::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 16, 2023

Bekerja Sebagai Hamba-Nya


~Kerjaya juga adalah ibadah.~

Saya terdetik untuk menulis di sini apabila melihat perkongsian ada yang telah mengisi borang sukarelawan KKM semalam untuk ke bumi barakah. (Tulisan entri ini sebenarnya dah beberapa hari lalu, tapi baru nak post hari ni). 

Sewaktu single dulu sukalah pergi program pasukan bantuan paramedik untuk bantuan bencana atau sunat anak-anak kecil bersama NGO mahupun bersama universiti. 

Subhanallah, indah rasa itu. 


Kerjaya Perspektif Si Kecil Nadiah

Sewaktu kecil paling ingat zaman sekolah rendah, jika mak tanya, "Nadiah, dah besar nak jadi doktor?"

Saya jawab, "Tak nak." 

Saya ingin menjawab sebabnya tapi saya diamkan saja. 

'Saya tak nak jadi doktor macam ayah, boleh rawat pesakit, tapi tak ada masa untuk melawat saya.' Itulah getus hati waktu itu. Yelah, walaupun ayah bukanlah doktor perubatan moden, tetapi ayah ada klinik dan jumpa pesakit, jadi macam tu lah fikiran dan sangkaan anak kecil yang tidak memahami. 

Teringat kata-kata Pakcik Rosdi Baharom tentang fenomena anak lapar ayah, bahawa anak-anak perlukan perhatian seorang ayah. 

Anak-anak apabila masuk sekolah rendah, mereka mencari father figure untuk mereka contohi (yang ini tak ingat sumbernya).  

Cuma waktu tu, walaupun tak berminat ikut jejak langkah ayah, saya terinspirasi nak jadi macam abang sebapa, yang belajar di luar negara. Jadi, nak belajar sungguh-sungguh macam beliau. Dah besar sikit darjah 5 ke 6, saya teringin pula nak jadi macam Dr Fadzilah Kamsah (Doktor yang ada PhD). Ha, macam-macamkan. 

Apabila dah besar, belajar dan faham serba sedikit tentang agama, saya lihat pentingnya melihat kerjaya itu satu ibadah. Dan pentingnya melibatkan anak-anak untuk faham tentang pekerjaan kita. Pentingnya anak-anak juga melihat dan faham bahawa ibu bapa yang bekerja itu juga sedang menjalankan sebahagian ibadahnya kepada Allah. Dan bahawa sesungguhnya seluruh kehidupan ini adalah ibadah. Terpulang pada kita bagaimana untuk mengaturnya. 

Pernah juga beberapa kali bawa anak-anak untuk bersama dengan misi bantuan bersama NGO, sambil beritahu anak, kenapa kita perlu jadi orang-orang yang membantu orang lain. Kita kerja, cari rezeki bukan hanya untuk diri sendiri. Tetapi hidup mati kerana Allah dan jadi manfaat kepada ummah. 

~Dah besar (remaja) baru tahu, rupanya Almarhum ayah ada PhD. Semoga diri ini juga menjadi pencinta ilmu lillahi taala, mengikut jejak langkahnya~

Simpan sini kad ini, walaupun klinik ini hanya tinggal kenangan. Semoga anak-anak ambil contoh yang baik dari Ummi, dan arwah atuk. Jadilah generasi yang cintakan ilmu, manfaatkan ilmu untuk dekatkan diri kepada Allah, dan untuk menempah Syurga Allah dan menggapai redha Allah dengan ilmu yang bermanfaat walaupun tidak semestinya dengan ilmu yang formal. 


~Semoga kita semua terus menjadi generasi yang cintakan ilmu yang benar, dan mencambahkan ilmu di dada dan memanfaatkannya seperti air yang terus mengalir~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino