Tegakkanlah Islam di dalam diri kamu, lalu akan tertegaklah Islam di watanmu.
-Syeikh Hassan Hudaibi-
Sejarah
Saya masih teringat bagaimana mulanya saya ingin masuk ke UIAM.
Sewaktu masih di sekolah menengah, senior-senior saya amat mempengaruhi untuk kami sama-sama ke sana.
Lalu, beberapa orang rakan-rakan turut bercadang untuk pergi bersama.
Mengapa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menjadi pilihan?
Kerana biah atau suasananya.
Saya yang pada ketika itu ibarat lalang hanya bertahan pada tempatnya tetapi masih meliuk-lentuk ke kanan dan kiri dibawa angin. Lalu, saya jadikan ia sebagai nazar saya sekiranya saya mendapat sekian keputusannya dalam peperiksaan SPM.
Ya, niat saya adalah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik.
Alhamdulillah, ternyata saya amat tenang sepanjang 6 tahun saya bergelar mahasiswanya.
Kini, saya telah keluar ke dunia yang lebih nyata. Dunia ini jauh berbeza dari dunia yang saya kenali.
Saya tahu bahawa kini tidak lagi hanya boleh bersuka ria dan bersenang-lenang bersama rakan-rakan yang sama-sama punya matlamat sebuah kehidupan yang hakiki. Ini kerana hakikatnya hati ini menjadi amat sedih apabila melihatkan mereka di luar sana yang masih tidak jelas tujuan kehidupannya diciptakan di dunia.
Apakah penciptaan kita di dunia ini hanya sia-sia dan permainan belaka?
Harapan Ramadhan Ini
Ramadhan ini, mungkin saya terlalu meletakkan harapan dan jangkaan terlalu tinggi pada mereka yang bergelar Muslim.
Berfikir bahawa di bulan mulia ini, semua Muslim akan berubah dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan menggantikan dengan bacaan Al-Quran. Saya berfikir di bulan ini, semua Muslim akan berlumba-lumba ke masjid untuk solat berjemaah bagi mengutip sebanyak-banyak bekalan untuk dikutip dalam kehidupan ini yang mungkin tidak punya usia yang panjang. Saya berfikir mungkin seteruk-teruknya sekiranya mereka yang meskipun tidak berpuasa akan hanya makan sorok-sorok; tetapi sebaliknya di tempat terang-terangan anak-anak muda ini minum tanpa langsung ada rasa keaiban.
Ternyata harapan itu hanya hampa.
Inilah gelanggang dunia yang sebenar. Sekiranya semasa di UIAM, mungkin amat sedikit sekali saya menemui negatif pada jangkaan-jangkaan ini.
Namun kini, saya hanyalah golongan minoriti; asing dan dagang.
Menyemai Benih Pohon Berakar Iman
Wahai diri, saksikanlah bahawa umat ini amat memerlukanmu untuk kau bantu mereka. Untuk ditunjukkan bahawa kehidupan yang sebenar adalah untuk mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu. Hanya Allah saja. Bukan nafsu, bukan dunia berupa wang, harta atau pangkat semata.
Lihatlah, betapa hati meruntun pilu melihat pohon-pohon diri yang nampak teguh tetapi hakikatnya lompong batangnya, rantingnya rapuh dan daun-daun yang kekeringan apabila akarnya bukan lagi bertunjangkan iman. Tiada lagi Ilah di dalam hatinya. Kerana dunia telah mengambil tempat di hatinya. Kehidupan di dunia sungguh memikat hatinya hingga buta pada cinta yang sebenarnya. Hingga pandangan kehidupan ini hanya sementara sudah tiada. Hingga ingatan bahawa Syurga dan Neraka itu sudah seperti dongengan belaka. Lupa akan ada kehidupan yang hakiki selepas kematian di dunia ini. Lupa bahawa setiap amalan di dunia ini pasti akan diperhitungkan.
Mendidik atau mentarbiyah diri dan hati untuk kembali mempertuhankan Allah di hati tidak mengambil masa yang singkat. Ia perlukan kesabaran yang berlipat ganda. Ia perlukan kepada usaha yang berterusan atau istiqamah.
Mendidik dan membentuk hati untuk cintakan Allah sebagai cinta yang tertinggi adalah ibarat menyemai benih-benih keimanan. Perlu siraman yang konsisten, perlu baja yang baik dan secukupnya, perlu dijaga dengan rapi dan penuh kasih sayang agar ia menumbuhkan pohon yang teguh berakarkan keimanan kepada Penciptanya. Dan benih-benih ini juga tidak akan terus tumbuh dalam sesingkat waktu. Perlahan-perlahan tetapi pasti ia akan tumbuh segar suatu hari nanti.
Menyemai benih pohon berakar iman ini adalah satu perjuangan. Agar umat ini tidak hanya menjadi buih-buih di lautan.
Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan.
-Hasan Al-Banna-
~Menjadi agen perubah memang tidak pernah mudah kerana Syurga itu hanya untuk mereka yang bersusah payah~
0 comments:
Post a Comment