Aku bukan robot
Tanpa hati dan jiwa
Bukan jua tercipta untuk diprogramkan
Langsung memahami segenap hati dan perasaan
Memenuhi seluruh kehendak dan peranan
Mungkin di pandangan
Aku hanya wanita kuno
Yang kaki tidak pernah jejak ke pawagam
Yang hujung minggu tiada pesta bercampuran
Yang tidak berpegangan tangan dengan bukan mahram
Mahupun tidak punya pengalaman berdua-duaan di bawah rembulan
Aku hanya wanita
Yang tahu mengejar suka-Nya
Yang takut marah-Nya
Yang berusaha menampal lompang kelemahan
Walau diri selalu kealpaan
Yang sedaya mengutip amal kebaikan
Agar kelak mampu berjumpa Tuhanku dengan senyuman
Agar aku dapat melepas rindu bertemu Rasulku
Agar aku dapat berteduh kasih memeluk Khadijah
Agar aku dapat melihat sejuk wajah Asiah
Agar dapat ku sapa kelembutan diri Fatimah
Agar dapat ku berbicara dengan Maryam, wanita tabah
Aku hanya manusia
Yang tidak mampu untuk sempurna
Walau aku cuba membaiki alpa
Aku hanya wanita biasa
Bukan mendapat kelebihan wanita berciri ultra;
Yang tiada sakitnya dicucuk duri
Yang kebal hatinya apabila dicaci
Yang tiada lukanya bila dilukai
Yang tiada cemburunya terbit di hati
Kerana aku bukan robot
Yang diprogramkan tanpa hati dan jiwa
Hanya wanita biasa
Yang punya rasa
Ciptaan Tuhanku Yang Maha Sempurna
~Maaf, apabila aku hanya wanita biasa, yang punya hati dan jiwa~
0 comments:
Post a Comment