"Timbangan pada hari itu (menjadi ukuran) kebenaran. Maka barangsiapa berat timbangan (kebaikan)nya, maka mereka itulah orang yang beruntung, dan barangsiapa yang ringan timbangan (kebaikan)nya, mereka itulah orang yang telah merugikan dirinya sendiri, kerana mereka telah mengingkari ayat-ayat Kami. Dan sungguh Kami telah menempatkan kamu di bumi dan di sana Kami sediakan (sumber) penghidupan untukmu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur."
(Al-A'raf; 7: 8-10)
Hari ini Allah beri saya pelajaran dan peringatan. Supaya saya muhasabah diri dan hati yang sering terlupa ini.
Cerita
Hari ini saya hampir ditinggalkan bas ketika berhenti di perhentian. Oleh kerana keliru dengan dua bas Maraliner Bandar Penawar <--> Kuala Lumpur yang 'parking' berdekatan, saya hampir-hampir berpatah balik dari destinasi. Apabila sudah naik ke atas bas yang silap, baru saya sedar. Fikir saya, adakah saya sudah ditinggalkan? Saya segera mencari wajah-wajah yang saya kenal di medan selera. Namun, tiada seorang pun wajah-wajah yang 'familiar'.
Alhamdulillah, ramai manusia yang menyaksikan peristiwa ini memanggil-manggil saya ketika bas yang saya sepatutnya naiki telah berkali-kali membunyikan honnya. Oh, rupanya saya seorang lagi yang masih dicari.
Tak terkata perasaan sewaktu itu. Malu? Risau? Kelakar dengan diri sendiri?
Pengajaran
Beberapa ketika saya duduk kembali dalam bas, baru saya sedar. Ya, hari ini Allah bagi pengajaran dan pelajaran pada saya. Kadang-kadang apabila sudah berada di landasan yang benar, tidak mustahil sebagai manusia kita lupa. Kita keliru sekejap matlamat hidup yang sudah kita letakkan untuk berada di atas dunia ini; Redha Allah.
Jika di dunia, kita ada rakan, sahabat atau sesiapa saja yang boleh memberi nasihat dan peringatan pada kita. Masih ada waktu untuk kembali pulang ke jalan yang benar. Namun, apabila masa yang diperuntukkan ini sudah sampai ke hujungnya, tinggal hanya kita dengan Pencipta kita saja. Kita akan berdepan dengan hanya amal yang dibawa sebagai bekal. Waktu itu tiada guna lagi untuk merayu. Tiada guna penyesalan. There is no turning back.
Biarlah kita rasa malu sekarang. Malu untuk berhadapan dengan-Nya; dengan kelemahan dan kekurangan diri kita supaya kita dapat memperbaiki diri dan hati ini. Kerana kita ini manusia. Manusia yang tidak cukup dengan hanya sekali penambahbaikan. Manusia yang hatinya perlu selalu dibaik pulih kerana ia sentiasa berbolak-balik.
Travelog kali ini memberi erti.
"Dan Dia yang menghamparkan bumi dan menjadikan gunung-gunung dan sungai-sungai di atasnya. Dan padanya Dia menjadikan semua buah-buahan berpasangan; Dia menutupkan malam kepada siang. Sungguh pada demikian itu, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir."
(Ar-Ra'd: 3)
~Ya Allah, terangilah mata hati ini supaya dapat melihat segala hikmah kehidupan yang Kau berikan kepada hamba-Mu~
0 comments:
Post a Comment