::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 20, 2016

Lahirnya Mujahidah Kecil Sulung Kami


~Hanya pada Allah tempat kami bergantung harap~

Alhamdulillah, pada 5 Disember 2016, lahir mujahidah sulung kami melengkapkan sepasang anugerah Allah untuk kami. Nampaknya bolehlah ummi berehat dua tiga tahun selepas ini membesarkan anak-anak hingga masuk taska, insyaAllah.

Kelahiran si kecil lelaki atau perempuan memang tak dijangka, walaupun pada mulanya doktor pakar yakin insyaAllah jantinanya perempuan tetapi doktor-doktor lain selepas itu mengatakan jantinanya lelaki. Bagi saya dan suami, tidak mengapalah samada perempuan  atau lelaki. Apa yang penting semoga bayi sihat dilahirkan.

Detik Itu...

4 Disember 2016
Melahirkan mujahidah kecil kali ini tidak sesukar melahirkan kali pertama. Alhamdulillah walaupun kontraksi dah dua dalam sepuluh minit, saya masih boleh selera makan di rumah dan hanya rasa sakit sikit saja. Sempat suruh suami pergi kuliah Ustaz Zulramli berhampiran dengan taman perumahan lagi walaupun suami teragak-agak nak pergi. Walhal mak dan abah di rumah dah risau, tidak senang duduk. Dengan mengambil nasihat sahabat saya, Mawaddah yang sudah banyak pengalaman bersalin, saya buat keputusan juga untuk pergi ke hospital tengah malam itu.

Selesai suami balik dari masjid lebih kurang jam sepuluh malam, kami bersiap-siap untuk ke hospital. 
Sedih pertama kali nak tinggalkan Khubaib 'Adi tidur tanpa umminya.

5 Disember 2016
Sesampainya di dewan bersalin, kontraksi hampir tiga dalam sepuluh minit tapi bukaan belum sampai 1cm. Doktor memberikan pilihan samada untuk masuk wad atau balik rumah. Dan saya memilih untuk balik saja memandangkan kampung suami dan hospital hanya 10 minit perjalanan.

Beberapa jam sebelum Subuh itu hanya dapat baringkan diri tetapi tak dapat lelapkan mata sebab sudah terasa sakit hingga ke bahagian pinggang. Terfikir bayi dalam perut yang sedang berusaha mencari jalannya. Saya tabahkan hati menunggu hingga Subuh, memandangkan suami yang kepenatan semalaman. Alhamdulillah sesudah Subuh, tanda keluar darah dah semakin banyak dan sakit pun dah semakin hebat. Suami sediakan air tamar cocoa dan roti gandum untuk bekal perut untuk berjuang dalam dewan bersalin nanti.

Lebih kurang jam 7 lebih, kami sampai di dewan bersalin. Agak penuh juga bilik bersalin pagi itu. Dalam pukul 8, baru saya dapat masuk ke bilik bersalin yang paling hujung. Alhamdulillah jauh dari penghawa dingin. Artificial rupture of membrane dilakukan lebih kurang jam 9 pagi dan masih 4cm bukaan serviks. Kontraksi dah bertambah hingga 4 dalam sepuluh minit. Doktor pelatih yang in charge saya kata kontraksi saya ni dah kuat sangat. Alhamdulillah, tetapi saya mampu bertahan lagi sebab sakit waktu itu tidak sesakit waktu kontraksi akibat hyperstimulation disebabkan induction of labour tahun lalu.

Segala puji bagi Allah yang memudahkan dan mengurangkan kesakitan itu, jam 10.51am, sudah 10cm bukaan serviks dan 10 minit kemudian lahirlah mujahidah kecil kami, Fathimah Raudhah binti Mohd Razif.


~Semoga lahirmu setenang wanita terpilih di taman Syurga~

Kekuatan Doa 


Alhamdulillah Allah tunaikan hasrat kali ini untuk mencapai VBAC - Vaginal Birth After Cesarean iaitu bersalin normal selepas pembedahan. Jarak melahirkan anak-anak ummi ini hanya setahun lapan bulan. Alhamdulillah, alhamdulilah, alhamdulillah.

Alhamdulillah Allah tunaikan hajat agar suami dapat menemani dan melihat anak kami dilahirkan. Walaupun suami baru lepas sarapan waktu dipanggil pihak hospital (atas permintaan saya sendiri apabila dah rasa sangat perasaan nak push tu tak mampu ditahan), suami sempat datang juga saat 10 minit terakhir pertarungan itu. Hakikatnya, jangkaan suami bersalin waktu petang kerana secara teori anak pertama bersalin normal, bukaan serviks satu jam satu sentimeter.

Alhamdulillah, saya juga doa agar kelahiran bayi saya disambut oleh orang-orang yang soleh/ah. Waktu kelahiran Fathimah Raudhah, tiga orang jururawat dan seorang doktor yang membantu, termasuk suami memberi dorongan. Alhamdulillah. 

Alhamdulillah , Allah izin kemudahan dalam urusan kami. Saya berdoa sewaktu hamil agar Allah mudahkan urusan sebelum, semasa dan selepas proses kelahiran anak ini dan dikurangkan rasa kesakitan itu. Sehari sebelum itu juga saya terjumpa blog tentang hypnobirthing (walaupun sebelum itu pernah jumpa tapi tak ambil endah). Saya cuba praktis deep breathing technique dan visualisation technique mengurangkan rasa sakit, alhamdulillah sangat berkesan. Saya juga berdoa agar khidmat untuk suami sepanjang menjadi surirumah yang baik akan menjadi asbab untuk Allah beri kemudahan itu pada saya.

Saya anggap pengalaman pahit melahirkan tahun lalu sebagai iktibar untuk saya dan juga sebagai penghapus dosa. Semoga Allah ampuni diri ni.

~Doa sangat penting, amalan bacaan Al-Quran; Surah Maryam dan sebagainya serta pemakanan juga perlu dijaga. InsyaAllah dengan ikhtiar dan doa, kita tawakkal pada Dia. ~

Jul 23, 2016

Demi Masa: Nikmatilah Saat Ini


~Saat apapun ujian yang melanda, anggaplah itu suatu nikmat kerana Allah sedang melihat kita, menghitung sabar kita yang akan diganjarkan dengan Syurga~


“Maha Suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.”
[Surah Al-Mulk; 67: 1-2]



Nikmatilah Saat Ini

Saat yang ada ini biarpun dalam suka ataupun duka, hayatilah. Biarpun susah ataupun payah, nikmatilah kerana saat yang ada ini tidak akan pernah kembali lagi. 
 
Saat kita dalam kemiskinan, hayatilah menikmati satu mata lauk dengan nasi seharian. Kerana mungkin apabila kita sudah kaya, nikmat lauk yang bermacam-macam mungkin tidak sesedap sewaktu kita dalam kemiskinan. 

Saat susahnya membesarkan anak-anak kecil, kita sering meminta agar mereka cepat membesar. Namun, apabila mereka dewasa kita pasti merindui saat-saat keletah anak-anak kecil kita. 

Saat kita lelah menelaah pelajaran dan meminta-minta agar kita cepat menikmati alam pekerjaan, maka hayatilah hidup menjadi seorang penuntut ilmu. Kerana apabila kita telah meninggalkan alam menjadi pelajar, kita pasti merindui zaman yang telah berlalu. 

Setiap saat yang kita lalui pasti ada kesusahan dan kepayahan sebagai asam garam dalam kehidupan. Fitrah kehidupan. Itu janji Tuhan. 


"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang apabila ditimpa musibah, mereka berkata inna lillahi wa inna ilaihi rojiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali)."
[Surah Al-Baqarah; 2: 155-156]


Bekalan Memaknakan Nikmat

Seringkali kita tidak mampu melihat kesukaran dan kesulitan sebagai nikmat. Kerana menjernihkan mata hati untuk melihat perlukan bekal untuk sentiasa menjernihkan lensa hati. 


“Demi masa. Sungguh, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling nasihat-menasihati untuk kebenaran dan kesabaran.”
[Surah Al-Asr; 103: 1-3]


Ambillah Al-Quran sebagai surat nasihat daripada Tuhan. Dan pasti ia akan membina lapisan iman dengan kesabaran.  Khusyukkan hati dalam sujud kepada Tuhan, nescaya rintihan kepadaNya pasti membuahkan balasan. 


"Wahai orang-orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar."
[Al-Baqarah; 2: 153]


Allah tidak pernah jauh daripada kita. Saat kita sedih dan kecewa dan terus mengharap pada-Nya, Dia Maha Mendengar dan merindui kita di saat ini. Dan pasti setiap kesulitan itu pasti ada kemudahan seperti yang telah dijanji. 

~Nikmatilah saat ini kerana ia tidak akan pernah berulang semiripnya lagi~
 

Mar 18, 2016

Sabar: Silibus Kehidupan


~Sabar adalah silibus kehidupan yang tidak habis dituntut sehingga nafas yang terakhir~

Sabar Mendidik

Mendidik anak-anak murid di kolej ini sepanjang enam tahun ini menemukan saya dengan pelbagai ragam manusia.

Saya dididik untuk bersabar.



(1)
Masih ingat lagi, sewaktu mula-mula saya bekerja di institusi ini, seawal usia 24 tahun. Apabila tiba waktu sibuk, saya tidak mahu ditemui mahupun bercakap dengan sesiapa jika tidak perlu. Hingga ada kawan-kawan yang sengaja mengusik saya. Yelah, siap letak kad bertulis "do not disturb." Serius sekali muka waktu itu. Waktu mula-mula menanda tugasan pelajar, pening saya. Boleh hilang sabar sehingga rasa nak membebel sepanjang menanda. Ditambah pula kerja-kerja pengkeranian yang banyak dan belum familiar.


Bila fikir semula, agak kelakar juga. Terima kasih pada kawan-kawan yang mengusik dan meredakan tekanan. Sekarang, saya pula yang mengusik mereka yang baru-baru bekerja bila nampak tertekan.

(2)
Anak-anak murid saya ajar saya untuk mengurus pelbagai karenah dengan tenang. Sebenarnya passion untuk mengajar itu lebih, jadi tekanan daripada para pelajar bagi saya tidak setinggi mana. Bahkan , para pelajar sayalah antara penghibur hati saya. Terutama batch pertama yang banyak beri kenangan pada saya, hampir 200 orang semuanya daripada 4 kelas, saya ditugaskan mengajar batch ini daripada mereka akhir sem1 hinggah sem 6. Mungkin itu yang buatkan kami rapat.

Teringat waktu masuk kelas sem 2, salah seorang Allahyarham pelajar saya bertanya selepas saya perkenalkan diri: "Miss, boleh tau apa yang menarik sangat pasal Miss ni? Sebab Adam (bukan nama sebenar dari kelas B) kata miss ajar best."

Terkedu saya tak tahu nak jawab apa waktu tu.  Itulah rasanya cabaran pertama saya di kelas bermula.

Mendidik anak-anak murid ni bukan hanya setakat nak sampaikan ilmu, tetapi nak bentuk akhlak dan sama-sama menjadi orang yang nak cari redha Allah atas muka bumi ini.

(3)
Baru-baru ini, seorang pelajar tanya pada saya. "Madam suka mengajar atau belajar?"
Mula-mula memang nak jawab mengajar. Tetapi sebenarnya saya suka kedua-duanya. Sebab saya belajar untuk mengajar dan apabila mengajar, saya juga belajar dari mereka dalam kehidupan ini.

Perkahwinan

Sikap saya sering keras terutama dengan lelaki. Namun, perkahwinan yang Allah takdirkan dengan suami saya mengajar saya untuk berlembut, bersabar dan lebih bertoleransi.

(1)
"Tak nak, sudah."
Selalu ayat tu terkeluar sewaktu awal perkahwinan.

Namun, zawj selalu betulkan. "Tengok tu. Cuba cakap lembut dengan suami."

Saya tunduk memuncung mulut seperti orang bersalah. "Baiklah. Tak nak, tak apa." Dengan nada sedikit lembut saya berkata.


Bergurau dengan suami pun saya kena lembut. Mungkin gurauan saya adakalanya kasar tanpa saya sedari. Ya, bak kata zawj, saya bukan bergurau dengan kawan tetapi dengan suami.

(2)
Ya, dulu, bila suami saya bercerita ambil masa lama, bila tak sabar atau tak dapat tangkap apa ceritanya, saya akan tanya "Mana punchline nya?"

Suami saya akan kata, "Sabar. Belum habis cerita."
Memang Allah ajar saya untuk menjadi pendengar setia.

(3)
Biasanya dahulu apabila marah, saya akan mendiamkan diri seribu bahasa. Kemudian, mengharapkan akan dipujuk. Namun, apabila menjelang tengah malam, tiada sesiapa yang memujuk, dek kerana takutkan murka Allah dan kutukan malaikat pada saya sebagai isteri, saya mencairkan sendiri ego yang tinggi, saya pujuk dan mohon maaf pada suami.

Mungkin zawj bukan seperti lelaki romantis yang lain, tidak pandai mengayat (cukuplah saya seorang yang begitu).  Namun, besar pengorbanannya sepanjang perkahwinan ini tidak akan saya lupakan.

Pendidikan Anak

Saya dididik oleh Allah dengan cara membesarkan anak berjauhan dari suami semenjak usianya 3 bulan hinggalah sekarang, insyaAllah setahun. Saya berusaha balik bermain dengan anakanda Khubaib, dan kemudian menyiapkan semua kelengkapan untuk ke pengasuh esok setelah nyenyak tidurnya lewat malam atau di awal pagi. Dengan bantuan rakan serumah, sedikit sebanyak meringankan beban saya.

Banyak Allah didik saya yang bermula dengan serba-serbi kekurangan.

Jadi Gelas Separuh Kosong

~Indahnya sabar~

Hidup ini tidak akan pernah sempurna. Sabar ini adalah suatu silibus kehidupan yang tidak akan pernah habis dituntut. Saya juga selalu kesal atas kesilapan dulu kerana ketidaksabaran saya. Ya, kalau boleh kita nak kembali ke masa lalu mengubah kesilapan kita. Namun, masa lalu adalah masa paling jauh dari kita dan kita tidak akan dapat mengubahnya semula. Cara membetulkannya adalah dengan menjaga dengan baik apa yang Allah beri kita pinjam sekarang ini. Walaupun kekesalan itu masih berbekas, apa yang kita harapkan agar Allah tunjukkan hikmah semua itu pada kita. Mungkin kita belum melihatnya sekarang, kita doa agar Allah akan tunjuk biarpun kemudian.

Melihat diri kita seperti gelas separuh kosong, kita akan rasa kita tidak sempurna, perlu meneguk pengajaran dan nasihat kehidupan daripadaNya.

~Ya Allah, berilah kami kesabaran yang baik~



Mar 1, 2016

Masa: Yang Dekat Tapi Jauh, Yang Jauh Tapi Dekat


 ~ Gerabak masa akan terus bergerak tanpa kita ketahui bilakah kita akan keluar ke destinasi yang sebanar menghadap Dia. Semoga bererti umur yang diberi~

~Gerabak masa akan terus berjalan~

Gerabak Masa

Mutakhir ini, melihat rakan-rakan berkongsi kenangan gambar-gambar persekolahan dan zaman universiti. Ada suka, ada duka. 
Dan kita telah melaluinya.

Bagai rasa baru semalam tahun persekolahan kita tinggalkan.
Bagai baru semalam kita menghadiri kuliah bersama rakan-rakan di universiti.
Bagai baru semalam kita mengenali lelaki / wanita yang pada saat ini menjadi pasangan kita.
Seolah-olah kita masih seperti itu dulu dan tidak membesar.  
Seolah-olah, kita masih sekecil dulu dan tidak menua.
Namun, semua itu telah berlalu. 
Kita telah melaluinya. 
Dan saat itu telah pergi. 
Pergi paling jauh daripada kita.  

Tidak sangka kita telah diketuk oleh masa kini yang di mana kita berhadapan realiti. Lamunan indah dan kesedihan masa lalu telah pun pudar. Yang ada hanyalah tanggungjawab di hadapan yang masih belum selesai. 

Gerabak masa ini akan terus pergi menuju destinasi. Gerabak masa ini tidak akan berpatah balik ke masa lalu. Kita tidak pasti di masa manakah gerabak masa ini akan menurunkan kita. Yang hanya kita ketahui, di setiap perhentian ini, kita perlu buat yang sebaiknya, meraih bekal taqwa menuju Dia. Balik ke kampung halaman kita. 

Muhasabah

Namun, masa lalu bukan untuk dilupakan, bahkan untuk menjadi iktibar kepada kita. Baru-baru zawj juga berkomentar dengan saya, 

"Teringat zaman muda-muda dulu panas baran."
"Samalah. Nadiah dulu pun degil. Cepat je nak marah. Sekarang Allah nak ajar kita ni untuk sabar."

Usia semakin bertambah bererti gerabak ini sudah hampir sampai ke destinasi.

Sabda Rasulullah s.a.w: 
"Umur-umur umatku antara 60 hingga 70 tahun, dan sedikit orang yang bisa melampaui umur tersebut."
(Hadith Riwayat Ibnu Majah:4236)  

Sudah hampir separuh ke umur itu, jika diizinkanNya. Mungkin saja umur berkurangan dari itu. Kita tidak tahu. Kita tidak mampu membetulkan masa lalu. Namun, kita mampu menjadikan masa yang ada ini lebih bermakna.
Seperti doa Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya ketika diangkat menjadi pemimpin : 

"Ya Allah, aku ini sungguh keras, maka lunakkanlah hatiku.Ya Allah, aku sangat lemah maka berilah aku kekuatan. Ya Allah, aku ini kikir maka jadikanlah aku orang yang dermawan dan bermurah hati."
(Buku 10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga karya Abdus Sattar Asy-Syaikh: dari laman web Bersama Dakwah)



~Waktu kan berlalu , waktu tak kembali , berharap bererti sebelum ku mati. Ajarilah aku untuk mencintai setulus jiwa ini ,meski takkan pernah mungkin hati kan sempurna mencintaiMu sepenuh jiwa~


Feb 18, 2016

Pengajian: Di Sebalik Kesulitan Ada Kemudahan


~Perjuangan ini tidak akan berhenti. Ia belum selesai. Semoga Allah sentiasa meredhai dan menuntuni perjuangan ini~


~Ya Allah, jadikan ilmu kami ilmu yang bermanfaat~


Alhamdulillah,  alhamdulillah,  alhamdulillah. 
Di sebalik kesulitan pasti ada kemudahan.  Bukan hanya kata-kata manusia tetapi janji Allah yang Maha Kuasa seperti yang dinukilkan di dalam Surah Insyirah ayat 5 dan 6. 

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (Insyirah; 5-6)

Selesai sudah pengajian Sarjana saya. Agak lama sehingga 3 tahun setengah, boleh lepas sijil ijazah  sarjana muda. Maha Suci Allah yang memudahkan segala urusan. Berjauhan dari suami bersama anak kecil yang masih bergantung pada umminya, bekerja, belajar, berusrah; rasa tak cukup masa 24 jam sehari yang Allah bagi, kerdilnya saya di sisi-Nya.

Bukan Superwoman

Saya bukan superwoman, yang boleh lakukan kesemua tanggungjawab itu dengan sempurna walau hakikatnya saya ingin semuanya sempurna.

Keadaan teruji lagi apabila kerjaya mencapai kemuncak kesibukan, apabila si kecil demam berminggu-minggu hingga terpaksa dimasukkan ke wad, apabila pelajaran menuntut tugasan dan mendekati dateline tesis yang perlu disiapkan.

Orang mungkin kata ini menjadikan kita lebih independent. Tapi tidak pada saya!
Saya berubah menjadi lebih dependent!

Saya lemah, saya tak kuat. Saya tak tahu nak bergantung pada manusia mana lagi. Saya hanya ada Allah.
Waktu di titik kelemahan itu, Tuhan menanti-nanti saya mendongak padaNya.

Tiada superman yang boleh membantu saya tatkala itu. Waktu hujung malam menghabiskan baki penulisan tesis untuk dihantar keesokan hari, mujahid kecil saya demam lagi. Menangis-nangis ingin menemani umminya membuat tesis.

Allah lebih Mengetahui, betapa saya menghantar tesis itu dalam ketidaksempurnaan. Impian untuk membuat yang terbaik mungkin hanya angan-angan kosong. Namun, hanya itulah yang terbaik yang mampu saya lakukan walaupun saya tahu bukan itu yang terbaik.

Ya, impian untuk menjadi pakar dalam bidang keilmuan seperti yang dituntut. Seperti kata penulis Solikhin dan Kang Puji Hartono dalam buku Spiritual Problem Solving bahawa:

"Batas menjadi kekuatan kerana kita tidak bisa menjadi yang terbaik dalam segala hal yang kita lakukan. Kita mesti menentukan bidang yang kita kuasai dengan baik sehingga bisa menjadi yang terbaik di bidang kita. Lebih baik menjadi nombor satu di bidang kita yang sesungguhnya, daripada menjadi nombor dua di bawah sukses orang lain".

Sedih dan syukur.
Sedih kerana hanya itulah keterbatasan saya sebagai manusia yang lemah.
Syukur, akhirnya saya mengakhiri jua episod perjalanan ini.

Keajaiban Milik Tuhan 

Namun, hujan yang disangka turun kerana mendungnya awan tidak menjadi. Segala puji bagi Allah.
Memang kemampuan manusia tidak mampu berfikir lebih dahulu untuk menentukan natijah pada perjalanan hidup kita sendiri.

Keputusan yang saya terima di luar jangkaan. Maha Suci Allah atas segala kekuasaanNya.
Terima kasih pada pemeriksa dan supervisor serta pensyarah-pensyarah yang memberi dorongan.

Pada Allah yang sentiasa mendidik diri, ucapan syukur tidak terhingga dan doa untuk sentiasa menjadi hamba yang diredhaiNya diharapkan. Pada zawj yang sering menyalakan kembali impian yang sering malap, terima kasih. Pada anak ummi yang soleh dan musleh, terima kasih kerana sentiasa menjadi peneman dan penghibur hati ummi. Pada ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak berhenti mengutus doa, dan pada sesiapa saja yang mendoakan yang terbaik, semoga Allah memberi kebaikan yang lebih banyak untuk semua.

~Benar, natijah pada setiap usaha bukan kita yang tetapkan. Kita perlu usaha dan usaha dan bertawakkal. Biarpun ia selalu disebut, dalam keadaan tertentu, ia mungkin sukar untuk di amalkan. Doa, doa dan doa semoga Allah berikan kekuatan~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino