::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 25, 2023

Sahabat: Mari Kita Berjiran Di Syurga


 ~ Kita tak mampu berpisah dengan kenangan, ia akan dijadikan sejarah atau tauladan untuk masa depan. Dan rakan-rakan seperjuangan dulu tidak mampu kita lupakan, moga perjuangan kita semua sampaikan kita ke Syurga yang berkekalan~

Kadang-kadang rasa rindu pada sahabat-sahabat lama saya menerpa. Rasa rindu nak bertemu, nak bersembang seperti dulu, rasa rindu nak berteman dan berjalan petang-petang bersama. Ada juga kami bertelingkah tetapi tidak lama. Bila kenang kenangan lama, ada yang buat saya tersenyum sendiri. 

~Ya Allah, rahmatilah semua sahabat-sahabat saya~

Dulu

Ketika itu saya baru masuk ke Tingkatan 4:

"Prefect ni dah rampas kau dari aku." kata seorang rakan saya yang kami bersahabat semenjak dari Tingkatan 1. 

"Haha." Saya tertawa mendengar ngomelannya. Sahabat saya, Nisa, itu suka bercerita, gaya mak-mak kadang-kadang walaupun itulah personalitinya semenjak kami berkenalan di Tingkatan 1.  Jadi omelannya tu membuat saya tertawa. 

Apabila naik Tingkatan 4 ,saya dilantik menjadi pemimpin pelajar. Jadi, ada masa-masa seperti mulai awal pagi saya perlu lakukan tugas sebagai pemimpin pelajar seperti cek asrama selepas pelajar keluar ke sekolah atau cek kebersihan kelas di awal pagi. Jadi, kami tak dapat jalan ke sekolah bersama-sama seperti dulu. Dah bertukar jadual waktu. 

Ada juga sahabat lain dalam kalangan pemimpin pelajar yang rapat dengan saya, memandangkan kami juga sekelas. Jadi, selepas buat tugasan, kami ke kelas bersama. 

"Prefect dah rampas kau dari aku. Shera pun rampas kau dari aku." selalu ujar Nisa pada saya tiap kali kami bertemu. 

"Lah...Mana ada rampas. Kan aku kawan dengan kau lagi." Pujuk saya. 

Ia berlanjutan sehingga kekadang memang saya perlu bahagikan masa sama rata untuknya dan sahabat saya yang satu lagi. 

"Nisa ada bagi surat kat aku." Kata Shera pada saya pada suatu hari. 

"Aik, surat apa?"

"Surat luahan hati dia. Dia kata aku rampas kau dari dia. Haha." Kata Shera sambil ketawa. Saya lega sebab Shera jenis happy-go-lucky dan tak ambil hati dengan Nisa.

Dan saya pun tak  minta untuk baca surat tu dan tak tahu apa isi kandungan sebenar di dalamnya.

Sekarang

Kami masih bertegur sapa lagi. Kali terakhir saya keluar dengan sahabat-sahabat saya ini ketika saya sudah bekerja dan masih bujang. Keduanya bekerja di bidang yang tak sama dengan saya. Saya belajar di bidang kesihatan. Nisa pula di bidang kejuruteraan. Shera pula dah jadi peguam di firma GLC sekarang. Saya masih rindu sahabat-sahabat saya. 

Masih ada lagi gambar yang saya simpan di mana kami makan bersama-sama sewaktu program rasmi di sekolah dan di meja yang sama. Tak silap saya di tahun akhir persekolahan. Keduanya masih lagi saya bertegur sapa di alam maya hingga kini. 

Edit post:
Entri ni dah sangat lama saya simpan, cuma tak tahu bila nak post. Dan kali terakhir sebenarnya saya jumpa Nisa di masjid di Batu Pahat tahun ini di tempat ambil wudhu' asbab beliau sekeluarga keluar daripada highway Utara Selatan yang sangat sibuk dalam perjalanan JB ke rumahnya di Cyberjaya.
Sambil nak berwudhu', saya terpandang seseorang di pintu masuk. Dan saya terus bertanya, "Khairunnisa Khairil Mokhtar?"
Dan berlangsunglah kemeriahan kami bercerita  di situ.

Dan kali terakhir jumpa Shera sewaktu ke majlis walimahtul urus beliau yang pernah saya ceritakan dulu. 

Akan Datang

"Teman-teman pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa." 

(Surah Az-Zukhruf; 67) 

'Hari itu' adalah pada hari yang akan datang. Semoga kita semua bersama dengan ahli keluarga kita, sahabat dan kenalan kita di Syurga sana. 

Sudah beberapa ketika kami semua tidak berhubung. Hampir beberapa tahun semenjak awal saya mula berumahtangga. Namun, akhir-akhir ini memang menebal semula rindu pada teman-teman saya. Kerana mereka itulah telah mencorak sebahagian episod hidup ini. Dan saya berharap mereka akan menjadi sebahagian episod saya di alam yang kekal di sana. Sebagai sahabat dan jiran di Syurga. 

Semoga persahabatan dan ukhuwah itu akan kekal hingga ke Syurga. 

~Doa kepada teman-teman yang kita sayang agar menjadi teman dan jiran kita di Syurga adalah suatu hadiah yang amat bermakna~ 

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino