::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 13, 2020

Ibrah: Penyakit Misteri Selepas Bertunang


 ~Sakit yang datang menguji itu adalah ingatan Allah untuk sentiasa ingat pada Dia.. Semakin dekat kita pada Dia, semakin nampak cahaya jalan keluar kesulitan ini~

Sewaktu mula-mula kami bertunang, kami berdua diuji dengan penyakit yang misteri. Ia bermula sehari selepas bertunang. 

Pelik tapi benar. 



25 November 2012

Saya mengalami muntah-muntah, sakit perut dan rasa hilang seluruh tenaga. Doktor hanya bagi ubat untuk redakan simptom. 

Bekas tunang saya pula rasa berdebar-debar bermula waktu Asar. Tak keruan. Hanya fikir rasa nak mati. 

Kata suami, sejak itu habis semua laptopnya dibersihkan daripada lagu-lagu  tak terkecuali lagu nasyid mahupun cerita-cerita. 

Malam pertama saya muntah-muntah itu, saya buka ayat ruqyah semasa tidur. Malam itu juga saya mimpi bersama orang berjubah putih yang bawakan saya ke tempat budak-budak mengaji Al-Quran. Alunan bacaan Al-Quran dari bangunan putih yang tersergam itu memang menenangkan. Pakcik (tidak pasti usianya sebab tidak melihat wajahnya) berjubah tu juga tolong bersihkan binatang-binatang kecil yang melekat di baju saya tanpa berkata apa-apa. 

Malam kedua pula saya mimpi berada di suatu tempat yang jauh dari orang lain. Kemudian, datang seorang wanita muda memberikan saya air penawar. Background tempat itu  dah macam dalam cerita Peterpan. 

Ada yang diceritakan kepada saya oleh wanita-wanita yang saya temui sebelum berjumpa wanita berkenaan tetapi biarlah saya simpan detailnya. 

Alhamdulillah keesokkan harinya saya rasa segar dan sihat. Semuanya atas izin Allah. 

Namun, tunang saya ketika itu masih bergelut lagi dengan apa yang dialaminya. Walaupun telah pergi berubat, keadaannya masih sama. 

Jadi, saya pun bertekad mengajak bekas tunang saya ketika itu mengajak berjumpa dengan Ustaz yang saya temui di Kg. Losong dulu. 

Tahun 2011

Awal tahun 2011, saya mengalami gangguan yang hebat dan rasa amat menjejaskan kualiti hidup, itulah titik mula saya bertemu dengan ustaz ini. 

Saya dah berubat banyak kali sebelum itu. Dengan keadaaan saya, saya tidak tinggal mathurat dan Al-Quran dan sampai buntu rasanya memikirkan jalan keluar. 

Sehinggalah berjumpa dengan ustaz di Kg. Losong. Pesan ustaz, zikirlah Lailahaillah Muhammad Rasulullah 4444 kali dan mohon pada Allah. 

Tak mampu buat sehari, buatlah berhari-hari sehingga selesai. Lebih cepat, lebih baik.

Sehingga kini, saya masih ingat dan amalkan lagi. 

Kesan Perkahwinan

Setelah berkahwin, memang masih rasa panas hati saja apabila dengan suami. Rasa nak marah saja padahal hal kecil je pun. 

Al-Mathurat dan Al-Quran, bacaan ruqyah semasa tidur memang tak ditinggalkan tetapi macam tulah. Dan bertahun-tahun lamanya, baru rasa reda. 

Suami yang berada jarak jauh daripada saya masih ada anxiety.
"Orang anxiety saja yang tahu perasaan ni."katanya apabila saya cuba berikan nasihat. 

Tetapi Alhamdulillah, berkat dan rahmat daripada Allah, penyakit misteri jadikan kami orang yang tidak alpa pada Dia dan lebih dekat pada Dia. 

Ibrah Daripada Penyakit Misteri

Sekarang, berbagai zikir jadi amalan seharian. Walaupun jadi surirumah, selalu saya remind diri untuk basahkan lidah dengan zikrullah. Kadang-kadang ada masa alpa juga sekejap especially tertengok media sosial lebih dari masa yang ditetapkan. 

Suami juga kata sekarang dia lebih baik daraipada dulu. Terutama waktu solat berjemaah di masjid dan surau. Dan saya akui part bacaan Al-Quran nya memang sangat baik berbanding waktu kami memula kahwin dulu. 

Waktu bertunang itu, saya rasa terharu. Tunang saya ketika itu tak kenal pun saya sangat. Kami hanya berjumpa 3 kali saja sebelum bertunang. Kami tak pernah bercinta pun. Boleh saja dia nak putuskan tunang dan lupakan segala derita dia tapi dia tak pilih jalan itu. 

Terima kasih bekas tunangku. 

Alhamdulillah atas segalanya. 

Saya bersyukur bahawa Allah sentiasa sayang kami dan ingatkan kami. 

'Kenapa aku diuji?'

Ujian bukan hinaan. Itu tanda kasih sayang Tuhan. 

Ujian adalah ketukan bagi hati. Menaikkan darjat kepada bagi siapa yang menerima dengan hati yang redha, bagi siapa yang menjadikan Allah sebagai sandarannya. 

Ujian yang menimpa Nabi dan Rasul itu lebih berat daripada kita.

Walaupun penyakit misteri itu tidak seperti dulu lagi, kami perlu beringat. Bukan hanya bila ditimpa ujian, kita ingat Tuhan. Sebab mati itu bila-bila, tidak kira masa dan usia. Ujian di barzakh dan akhirat nanti lebih saya risaukan. 

Bak kata nenek saya "Bila kita senang, kita takkan sentiasa senang. Akan datang waktu susah. Jadi beringatlah."

~Ujian adalah tarbiyah, satu ketukan pada hati, untuk kita mengerti bahawa kita, dunia dan seisinya hanyalah milik Ilahi.~

Aug 8, 2020

Al-Waqiah: Cinta Dengar Pertama


Biasa dengar jatuh cinta pandang pertama? 
Dari mata turun ke hati. 

Al-Waqiah; adalah cinta dengar pertama saya. Mendengarnya pertama kali langsung saya jatuh hati. 

Dari Telinga Turun ke Jiwa

Sewaktu awal-awal masuk sekolah menengah dahulu, solat berjemaah Maghrib atau Isyak, saya mendengar kakak-kakak senior yang menjadi imam kami sering mengalunkan sebahagian Surah Al-Waqiah ini. Pertama kali mendengarnya saya terus jatuh hati. 

Hingga alunan itu menyebabkan saya sering membaca surah itu usai solat Maghrib atau Isyak. Dek kerana sering berdamping dengannya, saya dapat menghafal seluruh Surah Al-Waqiah sewaktu sekitar Tingkatan 3 atau 4. 

Jatuh hati dengan Surah Al-Waqiah rasanya lain. Seingat saya sewaktu sekitar Tingkatan 3 dahulu, selalu saya mendengar alunan surah ini di radio Ikim.fm pada waktu malam semasa bercuti di rumah mahupun sewaktu hujung minggu di asrama. Syeikh yang mengalunkan surah ini teresak-esak membacanya sambil diiringi background angin yang menderu di baliknya. 

Sentuhan jiwa itu menyentuh ke hati langsung berderai air mata. Walaupun waktu itu, saya belum memahami sepenuhnya bait-bait surah itu, tetapi mungkin saja bukan saya bahkan sesiapa saja mungkin tersentuh jiwa dan menitis air mata mendengarnya. 



Menuntun Hati Menuju Allah

Dek kerana suka mendengar surah Al-Waqiah, kesannya bukan saja saya dapat hafaz surah ini tanpa sengaja tetapi kesan paling besar dalam hidup ini adalah ia telah membuka mata hati. Bahawa dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itulah yang kekal abadi. 

Matlamat kehidupan ini adalah kembali kepada Allah. Surah ini menimbulkan rasa takut dan harap. Takut akan kemurkaannya dan mengharapkan keredhaan-Nya. Surah ini mengajar hati ini untuk mensyukuri pada Zat Yang Maha Memberi. 

Kadang-kadang kita tenggelam dalam kenikmatan dunia hingga lupa hak-hak orang lain yang perlu kita tunaikan, hingga lupa pada suruhan dan larangan Tuhan, lebih bahaya lagi apabila kita menidakkan Allah sebagai Pemberi rezeki. 

"Apakah kamu menganggap remeh berita ini (Al-Quran)? Dan kamu menjadikan rezeki yang kamu terima (dari Allah) justeru untuk mendustakan(Nya)?"
(Al-Waqiah; 56 : 81-82)

Kadang-kadang kita menganggap segala rezeki itu hanya dari hasil kita, hingga kita lupa yang mengizinkan dan memberkati rezeki itu pada kita adalah Allah. 


Al-Waqiah Kini

Hingga ini, kedudukan Al-Waqiah masih sama di hati saya. Hingga nama kereta saya pun saya letakkan nama Waqiah dan kebetulan nombor platnya lebih kurang sama depannya. 

Sebelum ini iaitu dua tiga tahun kebelakangan, saya tertinggal surah Al-Waqiah daripada rutin harian. Tidak sama macam dulu di zaman sekolah. Ia tertinggal dari hati dek mengejar rutin harian. 

Saya muhasabah. Menyedari kelalaian dan kerinduan itu mengambil waktu. Rindu pada surah Al-Waqiah.

Kini, masa mengatur jadual hidup kembali.  Itulah juga teman yang saya jadikan untuk anak-anak. InsyaAllah mungkin di lain entri boleh mencoret tentang pengaruh Surah Al-Waqiah dalam kehidupan berkeluarga dan anak-anak yang sememangnya excited dengan surah ini. 

Semoga kita semua menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan dan teman hidup ini. Jika tertinggal, ia tentu sangat dirindui. 






Jun 19, 2020

Pasca Keguguran: Dalam Musibah Ada Rahmah


~Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, dan Allah tidak mendatangkan musibah melainkan dosa-dosa kita diampunkan-Nya~


~Dalam musibah ada kasih-Nya~

Dua hari lagi masuk 3 minggu saya berpantang. Berpantang tanpa bayi. Sedih tapi begitulah hakikat kehidupan.
InsyaAllah saya percaya ada hikmahnya.

Teringat juga ketika kunjungan pasca keguguran berjumpa doktor yang merawat saya dari awal, seorang Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi. Kata beliau, "Pasti ada hikmah." 

Tersenyum sendiri saya. Selalu beliau ingatkan saya tentang syukur.
Allah hantar saya berjumpa dengan beliau. Walaupun beliau Belum Muslim tapi kata-kata beliau sering mengingatkan saya tentang erti hidup menjadi seorang Muslim. 

Dalam Musibah Ada Rahmah

Alhamdulillah, dalam setahun kita hidup dengan rahmat dan nikmat daripada Allah, beberapa kali saja kita dilanda ombak ujian yang berganda. 

Nikmat manakah yang mampu kita dustakan? 

Terlalu banyak untuk disyukuri. 

Bulan Ramadhan ini antara doa yang rare dimohon secara bersungguh-sungguh ketika sihat adalah kesihatan tubuh badan yang baik. Suatu nikmat dan amanah yang perlu di jaga.

Kali pertama saya ke klinik akibat perdarahan, terkejut sendiri dengan bacaan tekanan darah. 

149/98 mmHg; tertera bacaan tekanan darah saya.

Dok fikir sendiri dalam kepala apakah sebabnya. Apa yang saya buat dalam hidup seharian sampai jadi begitu. Ke sebab nervous atau terkejut ke. Macam-macam yang difikirkan.

Musim PKP ni saya akui saya memang rancak memasak di dapur, cuba resepi itu dan ini. Sampai suami pun kata isteri dia dah macam Puan Sugu.

Siapa tak bahagia kalau tengok  makanan yang dimasak habis dimakan dan siap direquest lagi untuk dimasak lain kali? Itulah rasanya nature ibu-ibu ni. 

Sampai saya sendiri naik 2 kg berat badan dalam masa PKP.

Fasa Pemulihan 

Dua minggu pertama selepas keguguran, ada temujanji lagi dengan doktor untuk scan sekiranya terdapat tinggalan tisu yang berkaitan. Saya berdoa harapnya segalanya telah selesai dan tidak perlu melalui proses D&C. 

Dalam masa dua minggu itu juga, setiap hari saya bertungku. Dua kali sehari; pagi dan petang bagi memudahkan proses pengeluaran sisa darah beku. 

Alhamdulillah, sebelum temujanji dah bersih sepenuhnya. Segala puji bagi Allah. 

Dalam masa dua minggu itu, Alhamdulillah saya berjaya turunkan kembali 1.5kg berat badan. Terima kasih doktor yang banyak memberi nasihat dan sokongan. Walaupun doktor kata berat badan dah ok, cuma perlu workout tempat tertentu sahaja, Alhamdulillah, setelah masuk hari ke 19 hari ini saya berpantang, Allah izinkan saya turunkan berat sebanyak 3 kg.

Dan tekanan darah dah normal kembali, Alhamdulillah.

Menjaga Hak Badan

Sebelumnya saya abaikan menjaga hak badan. Biasanya sebelum PKP saya suka jogging padang sekolah atau tolak basikal anak dalam kawasan sekolah atau paling kurang pun bersenam dalam rumah. Tetapi kali ini, Allah nak ingatkan bahawa amanah Allah ini perlu dijaga.

Saya perlu pantau kalori semula, berapa banyak kalori diambil dalam satu hari.
Saya perlu bersenam semula.
Saya perlu makan makanan yang berkhasiat semula, makanan bukan saja perlu halal bahkan yang berkhasiat.
Saya perlu kurangkan makanan yang diproses dan cenderung makanan yang segar sahaja. 

Pembungkus Entri 

Saya percaya dalam musibah Allah bagi rahmah. 
Macam Allah janji dalam surah Al-Insyirah ayat 5 dan 6.

"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan."

Hidup perlu keseimbangan.
Ada waktu kita tunaikan makanan perut, ada waktu kita tunaikan hak jasmani, ada waktu kita tunaikan hak jiwa dan hati dengan makanan spiritual, ada waktu kita tunaikan hak minda untuk pengisian ilmu pengetahuan. 

Fasa pemulihan ini adalah fasa untuk recovery fizikal, emosi dan hati. 


Jun 6, 2020

Keguguran: Aku Insan Terpilih


~Innalillahhi wa inna ilaihi rojiun. Allahuma' jurni fi musibati wa akhlifli khairon minha.~

Setiap kali saya membuka tingkap bilik yang menghadap pokok-pokok buah dan tanam-tanaman, saya lihat tanah yang kami gambuskan tidak jauh dari pokok pisang itu.

Di tanah itulah kami kebumikan "baby kecil" kami. Masih dalam kantungnya lagi tetapi dapat dilihat dengan jelas oleh Ummi dan Abi ketika diselubungi kantungnya itu.

Walaupun proses menguburkannya tidak perlu sempurna kerana masih dalam fasa 'alaqah', Ummi balutkan juga "baby kecil" dengan kain putih. (Boleh rujuk: https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/889-al-kafi-602-bagaimana-pengurusan-jenazah-janin-yang-gugur)

Ummi letak juga wangian kegemaran Ummi, wangian kasturi pada kain itu.

Alhamdulillah Allah bagi rasa sekejap 8 minggu dia di dalam rahim ini. Allah bagi peluang juga Ummi dengar degupan jantung "baby kecil" di bilik doktor hari tu.

Allah bagi Ummi rasa perasaan orang lain bagaimana di kasut orang lain yang pernah keguguran dan kehilangan. Rakan dan jiran-jiran terdekat di sini juga pernah kehilangan. Ummi dengar khabar mereka. Kali ini, Allah izin Ummi merasainya sendiri.

~Hadirnya suka dan duka pasti ada hikmahnya~


Nikmat Itu Hanya Pinjaman 

Pada bulan Ramadhan ini, terasa nikmat berganda Allah bagi.

Beribadah bersama keluarga di rumah , dan ditemani rasa bahagia bersama anggota rumah baru di dalam perut.

Biasanya apabila hamilkan anak-anak yang lain juga ada morning sickness tetapi alhamdulillah tidak sehebat mana. Tetapi kandungan ketiga kali ini, rasa penat atau fatigue itu memang tidak dapat disanggah lagi.

Kadang-kadang keliru antara penat berpuasa atau penat menyediakan ruang dan bekalan untuk si kecil di dalam perut. Lebih-lebih lagi bila solat terawih, mudah sangat mata ni terlelap.

Di hujung Ramadhan memang nak slowkan aktiviti di dapur sebab nak lebihkan tumpuan pada Ramadhan yang datang sekali setahun.

Allah lebih tahu. Memang lebih kurang sepuluh hari sebelum Syawal, badan rasa terover letih. Perut cramping semakin menjadi-jadi walaupun tidak hebat. Rasa sikit-sikit sakit perut dan sakit belakang tetapi hilang bila dapat baring di katil.  Cuma kekerapan sakit itu saja yang bertambah.

Syawal Yang Sayu

Genap seminggu bleeding bermula 30 Ramadhan. Allah lebih tahu apa yang terbaik.

Masih boleh tahan rasa sakit apabila mengeluarkan "baby kecil" sebelum Subuh itu. Tapi mudah, Alhamdulillah.

Malam sebelum tidur sewaktu sakit cramping datang, alunan Surah Maryam Ummi buka. Dengan niat semoga Allah permudahkan. Waktu tu nak baca Surah Maryam pun tak mampu, hanya mampu dengar saja.

"If the baby is healthy, the baby will survive". Itulah yang Ummi faham dan Ummi mohon Allah permudahkan segalanya.

Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

Sewaktu pertama kali bleeding dan  habis sesi di klinik pakar, tiga kali Abi tanya pada Ummi, "Ummi sedih?"

Jadi, Ummi katakan pada Abi, "Kalau baby sihat, insyaAllah baby akan survive. Tapi kalau dia tak sihat, Ummi redha."

💕💕💕

Alhamdulillah, setelah itu, Khubaib dan Fathimah pun faham yang "baby kecil" dalam perut Ummi dah tiada. Kami dah tanam "baby kecil" di sana, di kaki bukit halaman sebelah rumah.

Ummi katakan dengan Fathimah dan Khubaib hari tu "nanti kita tanam pokok sebelah "baby kecil", insyaAllah dan kita akan siram pokok sama-sama. "

Cukuplah rentetan Ramadhan dan Syawal 1441 Hijrah ini jadi kenangan terindah dan memori sayu yang terpahat di lubuk hati untuk Ummi.

~Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali~

May 6, 2020

Ramadhan: Yang Sama Dan Yang Berbeza


Ramadhan kali ini berbeza daripada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya."
(Hadith Riwayat Muslim) 

Ramadhan kali ini kita terawih jemaah di rumah saja.
Ramadhan kali ini majoriti berimamkan ketua keluarga atau sendiri saja.
Ramadhan kali ini tiada deretan motorsikal dan kereta berbaris di parkir masjid dan surau-surau kampung dan ibu kota.
Ramadhan kali ini tiada iftar besar-besaran makan di luar.
Ramadhan kali ini tiada bazar di jalan-jalan.
Ramadhan kali ini tiada hingar-bingar manusia pulang petang berpusu-pusu membeli makanan.

Ramadhan kali ini tetap sama perlu diimarahkan.
Cuma berbeza adat dan tempat.
Yang tetap sama adalah ibadat.
Puasa, solat, zikir dan kebaikan tetap diteruskan.
Walaupun mungkin nampaknya seperti hilang kemeriahan.
Pahala tetap Allah beri pada mereka yang istiqamah dan tekun beribadah.

Ramadhan kali ini tetap meriah.
Walau bukan di jalan tetapi meriah di rumah.
Meriah dengan anak-anak seharian.
Meriah dengan solat berjemaah bersama keluarga.

Bagi yang sedang kesusahan,
Tetap Ramadhan ini ada yang datang memberi bantuan.
Kerana Tuhan dan kerana ihsan.

Ramadhan ini Tuhan tidak pernah lupakan kita.
Makin dekat kita kepadaNya,
Semakin Allah hampir pada kita.

~Pertama kali buat Ramadhan corner untuk anak-anak~


~Ramadhan ini tetap sama walaupun nampak lahiriahnya berbeza.~

Apr 2, 2020

COVID-19: Menjadi Sukarelawan Barisan Hadapan



"Khubaib, kalau satu hari nanti Ummi kena dipanggil pergi bekerja, Khubaib tinggal dengan Abi, dengar cakap Abi ye."

"Fathimah pun sama tau. Dengar cakap Abi ye."

"Abi, kalau satu hari negara memerlukan sangat Ummi kena panggil berkhidmat, Abi jaga ye anak-anak."

Terus encik suami beralih topik lain. Em, kalau topik sedih-sedih macam ni memang dia tak nak layan. Tapi muka sedih melankolik tu memang Ummi boleh lihat dan faham.


~the frontline~

Beberapa Minggu Lepas

Sewaktu mengetahui panggilan sukarela bagi yang ingin berkhidmat semula, kami satu batch lulusan kejururawatan berkomentar di kumpulan whatsapp kami. Tertanya-tanya adakah kami semua akan dipanggil walaupun ada yang dah lama sangat tak berada di klinikal.

Ada juga mesej peribadi (private message) dengan rakan seangkatan. Namun, disebabkan anak-anak masih kecil, kami simpan dulu hasrat itu.

Hari ini

Saya juga sedih apabila ada kawan-kawan yang dipanggil berkhidmat dan ada staf yang terpaksa tinggalkan anak-anak yang masih kecil. Ada yang masih bayi.

Sedih, sebab ada juga yang berkhidmat tak cukup tenaga kerja, ada yang terpaksa bekerja 12-18 jam.

Saya doakan semoga Allah beri kekuatan kepada semua dan dipermudahkan segala urusan.

Namun, bagi kami yang tidak terikat dengan mana-mana bidang kesihatan, dan masih belum dipanggil oleh pihak kementerian, kami juga mesti bersedia secara mental untuk menghadapi segala situasi yang mendatang dan sekiranya kehadiran kami berkhidmat adalah amat diperlukan dan menjadi kewajiban.

"Khubaib, kalau satu hari Ummi kena panggil pergi berperang dengan virus, Khubaib behave ye dengan Abi."

"Tapi viruskan tak boleh nampak?" tanya Khubaib.

"Memang tak boleh nampak. Tapi kena tolong orang sakit yang kena virus. Ummi kan nurse.."

"Kalau Khubaib suka usik telinga, maksudnya Khubaib doktor telinga ke?..."jawab Khubaib.

Pecah ketawa Ummi. Ke situ pula dia fikir.

...

Ya, paling perit bila perlu tinggalkan anak-anak.

~Semoga Allah pelihara anda semua~

Hikmah COVID-19: Nyahkuman Hati, Jiwa dan Masyarakat


~Semoga dalam musibah ini, Allah beri kita pahala atas kesabaran kita. Dan Allah beri yang lebih baik untuk kita.~

~Semoga Allah beri yang terbaik untuk kita~


Berkongsi Kasih Sayang Dalam Susah

Saya terharu melihat  gelandangan yang disantuni oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun abang rider penghantar makanan yang setiap hari berkongsi rezeki. Orang-orang biasa juga boleh berkongsi rezeki melalui banyak tabung-tabung bantuan yang disebar luaskan dengan bantuan media sosial dan aplikasi yang pelbagai. 

Allahu, hikmah dari wabak yang Allah izinkan terjadi ni banyak sebenarnya.

Allah sayang kita.

Beberapa hari ini pula berita tentang jenayah terbongkar satu demi satu. Daripada yang keluar mengedar dadah, membuat air ketum dan sebagainya.

Yang berbuat mungkar pun Allah nak bersihkan.

Bukan setakat nak nyahkuman yang ada di pasaraya, bandaraya, dan sebagainya tetapi Allah nak tunjuk pada kita bahawa ada akar umbi yang perlu diubati. Allah nak rawat kita bermula dengan kita merawat diri sendiri.

Yang senang mengasihi yang susah.
Yang kotor dibersihkan oleh Allah.
Yang duduk di rumah, Allah nak suruh kita bawa cahaya ke rumah.
Yang ingkar ingin keluar rumah juga pasti ada puncanya dan sebabnya. Allah nak suruh kita lihat, kita perhati apa yang tak kena.

Proses Nyahkuman

Proses nyahkuman ini menyeluruh.

Dari Kaabah dan rumah-rumah Allah yang dibersihkan, rumah-rumah umat Islam yang Allah minta kita terangkan dengan ibadah berjemaah, berkasih sayang dalam rumah.

Dan Allah juga nak tunjuk jika ada yang tidak mahu berada di rumah, untuk kita ambil tahu dan ambil kisah mengapa rumah itu sangat tidak nyaman untuk mereka.

Allah sayang.
Allah nak kita baiki diri, baiki keluarga, baiki masyarakat dan baiki agama ini.

Penyucian yang menyeluruh.
Penyucian jiwa dari dalam ke luar.

Semoga Allah kurniakan kita kebaikan yang banyak daripadanya.
Semoga Allah datangkan cahaya yang lebih terang untuk kita berkat kesabaran dan usaha kita hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah s.w.t akan menghapus kesalahan-kesalahannya."
(Hadith Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Ahmad)
Inilah hikmah musibah dan penyucian jiwa.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino