Mari kita nilai hari ini berapa banyakkah kata-kata kita yang telah Allah uji.
Ramai antara kita termasuk diri saya sendiri pernah berkata-kata dan diuji dengan perkataan yang telah kita lafazkan.
Kesabaran Yang Baik
Kita berdoa agar selalu dikurniakan oleh Allah kesabaran yang baik, dalam menghadapi apa jua keadaan. Sabar seperti baginda Rasulullah, sahabat-sahabat, keluarga dan semua pewarisnya. Namun, apabila Allah menghadirkan beberapa episod dalam kehidupan, sebenarnya masih banyak lagi tahap kesabaran yang tidak mampu kita capai.
Syukur
Kita berdoa agar kita selalu bersyukur atas segala kurniaan nikmat Allah kepada kita, namun, amat sedikit sekali kita mengamalkannya. Contoh mudah; apabila kita makan di restoran, kita mendapat makanan yang dipesan kurang enaknya, kita memarahi si tukang masak. Namun, pernahkah kita terfikir tentu tukang masak itu mungkin juga mahu memasak yang terbaik untuk kita. Adakah sebarang tukang masak yang berniat untuk memasak makanan yang kurang enak agar kedainya cepat bankrupt?
Kita lupa bahawa dari mana datang segala rasa makanan itu semuanya hanya berpunca dari Allah yang satu namun, sedikit sekali kita bersyukur.
Baitul Muslim Yang Diredhai
Kita bergarap agar kita dikurniakan pasangan yang soleh dan solehah. Seringkali dilafazkan hadis ini daripada kita saat kita sedang mencari teman hidup hingga ke Syurga.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Seorang wanita ini dinikahi kerana empat: kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya, Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia."
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Pernah saya melihat rancangan di televisyen yang berkomentar tentang hadis ini. Ramai yang tersilap sangka bahawa perlu dinikahi seorang wanita itu atas empat-empat perkara. Hadis ini sebenarnya menyebutkan bahawa kebanyakan wanita itu dinikahi atas empat perkara ini dan disebabkan itu maka nikahilah mereka disebabkan nilai agama yang ada padanya.
Ya, ramai di antara kita mampu berkomentar seperti ini. Namun, apakah benar kita memilih agama atas segela-galanya. Di zaman Rasulullah, diriwayatkan bahawa Bilal bin Rabah yang mempunyai keperibadian unggul sukar mencari wanita yang ingin dikahwininya kerana wajahnya yang hitam pekat. Hinggakan Rasulullah bersabda bahawa barangsiapa yang mengahwininya akan masuk Syurga, dan baru demikian itu datang wanita Ansar yang bersetuju menjadi isteri Bilal.
Lalu, sekiranya pada waktu ini lelaki seperti Bilal bin Rabah datang kepada kita, apakah kita akan menerimanya?
Kita menginginkan perkahwinan dan Baitul Muslim yang diredhai Allah. Namun, apakah sebenarnya kita telah menempuh jalan untuk menempah keredhaan Allah s.w.t? Apakah kita Tanyakan kembali apakah sebenarnya usaha kita itu benar-benar ke arah keredhaan-Nya atau ia hanya angan-angan kita sahaja?
Taqwa & Redha-Nya
Kita ingin menjadi hamba yang paling dekat di sisi Allah iaitu hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Kita mahu Allah redha atas kita. Lalu, apakah kita sedang menuju ke arah-Nya?
"dan jangan sekali-kali kamu menyatakan tentang sesuatu: 'Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi, kecuali (dengan menyebut) Insya Allah dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah : "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya kepada ini."(Al-Kahfi: 23-24)
~Moga Allah meluruskan hati-hati yang berkehendak pada jalan-Nya.~
0 comments:
Post a Comment