::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 26, 2023

'Pause' Ummi: Anak-Anak Perlukan Kebersamaan


 ~Ada masa kita perlu pause dan renung sejenak. Dan pasti sering ada waktunya kita perlu meluahkan segala rasa yang bergelojak pada Pencipta kita, sebab tiada siapa yang benar-benar tahu apa yang kita hadapi, alami dan rasai melainkan Dia Yang Maha Mengetahui~

Nak mendidik ni bukan hanya sekadar cakap atau beri nasihat pada anak. 

Minggu lepas, apabila anak-anak terpaksa bersekolah tahfiz online, dan perlu mengaji dan belajar di rumah,  Allah memberi saya lihat perkembangan pelajaran anak-anak. 

Fathimah Alhamdulillah lebih mudah dan lancar mengaji dan menghafaz. Manakala Khubaib pula prestasi mengaji dan menghafaz sudah menurun. 

Apabila saya minta Khubaib menghafaz biasanya dia buat tak tahu. Yalah, waktu tu kita fikir kita buat kerja kita, dan mereka buat kerja mereka. 

Ada anak terus ikut, tapi ada juga anak yang buat tak tahu dan main je. 

Jadi, selepas beberapa hari, sambil layan Ali lepas anak-anak balik sekolah petang dan tunggu Maghrib, saya ajak Khubaib berada  di sebelah sambil menghafaz surah-surah dalam Juzuk Amma sama-sama. (Tapi mak dia buka Al-Quran dalam telefon sambil pejam-pejam celik mata baca). 

Al-maklumlah kali terakhir betul-betul menghafaz juzuk Amma waktu zaman belajar degree di UIAM. Sebab kami ada subjek perlu hafaz Juz ke-30 dan ada ujian hafazan selepas tu. 

Mungkin juga ini cara Allah untuk tarbiyah diri supaya ulangkaji semula surah-surah hafazan dulu. (Dulu banyak kali berazam nak sambung ulang kaji, tapi tak buat-buat). 

Anak-Anak Perlukan Kebersamaan

Ada masa apabila layan si kecil Ali, Fathimah cemburu. Ada masanya apabila layan Ali, sambil Khubaib tanya soalan-soalan trivia dia, mak dia ni tak larat nak jawab. Umminya ni introvert, bateri pun dah lemah nak menjawab di hujung-hujung hari. 

"Ummi suka negara mana satu, Norway ke Finland?"

"Ummi, apa momen paling bahaya dalam hidup Ummi?" 

Itulah antara soalan-soalan dia. 

Waktu malam, jika tidurkan Ali, biasanya tertidur sekali, sambil kononnya buka telefon supaya tak terlelap bersama (dan telefon pun terbuka sampai pagi). 

Ha, belum masuk layan Ali jam 1 pagi main mainan walaupun ibunya ni dah terlelap sekejap sebelum itu. 

Hari Ahad hingga Khamis selepas waktu anak-anak balik daripada sekolah adalah waktu sepenuhnya untuk mereka. 

~"Ummi, jom-jom." Ajak Ali minta main sekali.~

Konklusinya, apabila nak minta anak-anak buat sesuatu, ibu atau bapa kena buat sama-sama dengan anak. Walaupun hakikatnya mula-mula kita berharap anak-anak kita boleh bermain sendiri, boleh menelaah pelajaran sendiri. 

Hal-hal berkaitan menulis tesis, artikel atau pun berkaitan dengannya perlu ditolak masuk waktu hari siang keesokannya. 

Walaupun banyak keserabutan kerja-kerja yang menunggu bersarang di kepala, tetapi telah diperuntukkan waktunya siang hari.

Yalah, kerja ni ada masa tenang. Ada masa ia datang bertubi-tubi macam ombak-ombak yang datang bergelombang. 

Dan minggu ni gelombangnya pun dah mula nampak garang. Insya Allah, semoga Allah permudahkan stage akhir untuk Proposal Kajian, artikel Scopus, dan penerbitan buku yang semuanya bertindan ini, termasuklah kerja-kerja persatuan Kulliyyah termasuk yang terbaru perlu kolaborasi dengan universiti lain. 

Kadangkala rasa macam semua datang dalam satu masa, dan tak terlayan. Overwhelmed

Tapi yakin bahawa Allah tak bagi ujian yang hamba-hamba-Nya ini tak mampu menanggungnya. 

Allahumma laa sahla illa maa ja'altahu sahlan wa anta taj'alul huzna idzaa syita sahlan.

Artinya: “Ya Allah, tidak ada sesuatu yang mudah kecuali memang Engkau yang memudahkannya dan Engkaulah yang menjadikan segala sesuatu yang sulit itu menjadi mudah jika memang Engkau kehendaki.” (HR. Ibnu Hibban dan Ibnu Sunni)

~Masa bersama anak-anak adalah pelaburan jangka masa panjang dan tak akan pernah tergantikan~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino