::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 2, 2011

Saat-Saat Pahit Itu Manis


~Pahit, masam, manis adalah kitaran hidup di dunia. Kepahitan adalah nikmat.~


~Tidaklah Allah memberi ujian melainkan kerana Allah mencintainya. ~




Saat Pahit Itu Manis

Siapa agaknya yang bersetuju bahawa saat pahit yang dilalui itu sebenarnya manis?

Mungkin tidak ramai.

Secangkir kopi memungkinkan kita untuk terus terjaga. Mungkin juga tidak. Mungkin juga masih terus hanyut dibuai lena.

Pengalaman pahit dalam kehidupan memungkinkan sebenarnya ramai manusia kembali mencari Tuhan. Mencari kesabaran di celahan hati yang menginginkan Tuhan sebagai sandaran apabila hati rapuh dilanda cabaran.

Namun, tidak sedikit juga yang kecundang.

"Sesungguhnya Allah apabila mencintai sesuatu kaum, maka Dia mengujinya. Barangsiapa yang redha terhadap ujian-Nya, maka ia akan memperoleh redha-Nya dan barangsiapa yang tidak suka, maka mendapat murka-Nya."
(Hadith Riwayat Tirmidzi)

Saat Manis Itu Indah Dengan Kepahitan

Merasakan kepahitan dalam rencah kehidupan memang perit. Pahit untuk ditelan, pahit juga untuk diluahkan. Namun, andai manusia tidak mengenal kepahitan dalam hidupnya, dan hanya merasakan kemanisan sahaja dalam hidupnya, maka, ia tidak akan merasa nikmat kemanisan yang sebenar. Tidak berpeluang untuk mensyukuri bahawa nikmat saat-saat indah dalam hidup adalah rencah kehidupan yang amat manis Allah kurniakan.

Untuk merasakan nikmat kemanisan, kita perlu dahulu merasakan kepahitan. Begitu juga untuk merasakan nikmat segelas air suam, kita perlu berhadapan dengan terik mentari yang panas memancar.

Pernah saya dan rakan-rakan ke sebuah tempat herba dan rempah di daerah Muar; Nasuha Herbs Paradise. Staf di situ memberi kami peluang untuk merasa sebiji buah yang bersaiz ibu jari yang boleh memaniskan lidah. Tetapi ada syaratnya. Saya perlu memakan sebiji buah yang agak masam yang lain dan kemudian memakan buah kecil manis tersebut. Maha Suci Allah, memang benar. Rasanya amat manis. Kemudian, saya terus memakan lagi buah yang masam diselangi dengan buah yang manis. Buah masam itu sudah hilang rasa masamnya dan diganti dengan rasa manis.

Begitu juga setelah melalui episod penat-lelah dalam hidup; seperti baru-baru ini saya menjadi ahli jawatankuasa aktiviti minggu orientasi di institut. Siang saya bekerja menjadi guru, malam pula perlu memantau aktiviti para pelajar. Pada majlis penutup semalam, saya tersenyum sendiri tatkala menyaksikan para pelajar menyanyikan lagu tema; Jalinan oleh UNIC.

'Indahnya jika dapat bersama hidup selalu gembira di dunia ini, 
Lagi indahnya jika kita dapat bersama hidup selalu gembira di akhirat sana.'
Rasa kelegaan. Kepuasan. Inilah episod pahit, masam, manis kehidupan. Saya tersenyum sendirian.

~Masam & Manis~

Nah, bukan kehidupan saja yang mengajar bahawa kepahitan diselangi dengan kemanisan itu adalah nikmat, bahkan Allah juga memberi pengajaran hatta daripada buah-buahan dan alam. Seperti selalu juga disebut bahawa untuk melihat pelangi indah kita perlu melalui rintik-rintik hujan yang mulanya adalah awan-gemawan.

Untuk mendapatkan sesuatu dalam hidup ini ada harga yang perlu dibayar. Namun, bukan hanya bayaran dengan wang dan harta benda. Bayaran kesabaran, ujian kehidupan, masa, tenaga dan banyak lagi. Inilah bayaran yang perlu dikorbankan.   Dan yang paling utama sekali ialah bayaran atau pengorbanan untuk mendapatkan Syurga dan Redha Allah; pertemuan dan pengakhiran hidup yang hakiki.

~Kehidupan yang manis dan pahit adalah ujian untuk mencapai kemanisan hakiki di akhirat nanti~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino