::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

May 24, 2009

Berilah Selagi Mampu...



~Hati ini milik-Nya. Pemilik hati punya kunci kepada semua hati-hati di dunia dan alam semesta.~

2 minggu terakhir bulan Februari, kumpulan saya ditugaskan ber'posting' di Maternal Child Health Klinik di Poliklinik Beserah. Alhamdulillah, rasanya saya sudah semakin jatuh cinta dengan 'nursing'. Bagi saya, ia bukannya satu kerjaya namun, ia lebih berupa satu kepuasan. Kepuasan dalam memberi sesuatu yang ummah ini perlukan.

"Eh, awak ni dulu praktikal di HTAA kan?" tanya seorang pesakit antenatal (ibu mengandung) kepada saya. Sewaktu itu ibu muda itu baru sahaja duduk di hadapan saya untuk mendapatkan pemeriksaan. Saya tercengang seketika.

"Di mana ye?" Saya cuba bertanya. Mencari gambaran wajahnya dalam memori saya tapi tidak saya temui.

"Wad 7c."jawabnya.

Seingat saya, baru seminggu sebelum itu saya praktikal di HTAA kembali, tapi di wad psikiatrik! Semenjak tahun kedua, praktikal saya sudah tidak lagi di HTAA. Sudah beralih ke Hospital Temerloh.

"Saya hanya praktikal di 7C waktu saya tahun pertama dulu. Sekarang saya sudah tahun ke 3.", terang saya pada beliau. Anggapan saya mungkin agaknya ada orang lain seiras saya. Lagipun, ramai adik-adik junior yang juga praktikal di Hospital Besar Kuantan itu.

"Tidak. Betul akak ingat awak. Awak yang selalu betulkan cadar akak dan tolong akak dulu. Memang akak masuk wad dulu dah lama. Beberapa tahun dulu." Puan itu cuba meyakinkan saya.

Saya masih tercengang lagi. Ya, memang pada tahun 1 dulu, tidak banyak prosedur kejururawatan yang saya boleh lakukan. Hanya mampu membetulkan atau menukar cadar pesakit, memeriksa tekanan darah, suhu dan membantu mereka dalam aktiviti seharian; ADLs (activities daily living) apa yang kami termampu.

Tatkala itu, saya bukanlah pakar bedah yang berjaya membuat pembedahan jantung padanya. Bukan juga seorang jururawat yang sudah competent dalam setiap prosedur kejururawatan. Waktu itu, saya hanyalah seorang pelajar tahun 1 kejururawatan yang masih banyak lagi perlu saya pelajari.

Mungkin pada saya apa yang saya lakukan bukanlah sebesar mana, namun ia memberi makna yang cukup berbeza pada bekas pesakit yang saya jumpa sebentar tadi. Hati saya bukan tersentuh untuk rasa dikagumi, tetapi dek kagumnya dengan kuasa Tuhan untuk manusia merasakan sentuhan di hati walau dengan sekecil pertolongan sekian lama masa berlalu.

Slogan Ustaz Hasrizal, 'erti hidup pada memberi' terngiang-terngiang di telinga saya.


Kembali saya menyelusuri sirah nabi. Tatkala seekor burung layang-layang yang berusaha memadamkan api Nabi Ibrahim dengan air yang diambil menggunakan paruh kecilnya. Katanya, walaupun ia tahu api yang membakar itu tidak akan padam dengan jumlah kuantiti air itu, ia tetap berusaha sedayanya. Kerana di akhirat kelak, Allah tidak memandang natijah dari usaha, bahkan usaha itu sendirilah yang menjadi kayu ukurnya.

Wahai hati, berilah selagi mampumu. Berilah dengan hati. Kerana kepuasan memberi erti yang cukup bermakna.

2 comments:

Anonymous said...

Ya, mungkin kerana itu

Raudhatul Nadwah on March 11, 2010 at 6:49 PM said...

=)

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino