::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Nov 6, 2010

Perkahwinan: Meraih Cinta Bernilai Syurga


~Perkahwinan bukan matlamat. Ia hanyalah wasilah (jalan) untuk meraih cinta dan redha Allah~





Sebahagian perkongsian di seminar Baitul Muslim yang dihadiri semalam dan hasil perbincangan hati-hati yang diikat kerana Allah. Semoga ia memberi manfaat.

Mengesan Cinta

Ibn Qayyim menggariskan 13 perkara mengesan cinta dalam diri kita di dalam bukunya Taman-Taman Orang Jatuh Cinta dan Memendam Rindu iaitu:

1. Suka melihat wajah, tingkah laku dan kebiasaannya.
2. Malu, berdebar -debar dan serba salah jika menemui orang yang dicintainya.
3. Banyak mengingat, menyebut, membicarakan tentang orang yang dicintainya.
4. Memenuhi keinginan dan perintah orang yang dicintai dan mendahulukannya.
5. Bersabar atas gangguannya.
6. Mendengarkan nasihat orang yang dicintai.
7. Mencintai tempat orang yang dicintai. Berdebar-debar melalui depan rumah dan keluarganya.
8. Selalu ingin dekat dengan orang yang dicintai.
9. Mencintai apa-apa yang dicintai dan membenci apa-apa yang dibenci orang yang dicintai.
10. Mahu berkorban.
11. Cemburu
12. Suka menyendiri.
13. Menghindari segala hal yang membuatkan hubungan dengan kekasihnya menjadi renggang.

Apakah kita mendapatinya dalam diri?
Sekiranya ya, maka pandulah cinta itu atas landasan-Nya. Landasan yang benar dan mengikut syarak. Sebagai manusia, kita berhak memilih. Maka biarlah pilihan itu kerana redha Allah, bukan redha manusia atau pasangan kita. Pilihan ini kesannya tidak bersifat sementara. Namun, ia akan memberi kesan pada diri, pasangan dan generasi kita yang akan datang. Dari kitalah sebagai individu akan lahir membentuk masyarakat.

Peringkat Cinta

Di dalam buku Islam & Cinta karangan Abdullah Nasih Ulwan, cinta mempunyai 3 peringkat iaitu yang paling tinggi, sederhana dan hina.

Cinta yang paling tinggi: Cinta Allah
Cinta yang sederhana:   Cinta kerana Allah
Cinta yang hina:            Cinta yang bukan kerana Allah

Cinta kerana Allah itu mestilah tidak melebihi dari cinta kepada-Nya yang lebih tinggi. Allah itu pencemburu, maka tentulah tidak layak ada cinta yang melebihi cinta-Nya atau yang diduakan dengan-Nya. Kerana Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Orang-orang mukmin itu pencemburu dan Allah lebih pencemburu."
(Hadith Riwayat Muslim)

Perkahwinan Bukan Matlamat

Ada yang mengatakan bahawa harga nilaian sebuah cinta itu adalah syurga. Jadi, bagaimanakah kita ingin memandu agar diri kita meraih cinta yang bernilai syurga itu?

Setelah melalui landasan-Nya yang sebenar, kita akan melalui sebuah perkahwinan. Perkahwinan ini sendiri bukanlah matlamat akhir kita. Kita belum lagi menggapai nilai cinta sebuah syurga itu apabila kita diijabkabulkan. 

Ada yang mendapat calon atau suami yang 'islamic' mengatakan bahawa itu sudah cukup. Namun, sebenarnya tidak. Kita akan mengalami berbagai-bagai lagi masalah dalam kehidupan melayari perkahwinan. Itulah harga yang dibayar untuk sebuah syurga. Sehingga kita menemui Allah, kita akan terus membayarnya. 

Perkahwinan adalah di mana kita sebagai individu baru ingin memulakan usaha kita untuk menggerakkan dan membentuk masyarakat iaitu generasi-generasi kita sendiri. Kita baru nak mula bekerja untuk meraih cinta yang berharga syurga itu. Analogi yang mudah adalah seperti membeli sebuah rumah. Kita baru saja nak membayar 'installment' bulanannya. Ia baru saja bermula. 

Perkahwinan bukanlah matlamat. Ia hanyalah wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

"Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah."
(Hadith Riwayat Muslim)


~Tujuan perkahwinan itu adalah kerana mencari redha-Nya~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino