::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 21, 2011

Bebaskan Hatimu


~Seorang Muslim itu sentiasa mengutamakan kesukaan Allah sebelum kesukaan dirinya sendiri.~




Ikut Hati

Pepatah Melayu ada mengatakan; ikut hati mati, ikut suka duka, ikut rasa binasa. Mungkin saja orang-orang tua sudah lama mengerti hakikat ini tetapi disimpulkan secara halus dan menusuk jiwa. Hati yang mengikutkan kemahuan dan kehendak nafsu, yang mengikutkan kata 'suka hati aku' atau rasa 'suka-suka sahaja' tidak akan membawa kita jauh menuju jalan kebahagian dalam kehidupan yang sementara ini.

Lafaz dan makna syahadah iaitu 'tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah' bukan hanya sekadar lafaz membuktikan bahawa kita adalah seorang Muslim. Namun, lafaz ini sekiranya diterapkan menjadi pegangan dan amalan, ia mampu menjadikan seorang Muslim itu insan yang hebat, bukan saja di dunia bahkan calon manusia hebat di akhirat. Apabila hati mengaku dan dengan sepenuhnya berpegang bahawa Allah itu adalah Tuhannya, maka hati akan sentiasa mengarahkan diri supaya berbuat mengikut kemahuan Tuhannya meskipun begitu berat untuk dirinya melakukan pada mulanya.

Bebaskan Hati Dari Perhambaan

Pegangan untuk menuruti segala kemahuan Allah sebagai Tuhan itu adalah keimanan di dalam hati seorang insan. Apabila hati hanya mahu berbuat mengikut kemahuan Allah semata dan menjauhi larangan-Nya, hati itu akan bebas, lepas dari sebarang perhambaan daripada nafsu atau bebas daripada 'ikut suka hati aku' atau mengikut 'trend' semasa. Menjadi hamba kepada nafsu, ia tidak pernah akan cukup kerana nafsu itu selalu meminta, selalu bersifat tamak dan haloba. Lalu, orang-orang yang menjadi hamba kepada nafsu sering merasa keletihan, keresahan dan berbagai lagi simptom-simptom perhambaan kerana nafsunya tidak puas terhadap apa yang dimilikinya. Ia sentiasa meminta.

Begitu juga kebebasan hati dari mengikut perkembangan atau 'trend' semasa yang melangkaui batas-batas syarak atau peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.

A: "Ish, kenapa pakai baju macam orang kampung ni? Cubalah bergaya sikit macam ni."

B: "Ini kalau pakai...macam nak tawar diri kena bakar kat akhirat nanti."

Mengikut perkembangan itu boleh tetapi usah sampai kita mengundang kemurkaan Tuhan. Ikutlah kemahuan Allah, insya Allah akan dipermudahkan segala urusan dunia ini untuk kita hingga ke hari yang abadi nanti.

"Sungguh, ada segolongan hamba-hamba-Ku berdoa: 'Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat, Engkau adalah pemberi rahmat yang terbaik.'
Lalu, kamu jadikan mereka buah ejekan, sehingga kamu lupa mengingat Aku, dan kamu selalu menertawakan mereka. Sungguh pada hari ini Aku beri balasan kepada mereka, kerana kesabaran mereka; sungguh mereka itulah orang-orang yang memperoleh kemenangan."
(Al-Mukminun; 23:109-111)

Bebaskan Hatimu Dari Persangkaan 


"Argh, tertekan betullah!"

Dunia ini penuh dengan tekanan. Di sana sini ada saja orang yang cuba menekan, ada saja orang meninggalkan beban untuk dipikul oleh orang lain, ada saja pelbagai karenah manusia yang sememangnya selalu mengundang cas-cas negatf di jiwa. Namun, inilah dunia. Memang kehidupan adalah ujian. Dan manusia itu memang akan diuji baik dengan kesusahan atau kemudahan. Maka, apakah kita menyangka bahawa kehidupan ini sehari-hari adalah tempat bermain atau bersenang lenang sahaja?

"Maha suci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang Menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun."
(Al-Mulk; 67:1-2)

Mengetahui hakikat penciptaan, pergantungan sepenuhnya kepada Allah, mencontohi sifat-sifat mukmin yang dicintai Allah melalui contoh sepanjang zaman, Rasulullah s.a.w juga mampu membebaskan hati dari persangkaan-persangkaan yang memandu ke arah kemudaratan.

Masih teringat lagi nasihat ibu kepada saya; "Nadiah, jangan terlalu emosi, jangan risau-risau. Serahkan segala-galanya kepada Allah. Pandang orang dengan kebaikan dan balas kebaikan itu walaupun orang berbuat kejahatan."

Sifat mahmudah ini Rasulullah sudah ajar lama kepada kita melalui peribadinya yang mulia. Penyerahan hati sepenuhnya kepada Allah yang satu mampu menghilangkan segala keresahan, kegundahan dan ketidak pastian yang berkocak dan mampu membuat ombak di dalam hati. Bisikan-bisikan yang memandu hati memikirkan tentang pelbagai andaian dan persangkaan itu lebih baik digantikan dengan pengharapan kepada Tuhan.

Apabila hati resah, kita kembali kepada Allah. Banyak cara mengingati Allah. Lihatlah sebentar alam yang terbentang luas ini dan lemparkan fikiran kita memikirkan penciptaan-Nya, insya Allah Allah pasti memberi petunjuk bagi siapa yang mencari dan yang Allah kehendaki. Bersegeralah membaca Al-Quran tika hati terasa berada di dalam sosok kegelapan. Jika hati itu masih tidak merasa tenang dengan membaca sehelai muka surat Al-Quran, bacalah sebanyak mana yang mungkin hingga hati kita merasa tenang dan lapang, jauh dari segala persangkaan dan bisikan syaitan. Ini sama konsepnya dengan jumlah dos yang diberikan oleh doktor sekiranya seseorang itu kesakitan. Semakin sakit seseorang, semakin tinggi jumlah dos ubat yang dipresekripsikan atau semakin poten ubat yang diberikan. Konsepnya sama seperti fitrah hati manusia, jika hati sakit, maka ubatilah ia dengan segera, secara istiqamah, dengan bersungguh-sungguh sehingga ia pulih dan sihat.

Pengharapan dan rasa takut kepada Allah itu justeru mampu membebaskan hati dari menjadi hamba bisikan-bisikan kegelapan dan kemusnahan. Insya Allah, selangkah kita mendekati-Nya, sedepa Allah datang kepada kita.

Hati Bebas Itu Bahagia

Hati yang bebas dari perhambaan selain daripada Allah itu adalah hati-hati yang memiliki kelapangan dan kebahagian. Ia adalah hati yang bebas dari provokasi-provokasi dunia. Ia adalah hati yang hanya memandang keindahan dan kesukaan itu daripada kesukaan Rabbnya. Ia adalah hati yang berduka cita jika berjauhan dari fitrahnya dan jika berjauhan dari Penciptanya. Ia adalah hati yang mudah merasakan perkara-perkara yang selari atau tidak dengan kehendak Penciptanya. Hati yang bahagia itu akan membuat peminjam hati yang sementara iaitu diri menjadi bahagia. Biar apa orang kata, tetapi hati itu hanya akan mengikut perintah Tuhannya, Allah yang satu, dan tidak ada selain Allah atau bersamaan dengan itu.


~Hati yang bahagia akan sentiasa membuat diri yang didiami itu bahagia~



0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino