Kehidupan Adalah Pembelajaran Yang Tiada Henti
Kehidupan - dari tiada apa-apa hingga Allah meniupkan roh kepada kita. Kita bermula dari tiada kepada ada.
Kemudian, Allah beri kesempatan kita melihat dunia. Dan kemudian kita belajar lagi. Dari hanya tahu menangis, Allah sudah bagi kita pandai tersenyum. Kita mengenal siapa ibu bapa kita, di mana rumah kita, adik beradik kita dan orang-orang yang terdekat dengan kita.
Daripada kita tidak tahu, kita sudah belajar untuk menjadi tahu.
Pembelajaran kita bukan hanya bermula di sekolah atau di taska apabila ibu bapa menghantar kita ke sana. Tetapi semenjak kehidupan kita bermula, kita sudah belajar.
Kita belajar untuk jadi hamba yang taat kepada-Nya. Kita belajar dan dididik atau ditarbiyah untuk memperbaiki diri kita. Mungkin fitrah manusia itu adalah untuk diuji maka kita tidak lepas berada di sekolah sebagai para pelajar 'exam-oriented'. Di sekolah kehidupan ini, Allah sebagai Maha Pengetua memberi ujian kepada kita. Cuma bezanya kita tidak diberitahu di mana dan pada waktu bilakah Dia menguji. Namun, sebenarnya setiap saat di sekolah kehidupan ini ia adalah ujian. Ujian kesenangan dan ujian kesusahan.
Bekalan-Bekalan Di Sekolah Ini
Di sekolah ini kita perlukan bekalan. Di atas jalan kehidupan ini, dititipkan oleh Syeikh Mustafa Masyhur dalam bukunya, Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah; kita perlukan bekalan-bekalan yang boleh kita dapati di sekitar kita.
Antaranya bekalan yang kita perlukan dari Al-Quran:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."Bekalan itu ada apabila kita bertafakkur dengan tanda-tanda kekuasaan Pencipta.
(Surah Yunus: 57)
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran siang dan malam, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, mengiring, dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini dnegan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
(Surah Ali Imran :190-191)
Begitu juga kita perlu mencari bekal dengan memikirkan nikmat-nikmat Allah yang telah diberi kepada kita, bertafakkur kepada perkara ghaib dan hari akhirat supaya di kehidupan ini ia mengingatkan kita untuk menjadi orang yang bersusah payah menjadi orang-orang berseri-seri wajahnya di sisi Allah, kekasih-Nya dan orang-orang yang beriman di hari di mana tiada lagi bekalan untuk kita cari.
Syeikh Mustafa Masyhhur juga menasihatkan agar kita mencari bekal melalui bacaan dan penghayatan sirah Nabi Allah. Di dalam perintah-Nya iaitu solat, puasa, zakat, haji juga Allah menganugerahkan bekalan.
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat ; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah: 153)
Pada ukhuwah orang-orang yang beriman itu juga Allah masih lagi memberi kita bekal untuk menjalani sekolah kehidupan yang dipenuhi ujian-ujian untuk menaiki capaian-capaian dan tingkatan-tingkatan taqwa.
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Anfal: 63)
Pada amal soleh, setiap kebaikan yang diberikan, pada setiap sunnah Rasulullah yang diamalkan, setiap satu itu ada bekalan. Ada bekalan untuk hati yang Allah akan beri. Ada ketenangan yang akan dianugerahi. Ada jalan keluar yang tidak akan tersembunyi. Ada kebahagian yang hakiki.
Kerana daripada Allah itulah segala sumber kekuatan, sumber keyakinan dan kepercayaan, sumber kebahagiaan dan ketenangan.
Kerana dari Dia kita datang dan kita akan kembali.
Kerana dari Allah, segala ujian datang dalam kehidupan ini, dan dari-Nya juga kita mohon bekalan untuk menghadapinya dengan bekalan di hati.
Kerana Allah itu Maha Mengampuni lagi Maka Mengasihani. Apa-apa yang dirintihkan oleh hamba-hamba-Nya pasti akan didengari.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan pada kebenaran serta berpesan-pesan kepada kesabaran. "
(Surah Al-Asr: 1-3)
0 comments:
Post a Comment