"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan, dan dia beriman, maka usahanya tidak akan diingkari (disia-siakan), dan sungguh Kamilah mencatat untuknya."
(Al-Anbiya'; 21:94)
~Grow and nurture the hearts~ |
*~*
Seketika sewaktu di pertengahan waktu, kelas menjadi hingar-bingar.Guru yang berdiri di bahagian hadapan menggeleng-geleng kepala sambil melihat karenah hampir sejumlah 60 orang anak-anak didiknya.
"Amboi, dah sama macam bunyi ayam dapat makanan."
Kelas yang hingar bingar mengalihkan perhatian ke arah guru di hadapan, kemudian tertawa. Ada juga yang terpinga-pinga sesudah berbuat bising kerana tidak tahu mengapa rakan-rakan yang lain tertawa.
Guru di hadapan yang telah berkata-kata hanya tersenyum panjang. Pengajaran diteruskan kembali.
*~*
Alhamdulillah, tinggal sepuluh hari lagi, maka genaplah sudah setahun saya menjadi seorang guru secara rasminya. Ada tawa, ada suka dan ada duka. Namun, banyaknya adalah kenangan manis saya bersama anak-anak murid yang disayangi, Insya Allah.
Menjadi seorang pendidik bukan mudah. Penuh cabaran. Setiap hari menghadapi keranah berpuluh-puluh orang murid.
Menjadi pendidik bukan hanya setakat memuntahkan segala ilmu untuk disumbatkan ke telinga para pelajar untuk diserap terus ke minda mereka.
Menjadi pendidik meletakkan satu kewajipan bukan saja untuk melahirkan anak-anak bangsa yang berilmu tetapi juga berakhlak mulia. Memproses hati-hati mereka untuk menjadi hati yang sensitif. Sentiasa memberi kebaikan dan membaiki diri. Serta perlu mendidik hati-hati ini untuk menjadi sebenar-benar manusia yang Allah redhai.
Apakah seorang guru mahu melihat anak muridnya menjadi seorang yang hebat dalam bidang ilmu tetapi penuh dengan sifat-sifat mazmumah?
Apakah seorang guru itu sanggup melihat anak muridnya berjaya menakluk dunia tetapi kemudian membunuh berpuluh-puluh ribu nyawa di bawahnya?
Dan seorang guru itu bukan saja mahu melihat kejayaan anak muridnya hanya di dunia, namun, dia ingin melihat anak muridnya berjaya hingga sampai menjejak Syurga.
Pendidik Yang Dididik
Menjadi pendidik perlukan kesabaran yang tinggi. Sekali memberi nasihat mungkin tiada yang mahu mendengar. Bahkan perlu diberikan berkali-kali tanpa jemu. Hingga kadang-kadang saya terasa adakalanya saya seperti ayam yang tidak berhenti berbunyi mengatur urusan anak-anaknya.
Dan setelah bebelan itu, saya tersenyum sendiri.
(1)
Ada juga sampai satu masa, saya merasa agak marah dengan karenah mereka. Sewaktu ini, rasa seperti kesabaran saya diuji, segera raut wajah ketegasan itu muncul di wajah. Ya, biasanya ini terjadi ketika sesi menghantar 'assigment'. Em, walaupun rasanya dah banyak kali cerita tentang format, memberi contoh 'softcopy' assignment yang perlu dilakukan, penekanan untuk menghantar 'draft' dahulu dan sebagainya; masih ada yang melencong dari jalan yang telah ditunjukkan.
Saya memanggil satu demi satu kumpulan berjumpa dengan saya. Dan sewaktu berjumpa dengan mereka yang sudah melencong dari jalan yang ditunjukkan, saya menarik nafas panjang. Cuba mengorek punca 'assignment' yang lain daripada yang lain ini.
"Miss tak tahu nak bagi markah berapa untuk 'group' awak." Sambil menunjukkan tugasan kumpulan yang telah ditanda.
Hanya dengan satu ayat itu, wajah-wajah mereka berubah. Dan waktu itu rasa tak sampai hati untuk melanjutkan perbicaraan. Sudah cukup sedih saya melihat wajah-wajah di hadapan saya ketika itu. Risau pula jika ada yang menangis nanti. Langsung hanya saya minta mereka memperbaiki tugasan itu semula.
Ya, bukan saya saja yang mendidik. Tetapi saya juga dididik. Saya dididik untuk lebih berhati-hati dalam menyampaikan maksud yang benar walaupun ia mungkin menyakitkan. Saya dididik untuk tegur anak-anak ini dengan berhemah.
(2)
Pernah juga saya membuat kesilapan dalam menegur. Bagi saya ia mungkin hanya perkara kecil yang tidak perlu disembunyikan.
Seorang murid saya dengan sejarah sebelumnya pernah tidak membawa sebarang alat tulis ke dalam dewan peperiksaan dan telah saya pinjamkan alat tulis untuknya. Sempat saya memberikan pesan ketika dia memulangkan alat tulis itu;
"Lepas ni, jangan lupa bawa."
Pelajar itu hanya tersenyum sipu.
Dan kali kedua menjaga peperiksaan sewaku di pintu masuk, saya yang mengawasi pintu sempat berseloroh kepadanya. "Ha, bawa pen tak? Jangan macam hari tu."
Raut wajahnya yang tersenyum berubah.
"Miss, tu pun nak cakap."
Muka merajuk dan terus mencari tempat duduk.
Waktu itu, hati saya sebagai pendidik ini juga terasa.
Mungkin boleh saja saya katakan, ' Ai, tu pun nak terasa.'
Namun, bila difikirkan kembali bahawa mungkin saya yang kurang peka. Teguran dalam bentuk gurauan itu mungkin menimbulkan rasa aib dirinya dihadapan rakan-rakan yang lain.
Alhamdulillah, sekurang-kurangnya adalah juga sedikit perubahan pada dirinya walaupun dengan usaha sebatang pen yang dibawanya.
Merajuk itu hanya sekejap. Tidak sampai beberapa minit sudah tersenyum semula. Juga mendapat panggilan telefon ucapan hari raya daripadanya pada hari raya kedua.
Inilah anak murid saya.
Murabbi Agung
Ramai orang lebih suka menggunakan 'negative reinforcement' sebagai kaedah psikologi. Namun, 'negative reinforcement' hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Bukan digunakan hampir di semua tempat untuk mengembalikan mereka-mereka yang dididik ke jalan yang benar. 'Negative reinforcement' boleh digunakan apabila pelbagai pendekatan positif yang dilakukan tidak menjadi dan yang dididik telah benar-benar menjadi keras.
Bagi saya, saya lebih suka gunakan kaedah 'positive reinfocement'. Sentiasa berikan mereka kata-kata yang positif. Tidak memberikan kata-kata yang negatif di saat mereka dahagakan sesuatu yang positif dalam kehidupan mereka.
Contoh didikan yang terbaik ini telah ditunjukkan oleh murabbi agung, Rasulullah s.a.w.
Mari kita hayati kisah Murabbi Agung ini.
(1)
Seorang lelaki mendatangi Nabi s.a.w. Ada yang berpendapat laki-laki itu dari Tsaqif, ada juga yang berpendapat lain.
Ia berkata: "Wahai Rasulullah, aku ingin Islam. Tetapi, aku tidak bisa meninggalkan zina."
Seketika emosi para sahabat terpancing. Mereka meminta penjelasan tentang perbuatan dan ucapan seperti ini di hadapan Nabi s.a.w. Bagi mereka pernyataan itu hanya mengikut nafsu.
Lalu, apakah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w?
Rasulullah sa.a.w bersabda, "Biarkan dia!"
Kemudian Rasulullah mengajaknya berbincang. Nabi Muhammad tidak mengata dan mencelanya di hadapan semua orang.
Baginda bertanya: "Relakah kam bila ibumu dizinai?"
Lelaki itu menjawab : "Tidak"
Baginda bertanya: " Relakah kamu saudarimu dizinai?"
Lelaki itu menjawab: "Tidak."
Baginda bertanya lagi: " Relakah kamu ibu saudaramu (dari pihak ayah) dizinai?"
Lelaki itu menjawab: " Tidak."
Baginda bertanya: " Relakah kamu ibu saudaramu (dari pihak ibu) dizinai?"
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Bagaimana orang lain akan rela, padahal kamu sendiri tidak rela dengan hal itu."
Lalu, lelaki itu berkata, "Aku bertaubat kepada Allah dari perbuatan zina."
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: " Ya Allah, jagalah pendengaran, penglihatan dan kemaluannya."
(Hadith Riwayat Ahmad)
Halusnya cara Rasulullah mendidik umatnya.
(2)
Ada seorang Badwi datang kepada Nabi Muhammad, lalu berkata , "Wahai Muhammad!"
Lelaki itu tidak mengatakan wahai Rasulullah. Padahal, Allah berfirman,
"Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain)."
(An-Nur: 63)
Tetapi Nabi Muhammad s.a.w tetap bersabar dan mendiamkan hal itu. Orang itu berkata, "Berikan aku sebahagian harta Allah yang ada padamu; bukan dari hartamu, bukan pula dari harta ayahmu!"
Lalu para sahabat berdiri ingin mengajarnya. Tetapi Rasulullah menenangkan para sahabat dan membawanya pergi menuju rumah beliau. Lalu beliau memberikannya kismis, kurma, dan pakaian. Nabi bersabda, "Apakah aku telah berbuat baik kepadamu?"
Orang itu menjawab, "Ya. Semoga Allah membalasmu berupa keluarga dan sanak saudara dengan balasan terbaik."
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Ketika kamu keluar meneui sahabat-sahabatku, ucapkan perkataan tadi. Kerana meraka masih marah kepadamu."
Lalu, ketika orang itu diminta keluar di depan para sahabat, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Wahai orang Badwi, apakah aku telah berbuat baik kepadamu?"
Lelaki itu menjawab: " Semoga Allah membalasmu berupa keluarga dan sanak saudara dengan balasan terbaik."
Maka Nabi Muhammad s.a.w tersenyum dan bersabda kepada para sahabat, "Tahukah kalian bagaimana perumpamaanku, perumpamaan kalian dan perumpamaan orang ini?"
Para sahabat menjawab, "Kami tidak tahu, wahai Rasulullah."
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Perumpamaan kita seperti orang yang memiliki binatang ternak yang lepas darinya. Binatang ternak itu bisa berupa bighal (hasil perkahwinan antara kuda dan keledai), kuda atau unta. Lalu, orang-orang mengejarnya. Mereka hanya membuat binatang itu tambah lari.
Maka si empunya berkata, 'Biarkan aku yang mengurusnya!" Kemudian orang itu mengambil sedikit rumput dan dedaunan, lalu memberi isyarat kepada binatangnya. Maka binatang itu pun datang, sehingga tuan punya bisa memegangnya. Jadi, kalau ku biarkan kalian dan oran Badwi ini , kemudian, kalian memukulnya, kemudian dia menjadi kafir (tidak beriman), tentu dia masuk neraka."
Setibanya di kampung halaman, lelaki Badwi itu berdakwah kepada kaumnya.
Dia katakan, " Wahai kaumku, masuklah Islam.! Kerana sesungguhnya Muhammad memberi seperti pemberian orang yang tidak takut fakir."
Lalu, berbondong-bondong mereka masuk Islam.
(Hadith Riwayat Muslim)
Subhanallah. Maha Suci Allah yang menciptakan seorang manusia sebaik-baik akhlak. Bagi saya, baginda adalah seorang ahli psikologi yang tidak dapat ditandingi oleh Sigmund Freud, Ian Pavlov mahupun banyak lagi nama-nama terkenal di dunia Barat. Setiap tingkah lakunya penuh cermat dan hemat. Manusia yang mampu mempengaruhi manusia sehingga ke akar hatinya.
Inilah Murabbi agung.
Dan setiap dari kita adalah Murabbi atau pendidik. Mendidik (tarbiyah) diri kita dan juga orang-orang di sekeliling kita.
Dan Allah dan Rasul adalah motivasi tertinggi kita untuk terus menjadi Murabbi yang tidak pernah berhenti mendidik dan memproses hati-hati di sekeliling kita; baik diri kita sendiri, keluarga terdekat mahupun jauh, pasangan kita, rakan-rakan mahupun sesiapa saja yang kita temui.
Moga kita akan terus menjadi Murabbi yang mencari redha Ilahi untuk diri sendiri dan diri-diri yang lain.
Ameen.
Rujukan:
Syeikh Dr. A'idh Al-Qarni. Selagi Masih Muda: Bagaimana Menjadikan Masa Muda Begitu Bermakna.
Al-Quranul Kareem
~Berusaha dan terus berusaha menjadi Murabbi seperti baginda. Keranalah baginda adalah inspirasi akhlak yang paling mulia;; Rasulullah s.a.w.~
0 comments:
Post a Comment