::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 20, 2010

Dinding Hati Bersimen Baru (2)


~Sesuatu yang payah itu apabila kita berjaya melaluinya, ia akan bertukar menjadi pengalaman manis buat diri kita~


Petang tadi taklimat bagi fasilitator untuk program motivasi pelajar-pelajar semester akhir yang akan menduduki peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia Disember ini berlangsung. Ada isi penerangan yang diberi oleh Ketua Kaunselor di tempat saya berkerja ini yang menarik perhatian saya. Isinya lebih kurang berkisar tentang entri saya yang lalu; Dinding Hati Bersimen Baru.

Kata beliau yang sudah mempunyai pengalaman 17 tahun sebagai Kaunselor di Unit Psikiatrik; apabila sesuatu keadaan telah dirosakkan, ia akan sukar diperbaiki lagi dan akan meninggalkan kesan. Analoginya adalah seperti dinding yang telah dipaku, apabila paku ditanggalkan, masih ada kesan kerosakan pada dindingnya.

Jadi, dalam sesi soal jawab, maka saya tanyakan soalan ini:

Saya: Encik A, macam mana kalau ada pelajar yang bertanya, dinding paku yang telah rosak itu boleh disimen dan di cat semula? Jadi, tiadalah lagi kerosakan itu.

Encik A: Boleh, tapi untuk mengecatnya semula, membeli simen, memanjat tangga dan sebagainya memerlukan kerja yang banyak. Banyak kerja yang perlu dilakukan.

Saya proses input itu dan beberapa ketika kemudian saya mengangguk-angguk tanda saya faham hingga ditanya kembali oleh beliau apa yang saya anggukkan. Saya hanya tersenyum.

Pelajaran


Apa yang saya faham?

Memang mudah kalau kitakan pada seseorang untuk lupakan sesuatu yang telah mengguris atau menyakiti hatinya. Sama juga seperti mana kita meminta seseorang seperti begini:

A: Alah, lupakan sajalah peristiwa tu. Perkara lama. Maafkan saja.

B: Ingat senang ke nak lupa?

Pernah dengar? Ya, mudah bagi kita kalau tak merasa. Tapi berat bagi tuan punya dinding hati yang telah dirosakkan oleh paku-paku yang tajam ini.

Kata Encik A, banyak kerja yang perlu dilakukan. Ya, saya setuju. Banyak kekuatan yang diperlukan untuk memaafkan dan melupakan sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi dalam hidup kita ini. Setakat selapis dua cat atau bancuhan simen belum cukup untuk menutup kesan-kesan kerosakan di dinding hati. Perlu banyak lapisan dan banyak proses yang diperlukan. Bukan mudah. Banyak kerja. Banyak kekuatan diperlukan.

Sebab ia bukan mudahlah, sebab ia perlukan banyak kekuatan lah, Allah sering mengingatkan kita dalam Al-Quran bahawa orang-orang yang memaafkan orang lain akan diberi ganjaran pahala dan Syurga di mana ada sunga-sungai mengalir di bawahnya.

Memang ia susah. Memang kadang-kadang kita rasa payah. Namun, Allah sudah berjanji bahawa kesusahan dan kepayahan kita itu bukan sahaja akan dianugerahkan ketenangan dan kebahagiaan di dunia bahkan ganjaran-Nya menanti di akhirat sana.

"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa, (yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan"
(Ali-'Imran; 3: 67)

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino