalah Muslim, mereka membawa jenama Islam bersama-sama mereka.
Oleh itu, biar siapa pun kita dan apa pun gelaran kita, selagi mana kita adalah seorang Muslim yang menjunjung nama Allah dan bersaksikan Rasulullah sebagai utusan-Nya, ingatlah bahawa kitalah yang mempromosi Islam kepada dunia.
Manusia melihat Islam melalui kita.
~Kita tidak akan pernah sempurna tetapi kita akan terus berusaha. Jom, sama-sama membaiki diri~
0 comments:
Post a Comment