::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 27, 2011

Memiliki Dengan Paksa: Adakah Bahagia?


~Kebahagiaan itu hanya dari Allah. Ketenangan itu juga dari-Nya. Redha atas segala perkara juga membuat hati bahagia~






Memiliki Dengan Paksa

Sedih apabila banyak kejadian-kejadian yang terjadi dalam masyarakat hari ini sanggup mengorbankan orang yang dicintai semata-mata tidak mahu dimiliki oleh orang lain. Ada yang sanggup mencederakan mahupun membunuh orang yang dikatakan sebagai kekasih hati. Ada juga yang menggunakan perantara selain Allah iaitu kehadiran jin dan syaitan semata-mata kerana mahu memiliki.

Bukan Milik Kita

Sedarkah kita bahawa tiada apa-apa pun di dunia ini yang menjadi milik kita. Hatta pada apa yang terdapat pada diri kita sendiri. Inikan pula kita mahu menjadikan makhluk lain mahupun kebendaan lain seolah-olah hak mutlak milik kita.

Apakah kita tidak mengerti bahawa kehidupan dunia ini hanya sebentar waktu, dan mungkin esok, lusa atau seketika lagi pengakhiran hidup kita di dunia yang sementara? Mengapa kita memilih untuk menjadi ego, sombong dan takbur ingin meletakkan takdir itu sebagai kekuasaan kita? Walhal kita tahu bahawa hanya Allah saja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Betapa kita masih ingkar dan sombong kiranya kita memilih untuk melanggar ketentuan dan ketetapan-Nya.

Kembalilah Pada Dia

Kembalilah kepada Allah. Masih belum terlewat dan terlambat. Lepaskanlah segala-segala yang telah berlaku. Dan terimalah qada' dan qadar-Nya dengan redha. Pasti hidup akan menjadi tenteram. Pasti hati akan lebih tenang. Terimalah bahawa pasangan yang anda impikan itu bukan milik anda. Serahkanlah segala-galanya kepada Dia.

Jika memang benar itu jodoh kita, tiada apa yang dapat menghalang. Namun, jika diri masih memaksa dengan menggunakan pelbagai cara yang tidak mengikut syarak apatah lagi menyekutukan-Nya, nescaya kebahagiaan memiliki itu tidak akan kekal lama. Percayalah pada janji Allah. Usah diikutkan hati hingga ke mati. Kelak mati nanti terseksa diri. Kerana dosa mempersekutukan Allah, mengharapkan bantuan selain dari Allah untuk memiliki adalah antara dosa besar.

"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar."
(Surah Luqman: 34)

Dan apakah sebenarnya erti kecintaan itu dengan memaksa bahagia di satu pihak sahaja? Sedangkan pasangan itu akhirnya hanya menjadi boneka untuk kita. Atau adakah berpuas hati menjadi Romeo dan Juliet yang membunuh diri  dan terbunuh bersama-sama, sedangkan kita punya Tuhan yang ada untuk kita sandarkan setiap harapan dan pergantungan.

Maka, apakah masih kita rasa sangat berkuasa ingin menentukan takdir diri sendiri dan takdir orang lain bersama kita? Walhal kelak di akhirat kita pasti berjumpa Tuhan, kita pasti disoal jawab oleh Allah dan malaikat. Hujung usia bukan hanya di dunia tetapi terus kekal hingga hari akhirat. Dan di waktu itu adakah kita mampu mengheret pasangan kita itu bersama-sama?

Kebahagiaan itu adalah apabila melihat diri mereka yang dicintai itu bahagia.

Buat Mangsa

Yakinlah bahawa Allah itu sentiasa ada bersama-sama. Tingkatkan amal soleh. Perlindungan diri kita hanya dengan Tuhan iaitu Allah yang Maha Satu. Usah dicari selain dari itu.

Walau sesibuk mana diri sekalipun, bawa Al-Quran bersama untuk dibaca. Amalkan ma'thurat untuk diri kita. Berlindunglah dari syaitan dan mereka-mereka yang punya penyakit tersembunyi di dalam hati.

~Ingatlah Allah itu Maha Berkuasa. Lepaskanlah andai diri bukan milikmu~



Mar 25, 2011

Memilih Hidup Di Bawah Cahaya


~Ucapkan syukur pada-Nya, tunjukkan syukur buat-Nya, kerana dengan dua nikmat ini kita berjalan disuluh cahaya.~





"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran itu benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?"


(Fussilat: 53)




Kita dilanda banyak ujian dalam hidup. Ada yang kehilangan. Ada yang kedukaan.
Namun, ingatlah selagi kita tidak hilang nikmat keimanan dalam hati kita, kita masih bahagia. Selagi Allah masih belum menarik nikmat Islam dalam diri kita, kita harus gembira.

Ada manusia yang Allah kurniakan mereka harta kekayaan yang melimpah ruah, kejayaan hidup yang besar,dikenali seluruh dunia tetapi Allah tidak beri mereka kedua nikmat yang paling berharga ini.

Nikmat Iman dan Islam. Suatu nikmat hidup yang merasakan indahnya hidup bertuhan. Bertuhankan Allah yang satu, Yang Hanya Satu, sentiasa mendengar, sentiasa memandang, sentiasa memberi, sentiasa kaya, sentiasa mengabulkan, sentiasa sibuk tetapi tidak pernah menghampakan.

Allah, Dia Yang Maha Adil, memberi hidayah kepada mereka yang mencari. Apabila manusia cuba menyandarkan harapan kepada perkara-perkara bersifat fana dan sementara, mereka tahu tidak akan dapat kekuatan yang tegar dari semua itu. Hanya daripada Allah saja, manusia akan kuat. Hanya dengan bergantung pada Allah saja, manusia akan tabah. Hanya dengan Allah saja, manusia akan mampu melangkah.

Nama-nama dan wajah-wajah di dalam video di atas adalah antara insan-insan terpilih oleh Allah dan memilih untuk hidup bersama Allah. Mari hidup bersama Allah. Mari hidup di bawah suluhan cahaya-Nya. Agar jalan-jalan yang kita lalui di dunia ini lebih terang. Agar jalan yang kita lalui bukan menuju ke jalan mati. Agar jalan yang diterangi ini mampu mengelakkan kita dari isi dunia penuh duri. Agar jalan yang diterangi ini membawa kita terus menuju Ilahi.

Mari memilih hidup di bawah cahaya.



~Memilih hidup bersama Allah bererti memilih hidup di dalam terang di bawah naungan cahaya-Nya~

Mar 24, 2011

Sahabat: Ku Pohon Pada-Nya Untukmu


~Buat sahabat tersayang, moga Allah sentiasa mewarnai hidupmu seperti indahnya pelangi di langit~



Ku Pohon Pada-Nya Untukmu

Sahabat, 
Ku tahu dirimu payah, 
Riak suaramu mengatakan tiada, 
Walhal hatimu resah, 
Jiwa dilanda duka. 

Aku hamba yang lemah, 
Tiada kudrat mengubah payah, 
Namun, ku pohon dan ku pinta, 
Dari Dia yang Maha Kuasa, 
Agar kau kembali ceria dan bahagia, 
Seperti burung gagah mengepak sayapnya. 

Aku pohon pada-Nya, 
Berbekal kekuatan doa, 
Dengan sepenuh hati, 
Menjadi wakil mengadap Ilahi, 
Agar sayapmu kuat seperti dahulu, 
Terbang gah di angkasa biru,
Mengukir senyum seperti selalu. 

Aku pohon pada-Nya, 
Makhluk di langit dan di bumi berdoa sama,
Hingga ia menembus Arasy, 
Doa itu berjumpa Dia,
Dan doa itu pun bersungguh meminta. 

"Wahai Tuhanku, 
Bahagiakanlah sahabatku, 
Janganlah Kau timpakan dia ujian yang tidak mampu dihadapinya.

Wahai Tuhan, 
Berilah dia kegembiraan, 
Janganlah Kau ambil nikmat darinya yang telah Kau beri, 
Hingga tidak mampu untuk dibebani.

Wahai Tuhan, 
Yang Maha Mengasihani, 
Berilah sahabatku ini kebahagiaan, 
Berilah dia kegembiraan,
Luputkanlah duka di hatinya, wahai Tuhan. 

Wahai Tuhan,
Perkenanlah doa ini.
Ya Rabbi, 
Perkenankanlah doa ini.
Kerana hanya dengan izin-Mu semata segalanya terjadi. 
Amin, Amin, Amin. "



Nukilan khas buat sahabat tersayang, 
Teman Sebilik M4.8, 
Mahallah Maimunah,
UIAM '06-'10
Dari yang menyayangimu.

~Moga Dia Yang Sentiasa Mendengar akan mengabulkan doa ini buat sahabatku~

Mar 21, 2011

Syukur: Ikatkanlah Hatiku


~Bertanya pada diri, apakah diri ini benar-benar bersyukur?~~


Syukur Dan Nikmat

Kalau ditimpa bencana, biasanya ia dikatakan sebagai suatu peringatan dari Tuhan. Agar kita manusia tidak lupa siapa diri kita. Hanya manusia kerdil dan lemah tidak berdaya melainkan kekuatan yang diberikan oleh-Nya kepada kita.

Bercerita pula tentang nikmat.
Ia hanya pinjaman. Sementara. Boleh jadi platform atau medium untuk mencapai bekal amal soleh di dunia sebanyak-banyaknya oleh mereka yang mensyukuri nikmat-Nya. Boleh juga jadi lupa, leka dan lalai dengan nikmat-Nya.

Nikmat yang pelbagai; fizikal seperti paras rupa, suara, kesenangan dan harta kekayaan, kelapangan masa, kesihatan, ketenangan, kasih sayang, kepandaian dan bermacam-macam lagi kelebihan dan nikmat yang ada pada diri seorang hamba.

Ada yang merasa bangga dengan kelebihan dan nikmat seolah-olah semua itu miliknya semata. Namun,masih ada juga yang merasakan bahawa segala kelebihan dan nikmat yang diberikan adalah milik dari Allah Yang Maha Kuasa.

"Dan demikianlah telah Kami uji sebahagian mereka (orang-orang kaya) dengan sebahagian  mereka (orang-orang miskin) supaya (orang-orang kaya itu) berkata "Orang-orang semacam inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah kepada mereka?" (Allah berfirman), "Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang bersyukur kepada-Nya".
(Al-An'am; 53)

Bagaimana Menjadi Orang Yang Bersyukur?

Kita berdoa agar segala nikmat pemberian Allah kepada diri kita yang sememangnya lemah ini dapat mengikat hati kita lebih erat kepada Allah s.w.t. Agar dengan nikmat ini, tali ikatan dengan Allah ini menjadi semakin kuat. Agar kita sentiasa beringat bahawa nikmat yang Allah datangkan kepada kita sama ada yang kita minta atau tidak daripada Allah ini bila-bila sahaja akan ditarik kembali dalam sekelip mata. Tidak kiralah dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara. Dari adanya nikmat kesihatan hingga tiada, mahupun dari amannya sebuah negara boleh menjadi huru-hara dan ditimpa bencana.

Lalu, bagaimana caranya mengajar diri ini menjadi hamba yang lebih dekat kepada Allah apabila diberi pelbagai nikmat?

Para ulama mengatakan ada tiga rukun syukur. Atau dalam erti kata lain; syukur itu dalam 3 bentuk atau 3 cara.

Pertama, syukur qalbi atau syukur dengan hati. Kita mengakui bahawa segala nikmat-nikmat ini adalah hak milik Allah dan kita mencintainya. Kita patut rasa gembira kerana Allah dah beri kita nikmat ini. Sedangkan ada manusia lain tidak pernah dapat mengecapinya.
Ada manusia dapat nikmat rupa yang sempurna tapi selalu mengherdik dirinya kerana kurang cantik atau kurang putih. Ada yang mendapat nikmat suara tapi ada juga yang membenci suaranya sendiri kerana dikatakan tidak cukup merdu.

 "Ala, suara ni bukannya sedap sangat macam si polan. Buat malu je nanti." Adakah pernah terdetik sebegini di hati?

Kedua, syukur lisan atau syukur dengan perkataan. Segala puji bagi Allah atau Alhamdulillah adalah kata-kata pujian bagi Tuhan yang telah memberi kita nikmat dan kelebihan.

Ketiga, syukur jawarih atau syukur dengan anggota tubuh. Menggunakan nikmat Allah untuk beroleh keredhaan-Nya dan jauh dari kemurkaan-Nya. Apakah agaknya kita pernah rasa malu menggunakan nikmat yang Allah bagi pada tempat yang tidak sepatutnya? Lihat sahaja tubuh badan kita. Ke mana kaki kita melangkah; adakah ke arah kebaikan, keredhaan atau kealpaan atau kemurkaan-Nya? Mata kita, tangan kita dan macam-macam lagi. Itu baru anggota tubuh. Bagaimana pula dengan nikmat lain yang Allah beri sehingga tidak terhitung oleh kita? Adakah kita bawa ia ke jalan redha dan jauh dari murka-Nya?

Setelah menghayati ketiga-tiga rukun syukur ini, apakah kita benar-benar mempraktikkan ketiga-tiganya dalam kehidupan kita?



Berhati-hati Dengan Musuhmu


Allah berfirman:

"Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
(Ali Imran: 145)

Realiti manusia mudah leka dengan nikmat dunia. Syaitan, musuh terang-terangan ini amat mencemburui manusia dengan sifat syukur yang dijanjikan Allah s.w.t dengan ganjaran-Nya. 

Dan mereka (syaitan) berikrar:
"Kemudian kami akan mendatangi mereka dari depan dan belakang, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau  tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur."
(Al-A'raaf: 17)

Ikatkan Nikmat Dengan Syukur

Kata Umar bin Abdul Aziz: "Ikatlah nikmat-nikmat Allah dan bersyukur kepada-Nya."

"Dan ingatlah tatkala Tuhanmu mengingatkan 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih."
(Ibrahim: 7)

Abul Mughirah apabila ditanya,

"Bagaimana keadaan anda pagi ini?"

Maka dia menjawab, 
"Pagi hari ini kami dalam keadaan tenggelam dalam kenikmatan sehingga kita tidak tahu bagaimana untuk mengungkapkan syukur itu. Allah telah melingkupi kita dengan kecintaan-Nya yang besar, padahal Dia tidak bergantung kepada manusia, sebaliknya kita sering berbuat sesuatu yang membuat-Nya marah, sedangkan diri kita selalu bergantung kepada-Nya."

Wahai Tuhan,
Pemberi kepada apa yang dipinta,
Memberi tanpa disangka-sangka,
Ikatkanlah hati kami kepada-Mu,
Erat-erat,
Agar kami sentiasa beringat,
Bersama syukur dan nikmat,
Agar dari-Mu kami peroleh redha,
Hingga ke Syurga yang selamanya.



~Wahai Tuhan, atas segala nikmat yang Kau berikan, eratkanlah lagi ikatan hatiku kepada-Mu~

Mar 8, 2011

Hati Ibarat Air Laut


~Andai hati berbolak-balik, serahkan kepada Allah, Tuhan pemilik.~

Ada waktunya perlukan masa sebentar untuk diri dan hati berbicara. Jauh dari cabaran dan dugaan, membetulkan akal kewarasan dan isi perasaan.


Petang tadi sempat ke pantai melihat ombak. 




Berubah Seperti Arusnya

Betapa diri ini melihat hati itu kadang-kadang seperti air laut. Ia tidak selalu tenang. Kadang-kadang ia bergelora.

Hati, tidak akan ada waktu ia tenang sahaja seperti air sungai atau muaranya. Jika air laut, pasti sesekali geloranya menghempas ke pantai. Begitulah umpamanya juga hati kita.

Ia lumrah.

Ya, hati itu sentiasa berbolak-balik. Seperti air laut, apabila dihembus angin deras, maka keras juga ombak yang menghempas.


Ketidaktetapan Hati

Apabila kadang-kala kita sudah menetapkan hati, ada pula dugaan-dugaan yang menguji hati. Maka, bersegeralah kita mencari Pencipta. Berfikir dan merenung kebesaran ciptaan-Nya. Melapangkan hati yang sedang sempit atau bersedih. Hati itu pasti gembira apabila bertemu Penciptanya.

Wahai hati, 
Andai kau masih berbolak-balik, 
Serahkan segenap isimu kepada-Nya
Dengan redha. 

Wahai hati, 
Andai kau masih bersedih lagi,
Jadilah hati yang benar-benar berserah diri, 
Maka, kau tidak akan rugi. 

Ingatlah duhai hati, 
Biarlah Dia yang mengubatmu, 
Ketemu Dia penawar pilu ,
Kerana setiap hati itu adalah milik Yang Maha Mengetahui, 
Tiada yang tersembunyi,
Itu pasti. 


~Tiada yang tersembunyi, hatta di dalam hati. Maka, luahkan segenap isi hatimu kepada-Nya~



Mar 7, 2011

Nikmat Kaya Hati


~Wahai Tuhan, kurniakanlah kepada kami kekayaan hati dan jiwa yang Kau redhai~




Ramai manusia dilahirkan Muslim, tapi apakah semuanya menjadi mukmin? Benar-benar merasai nikmat kemanisan Iman dan Islam?


Soal Taksiran Hati

Apakah kita sudah menjadi mukmin?
Apatah lagi muklisin, muhsin dan muttaqin?
Apakah sifat-sifatnya telah ada pada diri dan hati kita?

Benar, darjat seorang hamba di sisi-Nya hanya dibezakan oleh Taqwa.
Siapa pengukur Taqwa?
Ya, hanyalah Allah s.w.t.

Namun, dianugerahkan hasilnya kepada hati.
Hati yang sentiasa kaya dengan Taqwa boleh dirasai oleh pemilik hati.
Dan turut dirasakan oleh mereka yang melihat diri empunya hati yang kaya.

Berbahagialah mereka.

Kekayaan Hati 
 Far East


Bahgialah mereka memiliki kekayaan hati budi
Kerana Allah bersamamu wahai para muttaqin
Bahgialah mereka memiliki kekayaan hati budi 
Kerana Allah bersamamu wahai para mukhlisin

Miliki hati pemurah
Yang mampu menahan marah
Memberi maaf dengan mudahnya

Miliki hati pengasih
Walaupun dirikan tersisih
Memberi kasih tanpa memilih

Hati itu bagai ladang
Tempat bercucuk tanam
Hati bagai kolam
Tenang nyamannya


Apa guna kaya harta dunia tetapi muflis hatinya.
Berbahagialah mereka yang punya hati kaya walau tidak punya kekayaan harta.
Lebih beruntunglah mereka yang kaya harta dan hatinya lalu menginfakkan seluruh harta dan jiwa.


~Bukan senang mengumpul harta dunia untuk menjadi kaya. Bukan mudah juga memiliki hati yang kaya, untuk mendapat syurga dan redha-Nya.~

Mar 5, 2011

Sabar: Adakah Suatu Pilihan?


~Tidakkah kita suka andai Dia sentiasa bersama?~


Hari-Hari Kesabaran


Aku melalui hari-hari,
Di mana jalannya berduri,
Yang pada mulanya ku rasa amat kesakitan,
Namun, semakin hari aku senang ia menjadi rutin harian..

Tentu ramai yang pernah mendengar kisah seorang jiran Yahudi yang sentiasa menabur sampah di hadapan dan laluan ke rumah Rasulullah setiap hari. Namun, apabila satu hari tiada sampah sarap di hadapan rumah baginda Rasulullah, baginda segera menziarahi dan mendapati jirannya itu sakit. Hinggakan tindakan Rasulullah itu menyebabkan jirannya itu mengucapkan syahadah atas keindahan akhlak Rasulullah.

Lalu, hari ini kita bagaimana?

Apakah yang kita lakukan apabila selalu dicerca dan dihina?

Kita mungkin kata. "Ya, tentu saja sabar itu ada tahapnya."

Namun lihatlah baginda Rasulullah. Bukankah baginda insan yang dihadirkan dalam sejarah dunia untuk menjadi contoh kepada kita?

Betapa sabarnya baginda.


Sabar: Adakah Ia Satu Pilihan?

Allah berfirman di dalam Al-Quran, surah Al-Nahl, ayat 125 hingga 127::

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.

Dan dia juga menyediakan pilihan untuk hamba-Nya:

 "Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar.Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap mereka dan janganlah pula bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan."

Allah memberi pilihan.

Tetapi kemudian Allah tunjukkan bahawa pilihan kedua iaitu bersabar adalah lebih baik. Pilihan pertama mungkin dapat menimpakan balasan ke atas pemangsa. Tapi apakah benar itu kepuasan hati yang ingin kita miliki? Apakah itu akan menjurus ke arah kelapangan jiwa dan kebahagiaan hati?

Allah, pemilik hati kita ini sudah berjanji bahawa dengan kesabaran dan pertolongan-Nya, kita pasti beroleh bahagia dan berlapang dada. Kerana kesedihan dan dada yang sempit akan membuat kita semakin hari semakin sakit dan rasa terhimpit.


Hikmah Sabar

Sabar itu pertolongan dari-Nya:

"Dan jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu"
(Al-Baqarah; 2:153)

Sabar itu Allah jadikan sebagai sendi kekuatan hati dan diri kita. Janji-Nya bahawa Dia akan bersama kita sekiranya kita  bersabar. 

"Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang, dan jika ada di antaramu seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(Al-Anfal:66)

Pahala kesabaran itu tidak akan ada putusnya. Allah sentiasa memberi kebaikan kepada golongan yang bersabar. 

"Katakanlah, 'Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas."
(Az-Zumar:10)

Nah, wahai jiwa-jiwa yang mengharap redha-Nya, apa lagi janji-janji yang dinanti? Inilah kemenangan yang besar bagi orang-orang yang menanti untuk lebih dekat dengan Allah. Kerana apabila dia bersabar, Allah selalu menolongnya dan beserta dengannya.

Maka, bersabarlah!



~Wahai diri, pilihlah untuk menjadi lebih dekat kepada Allah, Tuhan yang Maha Mengetahui setiap yang tersembunyi di lubuk hati~

Mar 2, 2011

Seimbang Keduanya? Usaha & Mintalah Pada Dia!


~Memang bukan suatu kerja yang mudah untuk mengimbangi antara keduanya; dunia dan akhirat semata-mata untuk meraih kejayaan selamanya di syurga.~





Bermula dari minggu Maulidur Rasul yang lalu, beban kerja datang bertimpa-timpa. Ditambah sakit kepala dan sakit badan, mungkin disebabkan kesan 'stress' pada fisiologi badan. Hingga rasa ingin menitis air mata. Setiap hari jadual hidup dipenuhi. Betapa masa itu terlalu cepat berlalu. Hingga tiada kesempatan rasanya untuk menyelesaikan semua mengikut waktunya. Mengimbangi antara keduanya; dunia dan akhirat untuk meraih kejayaan selamanya di akhirat nanti memang bukan suatu kerja yang mudah.

"Ya Allah, berilah aku kekuatan hati dan jiwa! Sesungguhnya, aku lemah ya Allah." Dengan linangan air mata, diri memohon kepada-Nya.

Lalu, Dia menjawabnya dengan segera tatkala pertemuan dengan tautan hati-hati yang bersama-sama mengejar cinta dan redha-Nya.



Amal Hari Ini Menentukan Di Mana Kita Hari Kemudian

Menurut Syeikh Abdul Qadir Jilani, orang yang berjaya adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah. Mereka ialah pembawa hidayah dan yang menyampaikannya.

Untuk menyampaikan risalah tinggalan Nabi dan Rasul, kita perlu tinggalkan kerehatan kita. Tiada kerehatan melainkan syurga Allah yang kekal selamanya. Tiada kemenangan atau kejayaan yang lebih besar dari itu. Tiada kejayaan yang lebih besar lagi dari pengampunan Allah terhadap diri kita yang terlalu banyak noda-noda dosa. Tiada yang lebih membahagiakan lagi diri kita melainkan kebahagiaan hakiki apabila Allah memberi redha dan Syurga.

Sehingga dibayangkan apabila diri sudah melangkah ke Syurga, kita merasa ingin pulang kembali ke dunia untuk menambah lagi amal kebajikan kita. Tidak cukup puas dengan tingkatan Syurga yang dipunyai ketika itu, kita mahu menambahnya lagi.

Begitu juga yang banyak diceritakan dalam Al-Quran, apabila orang-orang yang di Neraka Allah meminta-minta untuk dikembalikan ke dunia untuk membaiki diri mereka supaya pengakhiran mereka bukan di tempat untuk orang-orang yang dimurkai oleh-Nya.

Memetik kata-kata Saidina Ali karamallahuwajhah r.a,

apabila engkau merasa penat mengerjakan kebajikan maka ingatlah kepenatan itu akan hilang dan pahala kebajikan itu akan berpanjangan. Dan apabila engkau seronok melakukan kemaksiatan, maka ingatlah keseronokan itu akan hilang dan dosa kemaksiatan itu akan berkekalan.


Keutamaan Doa


Memang kadang-kadang kita penat, kadang kita rasa tak kuat. Tapi mintalah kekuatan itu kepada Dia.

Sesungguhnya Allah itu sangat suka apabila hamba-Nya meminta. Bersungguh-sungguh meminta.

Sesungguhnya kelemahan itu terletak apabila kita mendatangi orang yang menutup pintunya, yang lemah dan miskin atau menyembunyikan kekayaan dirinya daripada kita. Sementara itu, lemahnya kita apabila kita meninggalkan Allah yang sentiasa membuka pintunya dan sentiasa menampakkan kekayaannya kepada kita. Dia sentiasa berseru;

"Adakah yang memohon, pasti Aku mengabulkan doanya. Adakah yang meminta, pasti Aku memberinya. Adakah yang memohon ampun, pasti Aku mengampuninya."


Apabila Allah mengizinkan saya dan sahabat-sahabat ke sesi perkongsian Prof Dr. Kamil Ibrahim, penulis Travelog Haji minggu lalu, saya mendapat satu pengajaran.

Saya melihat beliau sewaktu menceritakan kisahnya, beliau bersungguh-sungguh meminta. Dengan doa kepadanya di hujung 1/3 malam, lalu Allah kabulkan permintaannya. Hinggakan saya yang berada di kerusi pendengar ketika itu sebak apabila mendengar beliau mengulang-ulang doanya itu. Sungguh, doa itu amat menyentuh. Cara beliau meminta amat menyentuh jiwa.

Hingga menjadikan saya merenungi ke dalam diri;

Apakah setiap kali kita berdoa, cara kita meminta kepada-Nya juga begitu - sungguh-sungguh, dengan linangan air mata kita memikirkan bahawa kita insan amat lemah ini benar-benar meminta kepada Dia yang Maha Kuasa, Yang Maha Kaya?

"Berdoalah kepada Rabbmu dengan suara berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."
(Al-A'raf; 55)


Rujukan:
Buku Al-Muntalaq; Muhammad Amar Al-Rashid
Buku Syarah Riyadhus Shalihin


~Allah marah kalau anda tidak meminta kepada-Nya, tetapi manusia marah bila diminta -Syarah Riyadhus Shalihin-~
 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino