::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 12, 2011

Ibu Bapa: Nikmat Seorang Hamba


~Buat ibu bapa sedunia. Kasih tiada nilainya~


Ratu Hatiku - AlarmMe

Musim berganti menggamit memori
Membuai seuntai kenangan
Ranjau berduri telah kau tempuhi 
Tabah hidup sendirian

Sering teringat sewaktu bersama
Senda gurau manis bicara

Usahlah ditangisi insan yang telah pergi

Kaulah pengganti suami 
Engkau ratu di sanubari
Menjalar di tiap urat nadi
Nasib begini tak kau kesalkan 
Tuhanlah sandaran harapan 
Pasrah ketentuan

Andainya taufan 
Kecewa kau biarkan
Warna pelangi tak muncul lagi
Berkat kesabaran serta pengorbanan

Kini hidupmu berseri 
Deraian air mata
Bertemu di pipinya
Melihat anak-anaknya berjaya
Tuhan hanya menduga
Kesusahan yang tiba
Pasti takkan selama-lamanya
Kaulah ratu hatiku 


Daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a; aku telah bertanyakan pada Nabi S.AW:

"Apakah amalan yang terbaik dalam hidup?"
 Baginda Nabi bersabda: "Solat pada waktunya."
Aku bertanya lagi, "Apa lagi wahai Rasulullah?"
Jawab baginda: "Berbakti kepada kedua ibu bapa."
Kemudian, aku bartanya lagi, "Apa lagi wahai Rasulullah?"
"Berjihad di jalan Allah."

Kemudian, baginda bersabda lagi , "Andai kamu bertanya lagi nescaya akan aku menjawabnya."

Nikmat Besar Kedua Mata

Dua tiga hari ini banyak mendengar kuliah tentang ibu bapa secara tidak sengaja di corong-corong radio. Sungguh ia amat menyentuh hati dan jiwa.

Solat pada waktunya adalah hak Pencipta. Dan amalan yang paling baik selepasnya adalah kepada insan bergelar ibu bapa. Lagi menyentuh hati apabila dikatakan bahawa nikmat mata yang paling besar dalam hidup seorang insan ialah apabila dia dapat melihat ibu atau bapanya yang masih hidup.

Ramai di antara kita pada hari ini punya ibu dan bapa tetapi tidak berpeluang melihat mereka semenjak lahir. Ramai antara kita pada hari ini punya ibu dan bapa tetapi tidak berpeluang mendapat kasih dan sayang mereka. Maka, beruntunglah bagi diri-diri yang masih punya keduanya. Kerana itu adalah nikmat besar kedua mata melihat ibu dan bapa mereka.

Takkan kita mahu menunggu kehilangan mereka atau kita yang pergi dahulu untuk kita menyesali waktu hidup sesingkat ini? Takkan kita mahu rumah ibu dan bapa kesunyian, baru kita terasa kehilangan senyuman menyambut kepulangan di halaman? Takkan kita mahu merindui senyuman dan senda tawa ibu dan bapa kita, baru kita tercari-cari senyum dan tawanya, pelukan erat dan ciumannya?

Berbaktilah pada keduanya selagi mereka masih hidup. Andai mereka tidak bersama kita dalam mencari redha-Nya, usah dijauhi. Tetapi dekatilah dan nasihatilah mereka. Bimbinglah ibu dan bapa agar tangan-tangan kita terpimpim bersama mereka menuju Syurga.



Dua Ratu Hatiku

Dua ratu hatiku; ibu dan nenek. Keduanya membesarkan diri ini sendirian di saat-saat kesusahan.

Ibu; setiap hari sewaktu kecil tidak pernah lepa mendengar ceritaku di hujung talian apabila berjauhan. Tidak pernah mengalirkan air mata di hadapanku sewaktu kecilku. Tabah menyimpan segala keperitan. Ratu ketabahanku.

Nenek; membesarkan bukan saja diri ini bahkan membesarkan 9 orang anak yang waktu itu kebanyakannya masih bersekolah ketika ketiadaan arwah datuk di sisi. Sentiasa tersenyum biarpun dalam keperitan. Ratu kesabaranku.

Dua ratu itu sentiasa di hatiku.

~Ya Allah, bimbinglah kami. Semoga kami menjadi wanita-wanita yang Kau redhai.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino