~Ramadhan; hari yang nyaman.~ |
Duduk di luar rumah sewaktu langit sudah pekat membiru seperti tidak lama lagi hujan akan turun ke bumi. Tiada kilat yang kelihatan namun, hanya sesekali bunyi guruh kedengaran. Bunyi daun-daun bergemersik apabila angin yang sesekali keras dan lembut, tenang dan sejuk datang. Ketenangan dan kedinginan tidak hanya menyentuh kulit bahkan menyelinap terus ke hati.
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda; "Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu Syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekalian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat."Puasa Di Bulan Ramadhan Itu Istimewa
(H.R Bukhari & Muslim)
Ramadhan ini, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka yang penuh bara yang tiada tertahan dek manusia dikunci.
Dan tika ini membuatkan saya terfikir sejenak akan kenyamanan dan ketenteraman di bulan ini. Sememangnya tidak sama dengan hawa di bulan-bulan yang lain.
Seorang rakan serumah kami berkata sewaktu sedang mengadap hidangan berbuka.
"Puasa di bulan Ramadhan ni dengan puasa di bulan lain memang tak sama rasanyakan."
Saya hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk tanda setuju.
Ya, walaupun hakikatnya dalam puasa itu kita menahan lapar dan dahaga, kita masih cuba meninggalkan perbuatan tidak baik ketika berpuasa dan berkata 'Sungguh aku berpuasa' apabila berdepan mehnah mencabar, namun, tetap berpuasa di bulan ini memberi erti yang berbeza. Puasa di bulan Ramadhan punya keistimewaannya.
Seolah-olah di bulan Ramadhan ini, kita diletakkan di tempat asing di dunia atau di suatu planet yang lain.
Ketika Pintu Syurga Dibuka
Ramadhan, ia memberi motivasi untuk sesiapa yang ingin mempertingkatkan diri untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai. Ramadhan, ia bulan yang tenang dan penuh rasa nyaman. Hinggakan ia membuat saya terfikir adakah kerana semua pintu Neraka ditutup dan semua pintu-pintu Syurga dibuka, maka hembusan angin kenyamanan dan ketenteraman yang keluar dari pintu-pintu Syurga itu bertebaran hingga sampai kepada kita di dunia?
Waallahu'alam. Hanya Dia yang mengetahui.
Namun, jika benar begitu.
Apakah kita tidak mahu untuk terus merasakan kenyamanan dan ketenteraman ini bahkan yang lebih hebat lagi di akhirat nanti?
Rasulullah s.a.w dan para sahabat amat gembira dengan kedatangan Ramadhan, dan juga amat bersedih apabila hendak diinggalkan Ramadhan. Moga kita turut sama merasakannya.
~Sungguh, Ramadhan adalah suatu nikmat kepada hamba yang tidak terhitungkan.~
0 comments:
Post a Comment