::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 16, 2011

Guru: Pancaran Cahayamu Tak Terpadam


~Wahai Tuhan, rahmatilah guru-guruku.~




Saya tidak tahu ucapan terima kasih yang bagaimana lagi mampu saya ungkapkan. Saya berdoa agar setiap ilmu yang diberi oleh guru-guru saya hatta pada orang yang mengajar satu ilmu kepada saya, semoga Allah merahmati setiap ketulusan ilmu yang diberi.

Ilmu yang guru beri, pengaruh yang diberi hingga kini dan selamanya akan terpatri dan bersemi.

Sekolah pertama saya tentu saja bermula di rumah. Dan keluarga saya adalah guru pertama yang mengajar saya tentang kehidupan.

Tadika

Saya bersekolah di Tadika KEMAS di Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan. Terlalu pendek kenangan saya tika di sana. Cuma ada sekeping gambar saja yang masih disimpan iaitu gambar ketika pertandingan nasyid antara tadika.

Sekolah Rendah




Banyak kenangan yang disimpan sewaktu saya di sekolah rendah. 6 tahun bukan suatu masa yang singkat. Guru-guru sekolah rendah juga banyak memberi dorongan untuk saya berjaya. Antara guru yang paling banyak membantu saya dan mengajar saya adalah seorang guru Bahasa Inggeris, Mr. Foo Wee Sim. Semangat dan dorongan Mr. Foo benar-benar menarik minat saya terhadap Bahasa Inggeris. Hingga kini saya ingin kembali menemui Mr. Foo dan menunjukkan pencapaian ini kepadanya walaupun saya hanya seorang budak sekolah kampung.

Sekolah Menengah

Saya punya nama-nama yang banyak untuk diingati sewaktu sekolah menengah. Walaupun kurang setahun tempohnya berbanding di sekolah rendah, namun, bagi pencarian diri seorang insan dan remaja, guru-guru ini terlalu banyak menggamit memori. Sewaktu masih awal peringkat persekolahan sehingga ke Tingkatan 5, Cikgu Aesah Hussein adalah antara guru yang banyak memberi dorongan pada saya, bukan setakat ilmu tentang pelajaran tetapi juga  ilmu tentang kehidupan. Guru ini benar-benar menyebabkan pada mulanya saya ingin mengambil kursus Lukisan Kejuruteraan sesudah Tingkatan 3. Ditambah pula Cikgu Aesah adalah guru Lukisan Kejuruteraan. Ya, pengaruh itu memang hebat dan kuat.


Guru ini juga meninggalkan kesan amat hebat di hati. Beliau, Ustazah Maznah merangkap warden asrama ketika saya di tingkatan 1 dan 2. Saya percaya Ustazah Maznah bukan saja memberi kesan yang besar pada saya bahkan pada seluruh warga putera dan puteri sekolah kami. Apa tidaknya, hampir setiap petang akan diadakan sesi Tazkirah di musolla pada jam 6.45 petang. Maka, berlari-larilah warga asrama untuk ke musolla apatah lagi bila kedengaran panggilannya. Dan saya juga masih teringat ketika berlari-lari dari Dewan Makan menuju asrama. Pengalaman manis dan melucukan. Ketegasannya usah dipertikaikan. Para pelajar lelaki yang berseluar pendek sewaktu bermain di padang juga akan disergah. Penguatkuasaan bab aurat memang begitu diambil berat. Sekiranya tiada tazkirah sebelum Maghrib, para pelajar akan dihalau dari padang untuk pulang ke asrama. Ya, impaknya di hati, menyuluh cahaya sebenar erti menjadi Muslim dan erti keimanan.


Frau Farah Juita, guru Bahasa Jerman juga amat berjasa. Memang beliau dikenali sebagai seorang yang tegas. Alhamdulillah, saya tidak pernah menaikkan darahnya. Juga seorang yang pemurah. Sentiasa menghadiahkan buah tangan kepada anak-anak muridnya apabila pulang dari luar negara. Beliau banyak menyokong saya dalam keadaan yang tidak dizahirkan secara perkataan, namun, saya banyak disokong dari belakang oleh beliau sama ada dari segi kepimpinan dan perhatian. Saya mungkin tidak merasa menjadi seorang pemimpin tanpa sokongan beliau. Mungkin juga tidak begitu mencintai Bahasa Jerman tanpa dorongan dan sokongan beliau. Namun, mungkin ada perkara yang saya sesalkan hingga kini kerana tidak dapat menerima tawaran beliau untuk pergi jauh dalam mata pelajaran ini atas aral-aral yang tidak dapat tepiskan. Maafkan saya, Frau.


Ramai lagi guru-guru yang menyumbang ilmu. Setiap dari mereka punya cara yang tersendiri dalam memberi tunjuk ajar. Saya suka semua guru-guru saya. Mungkin juga ada satu kenangan pahit yang tersirat menyebabkan saya benar-benar tidak berminat terhadap salah satu mata pelajaran yang diajar. Dan apabila kembali guru lain yang menggantikan dan punya sokongan yang tidak pernah kunjung padam, ia mengembalikan minat saya untuk belajar kembali walaupun di akhir-akhir saat peperiksaan besar. Terima kasih kepada Cikgu Norakedah, guru Matematik Tambahan saya.


Begitu jua ucapan terima kasih tak terhingga kepada guru-guru yang memberi tunjuk ajar dan sokongan dalam bidang ko-kurrikulum saya. Tanpa jasamu Cikgu Rosmah Md Daron, Cikgu Istika Dollah, Cikgu Shamsuddin, Cikgu Moharni, Cikgu Azlin - dan beberapa orang lagi guru-guru saya-  saya dan rakan-rakan tidak akan ke mana. Tunjuk ajar serta kritikan membina yang menjadikan kami lebih baik akan sentiasa menjadi memori yang kekal abadi dalam ingatan.






Peringkat Universiti


Begitu juga buat guru-guru di matrikulasi UIAM dan guru-guru sepanjang perjalanan hidupku di universiti. Buat pensyarah-pensyarah kuliyyah kejururawatan UIAM, cikgu-cikgu mengajarkan bahawa bidang kejururawatan bukan hanya mengajar tentang bagaimana untuk merawat diri bahkan banyak mengajar bagaimana untuk merawat hati.





Mohon maaf andai tidak semua nama-nama guru disebut di sini, -hanya menyebut beberapa nama- namun, yakinlah memori bersamamu dan jasamu tetap terpahat di hati.

Terima kasih cikgu!
Terima kasih duhai pendidik!
Terima kasih murabbi yang terus membentuk hati!
Terima kasih untuk setiap guru yang mengajar diri ini walau hanya satu huruf dan ilmu!

Kini, saya sudah hampir mencecah usia 25 tahun. Dan saya adalah seorang guru.


~Semoga ilmu yang guru-guruku beri akan ku manfaatkan serta akan ku sampai-sampaikan, agar pahala serta rahmat Allah atas jasamu tidak akan putus selagi hayat bumi ini belum ditamatkan.~

2 comments:

Unknown on February 7, 2012 at 8:48 PM said...

ada gak orang amek matrikulasi kejururwatan uiam ya..aku ingat kursus ni la kursus yg paling budak2 ramai reject ni..kursus kejururawatan entah2 aper 2 la..kalo nak amek kejururwatan baik amek diploma jer..bodoh jer aku tgk semua budak2 perempuan yg amek kejururawatan..yg laki lak gay

Raudhatul Nadwah on February 8, 2012 at 10:59 PM said...

Anonymous, setiap kerja ada penambahbaikannya. Di negera luar, kerjaya ini dinaiktarafkan kepada ijazah kejururawatan.
Insya Allah, saya percaya bahawa semua yang mengambil ijazah kejururawatan mempunyai cita-cita murni ingin meng'upgrade'kan profesyen ini sepertimana juga kerjaya guru.
Insya Allah, mari kita lihat dengan mata hati. Selalu menuju ke arah penambahbaikan diri dan keadaan sekeliling.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino