::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Sep 15, 2011

Peperiksaan: Dunia dan Akhirat


~Wahai Allah, Tuhanku. Kurniakanlah kami kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat-Mu~

Hari ini hari terakhir kelas 'revision' saya bersama calon-calon peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) sesi September.
Anak-anak saya ini akan menghadapi peperiksaan ini kurang 5 hari lagi.

~Peperiksaan: setiap daripada kita menghadapinya.~


Melepaskan Pergi

Semakin lama saya menjadi guru, semakin hebat rasa kasih dan sayang itu tersemat di hati. Melihat orang lain berjaya adalah kebahagiaan saya.

Saya mengakhiri kelas kami dengan rasa sebak di hati. Melihat wajah-wajah setiap seorang yang penuh harapan dan ketakutan menyalami tangan saya, berpelukan memohon maaf dan memohon dihalalkan ilmu yang telah diberi. Bagi yang lelaki juga, berjumpa dengan saya di akhir kelas dan mengucapkan kata-kata dengan wajah kepiluan.

Bersalaman dengan hampir 60 orang anak murid ini membuatkan saya cuba sedaya upaya menahan air mata yang jatuh ke pipi. Terasa malu jika saya mengalirkan air mata di hadapan mereka.

3 bulan saya berhempas pulas bersama mereka. Namun, saya hanya pembimbing. Saya hanya umpama ibu burung yang mengajar anaknya terbang. Dan satu hari mereka pasti akan terbang sendiri di awanan mengendalikan kehidupan mereka sendiri. Hari-hari untuk melihat mereka mampu terbang sendiri sudah hampir tiba.

Salah seorang antaranya memeluk saya dengan erat sewaktu perpisahan kami.

"Miss, saya tak nak berpisah dengan miss. Saya nak bersama dengan Miss sampai bila-bila."

"Jangan cakap macam tu. Awak kena juga berpisah dengan Miss. Ini hanya satu cabaran dalam kehidupan . Setiap yang bertemu pasti ada perpisahan.Masih banyak lagi cabaran yang awak perlu hadapi di luar nanti."

Dan waktu itu air mata saya sudah mengalir deras di pipi.

Peperiksaan Kehidupan

Ya, itu adalah salah satu episod kehidupan.

Begitu juga dalam kehidupan ini. Kita cuba sedaya upaya mengajak manusia agar lulus peperiksaan kehidupan ini untuk layak memasuki Syurga. Ada yang kecundang, ada yang sekadar lulus dan akan ada yang cemerlang melepasi ujian hidup di dunia.

"Miss doakan awak semua berjaya bukan sahaja di dalam peperiksaan LJM, tapi juga dunia dan akhirat." Itu adalah pesanan kehidupan daripada saya untuk mereka.

Setiap manusia akan berakhir dengan perpisahan di dunia. Dan kita bermohon agar kita kembali berjumpa di suatu tempat bernama Syurga.

Hari ini mengajar saya untuk mendalami hati seorang Murabbi, walaupun saya belum dilayak untuk digelar dengan gelaran itu. Terlalu jauh lagi panggilan itu dengan diri saya ini.

Teringat ketika Rasulullah s.a.w, Murabbi sepanjang zaman menyampaikan kepada para sahabat isi kandungan ayat 3 Surah Al-Maidah:

"...Pada hari ini telah aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah aku redhai Islam sebagai agamamu.."

Dan apabila telah sempurna segalanya, maka tempoh Murabbi bersama dengan para sahabat hampir sampai tempoh akhirnya.

Murabbi itu telah pergi. Namun, segala ajaran baginda masih tetap menjadi tinggalan warisan di akhir zaman ini.

Segala tarbiyah yang tertulis dalam perilaku baginda yang mulia dan dalam setiap kata-katanya yang penuh hikmah adalah didikan buat kami yang ingin menghayati.

Moga umat ini akan lulus cemerlang dalam peperiksaan kehidupan ini.

Moga suatu hari nanti kami dapat bertemu Pencipta kami dan Murabbi kami.

~Setiap sesuatu perkara yang diajarkan, beliau itu adalah guru.~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino