::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 10, 2009

Permata Kasih Bonda


~Buat tatapan insan-insan bergelar ibu~



Senario 1

Pengalaman posting O&G (obstetrics & gynaecology) serta di OT (operation theatre) memberi saya peluang untuk menyaksikan sendiri susah payah ibu melahirkan permata yang ditunggu-tunggu saban hari sama ada melalui SVD (spontaneous vaginal delivery) iaitu bersalin biasa atau melalui pembedahan LSCS (Lower Segment Caesarian Section) iaitu lebih dikenali sebagai pembedahan Caesarian.

Setiap kali saya melihat ibu-ibu menjalani pembedahan Caesarian, saya mengetap bibir. Melihat perut ibu-ibu ini dirobek hingg ke dinding rahim menyebakkan lagi rasa di hati. Setiap kali itu juga saya berdoa agar Allah menyelamatkan kedua-dua nyawa yang berada di tanganNya.

Pengalaman pertama saya menyaksikan pembedahan kecemasan Caesarian sangat-sangat menyentuh hati. Masih disimpan kemas di kotak memori. Menyaksikan si ibu yang muntah-muntah sesudah di 'extubate' dari 'general anaesthesia' mempamerkan keperihan ibu sesudah selesai pembedahan. Kemudian, dalam keadaan cemas, saya menolong jururawat dari dewan bersalin serta 2 orang doktor untuk 'resuscitation' bayi yang sudah lemas dan pucat keseluruhan badan. Subhanallah, sepanjang waktu itu saya tidak berhenti memohon agar Allah menyelamatkan permata yang berharga ini. Apakah perasaan ibunya sekiranya mendapati anaknya yang ditunggu-tunggu akhirnya tidak bernyawa? Alhamdulillah, hanya Allah sebaik-baik penyelamat. Duhai ibu-ibu, hanya Allah yang dapat membalas jasamu.

Senario 2

Minggu lepas saya balik bersama 'wardmates' dari Kuala Lumpur ke Temerloh. 2 orang daripada kami sudah bergelar ibu. Saya duduk bersebelahan salah seorang darinya di dalam bas. Seawktu bas kami hendak berlepas dari stesen, sahabat saya itu melambai-lambai sesungguhnya kepada suami dan anaknya yang tercinta. Namun, kerana keadaan gelap di dalam bas (waktu itu malam) menyukarkan anaknya untuk melihat sahabat saya.

Sekali lagi, situasi itu menyebakkan rasa di dada. Melihat pengorbanan dan ketabahan hati seorang ibu meninggalkan anaknya atas tuntutan ilmu meruntun hati pilu. Namun, beliau tidak menunjukkan riak kesedihannya, sebaliknya menceritakan tentang perihal anaknya sepanjang perjalanan kami.

Ya Allah, begitu tabah sekali hati seorang insan bergelar ibu. Saya berkira-kira sendiri dalam hati, agak-agaknya kalau saya berada di tempat beliau, mampukah saya setabah itu? Adakah kuat hati saya sekuat hati seorang ibu?


Senario 3

Mempunyai sahabat yang bakal bergelar ibu, saya mendengar luahan rasa tuan punya badan yang membawa satu lagi nyawa bersamanya. Rasa sakit belakang, muntah -muntah (morning sickness), dan pelbagai lagi alteration dalam kehidupan berbanding zaman sebelum berbadan dua meyebabkan rasa belas padanya. Jika diberi peluang untuk memikulnya bersama, tentu nilai pengorbanan seorang ibu tidak lagi eksklusif untuknya.

Namun, itulah keistimewaan insan yang melahirkan. Mengandungkan anak selama 9 bulan 10 hari melatih jiwa wanita lebih kental untuk berhadapan dengan pelbagai dugaan dan emosi; rasa suka, bahagia, terharu dan bermacam-macam lagi. Segala emosi sekejap datang dan sekejap pergi melatih wanita menyeimbangi emosi diri. Hebatnya jiwa seorang ibu.

Pembungkus

Duhai ibu-ibu, anda adalah antara keajaiban di dunia. Diri ini juga tidak yakin akan setabah kalian.

Duhai ibu-ibu sedunia, aku kagum padamu, pada ketabahanmu, pada pengorbananmu, seperti tabahnya wanita - wanita agung yang disebutkan dalam novel suci sepanjang zaman; Al-Quran pada kisah ibu Musa, mahupun Maryam, mahupun pengorbanan Asiyah Puteri Muzahim.

Duhai ibu-ibu kurniaan Tuhan pada hamba-hambaMu, selamat hari ibu. Moga setiap hari adalah hari-hari terindah buatmu.

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino