"Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah."
Hadith Riwayat al-Bukhārī (6114)
Didikan Si Kecil
Semalam sewaktu ambil Khubaib dan Fathimah daripada sekolah, biasalah semua nak bercerita. Jadi Ummi tanyalah Khubaib tentang pemulangan buku sekolah tu dan duit yang Ummi suruh bayar buku teks Sains yang menyedihkan tu. Walaupun dah pulang buku, tetapi kesian pula orang tahun depan yang dapat buku tu (kulit belakang hampir separuh hilang dan muka surat belakang yang bergumpal-gumpal menghitung hari untuk relai). Biarlah diganti buku lain.
Jadi, Khubaib pun cakap dia terlupa nak bayar. Biasalah, Ummi pun terkejut kan. Dan lepas beberapa ketika, Khubaib kata bergurau je.
"Tak baik bergurau dengan cakap tipu dengan Ummi." Kata Ummi sambil memusing stereng kereta untuk keluar daripada pintu pagar masjid sebelah sekolah Khubaib (tempat parking dan tunggu anak-anak).
"Rasulullah pun pernah bergurau tapi Rasulullah bercakap benar, tak tipu." sambung Ummi lagi.
Dan Ummi pun ceritakanlah tentang kisah seorang perempuan tua yang jumpa Nabi dan bertanya tentang adakah dia akan masuk Syurga. Dan Nabi menjawab di Syurga tiada perempuan tua. Jadi, perempuan tua tu pun menangis.
"What?" Kata Khubaib.
Dan kami pun sambung cerita sampailah ke rumah. Dan kemudian sambung cerita lain pula.
Ya, sebenarnya mendidik ni tak perlu marah-marah jika anak buat silap. Kita yang dah berusia pun tak pernah lari daripada kesilapan.
Nak mengajak orang buat baik dan perbaiki diri, Nabi tak pernah menengking, mengeluarkan kata-kata kasar tapi Rasulullah sentiasa berhikmah, selagi mana yang berbuat kerosakan tidak mengancam nyawa dan mengajak kepada peperangan. Hatta, dalam peperangan pun ada undang-undang untuk menyantuni manusia, tumbuhan dan tempatnya.
******
Didikan Remaja
Teringat zaman jadi pensyarah di kolej dulu, waktu mula-mula datang rasa culture shock. Di awal-awal waktu berpindah, ketika sedang berada di medan selera Bandar Penawar sewaktu hujung minggu, datang dua orang budak laki-laki berseluar pendek, berbaju t-shirt dan memakai rantai di leher menghampiri.
"Assalamualaikum, miss." Kedua-dua memberi salam.
Saya terkejut sekejap, kemudian senyum dan menjawab salam sambil bertanya mereka pula.
Terkejut sebab keduanya itu adalah anak-anak murid saya yang di tahun pertama, masih lingkungan umur 18 tahun. Saya tersenyum sebab mereka masih lagi sopan menyantuni guru ketika di luar kolej.
Cuma saya tidak pernah bertanya tentang baju dan seluar yang mereka pakai, saya tidak pernah marah atau tanya hukum pakai rantai di kalangan lelaki kepada mereka. Sehinggalah mereka habis belajar dengan saya selama 3 tahun.
Sebab saya tahu mereka tidak faham dan belum faham, atau mungkin tidak tahu atau belum mahu untuk berubah.
Antara tugas saya dalam setiap kali kelas, buka video tazkirah 5 hingga 10 minit sewaktu masa rehat. Siapa yang nak tengok atau nak keluar kelas sebentar, dipersilakan. Dan saya mengajar keseluruhan empat kelas satu batch, bermula daripada mereka tahun pertama hingga ketiga. Satu batch lebih kurang 200 lebih orang.
Di akhir tahun ke-3 itu, saya melihat salah seorang pelajar yang menegur saya di medan selera dulu, membuat hantaran posting di Facebooknya tentang solat. Kadang-kadang tengok dia post "Jom solat Subuh". Dan saya semakin nampak kebaikan di kalangan mereka.
"Allahu, nikmat manakah yang ingin kami dustakan."
Dan ajakan kepada kebaikan itu bukanlah asbab kerja saya seorang. Saya ada sahabat-sahabat yang sama-sama sekelas dulu graduan UIAM yang bekerja di situ, serta ketua jabatan yang sangat menyokong kami buat perkara-perkara kebaikan seperti rutin majlis solat hajat dan bacaan Yassin dalam jabatan bersama anak-anak murid ikut giliran kelas.
~Anak ayam yang marah ni masih comel lagi~ |
Apa yang kita mampu buat adalah sampaikan. Dalam keluarga, atau di luar dengan kawan-kawan atau masyarakat. Kita mendidik sebenarnya mendidik yang lain juga diri sendiri. Samada nak berubah atau tidak, itu adalah pilihan dan kemahuan sendiri dengan izin Allah s.w.t. Dan tugas kita hanyalah menyampaikan.
"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan."
-Imam Hassan Al-Banna-
*Alhamdulillah sempat menulis hari ini setelah selesai satu tugasan panjang menyiapkan dan menghantar artikel jurnal ke penerbit sebentar tadi.
0 comments:
Post a Comment