Putaran Kehidupan
Kehidupan ibarat sebuah pertandingan berada dalam pasir jerlus sehingga tempoh masa yang diberi. Jika kita tidak berpegang teguh pada tali-Nya untuk terus bertahan, kita akan tenggelam atau lebih parah lagi kita tidak dapat diselamatkan lagi hingga kita terus tidak kelihatan lagi.
Begitu juga realiti kehidupan.
Allah menciptakan siang untuk kita bekerja dan malam sebagai selimut menutup kelelahan supaya kita me'recharge' kembali untuk terus bertenaga pada siang hari.
Allah ciptakan haiwan, manusia dan tumbuh-tumbuhan berpasang-pasangan supaya lengkap melengkapi. Allah juga ciptakan malam kepada siang. Allah juga yang menciptakan manusia boleh tertawa dan juga menangis kesedihan. Allah ciptakan juga agar manusia merasakan kepahitan hidup dan juga merasa saat-saat kegembiraan. Allah yang menciptakan manusia dari lemah, kuat dan kemudian menjadi lemah semula di hujung usia. Inilah putaran kehidupan.
Mengapa?
Kerana Allah mahu kita berfikir.
Lihatlah penciptaan langit dan bumi. Dan yang terdekat lihatlah kembali kepada diri kita sendiri.
Dari mana datangnya segala kekuatan pada diri kita?
Semuanya dari Allah s.w.t.
Kita Perlukan Kekuatan
Putaran kehidupan, jatuh bangun episod hidup adalah aturan kehidupan di mana Allah mahu kita kembali semula kepada-Nya. Saat-saat kegembiraan diselangi saat-saat kesedihan dan seumpamanya. Seperti mana Allah ciptakan siang untuk kita bekerja dan malam sebagai tempat kita mengumpul semula segala kekuatan terutama apabila menghadirkan diri bermunajat pada-Nya di hujung 1/3 malamnya.
Dari mana datangnya seluruh tenaga ini?
Dari mana datangnya kekuatan seorang mukmin untuk menghadapi keseluruhan hidup yang penuh cabaran ini?
Ia hanya datang dengan kekuatan dalaman. Datang dengan ketenangan kolam hati yang tiada kocaknya melainkan keseluruhan hati itu berpegang kuat kepada Rabbnya.
Saya kadang-kadang teringat pelbagai kartun atau animasi yang menggunakan kekuatan dalaman untuk menentang musuh. Atau yang menyebutnya sebagai aura dan sebagainya. Ya, bagi orang Islam kita juga punya aura. Ia adalah aura keimanan. Aura keimanan ini bukan sahaja mampu menjadikan kita mukmin yang kuat manghadapi cabaran bahkan ia aura yang boleh dilihat di wajah, tutur kata dan perbuatan. Itulah pancaran aura keimanan.
Apabila aura keimanan ini beransur hilang dari wajah dan keseluruhan diri kita, kita perlu segera perbaiki diri. Perlu segera baiki kelemahan dalaman hati kita, tempat punca aura keimanan kita berkembang.
Aura Keimanan Luar Biasa
Dan satu-satunya manusia yang punya aura keimanan luar biasa di mana auranya mampu menjadi cahaya bukan sahaja menerangi dirinya bahkan menjadi cahaya menerangi dunia; Muhammad s.a.w, Rasulullah junjungan. Mungkin kita tidak dapat melihat aura keimanannya secara fizikal tetapi cukup hanya dengan penceritaan tentang sifat dan akhlak Baginda saja sudah cukup menjentik hati kita untuk menyala seperti aura keimanan baginda. Cukup hanya dengan penceritaan dari Al-Quran dan hadith serta kisah-kisah tentang baginda dan sahabat-sahabat yang diterangi dengan aura keimanannya, seolah-olah ada lirikan cahaya yang menusuk ke hati kita.
Inginkan aura keimanan ini? Ya, pasti kita semua inginkannya. Kita inginkannya bukan saja untuk menerangi diri kita bahkan untuk menerangi mereka-mereka yang kegelapan atau yang sudah malap cahayanya di luar sana.
Inginkannya? Contohilah baginda di setiap sudut kehidupan. Bukan hanya di separuh-separuh bahagian saja. Kerana aura keimanan itu datang dari keseluruhan penghayatan. Baginda, orang biasa seperti kita tapi punya akhlak dan keimanan yang bukan biasa-biasa.
Ayuh, kita 'recharge'kan diri kita. Muhasabah kembali diri. Lihatlah tanda-tanda kekuatan aura ini dari akhlak kita; baik tutur kata, perbuatan dan bisikan-bisikan yang mengocakkan hati kita mahupun sewaktu kita bertemu nikmat dan ujian dalam kehidupan. Melihat cermin hati dan melihat aura keimanan dalam diri kita; apakah ia semakin malap, bersinar terang atau hanya sekadarnya sahaja.
~Dunia ini penuh cabaran. Ayuh 'recharge' aura keimanan kita untuk kita menerangi mereka yang gelap di luar sana dan jangan sampai kita bermalap sekali kehilangan cahaya.~
0 comments:
Post a Comment