::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Mar 2, 2011

Seimbang Keduanya? Usaha & Mintalah Pada Dia!


~Memang bukan suatu kerja yang mudah untuk mengimbangi antara keduanya; dunia dan akhirat semata-mata untuk meraih kejayaan selamanya di syurga.~





Bermula dari minggu Maulidur Rasul yang lalu, beban kerja datang bertimpa-timpa. Ditambah sakit kepala dan sakit badan, mungkin disebabkan kesan 'stress' pada fisiologi badan. Hingga rasa ingin menitis air mata. Setiap hari jadual hidup dipenuhi. Betapa masa itu terlalu cepat berlalu. Hingga tiada kesempatan rasanya untuk menyelesaikan semua mengikut waktunya. Mengimbangi antara keduanya; dunia dan akhirat untuk meraih kejayaan selamanya di akhirat nanti memang bukan suatu kerja yang mudah.

"Ya Allah, berilah aku kekuatan hati dan jiwa! Sesungguhnya, aku lemah ya Allah." Dengan linangan air mata, diri memohon kepada-Nya.

Lalu, Dia menjawabnya dengan segera tatkala pertemuan dengan tautan hati-hati yang bersama-sama mengejar cinta dan redha-Nya.



Amal Hari Ini Menentukan Di Mana Kita Hari Kemudian

Menurut Syeikh Abdul Qadir Jilani, orang yang berjaya adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah. Mereka ialah pembawa hidayah dan yang menyampaikannya.

Untuk menyampaikan risalah tinggalan Nabi dan Rasul, kita perlu tinggalkan kerehatan kita. Tiada kerehatan melainkan syurga Allah yang kekal selamanya. Tiada kemenangan atau kejayaan yang lebih besar dari itu. Tiada kejayaan yang lebih besar lagi dari pengampunan Allah terhadap diri kita yang terlalu banyak noda-noda dosa. Tiada yang lebih membahagiakan lagi diri kita melainkan kebahagiaan hakiki apabila Allah memberi redha dan Syurga.

Sehingga dibayangkan apabila diri sudah melangkah ke Syurga, kita merasa ingin pulang kembali ke dunia untuk menambah lagi amal kebajikan kita. Tidak cukup puas dengan tingkatan Syurga yang dipunyai ketika itu, kita mahu menambahnya lagi.

Begitu juga yang banyak diceritakan dalam Al-Quran, apabila orang-orang yang di Neraka Allah meminta-minta untuk dikembalikan ke dunia untuk membaiki diri mereka supaya pengakhiran mereka bukan di tempat untuk orang-orang yang dimurkai oleh-Nya.

Memetik kata-kata Saidina Ali karamallahuwajhah r.a,

apabila engkau merasa penat mengerjakan kebajikan maka ingatlah kepenatan itu akan hilang dan pahala kebajikan itu akan berpanjangan. Dan apabila engkau seronok melakukan kemaksiatan, maka ingatlah keseronokan itu akan hilang dan dosa kemaksiatan itu akan berkekalan.


Keutamaan Doa


Memang kadang-kadang kita penat, kadang kita rasa tak kuat. Tapi mintalah kekuatan itu kepada Dia.

Sesungguhnya Allah itu sangat suka apabila hamba-Nya meminta. Bersungguh-sungguh meminta.

Sesungguhnya kelemahan itu terletak apabila kita mendatangi orang yang menutup pintunya, yang lemah dan miskin atau menyembunyikan kekayaan dirinya daripada kita. Sementara itu, lemahnya kita apabila kita meninggalkan Allah yang sentiasa membuka pintunya dan sentiasa menampakkan kekayaannya kepada kita. Dia sentiasa berseru;

"Adakah yang memohon, pasti Aku mengabulkan doanya. Adakah yang meminta, pasti Aku memberinya. Adakah yang memohon ampun, pasti Aku mengampuninya."


Apabila Allah mengizinkan saya dan sahabat-sahabat ke sesi perkongsian Prof Dr. Kamil Ibrahim, penulis Travelog Haji minggu lalu, saya mendapat satu pengajaran.

Saya melihat beliau sewaktu menceritakan kisahnya, beliau bersungguh-sungguh meminta. Dengan doa kepadanya di hujung 1/3 malam, lalu Allah kabulkan permintaannya. Hinggakan saya yang berada di kerusi pendengar ketika itu sebak apabila mendengar beliau mengulang-ulang doanya itu. Sungguh, doa itu amat menyentuh. Cara beliau meminta amat menyentuh jiwa.

Hingga menjadikan saya merenungi ke dalam diri;

Apakah setiap kali kita berdoa, cara kita meminta kepada-Nya juga begitu - sungguh-sungguh, dengan linangan air mata kita memikirkan bahawa kita insan amat lemah ini benar-benar meminta kepada Dia yang Maha Kuasa, Yang Maha Kaya?

"Berdoalah kepada Rabbmu dengan suara berendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."
(Al-A'raf; 55)


Rujukan:
Buku Al-Muntalaq; Muhammad Amar Al-Rashid
Buku Syarah Riyadhus Shalihin


~Allah marah kalau anda tidak meminta kepada-Nya, tetapi manusia marah bila diminta -Syarah Riyadhus Shalihin-~

2 comments:

humm on March 2, 2011 at 9:47 AM said...

"kalau mahukan kerehatan. mati sahajalah jawapannya. itupun kalau cukup bekalan amal soleh", a quote from my friend. jom sama2 banyakkan doa.

i really miss u didy. aritu tak sempat berbalasan sms ngan awak. huhu

Raudhatul Nadwah on March 2, 2011 at 9:31 PM said...

Humm; memang benar, tapi nak mati pun perlu bawak banyak 'bekal'. InsyaAllah, semoga kita sama-sama dapat mengutip bekalan amal coleh kita di dunia.

InsyaAllah, bila Allah izinkan ada kelapangan masa bersama nanti kita berbalasan sms ye. =)

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino