::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 6, 2023

Firasat Atau Lintasan Hati


Pernahkah kita ada lintasan hati atau firasat tentang sesuatu yang akan terjadi dan ia benar-benar terjadi?

~Lebuhraya Senai Desaru~

Kadang-kadang lintasan hati atau firasat itu yang datang hanya dalam sepintas lalu, membuatkan kita tertegun sejenak ibarat melihat suatu anak panah yang lalu dengan laju di depan mata. 

Saya pernah mengalaminya tetapi jarang-jarang sekali. Dan biasanya jika Allah hadirkannya, ia adalah tentang peristiwa-peristiwa penting dalam hidup ini. Samada ia memberi kesan hanya kepada diri atau melibatkan orang lain. Tetapi biasanya ia turut melibatkan orang lain. Yelah, kita kan hidup bersama manusia dan bukan hanya diri sendiri. 

Ada yang ambil masa hanya beberapa hari untuk ia terjadi, ada juga sehingga ke beberapa tahun. 

Ada masa saya takut sendiri, tetapi waktu itu hanya fikir mungkin Allah nak beritahu sesuatu. Ada masanya, saya cuba ignore saja. Walaupun adakalanya  semakin hari, ia semakin nyata. 

Saya tiada kuasa melainkan apa yang Allah takdirkan untuk saya. 

Mungkin itu cara Allah nak saya bersedia untuk menghadapinya. 

******

Antara salah satu lintasan hati yang terjadi dalam jeda masa yang singkat adalah sewaktu saya dan kawan-kawan sepejabat terlibat dalam kemalangan sewaktu kami dalam perjalanan balik daripada kuliah di UTM. 

Ketika dalam perjalanan pergi, saya tiba-tiba terlintas tentang 'apa saya perlu buat jika accident?' 

Maka, saya letak beg laptop di kaki sebab duduk di hadapan sebelah pemandu. Saya fikir jika kemalangan, harapnya bahagian depan kereta jika remuk tak terus terkena kaki saya. 

Saya juga pesan pada kawan saya di tempat duduk belakang yang masih dalam tempoh berpantang, untuk pakai tali pinggang. 

Alhamdulillah kami selamat sampai di UTM. Namun, ada lagi perjalanan pulang daripada JB ke Bandar Penawar yang kami perlu lalui setelah habis kelas dan selepas tunaikan solat Maghrib di UTM. Sempat saya berpesan berkali-kali pada sahabat di belakang untuk pakai tali pinggang. 

Dan Allah izin, dalam keadaan hujan itu, kami terbabas selepas kereta memotong dan masuk ke longkang dalam di tepi lebuh raya. Namun, rakan saya di belakang tidak pakai tali pinggang sebab dah terlena, dan tercampak keluar tidak jauh daripada kereta. 

Semua itu pernah saya ceritakan di entri ini. Dan ketika kejadian itu berlaku, ia seperti satu tayangan semula yang pernah saya lihat dalam mimpi suatu ketika dulu. 

Ada juga beberapa lagi peristiwa yang berlaku selepas Allah berikan firasat atau lintasan hati. Berdasarkan semua yang telah terjadi, hakikatnya saya tak mampu mengubahnya walaupun saya cuba dan usaha. Apa yang saya lihat adalah Allah beritahu saya, bahawa itulah kehendak-Nya atau mungkin itulah yang telah tertulis. 


'Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah jika Ia hendak memberi  rahmat kepada kamu?) Dan (ingatkan lah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapa pun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi penolong dan pelindung mereka." 

 

(Surah Al-Ahzab ayat 17). 

 

~Ya Allah, kuatkanlah hati kami, teguhkan tali kami dengan-Mu, dan bimbinglah kami.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino