::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 29, 2011

Tuhan, Berikanku Pedoman


~Tuhan, berikan pedoman. Tunjukkan aku arah jalan yang Kau redhai
-Nora feat Voices of Ummi-~

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Berdoalah kepada Allah dalam keadaaan yakin akan dimakbulkan, dan ketahuilah bahawa Allah tidak mengabulkan doa dari  hati yang lalai (tidak mengingat Allah."
(Hadith Riwayat Tirmidzi)


~-Pedoman- Nora feat VOU~

Wahai Tuhan,
Jangan pisahkan diriku dengan-Mu,
Jangan biarkan diri ini hidup dengan murka-Mu.

Wahai Allah,
Tuhan Pencipta alam ini,
Bentangkan perjalanan kami dengan petunjuk dan hidayah-Mu,
Usah biarkan kami tersalah arah,
Usah biarkan kami menjauh dari-Mu,
Kerana hanya cinta-Mu yang kami damba tiap waktu.

Biarpun dunia ini berpisah daripada isinya,
Usah biarkan kami berpisah dari-Mu,
Walaupun sekelip mata.

Kami pohon
Agar Kau sentiasa menemani
Hingga hari pertemuan diri dengan-Mu nanti.
~Allah, Tuhanku, kami pohon petunjuk dari-Mu~

~Biar pun dunia ini bercerai dari isinya, satu perkara yang kita mohon agar hati kita tidak akan bercerai dari redha-Nya walau sekedip mata.~

Dec 20, 2011

Ada Apa Dalam Kabus


~Perhatikan betul-betul ada apa dalam kabus kehidupan~

"Tidakkah kamu memerhatikan bahwa Allah telah menundukkan apa yang di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan)mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu lahir batin. Tetapi ada manusia yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tanpa Kitab yang memberi penerangan"
(Q.S Al-Luqman; 31:20)


Qawiyul Jismi

Gambar ini saya ambil sewaktu kami mendaki Gunung Pulai buat kali kedua. Tetapi kali ini saya membawa rakan-rakan serumah dan sepejabat untuk berekreasi di sini.

Menyahut salah satu 10 muwasafat tarbiyah; Qawiyul Jismi iaitu fizikal yang kuat; Insya Allah moga ini jadi satu rutin setiap sebulan atau 2 bulan saya. Allah menyukai Muslim yang kuat berbanding Muslim yang lemah. Sedih juga bila menyaksikan hampir 98% pendaki gunung ini terdiri daripada kaum Cina. Suatu fenomena yang perlu direnung-renungkan oleh kita sebagai Muslim.

Ada Apa Dalam Kabus

Tertarik saya untuk bertanya soalan ini. Lihat dalam gambar betul-betul, ada apa di dalam kabus?

Kita tak nampak jika kita tidak perhati betul-betulkan?

Ya, jika nampak, Alhamdulillah.

Ia kelihatan seperti menara. Ya, menara Telekom.

Satu pengajaran yang terlintas di fikiran saya ketika itu ialah kita tidak nampak sesuatu kalau kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Banyak sebenarnya pengaplikasiannya dalam kehidupan.

Kita tidak lihat orang-orang yang kita sayang dan menyayangi kita amat penting dalam hidup kita jika kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Kita ada ibu dan bapa, tetapi berapa ramai yang benar-benar menghargai mereka?

Kita punya adik beradik, datuk dan nenek tetapi berapa ramai yang benar-benar menghargai kehadiran mereka?

Kita punya sahabat-sahabat yang kasih sayang kerana Allah amat hebat. Tetapi adakah kita menyedarinya?

Setiap hari Allah beri kita nikmat dalam kehidupan, apakah kita benar-benar memerhatikannya dan mengambil pelajaran?

Antara lain ialah ujian dalam hidup. Kita nampak kabus itu seperti menyekat pandangan. Anggapkan kabus itu ujian. Dan kita tidak akan nampak hikmah ujian itu jika kita tidak benar-benar memerhatikannya.

Allah ini Maha Adil.

Saya juga adakala tersilap percaturan dalam hidup.
Dan kadang lupa percaturan Allah itu Maha sempurna.
Dan saya juga kadang-kadang tidak nampak orang-orang yang masih menyanyangi saya.
Lupa untuk menghargai, menyedari dan mensyukuri.

Allah mengetuk saya hari ini untuk melihat di hadapan mata dengan sebenar-benarnya.
Bak kata pepatah,
"Gajah di depan mata tidak nampak, tetapi nyamuk di seberang laut nampak."

Moga Allah jadikan kita manusia yang memandang setiap sesuatu dengan hikmah.

"Maka nikmat  manakah lagi yang harus kau dustakan?"
(Ar-Rahman; 55:13)


Hidup ini Allah yang atur.
Cantiknya susunan Allah.

~Lihat dan perhatikanlah di balik kabus itu dengan hikmah. Sungguh, Allah itu Maha Penyayang.~

Dec 16, 2011

Tuliskan Impian Itu


~Bermimpilah dan berlarilah ke arah impian di minda di atas jalan keredhaan-Nya~

~Memasang impian dalam redha~
Semalam, saya berhasrat berkongsi cara-cara mencatat impian kepada para pelajar. Terinspirasi oleh sebuah video yang dihasilkan oleh seorang saudara dari Indonesia, maka saya cuba menyampaikannya kepada anak-anak murid kesayangan ini.

Walaupun tanpa kehadiran eletrik (black out ketika itu), kesempatan itu diambil bagi sesi motivasi ini. Ya, di samping itu ia memotivasikan juga diri saya.

Tuliskan Impian Itu


Setiap orang punya cita-cita dan impian. Ketika kita memasang impian itu di dalam minda, ia bukan hanya setakat angan-angan kosong tetapi ia adalah keinginan yang ingin dicapai oleh makhluk yang bernama insan. Saya pasti semenjak kecil, semua orang punya impian.

Pada usia 18 tahun, saya mula belajar menulis impian itu di atas kertas berbanding hanya dengan memikirkannya di minda. Alhamdulillah, daripada 3 impian yang ingin saya capai pada tahun itu, saya berjaya merealisasikan 2 antaranya.

Ya, benar. Impian itu perlu dituliskan. Untuk dibaca setiap hari bagi memotivasi diri. Bukan setakat impian besar, bahkan boleh juga tuliskan impian yang mungkin nampak kecil tetapi bermakna. Impian yang mungkin nampak kecil tetapi sangat besar kesannya pada hati dan jiwa; contohnya, menghabiskan satu juzuk Al-Quran setiap minggu bermula pada tahun ini.

Impian Yang Diredhai


Setiap manusia punya impian. Dan impian itu perlu tidak lari dari tujuan hidup penciptaan kita sebagai manusia kepada-Nya. Iaitu ber'ubudiyyah' atau mengabdikan diri kepada Allah. Menyukai apa yang disukai-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Impian yang bermakna adalah impian yang diredhai oleh Allah. Yang diimpikan bagi mendapatkan hujan rahmat dari-Nya. Impian yang digantung tinggi bagi mendapatkan kesukaan dan kecintaan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Itulah impian yang diredha.

Barangsiapa yang diredhai oleh Allah, maka, dia akan sentiasa mendapat pertolongan-Nya.

Itu adalah sesuatu perkara yang tidak akan diragui lagi.

Impian dan Usaha

Mungkin daripada 100 impian yang ada, hanya 20 yang mampu dicapai. Tetapi itu bukanlah penentu untuk menamatkan usaha. Impian dan usaha ibarat langit dan bumi yang tidak dapat dipisahkan.

Impian dan usaha adalah milik hamba tetapi natijah adalah milik Pencipta.

~Orang yang percaya kepada Tuhannya tidak akan pernah kecewa dengan takdir-Nya kerana redha dan tenang itu telah ada dalam tawakal setelah usaha.~


Dec 12, 2011

Cinta: Bila Fitrah Menjadi Fitnah


~Lihatlah hati dan cinta itu, dan lihatlah petunjuk serta hidayah Allah pada hatimu; moga Allah tidak lekang memberi hidayah kepada hati kita selama hati ini tidak buta~
~Cinta yang suci, jangan biarkan ia dikotori~

Insya Allah, selesai sudah Seminar Mahligai Impian 4. Alhamdulillah, Allah mengizinkan pada Ahad lalu untuk saya menghadirinya. Membuka mata hati ini kembali terhadap perkara-perkara berkenaan mendirikan rumahtangga Muslim impian.

Insya Allah, moga sedikit perkongsian ini menjadi peringatan dan juga nasihat buat diri saya sendiri.



Rasa Cinta Itu Fitrah

"Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. "
(Surah Al-Fajr; 89:27-28)

Semua manusia di dunia ini secara fitrahnya punya rasa ingin mencintai dan dicintai. Hatta, haiwan juga ada perasaan kasih dan sayang.

Rasa cinta pasti ada
Buat makhluk yang bernyawa
Sejak lama sampai kini
Tetap suci dan abadi
Takkan hilang selamanya
Hingga sampai akhir masa
Renungkanlah

Ramai manusia menginginkan Syurga rumahtangga di dunia.

Bagi yang belum berkahwin, apakah kita sedang menempuh jalan ke arahnya?
Berapa ramai manusia apabila ditanya; mereka inginkan yang soleh dan solehah?
Namun, berapa ramai yang menempuh jalan untuk mendapatkannya?
Jalannya adalah dengan mendekati Allah.

Kita mahu orang yang mencintai Allah menjadi pasangan kita, namun, apakah kita sedang menempuh jalan-jalan untuk dicintai-Nya?

Ya, fitrah manusia itu mahukan yang cantik, yang bersih dan suci.
Lalu, mari kita muhasabah, apakah kita sedang mancari sesuatu di atas jalan kesucian atau kenodaan?

Bila Fitrah Bertukar Fitnah


Setiap manusia mungkin pernah jatuh cinta, tetapi bagaimanakah kita mengendalikannya?

Saya tertarik dengan analogi yang diberikan oleh ukhti Fatimah Syarha tentang nyamuk dan harimau; yang mana lebih bahaya?

Jika dilihat, mungkin ramai mengatakan bahawa harimau lebih bahaya berbanding nyamuk. Bahkan bukankah sebenarnya ramai manusia lebih banyak menemui kematian akibat penyakit dibawa oleh nyamuk berbanding kes orang dibaham harimau.

Begitulah perumpaan dalam cinta.

Keparahan bercinta tahap teruk yang dilihat masyarakat adalah apabila kejadian zina berlaku.

Tetapi bagaimana pula jalan-jalan kecil yang tidak terlihat dengan mata kesannya? Ia terkesan pada hati hingga kita melebihkan manusia yang dicinta melebihi Pencipta kita; Allah lah yang paling utama patut kita cintai.

Hingga kita bangun kita tidak melihat Allah yang membangunkan kita, tetapi kita teringat manusia yang kita cinta. Apakah hingga manusia mengambil tempat menjadi Tuhan di hati kita?

Bukan saja untuk yang belum berumahtangga bahkan hingga kita bergelar suami atau isteri sekalipun, Allah tidak patut diletakkan ke nombor lain di dalam hati selain nombor yang pertama. Tidak ada yang boleh mengambil takhta Ilah itu di hati melainkan Allah.

Sirah ini adalah pertama kali saya mendengarnya dan ingin saya kongsikan agar kita mendapat iktibar.

Abdullah bin Abu Bakar baru saja melangsungkan pernikahan dengan Atikah binti Zaid, seorang wanita yang tidak kurang hebat sahsiah dan kedudukannya. Kedua-duanya bahagia dan saling mencintai.
Pada suatu hari, ayahnya Abu Bakar lalu di hadapan rumah anaknya Abdullah untuk berjemaah ke masjid.

Si ayah mendapati anaknya berbual mesra dan bergurau senda dengan Atikah. Hingga Abu Bakar selesai solat, Abu Bakar r.a masih mendapati anaknya masih berbual mesra dan bergurau senda bersama menantunya.

Kemudian Abu Bakar segera memanggil Abdullah,
"Wahai Abdullah, apakah kamu solat berjamaah?"
" Wahai Abdullah, Atikah telah melalaikan kamudari kehidupan dan pandangan hidup, malah dia telah melupakan kamu dari solat fardhu, ceraikanlah dia!"
Begitulah perintah Abu Bakar kepada Abdullah.
Penceraian itu membuat Abdullah sakit hingga dia mengubah syair untuk Atikah. Kemudian, Abu Bakar meminta Abdullah rujuk kembali. Atikah dan Abdullah belajar dari kesilapan mereka untuk mencintai Allah melebihi cintanya kepada manusia. 

Satu ikitibar buat kita yang bergelar manusia. Buat kita yang sering lupa.

Bukan untuk terus menjadi rahib, menolak fitrah. Tetapi fitrah itu ada jalan dan 'guideline' untuk kita mengurusnya. Tinggal kita mahu atau tidak sahaja. Dan belum terlambat jika kita diuji dengan fitrah ini untuk kita membuat 'U-Turn' kembali.

Kerana jalan U-Turn kepada Allah itu sentiasa terbuka kepada sesiapa yang benar-benar ingin menyucikan dirinya.

Kata As-Syeikh Hassan Al-Hudaibi:
"Tegakkanlah Islam dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah Islam dalam daurahmu."
Mulakanlah Syurga rumahtangga itu dengan mewujudkan jalan-jalannya di dalam diri kita.

Jadikan Orang Tersayang Bersama Ke Syurga


Apakah kita mahu menjadi penghalang orang yang kita sayangi itu menuju ke Syurga?

Apakah kita mahu dia menjadi penghalang kita sebaliknya?

Apakah kita menjadi orang yang melalaikan orang yang kita sayangi dari mengingati Dia yang sepatutnya pertama sekali kita cintai?

Jalan yang paling selamat untuk bertemu-Nya di Syurga adalah yang telah ditunjukkan-Nya kepada kita. Maka, apakah kita masih mahu menjalani jalan-jalan yang menyempitkan dada dan menyesakkan nafas hingga kita bagai dihembus-hembus bisikan syaitan yang memungkinkan kita jatuh ke jurang Neraka?

Mengapa mahu pilih jalan susah dan payah, sedangkan Allah dah sediakan kepada kita jalan yang mudah?

Daripada Wabisah bin Makbud, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan?"

Aku menjawab, "Ia". Maka sabdanya lagi: "Mintalah fatwa (pertimbangan) hatimu sendiri. Kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan kepada jiwa dan ketenangan hati. Dosa ialah perasaan bimbang dalam jiwa serta perasaan ragu-ragu di dalam dada (hati) sekalipun orang ramai telah memberi fatwa kepadamu dan sekalipun kamu telah diberi fatwa oleh mereka."
(Hadith Riwayat Ahmad & Ad-Darami)

~Meneroboslah ke dalam hati, apakah fitrah itu bertukar menjadi fitnah, atau masih terjaga kesuciannya?~

Dec 7, 2011

Kuasa Allah Itu Ketakjuban



~Allah akan menghadirkan keajaiban dalam kehidupan bagi mereka yang benar-benar percaya dan melihat kehidupan dengan mata hatinya~

~Keajaiban dalam tiap hari-hari yang kita nikmati~

Ingin melihat keajaiban?

Tidak perlu pergi ke serata dunia melihat 7 keajaiban dunia atau ingin melihat David Copperfield menghilangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC). Ia hadir dalam tiap-tiap hari yang kita lalui.

Keajaiban Setiap Hari

Setiap hari Allah beri kita keajaiban. Bagaimana roh yang sebentar pergi dari tubuh kembali kepada peminjamnya kembali tanpa tersilap jasad tuannya. Dan dalam lena yang sebentar itu kita sempat mimpi berbagai cerita suka, duka atau khalayan.

Bunga-bunga yang mekar tumbuh dari putiknya yang kecil adalah satu keajaiban.

Melihat matahari yang terbit setiap pagi tanpa tersilap waktu atau arahnya adalah satu keajaiban.

Tidak pula kita lihat matahari itu terbit dari arah barat daya pada keesokannya atau matahari pada pagi ini terbit pada waktu 10 pagi.

Ajaibnya Allah mencipta alam kerana Allah itu Maha Pencipta dan Dialah yang Maha Mengurus segala-galanya.

"Dan Dia menancapkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk, dan (Dia menciptakan) tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang mereka mendapat petunjuk. Maka apakah (Allah) yang menciptakan sama dengan yang tidak dapat menciptakan (sesuatu)? Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
(An-Nahl; 16: 15-17)
Keajaiban Dalam Urusan Kehidupan

Keajaiban bukan sahaja hanya dapat dilihat dari alam indah yang terbentang. Bahkan kekuasaan Allah itu melebihi natijah yang manusia inginkan atas usaha yang mereka lakukan.

Kekuasaan Allah itu kerana ilmu Allah yang Maha Luas.

Sedangkan ilmu manusia hanya atau kurang dari setitik dakwat yang tidak terbanding dengan luasnya tujuh lautan.

"Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya."
(Ali 'Imran; 3:159)

Allah mengajarkan kita di dalam ayat ini agar kita berusaha dengan penuh hikmah lalu setelah kita telah berusaha dengan pelbagai cara, dan setelah kita membulatkan tekad atas usaha, hendaklah kita bertawakal kepada Allah.

Akhir kepada usaha kita adalah kembali kepada Allah.
Kembali kepada Allah yang Maha Kuasa.


Namun, bukanlah dengan hanya tiada usaha atau hanya sekadar saja, dan hanya mengharap tawakal tanpa usaha. Bukan juga usaha itu dengan sesungguhnya tanpa dikembalikan kepada Allah segala urusan.

Manusia tidak tahu apa yang berada di hadapan kita. Apa yang bakal datang kepada kita. Kita hanya berusaha dalam menjadikan apa yang kita miliki tatkala ini terbaik dalam kehidupan kita.

Petunjuk Itu Keajaiban

Petunjuk ini ada yang kita dapati sebagai manual kehidupan iaitu Al-Quran dan kehidupan model tauladan sepanjang zaman; Nabi Muhammad s.a.w.

Kadang-kadang Allah melorongkan hati kita atau orang-orang di sekeliling atau mengizinkan sesuatu peristiwa terjadi kepada kita ke arah sesuatu.

Allah beri petunjuk kepada kita. Kadang-kadang kita lupa bahawa petunjuk yang Allah beri ini adalah satu keajaiban. Ia tidak terpampang di sepanjang jalan seperti yang terdapat pada 'signboard'. Ia adalah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata hati.

Saya teringat sebelum saya ke mari iaitu sebelum berhijrah ke negeri Johor dan sewaktu itu masih bekerja di Kuala Lumpur; ahli-ahli keluarga saya puas menasihatkan untuk berkerja di Johor sewaktu awal khabaran tentang temuduga. Namun, atas kedegilan saya, maka tetap tekad untuk bekerja di Kuala Lumpur. Mungkin kerana hati ibu dan bapa itu keberkatannya lain, maka, hanya sebentar saja pengalaman saya bekerja di sana.

Dan di sepanjang bulan Ramadhan di Kuala Lumpur, Allah mendorongkan hati untuk berhijrah ke sini. Allah juga memberi petunjuk mimpi kepada saya. Mimpi saya ke suatu tempat yang redup menaiki bas ke sana. Dan Alhamdulillah, apabila saya ke mari, suasana yang saya lihat pada pertama kali saya ke Bandar Penawar ini memang sama dengan mimpi yang saya alami.

Sungguh, itu adalah satu keajaiban. Allah beri ia pada hati ibu bapa dan ahli keluarga saya yang lain, rakan-rakan dan diri ini sendiri.

Sungguh, pengetahuan manusia ini amat cetek terhadap jalan-jalan yang bakal dilaluinya.

Kadang-kadang apa yang kita tidak sukai itu, mungkin baik untuk kita. Dan begitulah sebaliknya.

Apabila Allah Bukan Tempat Dikembalikan Segala Urusan

Manusia tiada kudrat hatta untuk mentadbir kehidupannya sendiri.

Apabila manusia cuba mentadbir urusannya sendiri tanpa melihat Allah sebagai penaung seluruh kehidupan di dunia ini, maka hilanglah rasa redha terhadap qadha dan qadar-Nya.

Sungguh, kehidupan ini bukan kita yang punya. Kita hanya memilih jalan-jalan untuk terus sampai kepada-Nya. Jalan yang selamat iaitu jalan untuk menggapai redha dan cinta-Nya.

Pernah saya dengar komentar dari sahabat muslim berbangsa Jepun di Ikim suatu ketika dulu tentang kes bunuh diri yang amat tinggi di Jepun. Ini kerana mereka menganggap bahawa kehidupan itu usahanya terletak pada mereka segala-galanya. Hingga apabila mereka menemui kegagalan setelah berusaha, mereka terlalu tertekan lalu melepaskan kehidupan ini.

Tetapi ini tidak bagi orang-orang yang beriman, hati mereka tidak akan sempit walaupun berhadapan dengan jalan-jalan kebuntuan. Kerana hanya kepada Allah, mereka menyerahkan segala urusan setelah mereka berusaha.

Mereka bermohon sesungguhnya kepada Tuhan; Allah yang Menciptakan untuk mengeluarkan mereka dari permasalahan.

Hingga Allah juga merindui rintihan mereka kepada-Nya sewaktu hati mereka benar-benar mengharap sepenuhnya kepada Allah.

"...Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu."
(At-Talaq; 65: 2-3)

Sungguh, orang-orang yang beriman itu sentiasa percaya kepada Tuhannya.

~Mengharaplah kepada Allah, sesungguhnya harapan pada-Nya tidak akan sirna~

Dec 3, 2011

Menjadi Magnet Yang Ditarik Atau Menarik?


~Apakah kita menjadi magnet yang ditarik atau menarik pada hari ini? Ia pilihan kita.~

Saya perlu meminta maaf kepada blog ini kerana telah sekian lama tidak mencoret di atasnya.

~Kaabah; dikatakan sebagai pusat dunia. Bahkan dunia pun berpusat kepada Tuhannya. Kita?~

Hari ini, saya ingin bercerita tentang magnet.

Sunnatullahnya, magnet akan menarik. Tetapi apabila ada magnet yang lebih kuat, magnet yang kurang daya tarikan akan ditarik.
Sunnatullah, adalah untuk kita sama-sama mengambil pelajaran darinya.

"Dengan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu, dan bintang-bintang dikendalikan dengan perintah-Nya. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang mengerti."
(An-Nahl; 16:12)

Kehidupan Seperti Magnet

Hidup kita ini seperti magnet. Kitalah yang akan menjadi magnet. Kita juga menentukan diri kita untuk menjadi magnet yang kuat atau lemah. Bergantung kepada apa yang kita tarik.

Di dalam kehidupan ini, ada berbagai-bagai tarikan dan seruan, ke manakah selalunya diri dan hati kita tertarik?

Contoh mudah, antara panggilan Allah dan hal-hal keduniaan yang tidak menjadi keutamaan  seperti menonton cerita dan seumpamanya; yang manakah diri kita sewaktu itu bergerak?

Adakah kita bergerak ke arah kutub keimanan, mencari keredhaan Allah dengan segera memenuhi panggilan serta seruan-Nya?

Atau adakah hati kita lebih tertarik dengan keindahan dan kecintaan kepada dunia?

Semakin dekat hati kita kepada Allah, semakin kuat daya kemagnetan kita kepada-Nya.

Semakin jauh kita daripada Allah, maka semakin lemah kemagnetan diri kita kepada-Nya.

Ini sama juga sunnatullah seperti magnet yang lain, 'demagnetized' sekeping magnet adalah mudah.
Jatuhkan ia berulang kali hingga ia pecah atau hampir pecah atau panaskan ia, ia akan menjadi magnet yang lemah.

Cara Menjadi Magnet yang Kuat

Cara yang paling mudah menjadi magnet yang kuat adalah kita bergerak menuju keredhaan Allah. Mencintai Allah dan Rasul menguatkan diri dan hati kita. Namun, bukan hanya cinta dengan kata-kata saja tetai dibuktikan dengan amalan kita yang kita tunjukkan pada Allah dan Rasul.

Insya Allah, kita akan menjadi magnet yang kuat dan berguna. Moga kita jauh dari menjadi magnet yang lemah, yang mudah ditarik oleh kutub hubbuddunya (kecintaan kepada dunia).

Moga Allah menyelamatkan kita daripada kesesatan dan jalan kemurkaan-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila Dia menyerukanmu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya kamu dikumpulkan."
(An-Anfal; 8:24)

Rangka Kekuatan Magnet

Tahun baru Hijrah sudah beberapa hari berlalu. Marilah kita sama-sama merangka jalan kekuatan diri kita untuk menjadi magnet yang hebat. Menjadi magnet yang kuat dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul lalu menjadi magnet yang kuat dan luas pengaruhnya untuk membawa insan-insan disekeliling kita kembali kepada Maha Pencipta.

Insya Allah, ini juga peringatan buat diri saya sendiri. Mari kita rangka pergerakan kita ke arah-Nya, mari kita tuliskan ia di atas diari atau planner kita pada tahun ini. Moga perangkaan kita sama-sama kita tampalkan di mana-mana yang mudah kita lihat sebagai peringatan agar ia selalu terpahat di hati dan minda kita untuk kita amalkan menjadi magnet keimanan yang kuat.

Perangkaan dan perancangan tahun baru bagi mengingatkan hati kepada Maha Pencipta dan Rasul-Nya.

Lihat. Dalam masa 24 jam, berapa lamakah hati kita meluangkan masa dengan sebenar-benar kepada Dia?

~Mari lihat diri. Apakah kita menjadi magnet yang menarik orang-orang sekeliling kita ke arah keredhaan Allah atau kita yang ditarik kepada kelalaian dan dunia? ~

Nov 13, 2011

Tatkala Hati Teruji


~Cerita yang terpendam, tidak terpadam. Mohon benar kekuatan dari-Mu~

~~Bila hati teruji~
photo by: tamaseraph
Wahai Tuhanku, Allahu Rabbi.
Entah berapa kali Kau menguji kami. Kadang kami mampu, kadang kami jatuh dan menzalimi diri.
Kami mohon kekuatan pada-Mu, janganlah Kau uji atas apa yang tidak mampu kami lalui.

Ada perkara yang tidak mampu kami kawal di hari-hari kami. Kerana kami hanya manusia yang tidak punya kuasa seperti-Mu, Ya Rabbi.

Ada hari-hari kami benar-benar teruji. Kami pohon penawar-Nya darimu.

Kami pohon dengan sebenar-benarnya, Ya Allah.

Kami mohon Kau mempermudahkan urusan kami. Nyata jalan satu itu bukan untuk kami.
Akur.
Namun, Kau tetap menguji hari-hari kami agar nyata benar keimanan kami kepada-Mu.

Ya Allah, maka anugerahkanlah jalan lain kepada kami. Bantulah kami kembali ke jalan-Mu.


Terlalu banyak cerita yang ku pendam,
Hingga hanya mampu ku berdiam,
Menghadapinya hanya dengan tangisan,
Bahawa aku lemah tanpa-Nya.

Kami mohonkan ketabahan,
Pada perkara yang diiginkan,
Dan perlu dilepaskan
Hanya kerana mengharap redhamu, Ya Allah.

Wahai Tuhan,
Kami khilaf,
Jangan jadikan hati kami buta,
Tanpa dapat melihat agungnya diri-Mu,
Jangan biarkan kami tuli,
Apabila mendengar peringatan-Mu,
Jangan biarkan hati kami lali,
Atas setiap perintah-Mu pada kami,

~Bantu kami Ya Rabbi. Tatkala hati berbolak-balik, kuatkanlah ia. Tatkala hati kami sakit, sembuhkanlah ia~

Nov 9, 2011

Pakej Cinta & Tanggungjawab



~Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila tibanya di Syurga nanti, dan dunia adalah ladang menanam benih-benih amal soleh di bawah cuaca cerah, hujan dan mendung yang silih berganti~


~Love comes with responsibilities. Ready for it?~
Apa Itu Cinta?

Mengikut Imam Ibnu Qayyim, cinta itu seperti singa dan pedang, juga seperti bencana besar dan juga diibaratkan seperti arak yang memabukkan. Ketiga-tiga pengertian ini bersatu memberi pengertian cinta. Sehingga ada hampir enam puluh lagi istilah cinta yang difahami manusia.

Apakah ada kehidupan tanpa cinta?

Mungkin tidak.

Apakah ada cinta tanpa tanggungjawab?

Mungkin ada, mungkin tidak.

Apakah ada BAHAGIA hanya dengan cinta tanpa ada tanggungjawab?

Maka, itu tidak akan pernah ada.

Bahagia yang hakiki hanya datang dengan satu pakej. Iaitu pakej cinta & tanggungjawab.

 CINTA X TANGGUNGJAWAB = BAHAGIA

Pakej Cinta


Hakikat fitrah kecintaan itu datang dalam satu pakej. Iaitu datangnya bersama tanggungjawab.

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.
(Al-Imran; 3:31)

Maka, apakah cukup dengan hanya mengatakan kita cinta kepada Allah dan Rasul jika hanya terungkap di bibir sahaja?

Andai benar kita cinta kepada Allah, maka kita akan menurut segala perintah-Nya. Kita akan cuba menjauhi segala larangan yang bakal menimbulkan kemurkaan-Nya kepada kita.

Cinta kepada Allah datang dengan suatu tanggungjawab. Iaitu sanggup menanggung segala payah jerih di dunia untuk meraih keredhaan-Nya agar di akhirat kita mampu menjawab segala pekerjaan yang telah kita kerjakan di ladang dunia.

Dan katakanlah, " Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan."
(At-Taubah; :105)
Cinta kepada Rasul.
Maka, kita akan mengikut apa yang dicintai baginda.

Saya akui pada waktu saya masih kecil, saya amat liat untuk memberus gigi. Namun, apabila telah mula mengenali baginda Rasullullah, dan mengetahui tabiat yang paling disukai adalah bersiwak. Saya berusaha untuk menyukainya. Walaupun agak lama masa yang diambil untuk memaksakan diri menyukai perkara kesukaan Nabi.

Banyak lagi akhlak-akhlaknya yang masih perlu diri ini dicontohi.

Benar, tanda cinta itu adalah dengan menyukai apa yang disukai baginda. Tanda cinta kepada Rasul adalah dengan mengikuti akhlak dan peribadi luhurnya, ketulusan cintanya kepada Allah. Dan cinta itu perlu datang bersama tanggungjawab seorang umat kepada Nabinya.

Banyak lagi hubungan di antara manusia yang melibatkan cinta.
Cinta ibu bapa kepada anaknya.
Cinta anak kepada keluarganya.
Cinta insan kepada sahabat-sahabatnya.
Cinta manusia kepada berlainan pasangannya.
Cinta manusia kepada alamnya.
Serta banyak lagi.

Terlalu banyak untuk dirungkaikan.

Cinta itu datang dengan tanggungjawab. Kerana keimanan itu juga iaitu cinta kepada Allah, bukan hanya dibuktikan dengan dibenarkan oleh hati atau dengan pengakuan kata-kata saja, tetapi ia dibuktikan juga dengan perbuatan dan amalan.

Cinta itu akan datang berselang-seli dengan keperitan.
Kerana bukan setiap tanggungjawab itu datang dalam keadaaan yang menyenangkan.
Kadang-kadang tanggungjawab itu diselangi dengan ombak-ombak kehidupan yang benar-benar menguji nilaian cinta.

"Ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka tertimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan berbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
(Al-Baqarah; 2: 214)

Dan hanya cinta yang benar-benar bersandar kepada-Nya dan mengikut landasan-Nya sajalah yang mampu bertahan apabila dilanda gelombang-gelombang kehidupan.


~Ketahuilah cinta itu datang dengan tanggungjawab iaitu bersama pengorbanan. Dan kecintaan yang mampu bertahan hanyalah dengan keredhaan Allah sebagai sandaran.~

Rujukan:
Al-Quranul Kareem
Taman Orang-Orang Cinta & Rindu (Menurut Al-Quran & Sunnah), Ibnu Qayyim Al-Jauziyah

Oct 23, 2011

Allah Akan Menjagamu...


~Allah akan menjagamu, andai kau menjaga-Nya dalam hatimu, dalam tiap hirup nafas dan langkahanmu~

~Source~
Membaca hadis yang amat ringkas ini beberapa hari lalu. Terasa ia terngiang-ngiang hingga ke hari ini.

"Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan."
(Hadith Riwayat Abi Said)

Allah dan Rasulnya memberi peringatan kepada kita agar:
1) tidak melakukan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.
2) tidak melakukannya kepada orang lain, dan jangan pula membalasnya. Serahkan kepada pihak yang berkenaan.
3) jangan mengerjakan sesuatu yang berguna kepada diri sendiri , tetapi mendatangkan kemudaratan atau kesusahan kepada orang lain.
4) dan jangan mengerjakan sesuatu semata-mata menyusahkan orang lain, sedang orang yang mengerjakannya tidak pula mendapat faedah.

Secara halus, Allah amat menjaga hamba-hamba-Nya. Allah tidak mahu kita menyusahkan diri kita sendiri. Allah tidak mahu kita menyusahkan hamba-Nya yang lain.

Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasul yang diriwayatkan oleh Anas.

Pada suatu hari Rasulullah telah melihat seorang lelaki yang sedang berjalan kaki untuk menunai ibadat haji dan sekarang ia hendak menyempurnakannya. Kemudian Rasulullah bersabda menerangkan:
"Bahawa Allah tiada menghendaki perjalanannya. Sebab itu hendaklah ia berkenderaan."
Dari 'Uqbah bin Amir pula;
Bahawa saudaranya (seorang perempuan) telah juga bernazar seperti yang tersebut. Tetapi Rasulullah tidak menyukai nazar itu kerana menyusahkan dirinya sendiri, lalu bersabda kepadanya: 
"Sesungguhnya Allah tiada berbuat sesuatu yang menyusahkan saudara engkau, kerana ini hendaklah dia berkenderaan."

Sungguh, Allah amat menyayangi hamba-hamba-Nya.

Allah menyediakan peraturan kepada kita agar kita tidak akan menyakiti diri kita sendiri. Allah beri panduan dalam kehidupan untuk kita turuti jalan yang telah Allah tunjukkan.

Namun, kitalah yang sering menzalimi diri kita sendiri. Kita sering ingin mengikuti kemahuan hati kita walaupun telah Allah tetapkan itu tidak baik untuk kita, Waima telah Allah titipkan bahawa jalan yang perlu kita tempuh itu ada di depan kita.

Sungguh, kitalah manusia yang sering melukakan diri kita sendiri.

Allah sayang kepada kita. Tidak mahu ada kesulitan kepada kita pada hari ini mahupun pada esok hari.

Mengapa masih kita ragui jalan-jalan yang telah Allah tunjukkan?

Mengapa kita masih lagi tidak mengerti bahawa Allah mahu menjaga kita daripada kemudaratan dan hanya mahukan kehidupan kita ini diliputi dengan kebaikan dan keselematan?

Periksa Hubungan Kita Dengan Allah

Hari ini, mahupun esok atau hari-hari yang mendatang, kita perlu sentiasa ingatkan diri kita. Kita perlu sentiasa ketuk hati kita. Kita perlu pantau tahap hubungan hati kita dengan Allah.

Lihat bagaimana solat kita. Periksa kekhusyukan hati kita apabila kita berhadapan dengan-Nya. Macammana dengan hati kita? Sibuk dengan dunia atau dengan Allah ketika kita angkat takbir dan tasbihkan asma Allah di mulut kita? Apakah bila azan berkumandang dan Allah memanggil kita dan tidak sabar menantikan kita, apakah kita melengahkan panggilan Dia dari kita?

Lihat pula bacaan Al-Quran kita. Jika bulan Ramadhan kita mampu tadabbur Al-Quran 1 juzuk sehari, apakah kita masih mengekalkan ia begitu? Atau bacaan Al-Quran kita sudah kita tinggalkan daripada 1 juzuk sehari ke 1 muka surat sehari? Apakah kita istiqamah? Atau semakin hari, semakin jadual dunia itu mengambil waktu kita dengan Al-Quran hingga kadang-kadang kita membaca satu ayat itu dengan tergesa-gesa, atau kita tinggalkan saja ia beberapa hari hingga kita terlupa waktu teruntuk kita dengannya?

Kita mahukan redha Allah.
Namun, tanyakan pada diri kita, apakah sudah kita berusaha untuk memelihara keseluruhan sistem kehidupan yang Allah redhakan untuk kita pada hari ini?

Kita mahu Allah menjaga kita, tetapi apakah sudah cukup kita menjaga Allah pada hari ini?

Belajar Dari Sirah

Kita belajar daripada Kisah Adam dan Hawa:

"Dan (Allah berfirman) , "Wahai Adam! Tinggallah engkau bersama isterimu dalam syurga dan makanlah apa saja yang kamu berdua sukai. Tetapi janganlah kamu berdua dekati pohon yang satu ini. (Apabila didekati) kamu berdua termasuk orang-orang zalim."
(Al-A'raf; 7:19)

Allah memerintahkan kepada Nabi Adam dan isterinya agar tidak mendekati pohon Khuldi dan bukannya jangan memakan buahnya. Begitu juga dengan perintah Allah dalam memerintahkan agar kita tidak mendekati zina dengan apa cara sekalipun serta pelbagai lagi perintah Allah dalam hidup kita.

Allah Maha Mengetahui bahawa hati manusia ini terlalu rapuh. Allah tahu apa yang perlu kita taatkan dan apa yang perlu kita jauhi.

Allah minta agar kita menyayangi diri kita sendiri.
Wahai diri, apakah kamu tidak mahu menyayangi dirimu sendiri?

Ibrah Al-A'raf, ayat 44-47.


Sedikit perkongsian daripada ayat-ayat ini yang benar-benar meruntun jiwa. Cuma ia tidak mampu dihuraikan dengan kata-kata.

"Dan para penghuni syurga menyeru penghuni-penghuni neraka, "Sungguh, kami telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepada kami itu benar. Apakah kamu telah memperoleh apa yang dijanjikan Tuhan kepadamu itu benar?"
Mereka menjawab, "Benar."
Kemudian penyeru (malaikat) mengumumkan di antara mereka, "Laknat Allah bagi orang-orang zalim, (yaitu) orang-orang yang menghalangi (orang lain) dari jalan Allah dan ingin membelokkannya. Mereka itulah yang mengingkari kehidupan akhirat."
Dan di antara keduanya (penghuni Syurga dan Neraka) ada tabir di atas A'raf (tempat yang tertinggi), ada orang-orang yang saling mengenal, masing-masing dengan tanda-tandanya.
Mereka menyeru penghuni Syurga,
"Salamun'alaikum" (Salam sejahtera bagimu).
Mereka belum dapat masuk tapi mereka segera ingin (masuk). 
Dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah penghuni neraka, mereka berkata,
"Ya Tuhan kami,  janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama orang-orang zalim itu."

Marilah kita bermohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk dan hidayah dalam melalui jalan-jalan kehidupan yang mencabar ini.

Dan setelah kita mendapatkannya, ingatkan hati agar turutilah petunjuk-Nya, Kerana kita takut apabila kita tidak mengendahkan petunjuk dan hidayah-Nya , maka Allah tidak akan mengendahkan pula diri kita lagi.

Tulisan ini adalah juga peringatan kepada diri sendiri yang turun naik imannya dan juga mereka yang menyayangi dirinya.

Moga kita menjadi orang-orang yang menjaga Allah dalam kehidupan kita, dan sehingga kita mendapati Allah menjaga kita hingga kita dapati Dia sentiasa berada di hadapan kita.

~Wahai diri, sayangilah dirimu. Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu.~


Rujukan:
Hadith 40 ; Terjemahan dan syarahannya. Mustafa' Abdul Rahman.

Al-Quranul Kareem.  



Oct 12, 2011

Tersenyumlah Untuk Hari Ini


~Tersenyumlah, kerana hari ini adalah untuk kau syukuri dan esok masih belum pasti.~

~Tersenyumlah dan syukurilah ia~

"Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan hak (benar), ketika Dia berkata, "Jadilah! Maka jadilah sesuatu itu . Firman-Nya adalah benar, dan milik-Nyalah segala kekuasaan pada waktu sangkala ditiup.Dia mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Dialah Yang Maha Bijaksana, Maha Teliti."
(Al-An'am: 6:73)

Ketika melihat timbunan buku yang belum dibaca dan sudah dimasukkan dalam senarai untuk dibaca nanti, hati bertanya apakah masih sempat untuk membacanya esok hari?

Apakah akan ada hari esok untuk diriku?

Ketika melihat pekerjaan yang akan dilakukan dan yang telah tertulis kemas di dalam kalendar, hati bertanya apakah sempat diri ini melangkah untuk ke tarikh hari esoknya?

Apakah akan ku temui tarikh esok untukku?

Ketika melihat perancangan-perancangan indah yang telah diatur kemas di dalam minda, hati bertanya apakah sempat yang terlakar di minda itu akan menjadi nyata untuk dilaksana?

Apakah ada hari esok untuk dilaksana?

"Dan Dialah yang menidurkan kamu pada malam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari. Kemudian Dia yang membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umurmu yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nya tempat kamu kembali, lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."
(Al-An'am; 6: 60)

Wahai diri, 
Esok belum dijanjikan lagi untuk kita, 
Usah bersedih atas hari yang belum pasti. 

Tersenyumlah  atas anugerah Tuhanmu kepadamu pada hari ini, 
Supaya diri sentiasa mensyukuri, 
Bahawa nikmat yang datang pada hari ini bukanlah untuk diratapi. 

Tersenyumlah.

Tersenyumlah menikmati nikmat Iman & Islam ini, 
Tersenyumlah tatkala menikmati kasih sayang Tuhan, 
Tersenyumlah tatkala menikmati limpahan kasih sayang yang tercurah melalui makhluk-Nya, 
Tersenyumlah tatkala menikmati dan mensyukuri sepasang mata yang boleh melihat indah alam-Nya,
Tersenyumlah tatkala masih punya telinga yang masih mendengar, 
Tatkala masih dipinjamkan seluruh anggota, 
Kerana hari ini nikmat itu patut disyukuri, 
Bukan untuk ditangisi.

Kematian pasti akan menjemput, 
Tidak akan kira waktunya, 
Andai hari ini yang terakhir bagi kita, 
Syukurilah ia, 
Tersenyumlah dan beramallah dengannya.

Tersenyumlah setiap kali hari itu hadir,
Kerana ia adalah suatu nikmat,
Untuk kita menambah amal,
Untuk kita mendekatkan diri kepada-Nya,
Dan untuk menghargai setiap kebaikan yang hadir dalam hidup kita.

"Dan Dialah Penguasa mutlak atas semua hamba-Nya, dan diutus-Nya kepadamu malaikat-malaikat penjaga, sehingga apabila kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya, dan mereka tidak melalaikan tugasnya."
(Al-An'am; 61)


~Syukurilah setiap nikmat yang diberi, dan hargailah orang-orang di sekeliling kita selagi kita masih boleh menghargai. Hayatilah wajah-wajah yang kita sayangi, dengan bekal doa, moga kita mampu bersamanya di Syurga nanti~ 


Oct 11, 2011

Wanita: Anda Cantik!


~Percayalah wanita, anda cantik! Peliharalah kecantikan itu hingga anda bertemu dengan-Nya~

~Fitrah alam, mutiara itu tersimpan di dasar laut, dan ia tersimpan kemas di dalam cangkerangnya. Ciptaan Allah untuk kita fikirkan~
1)
Pertama kali Carol melihat Fatin membuka tudung di hadapannya di bilik kolej, Carol berteriak:

"Wow, Fatin, you look so beautiful without 'tudung'."

2) 
Sheila, sahabat Nurul sekolej singgah di bilik Nurul, seorang wanita yang berhijab.

Sheila: "Nurul, kalau awak pakai baju seksi ni mesti cantik bila di luar. Mesti ramai peminat."

3) 
"Faizah, rambut awak cantiklah."  tegur Humaira sewaktu mereka bersiap untuk bersolat di ruang solat di tempat kerja.

Duhai wanita, pernahkah kita dipuji sebegini? Saya kira tentu ramai antara kita yang menerima pujian tentang rupa paras fizikal kita.

"Ruginya, ada badan macam model tapi tak nak tunjuk."

"Ruginya, rambut cantik tapi duduk dalam tudung saja."

Tidak, seorang wanita itu tidak pernah rugi sekiranya kecantikannya tidak ditunjukkan pada yang bukan haknya.
Tidak rugi andai tiada lelaki pun yang tidak memuji kecantikannya.

Kecantikan Itu Ujian

Ramai wanita ingin dipandang. Ingin mendapat perhatian lebih-lebih lagi daripada seorang lelaki.

Mengapa?

Bukan wanita saja. Semua manusia ingin mendapat perhatian. Kita akan cuba mencari kasih dan sayang. Kita akan cuba mencari sesuatu yang mampu memberi perhatian dan menjaga kita. Kita akan terus mencari dan terus mencari untuk memuaskan seluruh hati kita.

Kenapa?

Sebab hati ini kosong dan hampa. Ia akan kosong dan hampa dan terus mencari apa-apa saja untuk menjadikan hati itu puas. Namun, tidak ada apa pun yang mampu memenuhi kekosongan hati melainkan dengan perhatian, rindu dan cinta kepada Allah.

Sekiranya kita isi seluruh dunia ini pun ke dalam hati kita, kita tidak akan pernah merasa puas. Kita akan terus merasa dahaga kepada dunia. Kerana hakikatnya dunia ini bukan untuk kita isikan ke dalam hati kita.

Duhai wanita, 
Kecantikan ini hanya sementara, 
Ia adalah suatu nikmat, 
Juga ia ujian dari Pencipta untuk kita. 

Duhai wanita, 
Ingatlah yang sementara ini diambil kembali bila tiba masanya, 
Tidak perlu tunggu tua, 
Cukup hanya bila Allah ingin mengambilnya, 
Maka ia akan terus luput dari kita. 

Duhai wanita, 
Apakah bangga yang dicari apabila kita dinikmati oleh semua lelaki?
Jangan jadikan diri ini seperti bangkai yang terbiar, 
Boleh dinikmati oleh sesiapa saja. 
Dan apabila ia habis, bangkai itu busuk begitu saja. 

Kecantikan ini adalah ujian, 
Peliharalah ia hingga sampai dirimu menjadi bidadari Syurga,
Peliharalah ia daripada menjadi bahan bakar Neraka, 
Kecantikan itu hadir dari dalam ke luar, 
Cukup hanya dengan Allah memandangmu dengan rahmat-Nya,
Maka keindahan iman di hati itu akan memancar ke wajahmu
Bak kilauan cahaya berseri tiada sirna. 

'Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."
(Al-Ahzab; 33: 59)

Sungguh, Allah itu sedang memeliharamu. Memelihara keindahan seorang wanita. Memelihara harga diri seorang wanita.

Mengapa kita mahu bersangsi lagi?

Semakin mutiara itu tersimpan kemas di dalam petinya, maka ia terpelihara dan terjaga harganya.

Dan yakinlah, Allah itu Maha Penyayang. Allah Pencipta kita. Setiap suruhan-Nya adalah kerana Dia Menyayangi kita.

Dan Allah itu sangat Penyayang kepada kita.
Apakah kita tidak mahu menyayangi diri kita lagi?

Marilah kita berusaha sedikit demi sedikit. Sesungguhnya Allah Maha Melihat atas segala usaha yang kita lakukan untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya. Hatta Allah Maha Teliti atas kekuatan yang kita bina di lubuk hati kita.

Mohonlah kekuatan dari-Nya.

~Lumrah manusia, mahukan mutiara yang tersimpan kemas di dalam petinya.~


* Nama-nama di atas adalah rekaan semat-mata. 

Oct 8, 2011

Mintalah Pada Doktor Hati


~Kadang-kadang, hati sukar dimengerti hatta oleh empunya diri. Ingatlah kerana hati itu bukan milik diri, ia pinjaman dari Ilahi. Ayuh diri, mari baiki hati!~


~Maaf, hati sedang dalam proses renovasi. Kesulitan hari ini adalah untuk keselesaan masa hadapan. Harap bersabar~

Hati Yang Sukar Difahami

Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Hati ini sukar untuk dimengerti.

Sukar untuk difahami.
Hati adalakalanya seperti air laut.
Ada pasang, ada surut.
Ada masa tenang dan ada masanya ia bergelombang.

Apabila ada orang berkata kepada diri anda:

"Ish, saya tak faham betullah dengan kamu ni."

"You're are the most complicated person that I've ever met."

Dan adakalanya juga hati yang kita rasakan itu berubah secara tiba-tiba hingga menyebabkan manusia sendiri kadang-kadang tidak mampu memahami isi hatinya sendiri. Ya, kerana hati itu bukan milik kita.

Bagaimana Ingin Memahami Hati?

Kunci kefahaman hati itu tidak ada pada kita.

Ia ada pada Pencipta hati kita.

Allah punya kunci kepada segala-galanya.
Allah miliki kunci penyelesaian kepada setiap gundahnya rasa jiwa.
Dia miliki ilmu kepada setiap rasa duka.
Doktor hati ini yang sebenar adalah Dia.

Allah yang mencipta kita.
Yang paling memahami kita adalah Dia.

Kita hanya melihat simptom-simptom hati.
Hati yang sihat akan tenang.
Tetapi hati yang kurang sihat akan memanifestasikan rasa resah, gundah dan gelisah. Juga tatkala hati rasa sedih atau tidak menentu, hati itu pasti menunjukkan tanda-tandanya kepada kita.
Tanda-tanda hati sedang mengalami krisis.
Krisis kegundahan, krisis kesedihan dan sebagainya.
Dekatilah Dia agar kita mendapat rawatan yang sebenarnya.
Allah pasti memberi petunjuk kepada kita.

Mintalah kepada Allah dengan sesungguh hati.
Allah itu Maha Mendengar walau hanya sudut hati yang berbicara.

"Dan mintalah kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan solat..."
(Al-Baqarah; 2:45)

Berdoalah dan terus berdoa sehingga hati itu benar-benar reda dari seribu satu kemelut kesakitannya.
Andai kemelut itu sudah pergi, teruskan berdoa dan berusaha membasmi kuman hati kerana hati itu sifatnya berbolak-balik. Imunitinya tidak tahan lama. Mudah diserang oleh penyakit-penyakit di sekitarnya.

Berdoalah dan terus berdoa agar hati itu sentiasa sihat dan tetap berada di atas jalan kebenaran-Nya.
Berdoa dan tamaklah mencari seribu satu cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya, doktor hati kita.
Berusahalah dan terus berusaha membersihkan hati.
Mintalah sesungguhnya.
Mintalah sesungguhnya.
Mintalah sesungguhnya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."
(Hadith Riwayat Tirmizi)

Kata Opick dalam lagunya; Obat Hati:

Ubat hati ada lima perkaranya. 
Yang pertama, baca Quran dan maknanya. 
Yang kedua solat malam, dirikanlah. 
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh. 
Yang keempat perbanyaklah berpuasa. 
Yang kelima, zikir malam perpanjanglah. 

Dan banyak lagi sebenarnya ubat-ubat hati. Kuncinya; dekatilah Allah dengan apa cara sekalipun. Dan ingatlah kata kunci yang sebenarnya telah Allah catatkan di dalam Al-Quran tentang prinsip sebenar penawar hati.

Kata (Firman) Doktor Hati:

"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Ar-Ra'd: 28)
Ya, perintah Allah kepada kita: "ingatilah  Daku. Hanya itu yang akan menjamin ketenangan hatimu. Hanya itu yang mampu menyelesaikan krisis di jiwa dan hatimu. Ingatilah Daku."

Ya, buatlah dengan apa cara sekalipun untuk mengingati-Nya, hati itu akan dianugerahkan penawarnya: ketenangan dan kebahagiaan.

Berusahalah hati. Sehari, seminggu atau sebulan lamanya jangan putus asa mengubat hati dengan ingatan kepada-Nya kerana Allah tidak pernah putus asa kepada kita kecuali apabila sudah ajal menjemput tiba.

~Duhai hati, berbicaralah dengan-Nya, Allah pasti akan membantu~

Oct 6, 2011

Aku Manusia Kerdil


~Setiap kali kita berasa kikir, ingatlah duhai hati, kita hanya manusia yang kerdil di penjuru dunia ini~


~Lihatlah di alam terbentang; kebesaran-Nya, di situ ada pelajaran daripada-Nya untukmu~


Nasihat Untuk Hati

Kadang-kadang Allah memberi nasihat dan peringatan kita daripada bacaan Al-Quran kita atau daripada orang di sekeliling kita. Atau mungkin juga daripada nasihat yang kita berikan kepada orang lain.

Sesungguhnya segala kebaikan dan yang haq itu hakikatnya daripada Allah jua.

Namun, manusia ini adakalanya degil.

"Biarlah, mungkin lebih baik macam ni."

"Malaslah, dah tawar hati."

Saya akui saya juga adakalanya begitu. Tiba-tiba rasa menjadi sangat degil, apatah lagi apabila ada sesuatu yang terpalit dalam hidup, maka saya berasa ingin meninggalkan semua itu dengan segera, meninggalkan semalam yang akan berlalu dimamah usia dan meneruskan kehidupan hari ini untuk hari esok tanpa melihatnya kembali.

Ya, setiap manusia akan berasa sedih apabila haknya tidak diberikan. Apabila dirinya tidak mendapat apa yang sepatutnya ia dapatkan.

Rasa tidak adil.
Rasa dirinya seperti tidak dihargai.
Lebih baik berputus asa daripada terus memberi.

Mungkin kita boleh mengambil iktibar daripada ayat di bawah walaupun bukan berkaitan dengan kita daripada perihal suami isteri.


"Dan jika seorang perempuan khawatir suaminya akan nusyuz atau bersikap acuh tak acuh, maka keduanya dapat mengadakan perdamaian yang sebenarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka) walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu memperbaiki (pergaulan dengan isterimu) dan memelihara dirimu (dari nusyuz dan sikap acuh tak acuh), maka sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."
(An-Nisa'; 4:128)

Ya, tabiat manusia itu kikir. Ia mahu dirinya dihargai apabila ia memberikan sesuatu. Ia akan menarik semula tindakannya untuk memberi apabila rasa dirinya dizalimi.

Kita Ini Hanya Manusia Kerdil

Duhai hati, lihatlah pada alam di sekeliling yang tidak pernah pudar warnanya untuk kita yang seringkali berbuat dosa pada Maha Pencipta. Walaupun, adakalanya kita sengaja melewat-lewatkan solat, tetapi Allah yang Maha Hebat tidak pernah lokek memberi lewat rezekinya kepada kita setiap kali kita lalai mengingati Allah. Allah tidak lokek memberikan kepada kita oksigen setiap kali kita berbuat dosa dan kelalaian.

Allah itu Maha Adilkan?
Dan Allah itu juga Maha Penyayang dan Maha Pemurah.


Kita ini hanya manusia kerdil.
Sedangkan Allah yang Maha Besar itu tidak pernah lokek untuk terus memberi kepada hamba-hamba-Nya.
Tetapi mengapa kita sebegini?
Duhai hati, lihatlah ke dalam hatimu yang paling dalam.

 Allah itu sentiasa menghendaki hamba-Nya akan kebaikan dan menghendaki hamba-hamba-Nya sentiasa berbuat baik sesama mereka. Tiada sifat hasad dengki atau benci membenci.

"Allah tidak menyukai perkataan buruk, (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui."
(An-Nisa' ; 4: 148)

"Wahai orang-orang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapak dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran."
(An-Nisa' ; 4:135)

Dengarkan hati, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Pernahkah sepanjang hari atau sepanjang minggu kita bertemu dengan ayat-ayat atau bicara dari seluruh corong radio dan televisyen mahupun lagu yang berkumandang seolah-olah menasihati kita atas perkara yang kita sedihkan?

Allah Maha Mengetahui segala isi hati.

Duhai hati, Allah itu sedang memujukmu. Walaupun bibirmu mengukir senyum, tetapi ketika kau berkeseorangan dengan-Nya lalu hanya air matamu saja yang mampu kau alirkan tanpa sebarang bicara, yakinlah duhai hati.
Yakinlah bahawa Allah itu mendengar rintihan hatimu.

Tatkala kau memeluk erat surat cinta-Nya di dadamu hingga kau terus lena bersamanya, ingatlah bahawa Allah itu sentiasa menemanimu.


"Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh, Allah Maha Pemaaf, Maha Kuasa."
(An-Nisa' ; 4: 149).


Allah itu Maha Penyayang.
Allah itu Maha Pemujuk.
Allah itu Maha Teliti.
Allah itu Maha Pemerhati hatta menerobos ke dalam hati.

Katakanlah kepada dirimu duhai hati, 'sesungguhnya biarlah segalanya yang ku lakukan ini adalah kerana Allah dan Rasulku.'

Maka, hati itu akan sentiasa mengukir senyum setiap kali  ia memberi.

Wahai diri, pujuklah hati.
Memang susah, tapi berusahalah.

~Duhai hati, muhasabahlah. Buangkan kedegilanmu. Apabila Allah sudah memujuk dan menasihatimu, apakah hatimu ingin berdegil lagi?~

Oct 4, 2011

Jadikan Dirimu Sayap Kiri Yang Kuat


~Mari berusaha menjadi sayap kiri yang kuat, biarpun belum menemui, terbanglah gah di langit, semakin tinggi menuju Ilahi~


~Pohonlah pada-Nya agar kita menjadi yang paling indah pada pandangan-Nya~




Menanti Rusuk Kiri

Sudah berusia 25 tahun lebih.

Di sewaktu usia ini, ramai rakan-rakan rapat yang sudah berkahwin, tidak kurang juga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan tidak kurang juga mendapat deretan anak-anak buah hasil pernikahan rakan-rakan terdekat (terutama rakan sekelas) atau yang bakal dilahirkan.
Alhamdulillah, tahniah buat semua sahabat.

Manusia akan melalui peringkat demi peringkat dalam kehidupan.

Ya, apabila belum habis belajar, orang akan tanya bila nak habis?

Apabila sudah habis belajar, akan ditanya lagi bila akan berkahwin?

Dan kemudian, apabila sudah berkahwin, akan ditanya bila akan menimang cahaya mata?

Benar firman daripada Maha Pencipta yang menciptakan lumrah manusia itu seperti ini:

"Dijadikan indah (pada) pandangan manusia kecintaan kepada apa yang diingini, iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas dan perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)."
(Ali Imran; 3: 14)

Duhai wanita yang masih belum menemui asal tulang rusuk kirimu, moga kita semua masih dapat menjaga diri. Biarpun hidup membujang semakin dimamah usia, usah gusar dan bimbang. Allah pasti tahu apa yang terbaik bagi dirimu.

Jagalah dirimu. Jangan dek kerana kau masih belum menemui, maka dirimu memburu lelaki. Usah mendekati lelaki yang bukan mahrammu untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang. Usah kau sengaja menjadikan dirimu umpan agar dirimu bisa mendapatkan perhatian.

Allah tidak pernah menyuruh wanita untuk bertindak demikian. Tetapi Allah pelihara wanita dengan rasa malu. Malu itu mahkota kita. Maka, apakah kita mahu melemparkan mahkota itu demi mendapatkan sesuatu yang belum menjadi jaminan untuk diri ini?

Waktu itu pasti akan datang nanti. Pasti akan tiba nanti. Insya Allah.

Pasanglah tiga, empat atau lima sekalipun untuk kau lihat yang mana sesuai untukmu. Namun, andai bukan itu yang ditakdirkan untukmu, maka, kau tidak akan mampu mendapatkan satu pun untuk dirimu.

Tundukkan pandanganmu, tetapi bukalah mata hatimu.
Hiasilah hatimu dengan kecintaan terhadap-Nya.
Hati yang penuh kecintaan kepada-Nya akan menyedarkanmu dari tipu daya dunia.

Kau Sayap Kiri

Duhai wanita, kaumku Hawa,
Latihlah diri untuk menjadi sayap kiri yang kuat.

Ya, walaupun dirimu masih belum menemui lelaki itu.
Tiada salahnya kau berusaha menjadi wanita yang solehah, wanita yang tabah, wanita yang memperkaya dirimu bukan saja dengan ilmu bahkan dengan kefahaman. Berusaha menjadi wanita yang paling diredhai Allah, wanita yang mencintai Al-Quran, yang mencintai Rasul bukan hanya dengan kata-kata tetapi dengan tingkah lakumu.

Latihlah dirimu menjadi sayap kiri yang kuat. Andai bukan sayap kiri kepada suamimu di dunia, pasti Allah akan kurniakan yang lebih baik di Akhirat sana.

Di dunia ini semuanya indah, baik kereta, rumah, tanah, anak-anak, dan harta emas dan perak. Namun, wahai kaumku, mahukah kau menjadi sesuatu yang lebih indah daripada semua ini?

Ingatlah bahawa telah dikatakan oleh baginda Rasulullah s.a.w:

"Dan dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah."
(Hadith Riwayat Muslim)

Dan yang paling indah di dunia ini adalah dirimu; wahai wanita solehah sayap kiri lelaki.

~Wanita solehah : sayap kiri yang kuat adalah dirimu. ~

~Berusahalah menjadi yang paling indah di dunia tetapi bukan dengan menghiaskan dirimu kepada dunia. Hiaslah hatimu dengan haruman kerinduan dan bunga-bunga kecintaan kepada-Nya~


Sep 23, 2011

Allah Ada Dalam Sendumu


~Sebelum air mata jatuh ke Bumi, Dia sudah mengetahui zarah kesedihan itu di hatimu, duhai pemilik hati~
"Inilah (Al-Quran) suatu keterangan yang jelas untuk semua manusia dan menjadi petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa. Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang yang beriman."
(Ali 'Imran; 139- 140)

Dalam air mata yang meluruh,
Hati berdoa,
Wahai Tuhan ,
Ubatilah hatiku,
Ubatilah hatiku,
Ubatilah hatiku.
Berderaianlah semua kepada-Nya

Lalu,
Pujukan itu datang daripada berbagai penjuru,
Keajaiban datang dalam setiap hari-harimu,
Hujan yang lebat akan teduh apabila dirimu memerlukannya,
Kilat yang menimbulkan ketakutan bertukar menjadi cahaya yang diperlukan di dalam kegelapan,
Pelangi akan terbias di hujung senja walaupun tiada setitik hujan pun menjadi prisma.

Lalu, siapakah lagi yang mampu menjadi pelindung diri?
Lalu, siapakah lagi yang mampu menyembuhkan luka di hati?

Bukankah Allah itu Maha Pemujuk?
Bukankah Allah itu Maha Penyayang?

Tiap titisan air mata yang jatuh ketika sujud,
Pasti ada Dia yang akan menyekanya.

Tiap aduan hati yang penuh sendu,
Pasti ada Dia memujuk hatimu,

Wahai hati,
Sesungguhnya dikau tidak pernah bersendiri,
Kerana hanya dengan kasih sayang Allah,
Dunia itu datang kepadamu,
Kerana hanya dengan perhatian daripada Allah,
Seluruh langit dan bumi seolah-olah bersamamu.

Maka, duhai hati,
Masihkah kau ingin bersedih?

Bergembiralah,
Kerana hanya dengan kasih sayang Allah itu di singgahsana hatimu,
Seisi dunia dengan relanya duduk bersama denganmu. 

~Allah itu sentiasa di hati menemani~


Sep 20, 2011

Mendaki Puncak Menuju Allah


~Ya Allah, ya Tuhanku, janganlah Kau palingkan hati kami setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami~
~Meninggalkan lembah jahiliyyah, mendaki puncak menuju Allah~
Sumber


Setiap daripada kita mungkin pernah mengalami saat-saat kejatuhan dalam kehidupan dan mungkin ramai yang berjaya bangkit semula.

Jatuh dan bangun yang saya maksudkan bukanlah jatuh bangun membina empayar kekayaan, bukan jatuh bangun dalam membina hubungan cinta lelaki dan wanita, bukan jua jatuh bangun dalam membina kerjaya masing-masing.

Namun, jatuh bangun ini adalah dalam medan kehidupan yang lebih besar lagi. Ia adalah jatuh dan bangun dalam keimanan.

Kadang-kala diri terperosok ke dalam lembah jahiliyah, kadang-kala diri berjaya mendaki puncak keimanan untuk menghirup udara dan cahaya iman untuk hati yang semakin malap.

Meninggalkan Lembah Jahiliyyah

Saya juga pernah melaluinya. Permulaan saya adalah daripada lembah jahiliah. Hidup yang hanya dimomokkan dengan idola-idola artis, media massa adalah sumber curahan hati, dan tidak ada Redha Allah sebagai matlamat hidup ini. Pernah saya meletakkan gambar seorang pemuda atlet Motor Grandprix Malaysia di dalam dompet saya ketika awal sekolah menengah. Begitulah bagaimana jahiliah itu membutakan hati dari melihat redha Allah sebagai matlamat hidup yang sebenar.

Lembah jahiliah itu memang sukar untuk ditinggalkan. Tanpa bekalan keimanan yang kukuh, tanpa hubungan hati dengan Allah yang ampuh, kaki ini pasti akan tergelincir kembali jatuh ke dalamnya biarpun sudah berkali-kali cubaan pendakian menuju Pencipta.

Ya, meninggalkan segala kesukaan dan dan keseronokan demi kepuasan diri dan menggantikannya dengan kesukaan Allah dan Rasul memang kerja yang sukar. Kerana itulah mereka yang meninggalkan jahiliah dan berusaha keras menuju Allah dikatakan sebagai bermujahadah. Berjihad melawan hawa nafsu.

Apatah lagi perlu dibuang segala kebiasaan yang sudah berakar umbi di hati dan diganti dengan suatu rutin hidup yang baru memang payah. Namun, ia akan mudah bagi orang-orang benar-benar merasai kenikmatannya.

Mujahadah itu indah bagi mereka yang merasai bahawa nikmat Iman dan Islam itu indah.

Dalam kehidupan jahiliah, kita tercicir dari memuhasabah setiap laku dan tingkah. Namun, apabila kita menjadikan kesukaan Allah dan Rasul lebih utama daripada kesukaan dan kehendak diri kita, hati yang berkandung iman akan bertanya pada setiap anggota badannya, pada akalnya:

'Apakah Allah redha jika aku buat begini?'

'Jika Rasulullah ada bersamaku ketika ini, adakah baginda akan menyertai perbuatanku ini?'

'Adakah baginda akan tersenyum ketika baginda bersama diriku ini?'

Atau adakah baginda Rasulullah s.a.w akan bersabda kepada kita sebagaimana yang disabdakannya kepada Abu Dzar di dalam satu kisah sirah:

Diriwayatkan daripada Shahih Bukhari dan Muslim bahawa para sahabat berkumpul di suatu tempat lalu sampai Bilal berbicara. Kemudian Abu Dzar berkata kepadanya, "Sampai-sampai kamu hai anak wanita hitam berbicara!"
Abu Dzar memang belajar dalam bimbingan Nabi Muhammad s.a.w namun ketika itu ia khilaf.

Bilal mengadukannya kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w marah dan berubah wajahnya.
Baginda bersabda kepada Abu Dzar, "Kamu menghinakannya dengan menyebut-nyebut ibunya? Sesungguhnya kamu orang yang masih terdapat sifat-sifat jahiliyyah dalam dirimu."

Ucapan itu ibarat batu besar yang menimpa Abu Dzar r.a.
Lalu beliau bertanya, "Wahai Rasulullah, walaupun masih di usia tuaku ini?"

Rasulullah menjawab, "Ya."
Kemudian Abu Dzar pulang sambil menangis.

Ketika Bilal berlalu di hadapannya, Abu Dzar berkata, "Aku tidak akan mengangkat kepalaku dari tanah ini, sampai kamu menginjaknya dengan kakimu."

Bilal dengan sifatnya yang mulia dan akhlak yang tinggi enggan berbuat demikian. Bilal berkata kepada Abu Dzar, "Kamu adalah saudaraku." Mereka berdua berdiri sambil berpelukan dan sama-sama menangis.

Jadi, apakah kita di hari-hari yang kita lalui kita telah meninggalkan sifat-sifat jahiliyyah dalam diri kita?
Apakah hari ini jika Rasulullah s.a.w bersama kita, baginda tidak akan mengatakan sebegitu kepada kita?

Pendakian Menuju Allah

Ya, tidak ada manusia yang sempurna termasuk diri saya sendiri. Tetapi sebaik-baik manusia adalah mereka yang berusaha memperbaiki diri mereka dan orang-orang di sekeliling mereka. Dan Allah sangat menyukai orang-orang yang kembali kepada-Nya melebihi kesukaan seseorang yang kehilangan barang-barangnya di padang pasir yang gersang menemui kembali barangnya.

Ayuh, bermujahadahlah.
Nescaya akan kita dapati bahawa Allah itu selalu di sisi menemani. Akan kita dapati bahawa Allah adalah sumber kekuatan dalam lelah dan penat kita untuk terus mengejar cinta dan redha-Nya. Akan kita dapati bahawa Allah itu Maha Penyayang yang akan menghiburkan hati kita di saat kita hampa.

Mari kita hayati bait-bait kata-kata Syeikh Dr. A'idh Al-Qarni:

"Sebahagian besar pemuda, di antara mereka mencintai Allah, Rasulullah dan negeri akhirat. Mereka memiliki gambaran global dan umum tentang Islam. Namun, banyak di antara mereka yang tidak memiliki pengetahuan tentang hukum-hukum syariat, pemahaman tentang agama, dan pendalaman ilmu syariat."

"Barangsiapa yang dikehendaki Allah memperoleh kebaikan, nescaya Allah akan memahamkannya tentang agama."
(H.Riwayat Bukhari & Muslim)

Moga Allah mengurniakan kita kefahaman yang jelas.

Marilah kita bermohon agar kita membangunkan Islam dan Iman itu dalam hati dan jiwa tanpa ada lalang-lalang jahiliyyah yang menyertai. Kerana pohon-pohon keimanan tidak akan mampu subur di ladang hati yang berlalangkan jahiliyyah.

Hargailah pancaran cahaya petunjuk dan keimanan di hadapan kita. Usah sia-siakan ia. Kerana kita khuatir Allah akan menggantikan tempat kita dengan hamba-Nya yang lain yang lebih menginginkan nikmat Islam dan Iman daripada kita.

~Wahai Allah, Tuhanku, tabahkanlah hatiku ini menghadapi ujian-ujian ini kiranya apa yang kau hadirkan di hadapanku ini merupakan kifaah dosa-dosaku yang telah lalu. Ampunilah hamba-Mu~

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino