::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 17, 2017

Matrik UIAM (PJ): Pertemuan Terakhir


Alhamdulillah, dengan izin Allah, hari ini Ummi bawa juga anak-anak Ummi datang tengok tempat Ummi belajar.

Tempat yang diizinkanNya untuk membentuk hambaNya seperti yang ada pada hari ini.

Rancangan nak menziarahi The Gate of Garden Knowledge and Virtue ini dah ada apabila mengetahui Matrikulasi UIA Kampus Petaling Jaya yang akan ditutup bulan Disember ini. Dulu, boleh kata setiap malam ada saja majlis ilmu di sini. Biasanya lebih daripada satu. 

Dengan izin Allah, waktu datang ni memang ada Program Alumni The Last Reunion. Sedih. Sebab lepas ni takkan ada lagi Matrikulasi UIA Kampus PJ. Semua itu hanya boleh jejak dalam memori saja.

~the last reunion ~

Zaman belajar di sini pun tak ambil banyak gambar sebab zaman tu telefon pun pakai 3310 lagi. Takde telefon bimbit berkamera. Paling hebat pun telefon bimbit Sony Walkman zaman tu.

Jadi, ramai alumni yang datang. Pelbagai usia. Yang bawa anak-anak kecil besar Khubaib dan Raudhah pun ramai.

Kami berempat pun menyelusuri Al-Malik Faisal Hall, dewan utama. Tempat awal berkumpul Ummi waktu orientasi. Lagu The Torchbearers of the Ummah itupun masih ingat lagi, InsyaAllah. Semoga kita semua kekal menjadi penyuluh untuk ummah ini.

Mahallah Aisyah tempat penginapan selama dua tahun yang paling hujung dan tak berapa nak cantik tu pun dapat bergambar di pagar saja. Mahallah Aisyah dan Mahallah Abu Bakar pun dah nampaknya lama dikosongkan. Mahallah Zainab je nampaknya masih berpenghuni.

~ teringat nasi goreng tomyam Aisyah College yang sedap~

Mahallah Aisyah ni tempat berkenalan dengan kawan-kawan dari jurusan bukan sains. Rakan sebilik Ummi; empat pelajar Bachelor English dan tiga Bachelor Islamic Revealed Knowledge. AC408; Kak Nan, Fiza, Husna, Diba, Nadhrah, Ziana, Imah. 

Mahallah Zainab tempat laluan jumpa rakan-rakan baru dari bidang yang sama. Jihada, Asma', Allahyarhamah Fathiyah. 

Kami menelusuri pula jalan ke kelas. Paling banyak kelas di bangunan SMAWAIP dan bangunan Sains. Kenalan awal Che Aishah, Farah, Nadirah.

~laluan biasa untuk ke kelas; sebelah bangunan IRKHS~

"Inilah kelas Ummi dulu. Ummi belajar sini." Khubaib mendengar. Walaupun penat tetap dia melompat-lompat gembira.

Dalam perjalanan pulang daripada bangunan tersebut, kelihatan macam kenal seorang kakak ni bersama kawan-kawan sebayanya. Allah izin bertemu juga dengan kakak angkat waktu STJ yang juga Alumni Matrik UIA. Dah menghantar tesis PhDnya dah kakakku ni. Ambil aura sikit.

~with Dr. Diyana to-be~

Kemudian, kami ke bangunan pentadbiran, perpustakaan dan akhirnya ke Masjid bersebelahan.

Kata Khubaib, "Penat dah Khubaib."

Terima kasih Khubaib dan Raudhah datang sekolah Ummi. Terima kasih jua Encik Suami yang pandukan kami ke sini dan sanggup layan sentimental isteri.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah. Naluri untuk datang sini macam dirai sempena The Last Reunion ni. InsyaAllah semoga tempat ini akan kekal jadi tempat yang berkah untuk masa akan datang.



Selamat tinggal Matrikulasi UIAM @ Kampus PJ. Terima kasih Allah atas segalanya. 

Nov 28, 2017

Towards A Doctorate: A Page Break


Sila baca betul-betul, a page break tapi bukan a heart break. :)

Seronok bila tengok kawan-kawan seuniversiti dan adik-adik serta kakak bekas teman se'dorm' STJ dulu melanjutkan pengajian sampai ke PhD. Barakallahufik. 

Tersuntik semangat nak sambung PhD.
Rindu pula zaman remaja dulu. He. Zaman bergurau sama-sama sebilik. Sekarang, semua dah membesar dan menua.

Baiklah, bukan itu sebenarnya isi kandungan entri ni sebab itu hanyalah lintasan kenangan saja.

Timeline Pengajian

Pada usia 16 tahunlah, saya mula-mula pelan kehidupan saya menurut timeline. Timeline tentang apa yang saya nak capai dalam hidup. Dan salah satu daripadanya adalah timeline untuk melanjutkan pengajian.

Impian saya adalah saya nak menyambung pelajaran di peringkat Sarjana pada usia 24 tahun. Impian waktu tu, usia 35 tahun dah dapat PhD.

Dah namanya pun timeline kehidupan, memang kehidupan bukan kita penentunya. Kita hanya merancang dan membuat pilihan tapi selebihnya Allah yang tentukan.

~Usaha dan mohon petunjuk dari Dia~


Sarjana Yang Tertunai

Pada tahun 2011, saya dah merancang untuk melanjutkan pengajian setelah setahun bergraduasi. Walaupun mulanya nak ke oversea sebab impian asal umur 16 tahun tu nak sambung Master di luar negara. 

Bertemankan sahabat saya Humm Salleh, kami pergi ke pejabat agensi pendidikan. Namun dek kerana ibu susah nak lepaskan dengan status masih single, jadi hasrat itu dibatalkan. TakdirNya, 2012 saya berdaftar sebagai pelajar Sarjana di UTM Skudai pada usia 26 tahun.

Sekarang, usia saya dah mencecah 31 tahun. Walaupun ada yang kata macam muka macam 24 tahun tapi itu tetap tak mengubah hakikat sebenar diri yang sudah tua ini.

Kalau ikut timeline, dapat PhD umur 35. Tapi 4 tahun lagi nak mencapai PhD tu macam suatu yang impossible.

Saya telah berusaha ke arah itu sebaik saja selepas graduasi Februari 2016. Saya juga dah siapkan kertas proposal dan mencari bakal supervisor. Gembira bila calon supervisor juga seronok baca paper kita. Namun, bila sampai hasil perbincangan melalui skype selama hampir 30 minit berlangsung tu, saya tertanya diri sendiri;
"Betul ke bidang ini yang aku pilih dan yang aku minat untuk teruskan?"

Sebulan selepas itu ketika bulan Syawal; saya mendapat emel panggilan temuduga Fellowship daripada salah sebuah IPTA untuk berkhidmat di jabatan yang saya mohon. Proposal paper yang sama saya telah hantar pada hujung tahun lalu. 

Apabila saya tengok emel, rupanya tarikh temuduga dah terlepas 3 hari lalu walhal emel baru saja masuk ke inbox. Tak tau nak sedih atau nak gembira (boleh ke macam tu?). Sedih sebab terlepas temuduga dan bukan rezeki saya. Gembira sebab itu bukan ditakdirkan terbaik untuk saya.

Terbaik Dunia dan Akhirat

Setelah sekian muhasabah diri, mungkin inilah jawapan istikharah saya. Sebelum ini saya sendiri sebenarnya tak tau bidang apa yang terbaik untuk saya, dunia dan akhirat.
Hati berbelah bagi apa yang terbaik? Semoga Allah mudahkan.

Buat masa ini saya akan teruskan tapi cuma ambil break sekejap sebab InsyaAllah suami akan pergi menunaikan haji tahun 2018 atau 2019. 

Buat pembaca yang sudi membaca entri ini, terus doakan saya ya supaya terus diberi hidayah-Nya dan terus termotivasi untuk meneruskan impian ke program kedoktoran, insyaAllah.

Berserah dan Terus Maju



Cepat atau lambat,
Apa nak dirisaukan,
Maju seperti biasa,
Kuatkan keimanan.
-Ya Rabbi Ya- Inteam ft Adik Viral
Setiap kali dengar lagu Inteam ni, menyuntik motivasi diri. InsyaAllah boleh jadi OST entri untuk kali ini dan juga untuk sesiapa saja yang bercita-cita, teruskan usaha!

Berdasarkan kajian saintifik terbaru yang dikemukakan oleh saintis saraf dan ahli piskologi; Dr Aubele, Dr Wenck dan Dr Reynolds  dalam buku Train Your Brain To Get Happy bahawa:

"...if you envision it - thouroughly and often enough - it can come."
InsyaAllah.

~sedang dalam proses pembacaan~



Oct 18, 2017

Ayahanda: Sebahagian Diriku Yang Telah Pergi


~Menjejak kasih dan menyimpul silaturrahmi; moga Allah akan selalu memberkahi~

Makna Cuti Sekolah September 2017

Kalau cuti sekolah yang lalu bermakna untuk rakyat Malaysia kerana sambutan Sukan SEA, Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha; cuti sekolah lepas beri makna yang berbeza pada saya dan keluarga.

Alhamdulillah, besar hikmah yang Allah bagi cuti persekolahan yang lalu. Saudara-saudara walaupun baru saja mengenali mereka, namun, ibarat seperti jiwa-jiwa yang telah kenal lama. Kisah 'Jejak Kasih' sejak 5 tahun lalu dan hanya beberapa kali bertemu, namun, serasa seperti sudah lama berjumpa. Karakter pun tak banyak beza. Ya, inilah juga famili saya. 

Kata sepupu yang paling sulung kepada saya iaitu sepupu yang paling bongsu ini, "sentiasa ya contact kami, penat kami cari you." Lebih kurang begitu bunyinya. Dari awal jumpa sampai sekarang, mereka walaupun lelaki (sepupu dan bapa saudara) akan hampir menangis bila bercerita kerana mencari saya.

~Doa adalah titipan cinta~


Hari Ini

17 Oktober genap 5 tahun ayahanda kembali pada-Nya. Walaupun ayahanda sudah tiada, legasi silaturrahmi ini InsyaAllah  akan saya teruskan.

Di masa hidup ayahanda saya, hanya wajahnya saja yang saya ingat lebih mirip saya berbanding wajah ibu saya dengan saya. Tak banyak peribadinya yang saya tahu.

Di masa dia telah tiada, apabila saya kerap berjumpa dengan keluarga sebelah ayahanda dan mendengar tentang peribadinya daripada mereka, seolah-olah saya melihat dia dalam diri ini sangat kuat. Banyak karakter yang sama.

He was a leader, an advocator, a caregiver and  a bit secretive like me.

Saya seorang pendidik. Beliau juga pendidik. Saya terlibat dalam bidang kesihatan. Ayahanda juga begitu. Saya lahir pada 18 haribulan sama juga seperti ayahanda. Dan 18 Oktober ayahanda saya dilahirkan.

Walaupun ayahanda sudah tiada, pusaranya pasti akan dirindui untuk saya kunjungi. Inilah lafaz yang tersimpan.

Puisi Cinta Buat Ayahanda


Kami mengunjungi pusara ayahanda
Bersama derap kaki, gemersik daun berbunyi
Cinta dan rindu kami dirai 
Gerimis jua iringi kami 
Pasti Dia melihat dan mengerti
seperti itu juga gerimisnya rasa hati
Tiada kata cinta 
Mampu dilafazkan bila dia tiada 
Hanya tinggal lafaz pada Dia 
Untuk titipan doa 

Tuhan, kirimkan cintaku pada ayahanda
Moga dia baik-baik saja di alam sana
Satu hari pasti kita ketemu jua


29 Ogos 2017
Tanah Perkuburan Islam
Taman Keramat 


~Semoga diri ini menjadi anak yang solehah yang dapat mengirim doa dan cinta ke daerah sana~

Sep 25, 2017

Petanda Penyakit Masyarakat: Peranan Kita?


~Sebuah kisah dari Tuhan bukan hanya sebagai ingatan dan pelajaran tetapi musibah ini mengajak kita semua untuk kembali kepada Allah~

Sebuah Kisah Dari Tuhan

Kisah yang berlaku di Darul Quran Ittifaqiyah Khamis 2 minggu lalu benar-benar menyentap hati kita sebagai insan. Sedih, pilu, terkilan bukan saja ditanggung oleh keluarga mangsa bahkan turut dirasai oleh kita di Malaysia. Bahkan mungkin juga di luar negara.

Setelah penangkapan suspek dibuat dan kronologi ceritanya diikuti, lebih sakit lagi rasa hati.

Reaksi Kita?

Apakah kata-kata paling awal dari lubuk hati anda apabila membaca kronologi  pengkhianatan remaja-remaja ini?

"Tangkap mereka dan campak saja ke medan perang."

"Bunuh saja lagi senang. Jangan simpan perosak masa depan ni."

"Ini bukan manusia."

Ya, hati kita menjadi berang. Hati kita melemparkan kebencian dan kemarahan. 

Tetapi kita lupa, masih ramai lagi remaja dan anak-anak di luar sana yang sedang dirosakkan akal dan fikiran mereka. 

Mereka juga mangsa dan sedang sakit tanpa pertolongan kita. Apa yang mereka tunjukkan ini hanyalah simptom atau petanda penyakit dalam masyarakat.

Kita hanya marah pada simptom kehancuran yang kita sedang lihat akibat penyakit ini pada masyarakat kita.

Kita tak mampu lari dari masyarakat ini sebab kita adalah sebahagian daripadanya.

~Di mana jua kita berada, semoga kita menjadi jiwa yang membaiki diri dan mengajak orang pada kebaikan~


Simpan Telunjuk Sebelum Menuding

Masyarakat ibarat tubuh badan. Kita adalah anggotanya. Kita mungkin hanya jadi mata yang melihat saja. Kita hanya mungkin jadi telinga yang mendengar saja. Atau kita hanya jadi mulut yang menasihat atau yang mencemuh. Namun, yang lebih baik kita cuba jadi menjadi kaki tangan yang membantu membersihkan hati dan fikiran sejernih-jernihnya berbekalkan keimanan.

Dalam dunia ini memang ada masalah. Dan ramai orang bagi pelbagai solusi. Tapi solusi yang paling utama adalah kembali kepada Allah.

Saya teringat kisah seorang tukang gunting (atheis) dan seorang lelaki yang menjadi pelanggan di kedainya.

Tukang gunting: Bagi saya, Tuhan tidak wujud. Banyaknya perang. Manusia saling berbunuhan. Orang yang tidak bersalah menderita. Tiada Tuhan di dunia ini. Kerana jika ada tentu dunia aman dan semua orang gembira.

Lelaki: Cuba lihat lelaki di luar sana. (Seorang lelaki berjambang, berambut panjang dan tidak terurus). Agaknya kenapa dia berambut panjang begitu. Tentu tukang gunting tidak wujud.

Tukang gunting: Macammana anda boleh cakap macam tu? Tukang gunting wujud. Saya sedang menggunting rambut anda. Itu salah dia kerana tidak datang pada tukang gunting untuk menggunting rambutnya.

Lelaki: Betul. Itulah juga yang saya maksudkan. Tuhan itu wujud. Manusia memang perlukan Tuhan dan bermohon padaNya untuk hidup aman dan bahagia. 

Firman Allah dalam Surah At-Taghabun; 64:11:  

"Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

~Perbaikilah dirimu sendiri di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan~

Aug 21, 2017

Ragbi Dalam Hidupku


~Pasukan muslim yang diredhai, moga jadi contoh dan uswah hasanah sebagai dakwah~

Tak pernah seumur hidup Nadiah Shamsuddin menonton rancangan sukan yang bernama ragbi dengan rasa keterujaan melainkan semalam menerusi Sukan ASEAN ketika teman suami tonton sekali.



Ragbi; Pelik dan Tak Pernah Tertarik

Apatah lagi dengan istilah-istilah ragbi yang sangat asing dan rare rasanya di telinga ini seperti try, knock on, conversion, scrumb  dan lain-lain yang sememangnya berbeza daripada sukan-sukan lain.

Namun, walaupun ragbi agak asing dan kalau tengok televisyen memang terus je tukar channel, tidaklah saya menjadi satu pematah semangat kepada suami yang rasanya dah hampir 9 tahun jadi pengurus pasukan ragbi sekolah.

Pernah satu ketika (waktu awal perkahwinan) suami menyuarakan hasrat untuk give up bawa pasukan ragbi sekolah. Yalah, katanya rasa macam lebih keduniaan je. (Lainlah bawa pasukan nasyid ke, ye?)

Agak-agaknya apa jawapan saya pada cadangan suami tadi?

Ya lah, saya bukan minat sukan ragbi pun. Pandangan skeptikal saya pada ragbi semenjak zaman sekolah ialah sukan ragbi ni ganas, main tarik-tarik nak main bola, dan memang langsung tak faham cara permainannya. Kalau pelajar di sekolah saya dulu macam tak pernah dengar pelajar main ragbi dari kalangan top students.  Emm... Tak taulah kalau ada.

Semua Ini Dunia Sajakah?

"Semua benda atas dunia ni akan jadi keduniaan kalau niat untuk dunia saja. Niatkanlah untuk akhirat juga."

Ya lah bersukan tu tak salah. Tapi salah bila bersukan langgar shariat: kalau main tak tutup aurat, langgar waktu solat dan seumpama dengannya.

Rasullah dan para sahabat pun bersukan. Siap gusti lagi. Aisyah Ummul Mukminin pun pernah ajak Rasulullah berlumba lari.

Pasukan Ragbi yang Allah Redha

Kali pertama saya ikut suami pergi pertandingan ragbi peringkat negeri Johor sewaktu sarat mengandung anak kedua. Dapat tolong jugalah uruskan pembelian makanan pasukan ragbi sebagai sumbangan khidmat bakti. He.

Sejuk hati bila tengok anak-anak didik suami saya menutup aurat sewaktu main ragbi.

Suami pun pernah cerita tahun lepas Johan Cup Sekolah Berasrama Penuh pun dari kalangan sekolah agama persekutuan. Sewaktu pasukan-pasukan ini berkampung, pagi-pagi ramai subuh berjemaah di surau sekolah. Sejuk hati dengar.

Hilang terus tanggapan yang tak elok dahulu tu pada pasukan ragbi. Bekas anak murid suami pun ada yang dapat semua A SPM juga pemain ragbi. Hingga sekarang wakil pasukan ragbi di universiti. Pasukan lain pun ada juga pemain-pemain yang hebat akademik bermain ragbi.  Bagus akhlak, bagus sukan, bagus akademik.

Guru-guru ini adalah pemimpin dan pembimbing generasi akan datang. Ragbi ke atau sukan apa pun, syariat perlu dijaga. Jadilah hamba yang diredhai biar dalam apa jua bidang kita ceburi. Paling penting, letak Allah itu yang paling utama.

~Semuanya bergantung pada niat. Dan kamu akan dapat apa yang kamu niatkan~

Jul 19, 2017

Rindu Kaabah


~Ke manakah rinduku?~

Setelah Syawal, kita menantikan Zulhijah. Juga Hari Raya kedua untuk umat Islam seluruhnya.

Ya, itulah juga definisinya kepada saya suatu masa dahulu. Hari Raya Aidiladha, mengingati simbol pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

~Here I am, response to Your call~


Mana Rinduku?

Sesudah mendirikan Baitul Muslim beberapa bulan, tiba musim haji tahun 2013. Kerap iklan dan rancangan tentang ibadah haji bersiaran di televisyen.

"Rindu sangat nak ke sana." Ulang siar juga kata-kata suami setiap kali iklan, rancangan atau talbiah berkumandang di TV.

Saya hanya memandangnya. Saya juga suka dengar talbiah. Bercita-cita suatu hari nak menunaikan haji atau umrah.

Tetapi saya cemburu dengan suami saya...

'Kenapa aku tiada perasaan rindu tu ye?' lama saya bertanya pada diri.

Suatu nikmat yang saya rasakan hilang dari diri saya. Bila sebut tentang kursus haji, suami saya memang excited  nak pergi. Namun, bagi saya, lambat lagi nak pergi, jadi, niat nak pergi kursus haji tak pernah ada dalam kotak fikiran.

Dek kerana rasa kecemburuan itu, saya berdoa agar Allah beri jua rasa itu pada saya.
Itulah rindu yang perlu dicari.

Rindu Itu Hidayah

Ada orang mampu menunaikan haji tetapi tidak pernah terlintas untuk menunaikan ataupun sekurang-kurangnya mendaftar haji.

Bagi saya, rindu yang terdetik di hati itu juga adalah satu hidayah yang Allah bagi pada hamba-hamba-Nya.

Beberapa minggu lalu, kami sekeluarga menghantar ibu bapa mertua saya ke masjid bagi pendaftaran ke Kursus Haji Perdana Negeri Johor.

Waktu itu, baru terasa getaran dan debaran di hati ini. Saya pernah menghantar nenek dan pakcik menunaikan umrah tahun lepas di KLIA tetapi perasaan pada hari itu biasa-biasa saja.

Namun, ketika rasa 'itu' datang beberapa minggu lalu, tiada rasa kesyukuran yang lebih tinggi lagi perlu dipanjatkan pada Dia, Tuhan Yang Maha Kaya.

Semoga saya juga berpeluang menjadi tetamu di rumahNya suatu hari nanti.

Bila Rindu...

Jadi bila rindu itu hadir, jangan biar ia pergi begitu saja. Perasaan itu juga makhluk. Jom kita doa agar Allah terus meletakkan rasa rindu bertamu di Masjidil Haram, menziarahi makan Baginda Rasulullah s.a.w, dan menziarahi suatu tempat bermulanya peradaban agama yang benar bersejarahkan cinta dan air mata Rasulullah dan seluruh sahabat dan keluarganya.

Jom daftar haji!

Dulu saya ingat bila dah ada akaun tabung haji bermaksud automatik kita dah ada nama digilirkan untuk menunaikan haji. Rupanya perlu daftar juga. Minimum duit dalam akaun Tabung Haji RM1,300 dah boleh mendaftar dan masuk dalam sistem giliran.

Tahun ini, mereka yang mendaftar seawal tahun 2008 ada yang sudah dapat panggilan menjadi tetamu Allah.
Saya pun ibu yang daftarkan tahun 2011.

Anda dah mendaftar? Kalau belum, jom daftar. Kalau sudah, mari kita doa semoga rezeki kita menjadi tetamu-Nya, Insya Allah.

~Bila rindu, hati mahu. Bila mahu, kita usahakan agar mampu. Bila mampu, kita doa pada-Nya agar Dia menunaikan dan mengizinkan hati melepaskan rindu menjadi tetamu~

Jun 19, 2017

Bazar Ramadhan vs Bazar Ramadhan


~Berdoalah ketika berpuasa. Doa semoga Allah maafkan kita sekeluarga ataupun muslimin seluruhnya. Berdoalah apa saja asal kita tetap di jalanNya~

Corat-coret 25 Ramadhan 1438H.

Doa Yang Terkabul

Ramadhan kali ni Allah dah makbulkan salah satu doa suami saya.

Bulan Ramadhan saya memang suka pergi Bazar Ramadhan. Kalau zaman universiti dulu, kalau tak mampu beli nasi beriani, pergi beli nasi kerabu. Paling koman pun mini murtabak.

Sampai berkahwin pun siap ajak suami pergi bazar sekali. Ya lah, kadang-kadang teringin nak cari air soya lah terutamanya waktu mengandung anak pertama dulu dengan morning sickness yang agak teruk dan asyik teringin nak minum air soya, maka suami ikutkan saja.

Encik suami ada juga kata kami ni kena kurangkan pergi ke bazar. Banyak kebaikan kurangkan aktiviti ke bazar Ramadhan. Boleh berjimat, boleh jaga hati dan mata, boleh tumpukan tenaga lebih untuk beribadah malam hari dan lain-lain lagi.

Itulah, walaupun dah empat tahun kahwin, baru tahun ni saya dapat merealisasikan impian suami tu. Itupun dengan izin Allah.

Sebab apa? Sebab Allah tu Maha Mendengar.

Tahun ini Allah takdirkan bayi kedua ada alahan macam umminya. Kalau ummi alahan, tetap makan juga sikit buat 'rasa'. He. Namun, bila fikirkan anak, memang saya macam orang pantang lagi dalam bab pemakanan. Kesian tengok anak kalau gatal-gatal satu badan. Jadi, tahun ni kita masak di rumah saja. Lebih jimat dan lebih sihat, insyaAllah.

Itulah cerita tentang Bazar Ramadhan yang telah ditinggalkan. Memang pecah rekod tak pergi langsung jalan petang-petang ke bazar.

Bazar Ramadhan Dia

Bazar Ramadhan manusia telah saya tinggalkan.

~Promosi Ramadhan oleh manusia vs promosi Ramadhan dari Tuhan~ 

Semakin nak dekat raya semakin banyak sale.  Semakin nak dekat raya jugalah, Allah tawarkan ganjaran istimewa untuk sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Maka samada kita berlumba tinggalkan tarawikh di masjid dan hadir berjemaah ke shopping complex atau sebaliknya. Ataupun mungkin sibuk buat kuih untuk sambut raya melebihi sibuk menyambut malam Al-qadar.

Walaupun saya dapat hidayah (kiranya macam jadi 'budak baik' sikit) ni lebih awal daripada suami, Alhamdulillah suami yang banyak bertegas soal tak nak tinggal tarawikh berjemaah di masjid.

Ramadhan ni datang setahun sekali. Andainya kita tahu dan boleh nampak ganjaran tu depan mata kita, tentu kita lebih fokus untuk menyambutnya kan? Tapi itulah 'hadiah misteri' yang Allah janjikan untuk kita. Memang kena ada kesabaran yang kuat untuk terus jadi hambaNya yang taat dan istiqamah.

Semoga kita semua terus berteguh hati. Cubaan memang banyak. Jom kita doa agar kita berusaha untuk terus fokus pada Ramadhan yang dah nak pergi. Kita pun belum tahu rezeki Ramadhan tahun depan dengan kita macammana lagi...
Ayuh!

~Ramadhan ibarat marathon. Semakin hampir ke garisan penamat, paling perlukan pecutan berganda. Kalau tak mampu pecut sekalipun, jangan berjalan keluar dari landasan~

Apr 19, 2017

Si Kecil Itu Mengingatkanmu Cinta Pertama Di Dunia


~Masihkah kau ingat tika kita seorang bayi? Melihat ibu bapa kita terjatuh hati. Dan bila besar, kita lupa diri. Lupa cinta pertama yang paling Dia redhai.~

Melihatmu, pegun hatiku.
Melihatmu merenungku, aku kaku. Apakah aku juga melihat ibu bapaku sekarang
sepertimana kau sedang melihat ibu bapamu?

Apabila sudah bergelar ayah atau ibu, barulah sebenarnya kita dapat rasa apa yang dirasai oleh ibu dan ayah kita.

Ketika masih bayi, si kecil tak mahu berpisah dan ibunya. Hatta si abang yang sudah usia dua tahun pun akan mencari ibunya selepas beberapa ketika.

Kita ni pun waktu kecil macam itulah dulu.

Ketika masih bayi, mata anak kecil tertumpu penuh pada ibunya. Penuh harapan dan sayang. Satu perasaan sukar digambarkan.

Adakalanya dia melihat dengan penuh perhatian pada ayahnya. Mengharap ayahnya akan melihatnya. Dan dia senyum manis apabila ayahnya menumpu padanya.

Dan kita kecil pun macam itulah dulu.

Setiap kali melihat itu, hati terguris sendiri. Waktu kecil, itulah cinta pertama kita. Namun, sudah dewasa jauh sudah kepedulian kita.

Kita pernah merenung ibu bapa kita dengan penuh cinta waktu kecil.
Kita pernah membuat pelbagai karenah semata-mata untuk mendapatkan perhatian mereka.
Kita pernah menjadi BFF dan seperti belangkas dengan mereka.

Kini, adakah kita masih seperti itu lagi?
Masihkah mereka BFF kita?
Atau paling tidak, apakah kita masih peduli seperti itu?

Terima kasih ibu.
Terima kasih abah.
Terima kasih nenek yang membesarkanku.
Terima kasih Allah yang meminjamkanku.

~Anak-anak kecil itu adalah silam kita dan masa tua itulah masa depan kita~

Mar 21, 2017

Apabila Impian Kamu Hanya Mendarat di Bulan


~Apabila impian kamu hanya mendarat di Bulan sebelum kamu usaha, itu bukanlah impian tetapi mimpi. Itu bukanlah cita-cita tetapi angan-angan kosong tidak sehabis usaha.~

Kata pepatah Inggeris:
"Shoot for the moon. Even if you'll miss, you'll land among the stars."
 atau 
"Sasarkan Bulan. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di antara Bintang-Bintang".

Pepatah 'Modified': Sasarkan Bintang. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di Bulan.

Mungkin waktu pepatah itu dibuat, eksplorasi sains dalam bidang astronomi masih belum banyak diterokai. Kerana hakikatnya Bulan itu lebih dekat dengan kita berbanding Bintang-Bintang. Bintang yang paling dekat pun adalah Matahari.

Mungkin lebih baik dengan "Sasarkan Bintang. Jika kamu gagal, kamu akan mendarat di Bulan." Hanya sekadar pendapat.


Paling penting, ini bukan kisah tentang astronomi.

Misi Roket Belum Berlepas

Semua orang ada impian kan? Ada yang dicapai, ada yang lambat sampai dan ada yang tidak kesampaian. Apapun, semua itu ada hikmahnya.

Hari ini saya menerima surat yang mengatakan 'dukacitanya...' Sedih. Mungkin sebab ini impian yang saya harapkan dan yang saya betul-betul usahakan selama ini.

Saya membungkam sebentar di bilik. "Aik, tidur dah?" tanya suami.
"Tak tidur. Tengah down ni." Sambil menekup muka ke bantal.
"Cepat sangat putus asa." Kata suami bersahaja. Sinis je.

Saya mengiyakan sebenarnya kata-kata suami. Memang saya begitu. Sikap saya 'kalau satu pintu tu dah tertutup, masih banyak lagi pintu yang akan terbuka.'

Tapi sebenarnya, saya memang cepat putus asa jika sesuatu yang sangat saya harapkan mengecewakan saya. Mungkin sebab saya tak mahu sedih lama-lama [alasan ke ni?]

Dalam kes saya ini, sebenarnya masih belum 100% kemungkinan Roket untuk berlepas ke Bintang itu dibatalkan. Kerana, saya lihat masih ada lagi ruang yang Allah bagi saya untuk merealisasikan impian ini. Saya cuma kena usaha sikit saja lagi, dan selebihnya saya tawakal pada Dia. Sebab usaha saya masih lagi belum capai 100%.

Bak kata suami saya, "Baru ada dugaan sikit, dah kecewa."

Roket Impian Saya VS Mainan Anak

Khubaib, anak saya yang mencecah usia dua tahun sering saja 'tantrum' dengan permainannya. Apabila kecewa, dia akan mencampakkan permainannya itu. Dalam kesedihan dan kekecewaannya itu, dia tetap sayang pada permainannya dan mengutip semula permainan tadi.

Walaupun dia kecewa, tetapi dia tidak putus asa.

Mungkin itulah yang tidak ada pada saya. Banyak kali saya lihat. Namun, baru hari ini, Allah bagi saya lihat dengan mata hati dan berfikir jauh ke lubuk hati.

Impian roket saya nampak lebih besar daripada permainan Khubaib. Namun, kecekalannya lebih besar daripada saya yang sudah dewasa. Orang besar tetapi cekalnya kecil.

Allah nak ajar saya hari ini.

Walaupun pada mulanya saya rasa Projek Roket saya ini hanya mampu ke Bulan, namun kini mungkin tidak lagi. Kerana selagi kita belum 100% usaha, kita belum tahu natijahnya.

Ketakutan pada impian yang tidak kesampaian perlu ditangani. Perlu berani usaha sebelum mengalah.

Saya lemah. Dan saya memang perlukan Allah.

~Sasarkan ke Bintang. Jika kamu tersasar, kamu mungkin mendarat di atas Bulan. Peribahasa ini hanya sesuai pada mereka yang sedang dan sudah berusaha. Berusaha!~ 

Feb 9, 2017

Baitul Muslim: Ketidakadilan Ibu Bapa Yang Jadi Kebiasaan


~Menjadi ibu bapa ibarat menjadi pelukis seni, satu warna dan satu lakaran memberi impak besar pembentukan kanvas hidup anak kita~

Hari pertama dan kedua kedatangan Fathimah Raudhah ke dunia disambut baik oleh Khubaib 'Adi. Melompat-lompat keriangan apabila melihat adiknya di dalam baby cot sambil menyebut "Baby! Baby!". 

Namun, menjelang hari ketiga dan seterusnya, sikapnya yang suka bertukar macam singa. Asal dekat saja dengan Raudhah, dia akan memukul dan membaling mainan atau bantal pada si adik. 

Saya memahami andai ini ragam cemburu kedatangan orang lain yang seolah-olah jadi pengganti. 

Khubaib 'Adi sudah tidak tidur sebelah umminya lagi. Sudah tidur sebelah abi saja. Itupun jauh daripada umminya. Sebelah ummi sudah ada orang lain yang ummi selalu peluk dan susukan pula. Mungkin nampak seperti seolah-olah sayang ummi dah bertukar pada yang lain. 

Saya selalu katakan pada Khubaib setiap kali setelah temper tantrum nya berlaku, "Ummi sayang Khubaib 'Adi. Ummi sayang Raudhah. Dua-dua ummi sayang." 

Nampaknya hanya sekejap saja reda Khubaib. Setelah itu, marah pada adiknya datang lagi. 

~Menyatukan hati anak-anak adalah ujian ibu bapa dan saham masa depan~

Solusi
 
Balik berpantang di Mersing, saya membelek-belek buku Prophetic Parenting yang masih belum dihabiskan bacaan. Saya membaca di bahagian Bersikap Adil dan Menyamakan Pemberian untuk Anak.
Satu hadith yang riwayatkan oleh al-Baihaqi benar-benar menjentik hati saya. Mungkin inilah sebab Khubaib 'Adi berkecil hati. 

"Bahawasanya seseorang sedang duduk bersama Nabi s.a.w. Tidak lama kemudian datanglah anak lelakinya. Dia pegang, lalu cium, dan dudukkan di pangkuannya. Kemudian datanglah anak perempuannya. Dia pegang dan dia dudukkan di sampingnya. Nabi s.a.w bersabda, 'Engkau tidak berlaku adil terhadap mereka berdua.'"
(Hadith Riwayat Al-Baihaqi) 

Macam selalu nampakkan situasi di atas? 

Saya membaca dua kali hadith tersebut sebab macam tak nampak apa salahnya.
Selepas membaca huraian tulisan Dr. Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid, baru saya faham. 

'Kaedah pendidikan mana di dunia ini, dan sekolah guru mana di bumi ini yang sanggup mengingatkan tentang masalah 'remeh' tentang berlaku adil dalam ciuman dan duduk di pangkuan?? Tidak lain adalah dari cahaya kenabian'

Tulisan Dr Muhammad bukan setakat menjentik hati bahkan menampar-nampar diri saya. 

Kita biasa melihat situasi di atas di mana-mana hingga kita anggap itu satu perkara biasa. Sampai kita lupa kebiasaan itu adalah satu kesalahan. 

Refleksi 

Ya, mungkin di sebalik rasa excited, saya cium dan belai anak yang baru hadir ini sehingga lupa untuk buat perkara yang sama pada si abang. Sedangkan si abang melihat dan memerhati lalu berkecil hati. 

Pembentukan anak sememangnya bukan setakat daripada apa yang kita kata tetapi banyak daripada apa yang kita buat. 

Saya aplikasikan nasihat Rasulullah s.a.w sebaik saja hadith itu membuka mata hati saya.
Alhamdulillah Khubaib 'Adi sudah tidak macam tu lagi. Benar, temper tantrum nya tetap ada. Sebab lapar, penat, ataupun kecewa dengan mainannya. Namun, bukan kerana cemburu dengan adiknya. Itulah harapan saya. 

Kekadang sewaktu dukung si adik, Khubaib 'Adi juga minta didukung. Selepas waktu berpantang ni, saya masih berjaga-jaga supaya tidak bawa barang berat. Oleh itu, memandangkan permintaan si abang, saya duduk dan memangku kedua-duanya. 

Menjadi adil ni tidak susah sebenarnya, tetapi mungkin kita saja yang terlepas pandang untuk menjadi ibu bapa yang adil pada anak-anak.
Kita saja yang banyak khilaf dalam memerhati hal yang nampak remeh pada anak.
Kita mahu anak-anak kita bersatu hati tapi kita sendiri memecah belahkan hati-hati mereka tanpa kita sedari. 

Pendidikan Rasulullah Terbaik

Saya menghabiskan Sarjana Psikologi Pendidikan namun saya tidak jumpa tentang ini. Hal yang nampak remeh tetapi boleh membiakkan cemburu menjadi iri hati, lalu menjadi hasad dengki. Wal'iyadzubillah. Semoga dijauhkan kita dan anak-anak kita daripada perkara ini.

Nampak simple masalah adik beradik saling cemburu. Nampak common situasi memeluk dan mencium seorang anak tetapi tidak pada anak yang lain. Mungkin atas alasan yang kita cium tu masih bayi. Namun, hakikatnya kecil atau besar, mereka tetap anak-anak kita yang perlukan hak yang sama. 

Rasulullah s.a.w sememangnya pendidik yang terbaik. 

Jom, kita jadi ibu bapa yang adil hatta pada setiap dakapan pada setiap anak yang ada.
Meminjam tagline: betulkan yang biasa dan biasakan yang betul

~Hatta pada satu ciuman dan dakapan pada anak boleh memberi satu perbezaan persepsi sayang yang besar pada anak dengan anak yang lain~

Jan 14, 2017

Penawar 'Natural' Selesema Bayi Dan Anda


~Penawar semulajadi adalah hadiah penyembuhan Allah kepada manusia~
 
Menghidap selesema memang merisaukan. Apatah lagi kalau bayi kecil yang dapat selesema. Doktor manapun tidak akan syorkan ubat selesema pada bayi sebab boleh beri kesan sampingan kepada bayi.

Waktu anak pertama dulu, memang saya sangat risau. Memandangkan ia pengalaman pertama, barulah sibuk nak cari maklumat dan alternatif meredakan selesema bayi. Bagi wanita yang baru dapat gelaran ibu, macam-macam perasaan ada tika itu. Ada rasa sedih, risau, kecewa dan macam-macam lagi. 

Ubatan Alami 

Insya Allah sekadar nak berkongsi tips rawatan semulajadi. 

Cengkih, madu, kayu manis dan lemon. 

Ini adalah antara bahan-bahan semula jadi yang menjadi penawar selesema, dengan izinNya.
Pasti ramai yang tahu khasiat madu dan lemon, memandangkan madu yang banyak dijual di pasaran. Waktu zaman bekerja dulu pun, ramai kawan-kawan bawa air lemon dalam tumbler ke pejabat. 

Kayu manis adalah gandingan rapat madu sebab gabungan kedua-dua anugerah alami ini banyak meredakan pelbagai penyakit. Kayu manis adalah anti radang @ anti inflammatory serta anti histamin yang baik. Ubat selesema yang biasa kita makan pun tergolong dalam kumpulan anti histamin. 

Cengkih biasanya kita hanya guna dalam masakan. Sebenarnya cengkih juga berfungsi sebagai ekspektoran (expectorant). 

Apakah ekspektoran?
Ekspektoran adalah penggalak keluar kahak atau mukus berlebihan daripada salur pernafasan. Kalau di Barat, mereka sudah lama buat minyak cengkih kerana khasiatnya. Saya juga tak pernah sangka cengkih ada kuasa sebegini sebelum masuk ke alam rumahtangga. 

Masya Allah sangat hebat kuasa Allah yang mencipta. Cengkih bukan hanya penyedap rasa tetapi juga penawar penyakit. 


 
Kaedah Penyediaan 

Ini adalah berdasarkan pembacaan dan kajian saya. Mungkin ada orang lain yang tahu kaedah penyediaan yang lain.

Berikut adalah langkah-langkahnya:

Pertama: Masukkan dua hirisan lemon, dua batang kayu manis dan tiga bunga cengkih dalam cawan/mug. 

Kedua: Masukkan air panas dan tutupkan cawan/mug. 

Ketiga: Tunggu air suam dan masukkan satu sudu madu. Siap untuk diminum. 

Air ini diminum oleh ibu yang menyusu sekiranya bayi alami selesema sebab khasiatnya akan sampai pada bayi melalui susu ibu. Untuk ibu hamil pun boleh minum.
Semudah 1,2 dan 3.
Boleh diminum awal pagi dan sebelum tidur. 

Pengalaman saya selesema yang teruk atau hidung tersumbat beransur pulih dalam masa tiga hari. Ia diminum secara konsisten sehingga saya rasa lega dari selesema.
InsyaAllah kita hanya berikhtiar dan berdoa semoga Allah sembuhkan kita. 

"Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka jawablah, sesungguhnya Aku amat hampir. Aku perkenan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu . Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu supaya mereka menjadi baik dan betul." 
(Surah Al-Baqarah :2;186)
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino