::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 30, 2024

Mengkayakan Pengalaman Kanak-Kanak


 ~Marriage is not about two opposite genders who agree to be legally bound to live together under the same roof and give offspring. It is about making a legacy, an ummah, and not just a financial investment.~

Beberapa hari lepas sambil duk di dapur, terdengar ada orang tengok youtube di TV ruang tamu tentang perbezaan Porche dan enjin kereta apa entah. Sangat informatif bunyinya. (Youtube pun pilih premium, jenis takde iklan).

Tengok rupanya Khubaib di depan TV dan Fathimah pun ada sekali. Tengah menunggu Abi untuk tolong hantar pergi sekolah petang. Biasa jika Abi tiada kelas, Abi akan hantar. Jika Abi ada kelas tengah hari atau kokurikulum, Ummi akan hantar. 

"Khubaib tengok channel siapa ni?" tanya Ummi. Biasa kalau suara channel Faktaw, Ajar, Roblox, SpaceDollah atau satu lagi ahli saintis daripada Indonesia tu Ummi macam biasa dengar. 

"Em.. Hasbullah." jawab dia. 

"Hasbullah?" Ummi tahu pengacara Hasbullah Awang je. Huhu. 

Ummi pun minta pinjam sekejap tengok empunya channel tu; Hasbullah Syarah. Sebab macam informatif sangatkan, tapi boleh menarik minat budak-budak sekolah rendah macam ni untuk tengok. 

Oo, pensyarah kejuruteraan IPTA. Patutlah videonya sangat bagus. Nadiah Shamsuddin ni pun bercita-cita juga nak buat macam tu. Masukkan sikit-sikit info hasil kajian atau kajian lepas dalam bidang yang sama dalam video, tapi belum mampu buat. Rasa time constraint nak buat semua tu. Dahlah jenis nak buat video tak mahu masuk muka kan. 

Sambil tu borak-borak dengan Khubaib, bila dia mula tengok channel ni, macam mana dia jumpa. Sambil dia nak keluar pintu tu. 

Semoga lebih ramai lagi orang-orang yang cerdik pandai dan ilmuwan boleh influence anak-anak dengan cara macam ni. 

***

Ada masa-masa memang Ummi tak mampu nak berkepit dengan anak-anak. Cuma bila Ali tak ada kat rumah lah (di rumah pengasuh), dan Khubaib dan Fathimah balik sekejap ke rumah sebelum sekolah petang, itulah masa kualiti nak sembang dengan mereka berdua. 

Dua minggu lepas, Khubaib bercerita dengan Ummi nak buat games di Roblox, nak minta tolong Ummi. Manalah Ummi dia pandai kan. 

Lepas dia dapat buat, Fathimah pun sibuk nak buat juga. 

Yang bagusnya, sebab anak-anak dah belajar bukan sahaja nak jadi user, tetapi dah mula nak jadi developer. 

Pernah tengok juga iklan programming dan coding termasuk untuk anak-anak yang main Roblox di internet. Tetapi belum sempat nak tengok secara mendalam. 

Ummi suka anak-anak ada rich experiences zaman kanak-kanak ni. Biarlah mereka belajar main catur, main Roblox, atau berminat dalam programming dan coding.

Nak cari alternatif involvekan dalam sukan / aktiviti fizikal, tapi merentas desa pun setahun sekali je pula. Kelas silat sekolah ada, pada hari sekolah waktu malam. Sebelum ni macam kesian nak masukkan kelas silat sebab risau anak-anak tak mampu. Sampai rumah daripada sekolah tahfiz pun nak dekat jam 7 malam dah. 

Insya Allah, berdasarkan pengalaman sendiri waktu zaman sekolah hingga sekarang, memang lebih baik sibukkan diri dengan kebaikan. Itu juga yang biasa disebut dalam kitab-kitab yang masyhur kan. 


~Membina legacy yang sibuk dengan kebaikan, insya Allah~

Jan 15, 2024

Perbaiki Diri: Jangan Marah


"Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah."

Hadith Riwayat al-Bukhārī (6114)

Didikan Si Kecil 

Semalam sewaktu ambil Khubaib dan Fathimah daripada sekolah, biasalah semua nak bercerita. Jadi Ummi tanyalah Khubaib tentang pemulangan buku sekolah tu dan duit yang Ummi suruh bayar buku teks Sains yang menyedihkan tu. Walaupun dah pulang buku, tetapi kesian pula orang tahun depan yang dapat buku tu (kulit belakang hampir separuh hilang dan muka surat belakang yang bergumpal-gumpal menghitung hari untuk relai). Biarlah diganti buku lain.

Jadi, Khubaib pun cakap dia terlupa nak bayar. Biasalah, Ummi pun terkejut kan. Dan lepas beberapa ketika, Khubaib kata bergurau je. 

"Tak baik bergurau dengan cakap tipu dengan Ummi." Kata Ummi sambil memusing stereng kereta untuk keluar daripada pintu pagar masjid sebelah sekolah Khubaib (tempat parking dan tunggu anak-anak). 

"Rasulullah pun pernah bergurau tapi Rasulullah bercakap benar, tak tipu." sambung Ummi lagi. 

Dan Ummi pun ceritakanlah tentang kisah seorang perempuan tua yang jumpa Nabi dan bertanya tentang adakah dia akan masuk Syurga. Dan Nabi menjawab di Syurga tiada perempuan tua. Jadi, perempuan tua tu pun menangis. 

"What?" Kata Khubaib. 

Dan kami pun sambung cerita sampailah ke rumah. Dan kemudian sambung cerita lain pula. 

Ya, sebenarnya mendidik ni tak perlu marah-marah jika anak buat silap. Kita yang dah berusia pun tak pernah lari daripada kesilapan. 

Nak mengajak orang buat baik dan perbaiki diri, Nabi tak pernah menengking, mengeluarkan kata-kata kasar tapi Rasulullah sentiasa berhikmah, selagi mana yang berbuat kerosakan tidak mengancam nyawa dan mengajak kepada peperangan. Hatta, dalam peperangan pun ada undang-undang untuk menyantuni manusia, tumbuhan dan tempatnya. 

******

Didikan Remaja

Teringat zaman jadi pensyarah di kolej dulu, waktu mula-mula datang rasa culture shock. Di awal-awal waktu berpindah, ketika sedang berada di medan selera Bandar Penawar sewaktu hujung minggu, datang dua orang budak laki-laki berseluar pendek, berbaju t-shirt dan memakai rantai di leher menghampiri. 

"Assalamualaikum, miss." Kedua-dua memberi salam. 

Saya terkejut sekejap, kemudian senyum dan menjawab salam sambil bertanya mereka pula. 

Terkejut sebab keduanya itu adalah anak-anak murid saya yang di tahun pertama, masih lingkungan umur 18 tahun. Saya tersenyum sebab mereka masih lagi sopan menyantuni guru ketika di luar kolej. 

Cuma saya tidak pernah bertanya tentang baju dan seluar yang mereka pakai, saya tidak pernah marah atau tanya hukum pakai rantai di kalangan lelaki kepada mereka. Sehinggalah mereka habis belajar dengan saya selama 3 tahun. 

Sebab saya tahu mereka tidak faham dan belum faham, atau mungkin tidak tahu atau  belum mahu untuk berubah. 

Antara tugas saya dalam setiap kali kelas, buka video tazkirah 5 hingga 10 minit sewaktu masa rehat. Siapa yang nak tengok atau nak keluar kelas sebentar, dipersilakan. Dan saya mengajar keseluruhan empat kelas satu batch, bermula daripada mereka tahun pertama hingga ketiga. Satu batch lebih kurang 200 lebih orang. 

Di akhir tahun ke-3 itu, saya melihat salah seorang pelajar yang menegur saya di medan selera dulu, membuat hantaran posting di Facebooknya tentang solat. Kadang-kadang tengok dia post "Jom solat Subuh". Dan saya semakin nampak kebaikan di kalangan mereka. 

"Allahu, nikmat manakah yang ingin kami dustakan." 

Dan ajakan kepada kebaikan itu bukanlah asbab kerja saya seorang. Saya ada sahabat-sahabat yang sama-sama sekelas dulu graduan UIAM yang bekerja di situ, serta ketua jabatan yang sangat menyokong kami buat perkara-perkara kebaikan seperti rutin majlis solat hajat dan bacaan Yassin dalam jabatan bersama anak-anak murid ikut giliran kelas. 

~Anak ayam yang marah ni masih comel lagi~

Apa yang kita mampu buat adalah sampaikan. Dalam keluarga, atau di luar dengan kawan-kawan atau masyarakat. Kita mendidik sebenarnya mendidik yang lain juga diri sendiri. Samada nak berubah atau tidak, itu adalah pilihan dan kemahuan sendiri dengan izin Allah s.w.t. Dan tugas kita hanyalah menyampaikan. 

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." 

-Imam Hassan Al-Banna-


*Alhamdulillah sempat menulis hari ini setelah selesai satu tugasan panjang menyiapkan dan menghantar artikel jurnal ke penerbit sebentar tadi. 

Jan 6, 2024

Inspirasi Daripada Arwah Atuk


~Orang yang baik,  mendengar kebaikannya walaupun tidak pernah melihatnya, hati tetap akan tersentuh~

"Mak ayah kita kan semua macam tu."

"Nadiah dibesarkan oleh nenek. Dan nenek Nadiah tak pernah cakap dengan Nadiah macam tu."

Saya bersyukur dibesarkan oleh nenek yang penyayang, walaupun berjauhan daripada ibu, dan tidak dibesarkan oleh seorang ayah. Tetapi kasih sayang nenek, dan keluarga besar makcik-pakcik saya menyiram hidup saya dengan kasih sayang dan warna-warni dalam hidup ini. Cucu sulung pertama. 

****

Ibu saya selalu cerita tentang arwah atuk yang sangat penyayang, dan selalu fikirkan tentang orang lain. Nenek saya seorang surirumah menjaga anak-anak, 8 orang semuanya. (9 semuanya tetapi seorang makcik diambil anak angkat sejak kecil oleh kakak nenek). 

Balik daripada tempat kerja, arwah atuk tolong nenek di rumah melayan anak-anak. Bagi anak-anaknya makan, siap bersuap lagi, kata mak. Yang dah besar panjang tu pun kadang-kadang sibuk nak makan bersuap dengan arwah atuk. Arwah atuk juga selalu sikatkan dan ikat rambut anak-anak perempuannya. Ada masa arwah atuk akan ziarah saudara-saudaranya. Kata mak, arwah atuk akan bawa bekal atau buah tangan seperti susu, gula, beras sedikit ke rumah-rumah yang diziarahinya. 

Waktu tu, ibu yang masih muda bertanya, "abah, kenapa abah bawa barang-barang pergi rumah orang? Kita ni pun kan susah." 

Ye, arwah atuk ada 8 orang anak, dan arwah atuk bekerja seorang. Itupun sekadar kerja dalam polis sebagai guru memandu kenderaan polis. Tetapi arwah atuk tidak lokek kan. Terus teringat sikap dermawan baginda Nabi s.a.w. 

Cerita ibu saya tentang arwah atuk yang penyayang, baik hati, protective dengan anak-anaknya, selalu inspire diri ini dengan kebaikannya. Arwah atuk yang tak banyak cakap, tapi tetap disukai rakan-rakannya. Panggilan nama arwah atuk Ah Lam di kalangan kawan-kawannya, sebab muka atuk muka orang cina. Memang arwah atuk kacukan Cina-Melayu. Walaupun rumah arwah atuk dan nenek di Kampung Baru tu sempit je, tetapi mereka tak menolak kalau ada saudara yang datang dari kampung yang menumpang sementara berteduh di rumah di tengah-tengah bandar KL, untuk belajar atau mencari kerja. 

Mungkin orang macam atuk sukar untuk didapati.
 



Saya tak sempat berjumpa arwah atuk sebab Allah dah panggil dulu 6 tahun sebelum saya dilahirkan. Semoga Allah rahmati arwah atuk saya Moha bin Saleh., dan ditempatkan bersama orang-orang yag soleh. Semoga satu hari nanti, dapat bertemu arwah atuk di Syurga sana. 



~Gambar atuk muda-muda~

~Arwah atuk dengan kawannya.~

~Updated: Terima kasih kepada Mak sebab share gambar atuk lepas baca blog ni~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino