::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jun 24, 2014

Gol Ramadan 2014


~Sering kita dengar: Tidak ada yang merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal untuk merancang.
Berbaki beberapa hari sebelum kedatangan Ramadhan, ayuh kita sama-sama merancang:~


Demam Bola di Bulan Ramadhan

Segala puji bagi Allah yang masih memberi kesempatan untuk mencoret di laman blog ini. Setelah sekian lama ia tidak terisi.

Alhamdulillah, Ramadhan menjelang lagi.

Bersaing juga dengan demam Piala Dunia yang berlangsung di bulan Ramadhan ini.

Minat bola tidak salah asalkan tidak melampaui batas dan diagung-agungkan hingga tinggal perintah Tuhan atau lebih diutamakan daripada suruhan Allah.

Semoga musim bola tidak menjadi penghalang untuk umat Islam meraih ganjaran durian runtuh di bulan Ramadhan ini.

Sekiranya di musim bola ini masing-masing ingin mengetahui jumlah jaringan gol pasukan yang diminati, jangan lupa pula merancang strategi gol kita sendiri bagi meraih ganjaran Ramadhan.

Rancang, Tulis dan Lakukan

Apakah perancangan dan strategi Ramadhan kali ini?

~Tidak ada yang merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal untuk merancang.~

Sering kita dengar: Tidak ada yang merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal untuk merancang.


Berbaki beberapa hari sebelum kedatangan Ramadhan, ayuh kita sama-sama:
  1. Fikirkan apakah gol Ramdahan kita.
  2. Sebaiknya dituliskan secara 'brainstorming' dan kemudian di tulis di atas kertas yang mudah dilihat oleh kita agar kita tidak terlupa.
  3. Pastikan gol kita adalah realistik - sesuai dengan keadaan kita sebagai pelajar atau pekerja.
  4. Letakkan gol yang spesifik  dan bukan terlalu umum, cthnya umum: "Baca Al-Quran 10 juzuk di bulan Ramdahan." , seeloknya dispesifikkan seperti "Baca Al-Quran 10 helai sehari iaitu 1 juzuk sehari" atau "Baca 2 muka surat Al-Quran tiap waktu Zohor, Asar dan Maghrib baki 3 muka surat tiap waktu Subuh dan Isyak".
  5. Letakkan azam dan motivasi untuk mencapainya, InsyaAllah.

~Semoga Ramadhan ini sentiasa menjadi Ramadhan terindah dan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya sebagai  platform "recharge" diri kita untuk jadi lebih baik untuk bulan-bulan yang mendatang, InsyaAllah~

Apr 24, 2014

Baitul Muslim: Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)


~Perkahwinan dan percintaan selepas nikah jarak jauh memerlukan komitmen, kepercayaan, kejujuran dan ketabahan yang tidak sedikit. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan dalam Baitul Muslim ini~

Dengarkan...



Zaman Perkahwinan Jarak Jauh

Di zaman semuanya sibuk dengan kerjaya, ramai pasangan suami isteri yang terpaksa memilih untuk hidup berasingan dan berjauhan atas tuntutan ekonomi dan hidup yang semakin mencabar.

Ada yang sejauh merentasi lautan, ada yang jarak berjam-jam perjalanan, ada pula yang di utara-selatan, timur-barat.

Saya dan suami pula walaupun berjauhan tidak sampai ke luar negeri kami bermastautin, namun, kami hanya bersua di hujung minggu. Ditambah dengan masing-masing berlainan hari cuti, banyak tidak dapat dirancangkan bersama.

Hidup Bersama

Namun, perancangan kami bukanlah untuk berputus asa setakat ini. InsyaAllah, semoga Allah memudahkan usaha kami untuk hidup bersama sebumbung.

Tidak dinafikan, hidup bertemu dan kemudian berpisah setelah beberapa hari berjumpa meruntun hati pilu. Semoga Allah menganugerahkan kami ketabahan dan kesabaran.

Semoga Allah memudahkan perkara-perkara yang diredhai-Nya.

Kadang-kadang rasa sedih apabila melihat suami di musim cuti sekolah yang hanya perlu duduk di rumah sementara menantikan isterinya pergi bekerja. Jika tidak pun, encik suami meluangkan masa di masjid berdekatan sementara menjemput isterinya pulang dari tempat bekerja.

Maaf, duhai suamiku, diri ini belum mempunyai kudrat meluangkan masa bermanfaat yang panjang denganmu bersama-sama.

~Semoga Allah merahmati Baitul Muslim ini~


Cinta Selepas Nikah

"Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka."(Al-Baqarah; 2:187)

Sering zawj (suami) bertanya saya di awal perkahwinan dulu tentang perasaan saya. Disebabkan kami hanya berkenalan melalui orang tengah dan hasil istikharah serta izin Allah; kami bertemu, bertunang dan mendirikan rumah tangga.

Perasaan suka saya muncul di fasa pertunangan namun, perasaan cinta dipupuk dengan izin-Nya selepas pernikahan. Banyak lagi perkara yang kami belum terokai bersama. Purata kami hidup bersama dan saling mengenali masih dalam tempoh yang singkat berbanding usia perkahwinan kami sendiri.

Masih teringat sewaktu saya menanti suami di kuartersnya untuk makan bersama semalam. Suami saya balik membawa secawan jagung manis. Dan saya sangat teruja makan jagung manis tanpa disedari suami.

"Baru saya tahu rupanya isteri saya suka makan jagung." balas suami. Suka melihat isterinya makan dengan gembira.

"Dah dekat 8 bulan baru tahukan..." Saya tersenyum sendiri.

"Dah dekat setahun dah," sambung suami saya lagi.

(^___^)

Panjang lagi episod perkenalan ini.

Perkahwinan dan percintaan jarak jauh ini, moga ada hikmahnya.

Banyak lagi yang perlu kami baiki dalam hubungan menuju redha Ilahi. InsyaAllah, kami berusaha menjadi hamba-Nya yang patuh. Berusaha menjaga baitul muslim ini agar sentiasa dalam rahmat-Nya.

Buat suami isteri di luar sana yang sama-sama PJJ seperti kami, semoga Allah juga merahmati dan melindungi Baitul Muslim kalian semua.


~Dia yang ditakdirkan untukku dari-Mu, dan ku ketahui jua bahawa ia adalah hadiah dari-Mu untukku~

Apr 12, 2014

Dunia: Di Manakah Rehatnya?


~Di manakah rehatnya kita di dunia ini. Hanya pada Ilahi kita mengadukan diri~

~Allah itu sentiasa ada. Dan mereka yang ada Allah, ada segala-galanya~

Dunia Bukan Selamanya

Dunia ini bukan tempat istirehat untuk kita. Kerana ini bukan tempat asal diri kita sebagai manusia. Kita berasal dari Syurga dan dicampakkan ke dunia. Di dunia ini, kita mencari bekal untuk kembali ke kampung halaman. Tempat asal Nabi Adam dan Hawa diciptakan-Nya.

Apalah ada pada dunia. Mengharapkan harta, bila-bila saja ia akan diambil pemberi rezeki, Mengidamkan isi dunia hanya untuk keduniaan ibarat mengumpul kemuliaan sebelah sayap lalat. Nilaian dunia hanya menjadi indah bila kita menjadikan ia batu bata binaan jambatan ke akhirat iaitu ke Syurga yang hakiki.

Kita akan penat dan lelah menghadapi cabaran dan dugaan di dunia ini. Kita akan rasa sedih dan terkilan menghadapi cabaran yang tidak sedikit kepada diri. Tiada tempat mengadu yang lebih memahami diri melainkan hanya sanya kepada Allah s.w.t.

Kerdilnya diri.

Kita tidak mampu mengawal segala-galanya di sekeliling kita. Namun, Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa, kepada-Nya lah diri kerdil mengadukan diri.

Teori Id, Ego dan Superego

Minggu ini, saya berkesempatan ke kelas Psychology Personality dengan izin-Nya. Sigmund Freud, seorang doktor yang terkenal dengan teori psikologinya memperkenalkan teori ini. Berkongsi dari kawan sekelas pula, Imam Al-Ghazali pula mencirikan ia sebagai Nafsu, Akal dan Hati.

Harap dapat betulkan saya yang masih belajar ini jika ada kesilapan.

Kata Freud, Id dan Superego perlu diseimbangkan oleh Ego. Jika terlebih id, maka akan jadi huru-haralah jiwa. Segala turutan nafsu perlu dipenuhi. Jika terlebih superego, seseorang akan menjadi orang yang terlalu mengikutkan peraturan atau menindas segala kemahuan diri. Dalam kes ini, contohnya seperti pesakit Bulimia yang terlalu ingin kurus. Ia ada Id yang mahu makan. Tetapi Superego mengatakan jangan makan, kerana akan jadi gemuk. Dan ia lebihkan Superego dari Id.

Maka, ketidakseimbangan berlaku dalam diri.

Dunia dan Akhirat

Sama juga.
Dunia dan akhirat perlu seimbang. Tidak boleh hanya berat sebelah. Hanya mengejar dunia, kita akan mudah lelah. Kita pula tidak akan mencapai akhirat tanpa dunia.

Rasulullah s.a.w sering bersabda kepada Bilal: "Wahai Bilal, rehatkanlah kami dengan solat."
(H.R Ahmad)

Sesungguhnya melayani dunia amat meletihkan. Kita perlukan Tuhan. Allah yang Esa.
Kita perlukan ketenangan dalam menghadapi dunia. Hanya Allah yang mampu berikan ketenangan ini.

Pagi ini, sebaik sahaja membuka radio sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, terdengar lagu ini yang pertama didengarkan. Bagi saya, ia seakan-akan satu hadiah bermakna dari Tuhan.

Sungguh, Dia Allah Tuhan yang Maha Mendengar.

Dengarkan...



Rimbun Keampunan

(Hijjaz)

Ku mengintai ketenangan di antara kekalutan
Kerana keinginan tidak pernah kesampaian 
Ku kutip sisa-sisa dari segala keruntuhan
Bangkit semula meneruskan baki perjalanan

Ku menghimpun kekuatan ku memohon ketabahan
Meredah gelombang hidup dan dugaan mencabar
Ku anggap kegagalan bukan suatu kekalahan
Tapi suatu kejayaan yang masih tertunda

Ku meminta diberikan sejenak kesempatan
Untuk ku ulangi kembali langkah pertama
Keperitan yang ku rasa mengajar erti kesabaran
Menyedarkan ku insan memerlukan Mu oh Tuhan

Di rimbun keampunan ku mencari keredhaan 
Melerai segala kusut dan kecamuk di jiwa
Mencari kejernihan di segenap ruang maya
Masih ku sedar ku sedang diperhatikan Mu oh Tuhan


~Sesungguhnya melayani dunia amat meletihkan. Kita perlukan Tuhan. Allah yang Esa.
Kita perlukan ketenangan dalam menghadapi dunia. Hanya Allah yang mampu berikan ketenangan ini.~

Mar 25, 2014

2014: Apabila Kita Dikejutkan Tuhan


~Detik semakin hampir untuk dunia ini berakhir. Semoga Allah memberkati umur ini hingga ke akhirnya, menjadi umat akhir zaman dan yang dicintai Allah dan juga mencintai Tuhannya.~


~Allah itu dekat, bagaimana pula dengan kita?~


Sesudah Hampir 1500 Tahun Berlalu

Kita sudah hidup di sesudah 1434 tahun berlakunya hijrah Rasulullah s.a.w sewaktu sesudah 14 tahun kenabian Rasulullah s.a.w. Kita kini hidup sesudah hampir 1500 tahun Rasulullah s.a.w dilahirkan.

Kita sendiri tidak dapat mengagak berapa lamakah lagi tempoh usia bumi ini sebelum datangnya Hari Yang Dijanjikan.

Dengan usia saya yang hampir mencecah 30-an ini, semakin banyak saya perhatikan perkara meruncing dan mendekati kita. Terutamanya rakyat Malaysia yang telah hidup selesa sekian lama.

Keruncingan yang berlaku di negara-negara saudara seMuslim selalu serasa akan jauh daripada kita.
Pergolakan di Syria, Palestin, Meisir, Rohingya serta banyak lagi; dan tanggal 8 Mac 2014, Allah uji umat Islam di Malaysia dengan kehilangan pesawat paling lama tidak dapat dikesan dan belum pernah terjadi dalam era kemodenan hari ini.

Kini, mungkin tiba masa Allah men'jaga'kan hamba-hamba-Nya yang telah lama tidur lena.

Musim panas yang berpanjangan sudah hampir mencecah empat bulan lamanya. Hanya saja Allah memberi hujan rahmat tatkala umat Islam seluruh negara digesa menunaikan solat hajat atas musibah yang menimpa krew dan penumpang-penumpang kapal terbang negara dan sekaligus memohon agar hujan diturunkan.




Akan Tiba Ujian Yang Besar

Ujian yang besar akan tiba buat umat Nabi Muhammad s.a.w di akhir zaman. Setiap kali mendengar perkhabaran tentang kemunculan Dajjal dan tanda-tanda hari kiamat besar sewaktu saya masih kecil dan sempat meminjam buku berkenaan dengannya dari seorang kawan sewaktu sekolah rendah, saya merasakan perkara yang akan berlaku itu seolah-olah masih jauh dari saya.

Hari ini, apabila mendengarkan kembali dan membaca buku-buku tentangnya, saya menghela nafas yang dalam. Bagi saya, umat Islam yang akan melalui zaman itu adalah orang-orang yang terpilih oleh Allah s.w.t untuk melalui satu ujian keimanan yang besar. Kini, yang terdetik di benak saya; adakah saya bakal sempat menghadapi dan menjadi saksi peristiwa-peristiwa yang diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w satu masa dahulu kepada para sahabat-sahabatnya?

Saya tidak akan bercerita tentang berapa lamakah tempohnya umur umat Nabi Muhammad s.a.w seperti yang telah banyak diulas di dalam laman-laman internet yang sedia ada. Oleh kerana, saya bukanlah pakar hadith, maka saya serahkan kesahihan hadith itu untuk diulas oleh mereka yang pakar.

Kerana saya percaya kita sememangnya umat akhir zaman. Sama ada ia tinggal 100 tahun, 50 tahun atau 10 tahun lagi sebelum Hari Kiamat yang dijanjikan, tugas kita sebagai hamba Allah dan khalifah memakmurkan bumi dengan menebarkan kalimah Lailahaillah Muhammad Rasulullah tetap perlu diteruskan.

Persiapan Diri

Lambat atau tidak, kita sebagai hamba-Nya tetap perlu persiapkan diri. Berusaha meningkatkan kekuatan iman dan hati.

Sultan Muhammad Al-Fateh telah dipersiapkan oleh beberapa keturunan sebelumnya sebelum Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menjadi penakluk Konstantinopel.

Persiapan diri bukan hanya penting untuk diri kita. Bahkan penting untuk zuriat keturunan yang mungkin berhadapan dengannya.


Dari Abu Darda r.a meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat awal daripada surah Al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah Dajjal. Dalam riwayat lain dinyatakan daripada akhir surah Al-Kahfi."
(Hadith Riwayat Muslim)  

~Jom kita dekat pada-Nya~

Mari kita sama-sama mengisi hati kita dengan Al-Quran. Semoga kita menjejaki langkah Rasulullah s.a.w di mana baginda diibaratkan seperti Al-Quran yang berjalan, akhlaknya indah seperti apa yang disebut di dalam Al-Quran.

~Wahai Allah, bantulah kami mengerjakan kebajikan dan memperbaiki diri kami serta jadikanlah diri kami, kaum keluarga kami dan zuriat keturunan kami orang-orang yang berserah diri pada-Mu~

Feb 19, 2014

Hujan dan Panas: Mengubah Persepsi


~Dari takdir, diri menafsir. Hujan dan panas bersilih ganti, supaya diri dapat melihat antara keduanya ada pelangi~



~Ubah persepsi boleh mengubah~

Alhamdulillah, memasuki tahun 2014, saya sudah memasuki tahun ke-4 di alam kerjaya dan semester ke-4 sebagai pelajar Sarjana dan usia 8 bulan berumahtangga serta tahun ke-28 diberikan peluang oleh-Nya bernafas di atas bumi ini.

Perancangan

Banyak yang telah saya rancangkan. Semenjak berusia 16 tahun lagi, saya sudah mengarang perjalanan saya di dalam minda mahupun di atas kertas. Ada yang telah berjaya saya dapatkan, cepat dan lambat dan ada juga yang Allah telah gantikan yang lebih baik untuk apa yang saya inginkan. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah.
Sekali-kali tidak pernah Allah menganiayai hamba-hamba-Nya. Benar.

Semenjak di universiti, saya telah dilatih berdikit-dikit dalam bidang penyelarasan program iaitu sebagai Program Coordinator. Memastikan semua berjalan lancar dan mengikut ketepatan masa adalah perkara yang paling utama. Apabila ada tersangkut atau tidak kena, tidak dapat dinafikan saya rasa kecewa. Walaupun begitu, kita tidak dapat merancang kesempurnaan biarpun begitu kita merancang untuk semuanya sempurna.

Takdir dan Tafsir

Ada hari kita rancang untuk jalan di bawah panas terik mentari pagi tetapi datang hujan lebat turun ke bumi. Ada hari kita inginkan kesejukan malam di bawah awan yang turunkan hujan tetapi kita tidur dalam kepanasan.

Setiap hari Allah menetapkan takdir, terpulang kepada kita untuk mentafsir. Zawj selalu menasihati saya,

"Tidak semua yang kita nak, akan berjalan seperti apa yang kita mahu."

Selalu saya dengar nasihat itu kerana itulah kelemahan diri saya ini. Mahukan perancangan berjalan dalam kesempurnaan. Sedangkan kalimah Insya Allah, walaupun selalu disebut, terasa diri gagal untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Dia. Saya menangis dan bersedih tatkala apa yang ingin dicita tidak berjalan seperti apa yang dijangkakan.

Allah... rasa kerdil diri ini. Banyak lagi kejahilan yang perlu ditarbiyahkan.

Wahai Tuhan, ampunilah diri ini. Andai hanya lidah ini yang berkata sedangkan hati ini berdusta.

"Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu besok pagi, kecuali (dengan mengatakan) "InsyaAllah." Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku akan lebih dekat (kebenarannya) daripada ini."
(Al-Kahfi; 18 : 23-24)

Kita melihat dan mentafsir serta kita memberi respon atas apa yang kita fikir. Fikir dengan akal serta hati yang suci. Cermin hati yang berdebu tentu keliru mentafsir dan menterjemahkan apa yang dilihat. Ya, banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan untuk membentuk hati.

Saya ingin berkongsi slaid berkenaan takdir dan tafsir yang saya terjemahkan dari Stephen R. Covey; The 90/10.



Mangubah Persepsi

Cara memandang dan melihat dengan mata kasar dan mata hati. Mungkin tahun ini juga saya dan suami merancangkan suatu perubahan. Insya Allah, kami masih memohon hidayah dari-Nya serta jalan yang terbaik dari Tuhan.
~Hujan , panas dan pelangi~

~Untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai, diri ini perlu berusaha keras mengubah persepsi hati.~


Feb 14, 2014

Transit Hidup: Hidup Semakin Nomad


~Mencari sabar dan ikhtiar dalam hidup yang semakin mencabar. Perjalanan hamba mencari Tuhan dalam hati.~

Nomad

Sebelum ini, hidup saya adalah seorang nomad. Bukan dari bangsa Badwi.
Dalam seminggu, tempat tidur saya mencapai sehingga tiga buah persinggahan. Kini, cabaran hidup semakin meninggi.

Hidup Semakin Nomad

Semenjak bergelar isteri, hidup lebih nomad berbanding biasa. Bak kata ibu dan suami, kini saya dan suami sudah ada 4-5 buah rumah untuk kami singgahi dalam seminggu.

Hujung minggu, zawj akan datang menemui saya atau saya akan ke Mersing kemudian keluar mencari ilmu pada hari Ahad di mana hari bekerja bagi kebanyakan mereka yang bekerja di kerajaan Johor namun bukan bagi kami yang berada di swasta. Hari-hari lain menuntut ilmu rohani. Kemudian, keluar lagi mencari ilmu pengetahuan. Hari-hari bekerja dipenuhi tuntutan mendidik, menilik, serta perjalanan membuat kerja-kerja pemasaran.

Hidup sebagai nomad.


Cobaan Hati

Penat. Ada kalanya saya ingin menangis sendiri. Menguatkan hati yang lemah bukan mudah. Keterbatasan bukan saja terasa pada badan, bahkan pada masa, juga pada kewangan.

Seminggu, jarak perjalanan memakan beratus-ratus kilometer.

"Dan sesungguhnya Kami akan berikan cobaan kepada kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar."
(Al-Baqarah; 155)

Ketabahan, kekuatan dan kewangan

Saya berusaha mencari-cari ketiga-tiga keseimbangan ini dalam kehidupan agar tetap hidup dalam redha-Nya. Struktur kehidupan yang masih terumbang-ambing. Berbagai-bagai kemungkinan perlu saya pertimbangkan; sebagai seorang isteri, seorang daie, seorang pelajar dan terutama sekali sebagai hamba yang inginkan redha-Nya.

Mungkin ini muhasabah. Mungkin diri ini masih jauh dari Allah. Mungkin dari solat yang tidak khusyuk, dari sifat yang tidak tawadhuk, dari amalan yang tidak ikhlas, dari doa yang belum mantap kesungguhannya dan berbagai kemungkinan lain.

Mungkin ini untuk refleksi hubungan hati dengan Tuhan.

Semoga Allah menganugerahkan kesabaran yang infiniti dan jalan keluar kepada kami.

~Pertolongan dari sabar dan solat. Mungkin Allah menanti hingga kesabaran hamba yang benar tulus atau doa yang penuh harap kepada Allah dari hambaNya ini~

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
(At-Talaq; 2-3) 



Jan 26, 2014

Baitul Muslim: Jadi Seperti Lebah dan Bunga


~Ibarat lebah dan bunga saling melengkapi. Lebah berbisa menghirup madu dengan tenang lalu bunga terus mekar berkembang~

Alhamdulillah, hari ini berkesempatan meluangkan masa mendengar pengisian berkenaan rumahtangga oleh Ustazah Nohafizah Musa di radio ikim.

Sekadar perkongsian bersama di blog ini, sekaligus mengingatkan diri yang menulis ini tentang apa yang ditulis.



http://www.wired.co.uk/news/archive/2013-02/22/bee-electric-flowers
~ Bunga menarik sang lebah melalui komunikasi cas-cas elektriknya agar bunga berkembang mekar dan lebah dapat manisnya~


Lebah dan bunga

Satu perumpamaan indah yang dinukilkan oleh Ustazah di ikim.fm.

Lebah dikenali sebagai serangga yang kuat dan berbisa.
Namun, apabila ia hinggap di kelopak bunga tidak secarik pun kelopak itu dirosakkannya. Madu dihirup tenang bahkan bunga kian mekar berkembang.

Ketenangan, kesabaran dan  lemah lembut amat penting dalam rumahtangga. Secara amnya, menjadi seorang Mukmin sememangnya  perlukan ketiga-tiga ciri ini.

Alhamdulillah, walaupun masih baru lagi berada di Universiti Baitul Muslim dan masih sekelumit pelajaran yang dikutip sepanjang menjadi pelajar baru ini, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dikurniakan seorang suami punyai ketiga-tiga ciri ini.

Sungguh, biarpun jodoh saya tidak seawal sahabat-sahabat lain, segala puji bagi Allah, saya tahu kesabaran atas penantian ini tidak akan Allah sia-siakan.



Walaupun begitu, masih banyak perkara yang kami perlu belajar. Pada awal-awal perkahwinan, banyak ralat kami dalam berkomunikasi.  Ralat ini kami baiki dengan izin-Nya sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, Allah lah memberi petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang tidak putus harap meminta kepada-Nya.


"(Ingatkanlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami"
(Al-Kahf; 18: 10)

Moga kelebihan dan kekurangan itu menyeimbangkan. Suami dan isteri saling lengkap melengkapi ibarat hidup sang lebah bersama bunga.

"...Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?"
(Al-Mulk; 67: 3)


4 Pola Bicara Cinta Sang Lebah dan Bunga

InsyaAllah, sedikit perkongsian kutipan-kutipan mutiara ilmu di corong radio pagi ini.
Kaulan Sadida, Kaulan Karima, Kaulan Baligha, Kaulan Maisura (istilah-istilah dalam Bahasa Arab, jika ada kesilapan, harap dapat betulkan).

Ini adalah panduan pola bicara dalam rumahtangga.

Kaulan Sadida:

Kata-kata yag penuh komitmen, benar dan ada asas.
Kata-kata yang penuh sunguh-sungguh. Jika kita katakan sesuatu itu, ia adalah sesuatu yang benar. Jika kita menasihati pasangan dan anak-anak, kita juga mengaplikasikan ia dalam diri kita, InsyaAllah.

Kaulan Baligha:

Kata-kata yang mendalam dan menyentuh.
Kata-kata seorang wanita yang dinukilkan dahulu kepada suaminya, "Wahai suamiku, bertakwalah kepada Allah, kami boleh sabar dengan kelaparan tetapi kami tidak boleh sabar dengan panas api neraka."

Kaulan Karima:

Kata-kata yang keluar dari hati yang mulia dan memuliakan pasangan atau anak-anak yang mendengar.

Kaulan Maisura:

Kata-kata yang memudahkan.
Contoh: Suami memudahkan kerja isteri apabila lihat isteri kepenatan bekerja. "Takpelah, biar abang buat."

Pembungkus

Rumahtangga yang bahagia dalam redha Allah adalah rumahtangga yang penuh mawadaah (kasih sayang), rahmah (rahmat) dan sakinah (ketenangan).

Ia rumahtangga yang meletakkan Allah dan Rasul sebagai ikutan, Al-Quran dan Sunnah menjadi kompas pelayaran rumahtangga yang berkemudi di lautan kehidupan menuju kehidupan akhirat yang abadi iaitu kampung halaman Syurga yang menanti.

Moga Allah memberikan kekuatan dalam pelayaran.

Semoga rumahtangga yang didirikan kerana meraih redha Allah adalah rumahtangga yang bercahaya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi tanda cinta  jua wasilah meraih redha dan cinta-Nya.

~Wahai Tuhan, persatukan kami selamanya dalam rahmat dan kasihMu hingga ke SyurgaMu~

Jan 6, 2014

2014: Hadapi Dengan Senyuman


~Persekitaran semakin menjadi negatif di sekitar 2014, semoga kita menjadi insan-insan yang positif meneutralkan keadaan alam Tuhan yang semakin terancam~

Reflection 

Keterbatasan masa untuk membuka laman sesawang.

Dah lama tak buat reflective thinking di sini. Memandangkan coverage internet di rumah sangat slow. Boleh mengambil masa hingga ke pagi untuk membuka sesebuah laman sesawang (itupun jika diizinkan). Biasanya tidak.

InsyaAllah, semoga dengan kedatangan 2014 ini akan lebih meriah dengan entri-entri baru. Juga akan mempamerkan mungkin tambahan penulis baru dalam blog ini; iaitu zawj tercinta fillah.

Tidak pernah paksa zawj untuk menulis di blog ini. Cuma, kesudian dan kerelaan untuk berkongsi menulis di laman yang sudah bertahun-tahun ini amat dihargai.

~Alangkah indah urusan orang mukmin~


Panas, sejuk, mendung, ribut sepanjang tahun-tahun lalu (moga) dijadikan pedoman untuk tahun ini.

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai keabikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah" 
(Al-Baqarah; 2: 155-157)


Lembaran 2014

Moga kita akan sentiasa dalam rahmat Allah, di bawah lembayung malaikat-malaikat yang suka pada pada orang-orang bersyukur dan bersabar.

Benar sabar itu bukan mudah. Hingga ada yang berkata : "Saya sudah habis sabar!"

Sabar dalam sabar dalam sabar. Hingga sabar itu telah habis, ibarat minyak pada kereta yang telah kering, tentulah perlu ditambahkan lagi.
Hingga sabar telah habis, tambahilah lagi.
Dengan doa yang bersungguh-sungguh kepada Allah, membaca dan menghayati Al-Quran, berusaha untuk terus positif, memandang dengan hikmah.; semoga Allah meredhai.

Jalan ke Syurga tidak pernah mudah. Maka, hari ini kita perlu bersusah payah utuk meraih kemanisan di penghujung kehidupan yang kekal abadi.

Oleh itu, mari kita amalkan satu usaha pada diri untuk sentiasa tersenyum dengan bahagia dan meneruskan usaha kita sebagai hamba-Nya.

~ Apabila kita ingin redha Allah, Allah pasti memudahkan ia untuk menjadi insan diredhai-Nya~

~Wahai Allah, tetapkanlah hati kami untuk terus menjadi mukmin yang bersabar dan bersyukur pada-Mu~


 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino