::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 17, 2018

Taman Permainan Syurga


Doa Rasulullah s.a.w kepada Ibnu Abbas sewaktu beliau masih kecil: 

"Ya Allah, dalamkan pengetahuannya dalam agama dan alimkan dalam hikmah dan ajarkan ia takwil Al-Quran."
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)
~Doa Rasulullah s.a.w pada Abdullah Ibn Abbas~

Pejam celik, pejam celik masa pantas berlalu.

Seketika dulu, apabila dua-dua anak masih berada di bawah jagaan Umminya sepenuh masa, terasa seperti lambat lagi anak-anak untuk meninggalkan rumah dan memulakan dunia baru iaitu zaman persekolahan.

Sekolah Pertama

Benar, rumah adalah sekolah pertama anak-anak. Tidak dinafikan bahawa anak-anak banyak mengikut acuan Ummi termasuk perilaku dan percakapan. Kadang-kadang tertawa sendiri melihat gelagat anak yang copy paste ibunya. Sebab apa yang dilihat adalah cerminan luar sedar tingkah laku Ummi bersama anak-anak.

"Khubaib Adi... Khubaib Adi... Habis basah tikar Ummi." Bebel Ummi sambil mengelap sisa tumpahan di lantai.

"Fathimah Raudhah... Fathimah Raudhah... Habis rosak mainan Khubaib." Mengomel si abang sulung yang berusia 3 tahun lebih apabila memeriksa permainannya yang dirosakkan oleh adiknya.

Itu antara cerminan dan salinan perilaku anak-anak.

Sebagai Muslim, kewajipan ibu bapa lebih eksklusif lagi untuk menghubungkan setiap aspek kehidupan anak-anak untuk merasakan hidup berTuhan.

Ia eksklusif untuk bagi anak-anak merasa bahawa Allah itu wujud dan Dialah pencipta dunia dan segala isinya.

Bukan suatu tugas yang mudah tetapi tidak juga susah. Kena bagi anak rasa seronok ada Allah. Kena bagi anak rasa bahawa setiap yang dilakukan adalah di bawah pemerhatian Allah.

Itulah suatu seni yang masih Ummi pelajari sehingga hari ini dan insyaallah sampai akhir hayat nanti.

Syurga Yang Best

Suatu masa dahulu pernah Ummi berkata begini untuk memujuk Khubaib supaya lebih berkelakuan baik;

"Khubaib kan anak soleh. Nak masuk Syurga kena jadi soleh kena buat baik."
Balas Khubaib "Khubaib tak nak masuk Syurga."

Eh?

"Kat Syurga ada air sungai yang cantik, ada air terjun. Khubaib tak suka?" Tanya Ummi lagi.

"Tak nak." Kata Khubaib. Ya, dia masih kecil lagi. Baru sekitar usia awal dua tahun.

Ada masanya Tok Wan datang dan kata pada Khubaib, "Kat Syurga ada makanan sedap. Ada aiskrim, Khubaib nak?"

Khubaib termenung seketika. Mungkin memikirkan adakah berbaloi ganjaran aiskrim sekiranya dia berkelakuan baik.

"Ada aiskrim?" Soalnya.. "Khubaib suka aiskrim."

Namun, ganjaran itu tidak menjanjikan konsistensi tingkah laku yang baik selepas itu.

Mungkin ia sudah tidak menarik lagi.
"Khubaib tak nak aiskrim dekat Syurga."  Katanya.

Ummi menelaah apakah kesukaan Khubaib. Ya, taman permainan dan keretapi mainan. Cerita kartun kalau ada kenderaan binaan atau keretapi memang kesukaan Khubaib.

"Khubaib nak main taman permainan dalam Syurga tak? Kalau Khubaib soleh, buat baik, Allah akan bagi Khubaib main taman permainan dalam Syurga."

Khubaib tersenyum lebar nampaknya.
"Taman permainan yang besar? Khubaib nak. Taman permainan yang besar, ada keretapi, boleh ke Ummi?"

"Boleh, insyaallah. Kalau Khubaib soleh, dapat masuk Syurga, minta pada Allah. Insyaallah Allah bagi."

Sehingga hari ini, itulah antara motivasi Khubaib.

"Khubaib suka taman permainan dalam Syurga." Tersenyum lebar dia sampai nampak gigi.

https://pixabay.com/p-2090602/?no_redirect
~Gambar hiasan- tak tahu bagaimana sebenarnya imaginasi anak kecil tentang taman permainan di Syurga~

Motivasi Kehidupan Abadi

Banyak lagi sebenarnya cerita perjalanan motivasi Khubaib yang sekaligus menjadi peringatan kepada diri ini, bukan saja sebagai ibu tetapi sebagai hamba Allah.

Peringatan bahawa kita semua akan kembali.

Kita ingin kembali ke kampung halaman kita.

Cuma ada masanya kita lupa dan lalai di tempat persinggahan kita di dunia ini.

Insyaallah, tahun depan Khubaib dah boleh bersekolah bersama rakan-rakannya.

Ummi yang rasanya nervous lebih untuk menghantar Khubaib yang masih manja Umminya ni.

Insyaallah moga urusan persekolahan Khubaib dan rakan-rakan sebayanya di luar sana dipermudahkan oleh Allah. Semoga Allah sentiasa menjaga mereka.

~Taman permainan Syurga adalah satu motivasi besar untuknya. Moga kita dapat bersama-sama di dalamnya suatu masa nanti~

Nov 16, 2018

Nikmat Tak Terhitung


Anak-anak memang suka berjalan. Kalau buat aktiviti di padang, lagi bahagia mereka nampaknya.

~Anak-anak motivasi Ummi turun padang~

Merekalah pemacu Ummi nya untuk beraktiviti fizikal. Jika tidak, tentu duduk di rumah saja pilihan yang paling utama.

Nak jadi hamba Allah yang sihat tubuh badan dan fit juga adalah tuntutan. 

"Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah swt daripada Mukmin yang lemah."
(Hadith Riwayat Muslim)

Tuntutan untuk menjadi mukmin cergas yang selalunya kita rasa malas atau memberi alasan untuk tidak melakukannya. 

Allah izinkan semalam kami dapat peluang beriadah di salah sebuah sekolah di Mersing, boleh lihat pantai yang indah daripada padang sekolah.

Seketika dulu waktu kecil, selalu ke Pantai Timur dan lihat sekolah-sekolah yang didirikan dapat lihat pemandangan tepi pantai, rasa seronok sangat kalau dapat bersekolah di tempat begitu.

Andaiannya adalah apabila stress tentu boleh merenung sekejap laut di kejauhan.

Apabila  dapat peluang dua hari lalu beriadah di padang sekolah dan berada dalam kawasan sekolah yang pernah diimpikan suatu ketika dahulu, terdetik di  hati;

"Ya Allah, Allah kabulkan permintaan kecil ku suatu ketika dahulu walaupun hanya terdetik di dalam hati."

Baiknya Allah pada diri saya dan tentu pada kita semua.

Sekecil-kecil perkara pun kita minta, Allah tetap bagi walaupun kita selalu lalai menjadi hamba-Nya.

Sesungguhnya nikmat yang diberi tidak pernah terhitung. Kita saja yang selalu menghitung-hitung nikmat yang kita tidak kita kecapi atau belum kecapi.

Allah SWT berfirman:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
(QS. Ibrahim 14: Ayat 7)

Maha Suci Allah yang Maha Kaya.

Seandainya nikmat yang dihitung itu dapat di tulis dengan dakwat seluruh lautan dunia, nescaya tidak akan cukup dakwat untuk menulis semua nikmat kurniaan dari-Nya.

Nov 4, 2018

Tetangga Syurga


~Masyarakat yang hatinya jernih, tuturnya menenangkan, selalu membantu dan tidak menyakiti itu tentunya suatu impian. Menjadi jiran sebaik yang diimpi itu juga adalah suatu tuntutan.~

Jiran Tetangga Yang Diimpi

Kita inginkan masyarakat sekeliling yang sejahtera. Komuniti yang aman damai. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang biasanya berasa aman tinggal dalam kejiranan kita?

Sedikit petikan daripada Salim A.Fillah dalam bukunya Bahagianya Merayakan Cinta.

'Kita begitu rindu masyarakat yang beriman. Masyarakat yang membuatkan kita selalu mahu berada di tengah-tengah mereka. Hanya masyarakat ini yang mampu membuatkan kita berasa terbebas daripada lidah dan tangan mereka. Kita berasa ini adalah masyarakat syurga dan jiran-jiran ini kita doakan menjadi jiran di syurga nanti.'

Kata beliau lagi bahawa masyarakat ini setiap hari mengeratkan silaturrahim di dalam rumah melalui solat jemaah dan majlis ilmu.

'Masyarakat yang perbualannya perbualan iman, berkumpulnya di majlis zikir dan gotong-royong nya jihad pada jalan Allah. Memang sukar mencari, namun alangkah indah apabila bermula dari diri kita sendiri.'

Menjadi Jiran Yang Baik

Rasulullah s.a.w berpesan: 
"Hak jiran adalah apabila dia sakit, kamu kunjungi.
Apabila dia meninggal, kamu hantar jenazahnya.
Apabila dia memerlukan, kamu memberi pinjam.
Apabila dia beroleh kebaikan, kamu ucapkan selamat kepadanya.
Apabila dia beroleh keburukan, kamu datangi dia bagi menyatakan dukacita. 
Jangan meninggikan rumah lebih daripada rumahnya sehingga menghalang angin untuknya.
Jangan kamu ganggu dia dengan bau masakan mudah kecuali kamu berikan sebahagian kepadanya." 
Hadith Riwayat At-Tabrani.

Apabila melihat inti pesanan Rasulullah s.a.w, apakah kita telah berusaha menjadi jiran yang baik dengan menunaikan hak-hak jiran kita?

Apakah kita peduli jiran kita walau hanya bertegur sapa? Ataukah mungkin kita tidak kenal pun siapa jiran di sekeliling kita?

Ada masanya kita sibuk ingin besarkan ruang rumah atau renovasi rumah sehingga kita tanpa sedar menghalang laluan angin dan cahaya matahari yang masuk ke rumah jiran. Kita terlalu sibuk memikirkan rumah sendiri sehingga terlupa hak jiran bersebelahan.

Semoga Allah ampuni kita dan selalu mengingatkan kita yang lupa.

Kadang-kadang kita duk sibuk memasak sampai kita lupa untuk berkongsi dengan jiran tetangga. Hatta Rasulullah s.a.w berpesan untuk berkongsi rezeki dengan jiran walaupun mungkin kita malu dengan masakan kita.

"Wahai wanita Islam, jangan berasa sehingga jiran berasa terhina dengan memberi apa saja kepada jirannya walaupun pemberian itu hanya daging pada kaki kambing."
Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ini juga adalah satu pembelajaran untuk diri saya sendiri. Tuntutan untuk berkongsi itu perlu lebih besar daripada rasa malu.

~Nikmat kebaikan berjiran, moga membawa kita ke Syurga Nya~

Namun, memang diakui cabaran berjiran pada masa kini lebih besar daripada masa lalu. Terutamanya yang tinggal di kejiranan rumah bertingkat yang hanya melihat pintu-pintu di depan rumah tanpa diketahui siapa penghuninya.

Insyaallah semoga dalam jemaah solat di masjid, kita mampu bertegur sapa. Semoga apabila ketemu di dalam lif, kita mampu senyum dan bertanya khabar.

Benar sekali kata saudara Salim A.Fillah bahawa segala yang indah dan diimpikan itu perlu bermula daripada diri sendiri.

Mengimpikan jiran tetangga yang baik perlu dimulakan dengan menjadi jiran yang baik.

Insyaallah semoga niat yang baik itu tertanam dalam  hati ❤️ kita. Semoga Allah mudahkan jalan kita untuk sentiasa berbuat kebaikan kerana Allah taala.

~Ambil berat dan membawang itu berbeza. Jiran yang mengambil tahu dengan kebaikan itu mendamaikan. Jiran yang membawang tentu saja memedihkan.~

Sep 17, 2018

Saya Warganegara Malaysia


~Kita tidak pilih bagaimana kita dilahirkan dan dengan siapa kita dibesarkan tetapi kita boleh pilih bagaimana kita menjalani kehidupan ini~

Saya dilahirkan di Malaysia, dibesarkan di Malaysia dan tidak pernah keluar daripada Malaysia apatah bermastautin di luar negara.

~Dilahirkan sebagai Muslim dengan nikmat Iman dan Islam bukan hanya sekadar anugerah tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah yang sering kita lupakan~


Saya tiada masalah hidup berbilang kaum dan agama semenjak kecil walaupun membesar di kampung. Sebab saya sendiri pun bukan 100% berketurunan Melayu asli (Melayu asli iaitu tiada campuran dengan bangsa lain untuk 3 keturunan - menurut Prof Dr Mat Rofa). 

Sewaktu kecil saya sudah biasa ke kedai runcit Uncle Ah Kau mahupun ke kedai Uncle Kanna membeli barang basah bersama nenek.

Apabila balik daripada asrama sekolah menengah, saya perlu membonceng di belakang Uncle Ah Kau daripada pekan untuk masuk ke kampung yang jaraknya hampir 5km.

"Uncle, boleh hantar masuk tak?"

Sewaktu itu caj RM3 untuk satu hala penghantaran. Kalau zaman sekarang, orang panggil Grab atau Uber. Dulu-dulu istilahnya 'prebet sapu'. Mungkinkah  prebet itu sebenarnya private?

Waktu tayar motosikal kurang angin, saya akan ke kedai Uncle Ah Fat. Beliaulah yang tolong pam tayar tersebut.

Memang takde rasa malu-malu kucing di kejiranan ini. Itulah sebahagian kehidupan saya membesar.

Kalau pergi ke kedai Uncle Kanna, loghat noghorinya mengalahkan saya.

"Nak boli apo?"

"Beghapo kilo nak?"

Kadang-kadang rindu menggamit untuk melalui memori keharmonian itu.

Namun, di sekolah kebangsaan saya hanya mengenali satu dua sahaja pelajar berlainan bangsa. Di sekolah menengah, cuma rapat dengan seorang pelajar bukan Melayu kerana beliau adik dorm saya.

Guru saya di sekolah kebangsaan iaitu Mr. Foo Wee Sim juga adalah antara guru yang paling saya ingati dan sanjungi. Motivasi awal saya untuk minat dalam pelajaran Bahasa Inggeris. Mungkinkah juga ada chemistry kerana nama salasilah keluarga kami yang sama iaitu Foo?

Apapun, Allah cipta manusia berlainan bangsa dan suku kaum supaya kita berkenal-kenalan. Kita semuakan asal daripada Nabi Adam. Daripada moyang yang sama.Kita tidak pilih bagaimana kita dilahirkan dan dengan siapa kita dibesarkan.


Selamat Hari Malaysia

Lama sudah sebenarnya nak menaip entri ini. Namun, banyak hal perlu diuruskan.

Selamat Hari Malaysia dan Pasca Hari Merdeka buat rakyat Malaysia. Semoga Allah beri keamanan agar kita bebas melakukan amal ibadah kepadaNya, aman tanpa ada sengketa, berpesan-pesan pada kebaikan dan kesabaran.

Jul 19, 2018

The Struggle Is Real, My Friend


~Kita semua sedang diuji; dan jika manusia tidak ketahui, maka Allah lah yang Maha Mengetahui segala yang dirasa jiwa dan isi hati~


Fitnah akhir zaman.

Selalu kita dengar tentang frasa di atas. Apakah sebenarnya fitnah?
Kita selalu faham ia sekadar bermaksud berita palsu. Namun, fitnah juga adalah ertinya ujian.

Saudaraku,
Ujian akhir zaman ni sangat hebat.
Kita semua sedang diuji.
Di akhir zaman ini.
Ajakan kepada jalan kebaikan dan kejahatan seperti sebuah perlumbaan.

Allah SWT berfirman:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya."
(QS. Al-Ma'idah 5: Ayat 100)

The Struggle Is Real

Jiwa bergelut memilih jalan yang sebenar.
Sama ada ia mendekati Allah atau menjauhi Allah.
Sama  ada ia menundukkan nafsu atau mentaati nafsu.
Allahu Rabbi, hanya Allah yang tahu.

Ada di antara kita yang jiwanya sedang bergelut.
Dibesarkan dalam keluarga kurang didikan agama dan mengejar kesenangan dunia. 
Dia inginkan ketenangan jiwa.
Namun, tiap kali cuba berhijrah, dia disindir, dikecam dan dihina oleh kawan-kawan dan ahli keluarga.
The struggle is real, my friend.

Ada di antara kita hidup dalam keluarga kuat mempraktikkan agama.
Namun, dia berasa lelah untuk menurut piawaian baik sentiasa.
Jiwanya memberontak.
Menurut expectation tinggi manusia bukan mudah untuknya.
The struggle is real, my friend.

Ada di antara kita lahir dalam keluarga yang berantakan.
Sehingga hilang nilai kemanusiaan dan tiada istilah hidup bertuhan.
Dia mencari Tuhan dalam hidup yang kegelapan.
Siapakah sudi tunjukkan jalan dan memimpin dia ke atas cahaya daripada dasar kegelapan ibarat neraka untuknya?
The struggle is real, my friend.

Ada di antara kita yang sedang berhijrah. Bangun dari jatuh kemudian tersungkur lagi ke lembah dosa lama.
Berkali-kali.
Tiada yang tahu melainkan Allah.
Hingga merasa malu sendiri kepada Allah kerana kerap memungkiri janji.
The struggle is real, my friend.

Ada di antara kita yang sudah merasa baik melebihi daripada yang lain.
Seketika diri merasa mulia dengan kebaikan hingga menganggap orang lain lebih hina dan rendah daripadanya.
Rupanya tipu daya syaitan hampir berjaya kerana hampir tenggelam timbul dia dalam takbur, ujub atau riak dengan amal yang belum tentu Allah terima.
The struggle is real, my friend.

Ada di antara kita yang sudah selesa dengan kehidupan.
Tanpa dia sedari, dunia sudah mengisi jiwanya.
Dia mengumpul harta dan perhiasan dan bangga dengan keturunan.
Lalai dalam menyantuni mereka yang lebih memerlukan dan lupa menabung untuk akhirat yang abadi.
The struggle is real, my friend.

Dan banyak lagi struggle yang wujud  dan sedang dirasai oleh jiwa-jiwa di dunia ini.

Jalan Penuh Pergelutan Jiwa

Jalan ini masih panjang. Menuju Allah dalam memenangi redhaNya bukan suatu yang senang. 

Kebatilan akan terus merebut kita kerana itulah janji syaitan kepada Allah yang tidak pernah akan padam. 

Bersungguh betul syaitan nak sesatkan kita. Kuat azamnya.

Adakah azam kita untuk kembali kepada Allah bersama jiwa yang diredhaiNya juga melebihi kuatnya azam si pendendam?
Jangan putus asa dengan rahmat Allah wahai saudaraku.

Kalau moyang pertama kita, Nabi Adam dan Hawa pernah diperdaya, baginda kembali bertaubat pada Allah. Moga kita juga begitu.

Allah SWT berfirman:
"Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(QS. Al-An'am 6: Ayat 165)

Susah atau senang ujian ini Allah dah ukur pada kita. 

Sekarang terpulang pada kita untuk terus berjuang. 

Mana ada perjuangan yang senang, sebab nilai Syurga Allah bukan sebarang.

Bantuan Jiwa

~Kehidupan adalah cerita di mana kita yang memilih pengakhirannya~


Di sebalik struggle kita, kita mencari-cari pertolongan kepada hati.
Letakkan dalam minda sedar agar terus menusuk ke hati bahawa:

Setiap manusia sedang diuji, sesuai dengan kesanggupannya.

Nikmat atau derita di dunia adalah ujian.
Doalah agar Allah sentiasa pegang hati kita dan agar hati kita takkan pernah putus asa daripada rahmatNya.

Allah SWT berfirman:

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(QS. Yusuf 12: Ayat 53)

Allah sedang memerhati dan menanti tiap detik untuk kita ingat padaNya, rasa takut dan berharap sepenuh pada Dia.

Allah sangat sangat sangat menyayangi kita melebihi sayangnya ibu kepada anaknya.

Nota Hujung

Kalau ada yang begini; 
"Sudahlah. Kau budak baik. Aku ni tak baik."

Jawapan:
"Bukan. Aku belum sepenuhnya baik. Aku sedang membaiki diri dan berusaha menjadi baik."

~I'm struggling to become good for Him; and not just you~

Jun 10, 2018

Aku, Kamu dan Malaysia Baharu


Masih belum reda nampaknya panas pasca Pilihan Raya Umum di Malaysia.

           Sesungguhnya mukmin itu bersaudara

Pertempuran Alam Maya

Jika dulu, melayari media sosial seperti Facebook ibarat melihat atau membaca tulisan genre autobiografi. Segala aktiviti harian dinukilkan. Sekarang melayari media sosial ibarat membaca buku atau melihat filem bergenre complicated seperti The Da Vinci Code atau cerita Lord of The Rings ketika puak-puak Middle Earth yang masih bertelagah dan tidak bersatu.

Ketika peperangan pendapat dan persepsi sedang hebat berlaku di medan pertempuran alam maya, masih ramai lagi menjadi pemerhati. Berbagai spekulasi yang dikeluarkan.

Ada yang mengatakan ia perang antara golongan Islamis dan Liberalis.
Ada yang mengatakan ia perang sentimen dan polemik semata. 
Ada yang mengatakan ia perang antara mereka yang kurang matang dalam menilai isu semasa.
Ada yang mengatakan ia perang di antara mereka yang 'uneducated' atau tidak berpendidikan. 


Apapun sebabnya, saya sendiri tidak dapat tentukan mana satu perincian utama yang lebih sesuai untuk keadaan ini. 
Allahu'alam. Hanya Allah saja yang mengetahui.

Walaupun begitu, jika ia dikatakan melibatkan golongan Islamik, kurang matang atau 'uneducated', dari sudut pandang yang lain, saya tetap bersyukur sebagai Muslim di Malaysia masih ramai lagi yang sayangkan agama yang satu ini biarpun golongan apa jua mereka. Mungkin kita jelek dengan sesetengah sikap individu yang agak kurang sopan ketika menaip di laman sosial, tapi dari sudut pandang yang lain ialah mereka tetap mahukan kebaikan untuk agama dan negara.

Kalau ada antara mereka pekerja am,  bukan professional atau tidak berpelajaran tinggi mengeluarkan pendapat, jangan pula kita cepat melabel mereka sebagai 'uneducated' dan tidak berpelajaran tinggi seperti kita. Maka kita mempersampahkan pendapat mereka. Rendahkan sedikit hati kita ini.

Memanglah orang berilmu ini Allah kata darjatnya tinggi di sisi Allah tetapi ingat, yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang bertakwa. Ilmu tanpa amal soleh juga tidak bermakna.

Allah SWT berfirman:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."
(QS. Al-Hujurat 49: Ayat 13)

Mungkin juga kiranya wujud golongan Liberalis atau kurang jelas kefahaman Islam di negara Malaysia ini, anggaplah ia satu peluang yang besar untuk kita sebagai umat Islam yang ada kefahaman Islam untuk terus melakukan dakwah.
 
Kisah Dua Syeikh

Saya teringat sebuah kisah benar beberapa tahun dahulu ketika bulan Ramadhan apabila beberapa orang Imam dari negara Arab datang ke Malaysia. 

Kisah Syeikh yang pertama apabila dibawa ke sebuah tempat di mana ramai di kalangan warga tempatan dengan pakaian terlihat auratnya. Syeikh tersebut lantas mengucapkan "Astaghfirullah."

Ya, itu reaksi biasa.

Namun, di satu tempat yang lain ketika Syeikh yang kedua dibawa ke pusat membeli-belah dan pengunjung yang tidak menutup aurat sepenuhnya juga kelihatan. 
Syeikh tersebut berkata, "Alhamdulillah."

Lantas, pemuda yang membawa Syeikh kedua ini agak terkejut sebab reaksi Syeikh yang luar biasa.
"Kenapa Syeikh ucap Alhamdulillah?"

Kata Syeikh kerana banyaknya medan dakwah di Malaysia.

Masya Allah. Hebat. Luar biasa.
Itulah getus hati saya apabila mendengar kisah itu.


Benar, banyak lagi kerja-kerja dakwah yang kita perlu lakukan. 

Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain pada kebaikan. 

Kalau kita rasa kita tak baik atau kurang baik untuk ajak orang lain pada agama kita, kita baiki diri kita. Sambil kita baiki diri, kita pun ajak orang lain buat baik sama-sama. Ibarat jalan dua hala. 

Sebagai Kesedaran

Pada hemat 20 sen saya ini, tidak semua entri atau post di Facebook tidak relevan. Ada yang baik untuk dibuat tauladan. Kita lupakan sekejap siapa yang berkata tapi lihatlah apa yang dikata. Kemudian analisalah kesahihan beritanya.

Jika baik dan sahih, Alhamdulillah. Jika tidak baik, tidak perlu dibalas pula dengan cacian dan makian. Nasihatlah dengan berhikmah. Kalau risau jika persahabatan kita mengundang luka, boleh bincang bila bersemuka. Sebab tulisan hanya dapat dibaca dan tidak boleh didengar nada bunyinya. Bersemuka dan cakap baik-baik dengan dia. Atau kita diam saja dan doa baik-baik untuk dia. 

Kita semua ni sayangkan agama dan negara, tidak bolehkah kita juga lihat sahabat-sahabat kita dengan pandangan kasih sayang dariNya?

Melewati 10 Malam Terakhir

Tinggal berbaki beberapa hari lagi Ramadhan ini. Kita rebut peluang hidupkan malam. Allah bagi tempoh malam sehingga sebelum waktu Subuh. Lepas solat malam, kita doakan kebaikan untuk semua. Semoga Allah tautkan hati-hati kita dengan keimanan dan kasih sayang keranaNya. 

Saya berhajat berkongsi salah satu doa yang dinukilkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dianjurkan untuk dibaca bersama. 

Aisyah r.a berkata:
"Apabila Rasulullah s.a.w melakukan qiamullail, baginda berdoa:
'Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, pencipta langit dan bumi, yang Maha Mengetahui yang ghaib dan disaksikan. Engkau memutuskan perselisihan yang terjadi kepada para hamba-Mu, tunjukkan lah pada ku kebenaran dalam sesuatu yang diperselisihkan dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada siapa saja yang Engkau kehendaki menuju jalan yang lurus.' 

Sahih Muslim, Abu Daud dan Tirmizi

Golongan apa pun kita dan mereka, tidak semua pisang pada satu tandan itu busuk. Jangan sampai kerana sesikat pisang yang busuk, habis sebatang pokok pisang kita tebang 😀. 

May 23, 2018

PRU 14, Ramadhan dan Hari Guruku


~Maka, jadilah orang yang selalu berfikir baik, berkata baik, berbuat baik, berhati baik, kerana semua kebaikan akan kembali kepada kita -Aa Gym- ~


PRU14

Kali ini kali kedua saya mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) di tanah air saya di Malaysia. Boleh katakan juga, kali ini saya lebih banyak berfikir dan menelaah daripada ketika menjadi pengundi kali pertama. Ya, pada mulanya memang keliru walaupun kita dah buat keputusan untuk cenderung memilih peneraju Negara. Alhamdulillah dengan adanya musyawarah dengan mereka yang lebih arif dan berpengalaman beserta solat dan doa, keputusan siapa untuk diundi telah ditentukan.

PRU14 kali ini menunjukkan kempen di media sosial yang sangat hebat. Sama ada oleh Parti A, B dan C. Kempen bukan saja oleh ahli parti bahkan oleh penyokong yang tidak berdaftar atau bakal pengundi yang telah menentukan parti pilihan hati.

Sedihnya, ada yang terlupa adab dan akhlak berdiskusi atau mengepos status hingga sampai bertukar menjadi pahlawan papan kekunci. Ada yang tidak pernah bertaring terus menjadi singa di laman media sosial.

Itulah cabaran dan ujian dalam kehidupan. Kita semua diuji. Mungkin tagline “adab kat mana?” seperti iklan di TV sudah tidak berguna lagi.



Ramadhan

Pilihan Raya kali ini diadakan lebih seminggu sahaja sebelum Ramadhan. Kadang-kadang mungkin kita terlupa bahawa kempen pilihan raya lebih hebat dari kempen mempersiapkan diri untuk Ramadhan. Harapnya masa itu kita tak lupa belek Al-Quran kerana terlalu sibuk kempen di twitter, youtube ataupun Facebook.

Ramadhan datang, hanya tinggal diri kita sendiri berjuang dengan melawan hawa nafsu. Tiada lagi syaitan di sebelah untuk dipersalahkan atas kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan di bulan Ramadhan ini.

Inilah diri kita yang sebenar.

Semoga kita menjaga lisan bukan sahaja melalui tutur kata bahkan melalui tulisan yang terpapar di laman media sosial. Semua itu dicatat dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Sekejap saja sebulan Ramadhan ini akan berlalu. Ketika kita sibuk, sekejap saja 1/3 Ramadhan telah meninggalkan kita. Ketika kita sibuk membeli kelengkapan hari raya lalu meng’update’ di laman media sosial, 2/3 Ramadhan telah meninggalkan kita. Dan ketika kita sibuk hendak pulang ke kampong halaman sambil ‘update’ jalan raya yang sesak, Ramadhan sudah pun tinggal baki beberapa hari bersama kita. Entah ada atau tidak, Ramadhan tahun depan untuk kita lagi.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia kerugian melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran." 
(Al-Asr: 1-3)

Semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan perkara-perkara kebaikan. Ramadhan adalah pesta ibadah. Moga menjadi 'recharge' untuk terus istiqamah di bulan-bulan akan datang.

Hari Guruku

Seperti tahun-tahun sebelumnya saya pernah cerita tentang guru-guru yang saya sayangi semenjak di sekolah rendah hingga ke universiti. Guru-guru yang sangat awesome, masya Allah. Semoga Allah anugerahkan mereka semua kebaikan yang banyak.


Sempena sambutan hari guru kali ini, guru-guru atau murabbi yang ingin saya perincikan adalah mereka yang benar-benar menyentuh hati saya.

Sepanjang pra-Pilihan Raya Umum hingga pasca Pilihan Raya, mereka lah orang yang banyak memberi contoh teladan kepada saya untuk: 
- berlapang dada, 
- tidak melabel dengan perkataan yang menghina orang-orang yang tidak sependapat, 
- sentiasa memberi peluang untuk melihat potensi kebaikan, 
- bersangka baik pada saudara muslim yang lain selagi mereka ingin menegakkan kebenaran dan menjadikan redha Allah sebagai panduan, 
- menjadi pendamai di antara mereka yang berkelahi kerana pendapat yang berbeza 
- dan banyak lagi yang tidak terungkapkan.

Saya hanya pemerhati. Namun, apa yang saya perhatikan benar-benar membentuk dan mengetuk hati ini. Kadang-kadang saya berfikir, adakah saya mampu menjadi sebaik itu.

Kalianlah tauladan dan murabbi untuk saya yang masih banyak kekhilafan diri.

Alhamdulillah, yakin bahawa saya tidak silap memilih 'jalan'. InsyaAllah, semoga Allah sentiasa rahmati dan berkati Murabbi-murabbi yang saya sayangi kerana Allah.

Segala puji bagi Allah, dari dulu hingga kini, saya tetap gembira dengan bulatan gembira saya.

~Ketenangan hati adalah suatu perkara yang tidak mampu dijual beli~

May 5, 2018

Saya Sayang Kawan-Kawan Saya


~Saya sentiasa sayang kawan-kawan saya kerana Allah.~

Antara Kawan Rapat Saya

Hari ini mengingatkan saya dengan salah seorang kawan saya di STJ dulu. Beliau adalah antara kawan rapat pertama saya di sekolah. Kami sekelas di tingkatan 1 Al-Ahzan. Kelas 1A bukan dikategorikan sebagai kelas paling top cuma ia adalah kelas di mana semua pelajarnya mengambil Bahasa Jerman.

Kami berkawan sebaik saja selepas minggu orientasi habis iaitu sesudah bermulanya sesi pembelajaran. Namun, selepas beberapa ketika saya lihat beliau sudah semakin jauh daripada saya. Berkawan dengan mereka yang lebih happy-go-lucky dari saya. 

Mungkin saja sebab awal-awal pembelajaran saya agak nervous berada di kalangan mereka yang lebih pandai daripada saya dan saya cuba berusaha bersungguh-sungguh dalam akademik. Saya semakin serius. Mungkin itu tidak menyeronokkan.

Namun, selepas beberapa ketika saya melihat prestasi akademik yang bagus hingga top 3 dalam kelas, saya dah jadi tak konsisten dan main-main sehingga dapat nombor dua digit.

Tetapi kami masih tak serapat seperti dulu lagi.  Kawan saya semakin jauh daripada saya.

5 Tahun Berlalu

Peperiksaan SPM bakal bermula. Dua minggu sebelum SPM, kawan rapat saya telah kehilangan ibunya. Walaupun saya melihat beliau dari jauh, saya tetap sayang kawan saya dan saya pergi padanya dan berinya kata-kata semangat sewaktu beliau sedih.

Saya tahu tidak ramai pelajar puteri suka Pengawas Asrama apatah lagi Ketua Asrama Puteri. Apakan daya, a great power comes with great responsibility.  Saya hanya melaksanakan amanah. 

Kawan saya digelar 'otai' di kalangan kawan-kawannya. Saya jua tak tahu samada beliau masih bersama saya atau tak, tapi yang pasti saya sayangkan kawan saya.

Waktu itu SPM dah bermula dan saya sedang menelaah pelajaran di dalam dorm asrama. Ada ketukan di pintu...

"Naddy, boleh tak aku nak belajar sama dengan kau?"

Perasaan saya waktu itu terkejut dan gembira. Setelah lima tahun, kawan saya itu kembali merapati saya.

Saya iyakan saja. Saya tahu prestasi akademiknya agak membimbangkan. Walaupun saya bukan dari kelas paling pandai, saya iyakan saja untuk membantu dan belajar bersama.

Kemudian, ketika kami menelaah, beliau memecah keheningan dengan berkata:
"Kalaulah dari dulu aku kawan dengan kau, tentu aku tak jadi macam ni."

Saya memandangnya penuh sayu.  Hati saya menangis. Saya juga tak tahu mengapa beliau kata begitu.

Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu bahawa beliau juga sayang pada saya.

Ikatan Hati

Sudah beberapa tahun, saya belajar di UIAM Kuantan. Akhirnya saya berjumpa dengan kawan saya yang belajar di institusi berhampiran. Beliau masih seperti dulu. Dengan berbaju kurung dan bertudung bawal seperti kami di sekolah menengah. Istiqamah, alhamdulillah.

Saya doakan beliau akan terus istiqamah menuju kebaikan.

~Semoga kita menjadi sahabat hingga ke Syurga~


Beberapa tahun kemudian, saya mendapat undangan walimatulurus daripadanya. Saya hadir dan gembira melihat beliau telah pun menikah dengan lelaki soleh, insyaAllah, iaitu senior saya merangkap pengawas dan naqib sekolah dulu.

MasyaAllah. Hebat perancangan Allah.

Saya sayang kawan-kawan saya dan saya sentiasa doakan yang terbaik untuk mereka.

Apr 18, 2018

Tahun Ketiga Khubaib Adi


- Moga hadirmu mampu membantu Ummah, membantu Ummi dan Abi dengan dua' dan amal Soleh apabila kami tiada, dan jadi insan yang diredhai Allah-

Alhamdulillah genap tiga tahun sudah Muhammad Khubaib Adi dilahirkan.

Perjalanan sebelum, semasa dan selepas melahirkan anakanda Khubaib penuh dengan memori untuk Ummi.

Setahun Ummi menunggu cahaya mata. Namun, Ummi yakin Allah bagi tepat pada waktunya sekiranya ada rezeki zuriat Ummi di dunia ini.



Hadiah Ramadhan 1435 Hijrah

Waktu itu Ummi ambil keputusan untuk bercuti selama enam bulan dan berpindah ke Mersing daripada Bandar Penawar atas sebab-sebab tertentu.

Bulan Ramadhan yang baru saja tiba dan bermulalah proses berpindah. Alhamdulillah rezeki Allah bagi, diizinkanNya mohon lori 1 tan untuk bawa barang tetapi Tuan Lori yang baik hati bawa lori 3 tan untuk berpindah (dengan harga lori 1 tan). Besar sampai rasa boleh muat Kereta Waqiah (WUQ Viva Ummi) masuk sekali dalam lori. Semoga Allah membalas kebaikan Tuan Lori dengan kebaikan yang banyak, Insya Allah.

Ummi tolong juga angkat barang sikit-sikit naik ke rumah Tingkat 1 di kuarters. Barang paling besar dan paling akhir yang Ummi tolong bawa adalah mesin basuh untuk 6.5kg baju. Tanpa Ummi perasan, rupa-rupanya Allah dah bagi Khubaib dalam perut waktu tu. Maha Suci Allah, Dialah sebaik-baik penjaga.

Dua minggu kemudian, Ummi bersama-sama sahibah-sahibah yang dikasihi ke program tiga hari menimba ilmu membentuk jiwa-jiwa di Selangor. Ummi jadi tukang pandu juga waktu malam hari semasa pulang dari program menuju ke Johor semula. Masih lagi tak tahu rupanya ada Khubaib dalam perut Ummi.

Alhamdulillah, mengetahui kehadiran Khubaib di awal Ramadhan adalah antara hadiah paling indah yang Allah bagi.

Alhamdulillah.

Sarjana Dengan Khubaib

Tuntutan pengajian sarjana masih lagi diteruskan. Ummi pilih kelas hari Ahad, Rabu dan Khamis petang. Mersing ke Skudai jaraknya lebih kurang 160 km dan Ummi adalah antara pelajar yang paling jauh datang di antara lokaliti para pelajar yang lain.

Memang jalan Mersing ke Skudai bukanlah jalan yang best sebab banyak lori dan tiada lebuhraya. Jadi, Ummi bergantung harap bulat-bulat pada Allah s.w.t.

Ada masanya Abu Khubaib akan hantar Ummi pada hari Ahad manakala hari Rabu dan Khamis Ummi pergi sendiri. Setelah habis kelas petang Rabu yang memang biasanya habis pukul 7 petang, Ummi akan balik terus ke rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib dalam 45 minit perjalanan daripada UTM. Biasanya Ummi memang singgah makan sorang-sorang di kedai mamak di berhampiran destinasi sebab asyik teringin makan nasi goreng mamak dan kuey teow goreng mamak. Esok harinya bertolak ke Skudai semula daripada rumah Tok Wan dan Tok Bah Khubaib.

Setelah habis kelas Khamis petang, Allah beri kekuatan untuk berusrah bersama tautan hati di Johor Bharu pula. Hari Jumaat pagi baru Ummi pulang semula ke Mersing.

Nomad hidup kita.
Khubaiblah peneman yang Ummi bawa ke mana saja pada waktu itu.

Khubaib dan Ummi Berdua

Setelah 6 bulan bercuti dari kerja, Ummi kembali semula bekerja dan perlu bersedia hamil jauh daripada Abu Khubaib. Perlu bersedia secara secara mental dan emosi.

Kali ini, Ummi pilih untuk tinggal serumah bersama kawan-kawan berbanding tinggal seorang seperti sebelum ini atas sebab keselamatan.

Ada ketikanya Ummi tidak sama hari kelas dengan rakan-rakan sepejabat belajar di UTM, Ummi tawakkal saja pada Allah untuk pergi sendiri belajar di Skudai dan balik Bandar Penawar pada waktu malam.

Kemalangan di Lebuhraya Senai-Desaru bulan 9, tahun 2013 masih lagi menyebabkan rasa berdebar-debar tiap kali nak memotong kenderaan mahupun pandu melebihi 100km/j. Namun, trauma itu perlu dihadapi.

Pada usia kandungan 34 minggu (8 bulan setengah) Ummi mengalami kontraksi semenjak pagi hingga petang ketika bekerja di pejabat.

Ummi tunggu Abu Khubaib datang dan terus ke Hospital Kluang. Allah izin Ummi bermalam di situ selama beberapa hari. Ummi pujuk Khubaib dalam perut supaya tunggu sampai masa bersalin 36 minggu dan ke atas.

Alhamdulillah menghampiri masa bersalin, Ummi cuti seawal 38 minggu. Dan Khubaib lahir pada minggu ke 40. Allah izin Ummi tak mengalami simptom mengandung yang teruk tetapi mungkin bahagian ujian masing-masing, diuji ketika melahirkan dan selepas kelahiran.

Disebabkan Ummi banyak travel sewaktu mengandung, kadang-kadang dengar Khubaib yang masih bayi macam buat bunyi brek kereta. Hehe.

Terima Kasih, Sayangku Muhammad Khubaib Adi 

Terima kasih Khubaib menjadi peneman Ummi tanpa berpisah selama 10 bulan dalam rahim dan jadi teman berdua selama setahun berjauhan dari Abu Khubaib serta jadi anak yang taat tanpa banyak ragam bersama Ummi.
Terima kasih kerana sanggup menunggu tanpa banyak karenah di rumah pengasuh hingga lewat jam 9 malam kerana menunggu Ummi pulang daripada pengajian.

Apabila Adik Khubaib lahir, Khubaib masih tetap manja sampai sekarang. Ummi tahu apa yang Khubaib lalui bersama Ummi dan Ummi terima kalau sekali sekala Khubaib meragam menebus perhatian yang Ummi kurang beri dulu.

Maafkan Ummi.

Semoga Khubaib akan jadi anak soleh dan menyolehkan dan menjadi hamba yang diredhai Allah dunia dan akhirat.

Ummi sayang Muhammad Khubaib Adi fillah.

Feb 1, 2018

Awal 2018: Musim Sejuk, Gerhana - Keindahan, Kebesaran dan Pengharapan


Bulan Januari adalah permulaan bulan pada tahun yang baru.

Bulan Januari ini Allah bagi berbagai kejutan untuk kita. Agar kita menghayati, takut dan harap hanya padaNya.

10 Januari 2018

Tatkala persekolahan baru saja bermula, Malaysia dilanda musim sejuk ala-ala Australia. Mencapai suhu serendah 21`C. Kami di Mersing tidak melihat matahari selama 5 hari. Menjelang hari ketiga saya menjengukkan kepala ke luar tingkap, saya merenung langit. Terdetik rasa rindu melihat dan merasa panas cahaya mentari.

Berita televisyen mahupun media sosial sibuk berbicara tentang 'musim sejuk' di Malaysia.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/mercukk.transformed.jpg
~musim sejuk 2018 di Malaysia - foto asyraf hamzah bh~

Allah masih sayangkan kita. Sedangkan di tempat-tempat di luar negara, mereka sedang dilanda bencana. Ada yang dilanda ribut salji dan ada yang dilanda cuaca sejuk keterlaluan.

Allah lah sebaik-baik pelinduyng.

31 Januari 2018

Ramai yang teruja untuk melihat gerhana bulan penuh, atau mungkin juga ada yang tidak tahu, atau mungkin juga ada yang tidak kisah.

Tiga fenomena gerhana bulan sekaligus yang berlaku iaitu Supermoon, Blood moon dan Blue moon.

Em, apa moon??

~infografik daripada ANGKASA tentang fenomena Supermoon Blue moon Blood moon~

Supermoon adalah di mana keadaan Bulan Penuh mempunyai jarak yang lebih dekat dengan Bumi daripada kebiasaannya.

Untuk bulan Januari ini saja, Supermoon ini berlaku sebanyak dua kali; iaitu satu fenomena yang jarang berlaku. Supermoon yang berlaku dua kali dalam sebulan dipanggil sebagai Blue Moon. Oleh sebab itu, kita pernah dengar pepatah Inggeris kata "once in a blue moon."

Blood moon pula merujuk kepada keadaan Bumi yang berada di tengah-tengah antara Matahari dan Bulan. Kali terakhir Bloodmoon berlaku adalah pada tahun 1866. 

Keindahan, Kebesaran dan Pengharapan

Memang indah apabila kita rasa seolah-olah seluruh Malaysia sudah menjadi seperti Cameron Highland. Rasa sejuk dan dingin.

Memang indah melihat kebesaran Allah s.w.t yang mengatur orbitNya dengan cukup sempurna.

Rasulullah s.a.w terus merasa khuatir apabila melihat gerhana lalu ke masjid mendirikan solat. Gerhana bukan setakat indah dipandang mata bahkan ia juga petanda bahawa akan bencana dan tanda-tanda dekatnya Hari Kiamat.

Sehingga para saintis juga berpendapat bahawa Fenomena Supermoon Blue moon Blood moon ini berisiko mendatangkan bencana seperti gempa bumi, ombak pasang besar mahupun tsunami disebabkan oleh daya tarikan graviti yang meningkat.

Empat Supermoon mutakhir yang direkodkan pernah mendatangkan kemusnahan yang besar adalah:
1) 2004-Gempa bumi 9.2 skala richter dan tsunami yang melanda Indonesia dan negara-negara berdekatan
2) 2008-Gempa bumi 8.0 skala richter yang melanda China
3) 2010-Gempa bumi 8.8 skale richter yang melanda Chile
4) 2011-Gempa bumi 9.0 skala richter dan tsunami yang melanda Jepun

Kita melihat rentetan rekod di atas ini menyebabkan kemusnahan yang sudah cukup besar. Belum lagi kita mengenang kisah sejarah letupan Gunung Berapi Ilopango di Amerika Tengah yang menyebabkan kematian akibat rebakan wabak hingga ke hampir keseluruhan Eropah dan sebahagian Asia beberapa puluhan tahun sebelum baginda Rasullulah s.a.w dilahirkan. Zaman kegelapan Eropah dalam sekelip mata.

Semoga Allah lindungi kita semua, insyaAllah.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino