::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Aug 23, 2011

Yakin Walau Lelah


~ For You I would take on any trial, and I would walk on through fire. You give me strength enough to face it all. You make me feel invisible.  Cos I would do anything for You - Sami Yusuf- ~






Ada kalanya rasa amat kelelahan. Menjadi manusia 'multitasker', membahagikan tugas antara memberi dan juga menerima.

Memberi untuk mereka yang memerlukan pertolongan. Untuk mereka yang memerlukan cahaya petunjuk menuju-Nya. Memberi untuk meringankan beban mereka. Memberi untuk memakmurkan bumi dan menjadi khalifah-Nya yang memegang amanah.

Menerima. Itu amat perlu. Kerana air yang mengalir keluar itu pasti ada punca mata airnya. Kerana setiap yang diberi perlulah dengan hati. Dan pemberian dengan hati yang diterima-Nya adalah daripada hati yang suci, hati yang bening sentiasa mengharapkan keredhaan-Nya.

Adakala ingin menangis sendiri apabila terasa kelelahan. Namun, dengan segera hati mengingatkan bahwa kelelahan inilah yang akan dibayar dengan Syurganya nanti.

Untuk membeli Syurga yang terlalu mahal dan kekal selamanya itu, perlukan pembelian seluruh jiwa, harta dan diri ini.

Dan di kelelahan ini mungkin mengingatkan bahawa hati belum cukup mendapatkan sumber kekuatan. Kekuatan untuk terus menyucikan hati. Kekuatan untuk terus berlari dan terus berpijak di bumi. Kekuatan untuk menjadi seperti pohon yang tinggi menjulang ke langit tetapi akarnya masih terus menghujam jauh ke dalam bumi Keimanan.

Tiada siapa yang mampu memberi kekuatan melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu mengerti kelelahan yang tersemat di hati melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu meringankan kaki untuk terus bangun daripada tersungkur jatuh melainkan Allah.
Tiada siapa yang mampu mengerti kepenatan di sebalik senyuman.

Namun, yakinlah Allah akan memberi erti yang bermakna pada senyuman itu.
Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membantu.
Yakinlah bahawa Allah akan sentiasa membukakan pintu memudahkan.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa gembira melihat hamba-Nya yang berpenat lelah kerana-Nya.
Yakinlah bahawa Allah sentiasa menitipkan kasih sayang pada hamba-hamba-Nya yang sedang mengejar redha-Nya.
Yakinlah bahawa apabila Allah mencintai seorang hamba, maka seluruh makhluk di Bumi dan di Langit juga akan mencintainya.

Yakin dan percaya.
Kerana sesungguhnya orang-orang beriman itu sentiasa percaya kepada Penciptanya.

'Wahai orang-orang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, "Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan, "Berdirilah kamu, " maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan.'
(Al-Mujadilah; 58: 11)

~Wahai Tuhan, sesungguhnya diri ini amat lemah. Tiadalah kekuatan bagi diri yang kerdil ini melainkan apa yang telah Engkau kurniakan.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino