::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 31, 2010

Berteduh di Payung Redha




~Ya muqollibal qulub, tsabbits qalbi ala dinika...~

Alhamdulillah, malam tadi 15 Safar 1432 H.

Bulan purnama yang memancar menerangi alam sangat indah, Subhanallah.

Lihat dengan mata kepala, kita hanya nampak bulan yang terang menyuluh jalan.

Tapi lihat dengan mata hati, sungguh, ciptaan Dialah Yang Maha Sempurna. Tanda Kekuasaan dan KebesaranNya.

Manusia buat apapun tiada yang sempurna, kerana hakikatnya manusia memang tidak sempurna melainkan berusaha untuk memperbaiki dirinya sendiri.

Lihatlah alam dengan jiwa dan hati yang tenang. Di situ ada nasihat, ada pengajaran dari Allah buat hamba-hamba yang mahu berfikir.

Dari transit hidup yang sebentar ini, izinkan saya melakar puisi yang terbit dari hati...

Berteduh di Payung Redha

Ini bukan yang pertama
Bukan kedua atau ketiga
Hujan panas berselang seli
Lebat, gerimis, kemarau
Sudah ku alami
Payung sudah sedia di sisi
Temani saat cuaca berubah lagi

Aku hanya hamba
Cinta-Nya lah yang ku damba
Selagi bernyawa
Perasaan manusia adalah dari-Nya
Hanya mampu ku subur
dalam redha dan restu Pencipta

Dalam hujan tiada henti
Sering pasti ku tunggu pelangi
Biar hari ke-1000 dinanti
Kerana janji-Nya itu pasti

Berkali-kali dicuba
Ku tahu
Dia mahu cinta hamba pada-Nya
Ujian ini menagih redha
Dan payung redha sudah ku sedia

Aku hanya hamba
Dugaan datang bergelombang
Berpaut pada tali-Nya
Agar tidak hanyut dibawa dunia

Hari itu nanti pasti
Hanya dengan redha-Nya
Tetap ku nanti
Takdir Tuhan tertulis
Ketika cintaku bertasbih
Di dunia atau di syurga
Moga jadi wanita hiasan dunia
Yang bidadari cemburu padanya....
InsyaAllah.


'Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Maka apabila Dia hendak menetapkan sesuatu urusan, Dia berkata, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu.'
(Al-Mu'min; 40:68)

Jan 28, 2010

Tabib Hati




~Sesungguhnya Allah rindu pada hamba-hamba yang merintih padaNya.~

"Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang semalaman berjaga di jalan Allah."
(Riwayat Tirmidzi)

Ingin berkongsi dua cerita yang saya baca dari buku Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni : Hidupkan Hatimu. Dipinjam sebentar dari Perpustakaan Mini sempena Islamic Education Week. Harapnya ia dapat menjadi penghibur hati dan memberi pengajaran pada diri.


Cerita 1:

Abu Bakar As-Siddiq sakit. Para sahabat bertanya. "Apakah sakit yang engkau rasakan?"

Abu Bakar menjawab: "Aku mengeluh kerana dosa-dosaku."

Mereka (para sahabat) bertanya: "Bolehkah kami penggilkan tabib untukmu?"

Abu Bakar menjawab: " Tabib telah melihatku."

Mereka bertanya: "Apakah yang telah dikatakan oleh tabib kepadamu?"

Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Aku berbuat apa yang Ku kehendaki."

Pantaskah aku mengadu kepada Tabibku apa yang ku derita padahal apa yang menimpaku justeru dari Tabibku?

Cerita 2:

'Umar berdiri pada hari Jumaat di atas mimbarnya berkhutbah kepada kaum Muslim, sedang ia telah mengirimkan pasukan tenteranya untuk berjihad di daerah utara arah negeri Khurasan. Saat itu juga dibukakanlah hijab jarakbagi 'Umar, sehingga 'Umar dapat melihat pasukannya terkepung pada hari Jumaat saat ia sedang berkhutbah kepada kaum Muslim (di atas mimbarnya di Madinah.)

'Umar berkata: " Hai Sariyah, naiklah ke bukit itu! Hai Sariyah, naiklah ke bukit itu!"
Sariyah adalah salah seorang nama komandan pasukan 'Umar.

Para sahabat merasa aneh, lalu mereka bertanya: "Apakah yang telah engkau lihat?"

'Umar menjawab: "Aku khuatir bila Sariyah dan pasukannya dikepung. Oleh kerana itu, aku panggil dia."

Sebulan kemudian datanglah Sariyah, lalu kaum muslim bertanya kepadanya: "Apakah engkau telah melihat sesuatu?"

Sariyah menjawab: "Kami hampir saja binasa pada hari Jumaat, lalu kami mendengar suara 'Umar yang tidak asing lagi bagi kami menyeru kami, maka kami berlindung kepada Allah, kemudian kami mengambil posisi strategik di atas bukit. Akhirnya Allah menolong kami.

(Jaami'ul Ahaadits wal marasiil, No1114-117; Misykatul Mashaabih Juz 5 Hlmn 60, Hadits No. 6053, Ad-Durarul Muntatsirah Hlm.482 & Al-Bidaayah wan Nihaayah Juz 6 No.331).


~Hati manusia bila meminta tolong kepada Yang Maha Pencipta, Dia akan menolongnya di dunia dan akhirat; dan bila berpaling dari Allah, maka nescaya akan tergelincir dan terhina serta terputus dari pertolongan Allah. -Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni-~

Jan 26, 2010

Entri 'Dalam Perigi'



Suara sudah beransur sengau bunyinya. Kepala juga sedikit berat. Hidung juga tidak lancar menghidu nafas. Harapnya ia masih bukan penghalang untuk menaip entri ke sini.

Blog ini semakin sepi. Adakah lantaran kesibukan kempen pilihanraya kampus sepanjang minggu lalu? Atau kerana sedang menghadapi peperiksaan pertengahan semester yang hanya 3 subjek saja kali ini? Em, sebenarnya saya rasakan semenjak tahun 2010 ini bermula, blog ini kian kelam dan diam.

Banyak yang terbuku di hati. Banyak juga tekanan yang dilalui hingga saya rasakan diri ini semakin mendiamkan diri. Kurang ceria berbanding dulu walau masih cuba bergurau senda dengan rakan-rakan namun rasanya berlainan.

Mungkin juga kehilangan anak teman saya memberi kesan besar pada diri. Walaupun, seringkali saya cuba mendiamkan perasaan, namun hakikatnya hati pedih bila mengenangnya. Begitu juga dengan lain-lain ujian, memang berat hati memikul beban. Tapi tetap saya mahu bertahan.

Mengikut teori John Gray, wanita selalu mengalami seolah-olah mereka rasa hopeless (tiada harapan), dalam dunia kegelapan seolah-olah masuk ke dalam sebuah perigi yang dalam. Apakah benar? Apakah sehingga kerap sekali saya 'terjun ke dalam perigi' akhir-akhir ini?

Saya tahu saya tidak pandai berkata-kata meluahkan perasaan. Banyak yang disimpan. Banyak yang ditahan. Secara psikologinya, saya tahu manusia perlu meluahkan perasaannya. Ventilate their feelings. Tapi yang diluahkan pasti bukan kesemua.

Inilah dunia. Hanya sebagai platform ujian untuk hamba-hambaNya. Wahai diri, letakkan dunia itu di luar hatimu. Pasrah segalanya pada Tuhan setelah kamu berusaha sedayamu.

Dari Mustaurad bin Syaddad al-Fihri, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

"Tidaklah dunia ini dibandingkan akhirat kecuali seperti sesuatu yang apabila salah seorang di antara kamu memasukkan jarinya ke dalam sungai, maka lihatlah apa yang tersisa ketika ia mengeluarkannya?"
(Hadith Riwayat Muslim)

Jan 24, 2010

Al-Quran Penawar Hati


~Membacanya, ia akan mengingatkan. Membacanya, ia menyentuh hati untuk menangisi diri kita, si peminjam hati~


Kadang-kadang adakalanya hati kita merasa sempit. Rasa susah untuk lapang. Bila solat juga, rasa bagai ada tembok yang memisahkan kita berbicara dengan Tuhan.

Carilah penawar. Mungkin hati sedang sakit. Mungkin hati sedang gering. Sebelum lebih parah, carilah penawar. Penawarnya ada pada Al-Quran. Andai sakit, ia bisa menyembuhkan. Andai keras, ia bisa melembutkan. Agar sempit, ia bisa melapangkan.

Sekadar berkongsi bacaan Al-Quran ini, bacaan Syeikh Abdurrahman Sudais. Moga ia bisa menenangkan jiwa yang sedang kacau. Agar ia menambah ketenangan pada hati yang mendamba cinta pada Tuhannya.



Teringat cerita Umar Al-Khattab yang terkenal dengan kegarangannya sebelum Islamnya sahabat baginda itu. Insan yang hatinya tampak seperti batu akhirnya lembut dengan sentuhan bacaan Al-Quran oleh adiknya sendiri. Al-Quran, itulah tinggalan Rasulullah pada umat akhir zaman.

~Mari kembara mencari HATI yang fitrahnya suci... Jadikan ia pendamping di setiap langkahmu.~

Jan 20, 2010

Sebuah Pesanan Cinta




Wahai saudaraku,

Renungilah kata-kata As Syahid Hassan Al Banna:

"Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang telah mengharu biru hati kami, menguasai perasaan kami, memeras habis air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mata kami. Betapa kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah kepada kehinaan dan pasrah oleh keputusan. Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara tercinta, sesaat pun kami tidak pernah akan menjadi musuh kalian."


~Sebuah Pesanan Kerana Cinta Buat Saudara~

Jan 19, 2010

Tasik Hati


~Fitrah hati itu umpama tasik indah yang terbentang luas...~


Pesanan itu saya simpan dalam-dalam untuk selalu diingatkan pada diri:

Wahai hati,

Hati itu umpama tasik.

Setiap deria kita umpama mata air yang mengalir ke dalam tasik.

Iman dan taqwa menjadi penapis setiap deria, memproses setiap inputnya.

Pepatah selalu berkata: "Dari mata turun ke hati."

Namun, bukan sahaja mata menjadi saluran penglihatan, bahkan telinga menjadi saluran pendengaran, tangan menjadi saluran sentuhan, hidung menjadi saluran hidu dan lidah menjadi saluran rasa.

Mata air deria inilah yang menjadi punca jernih atau keruhnya tasik hati.

Itulah mata air deria yang masuk ke tasik hati...

Hargai mata air deria amanah kurniaan yang Allah bagi pada kita, yang mungkin tiada pada hamba lainNya.


"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan melaksanakan salat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi, agar Allah menyempurnakan pahalanya kepada mereka dan menambah kurnia-Nya. Sungguh Allah Maha Pengampun, Maha Mensyukuri."
(Fatir; 35: 29-30)
~Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu~

Jan 17, 2010

Kerana Kita Sama-Sama Muslim


~Sesungguhnya Engkau tahu bahawa hati ini telah berpadu berhimpun dalam naungan cintaMu, bertemu dalam ketaatan, bersatu dalam perjuangan menegakkan syariat dalam kehidupan...~



Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Hati ini bersedih untukmu,
Alir air mataku,
Sayang padamu,
Nasihatimu.

Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Aku pedulimu,
Aku teguri dirimu,
Moga ia kesilapan tiada sengaja.

Sahabat,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Berulang kali kau ulangi,
Hingga hati parah sekali,
Kerana membiar dan menyaksi,
Seolah tiada kudratku lagi.

Sahabat,
Tiada yang kumahukan,
Melainkan untuk kebaikanmu,
Menegakkan yang hak,
Bukan untuk mengaibkanmu,
Hanya kerana aku sayang padamu dan agamaku.

Sahabat,
Aku bukan kabilahmu,
Kasihanilah aku,
Seperti Ansar dan Muhajirin,
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Hanya kerana,
Kita tidak sebangsa,
tidak satu kaum,
tidak sama rasa,
tidak satu jalan,
tapi destinasi kita sama,
Kalimah mulia;
Tiada Tuhan Selain Allah,
Muhammad itu Pesuruh Allah.
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Ini teguran,
Bukan permusuhan,
Kerana kita sama-sama Muslim.

Sahabat,
Dengarkan dengan hati,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Aku peduli,
Kerana kita sama-sama Muslim,
Dirimu ku sayangi.


~Friendship isn't how you forget, but how you forgive,
Not how you listen, but how you understand,
Not how you see, but how you feel,
Not how you let go, but how you hold on!~

Jan 15, 2010

Saya Tak Suka Orang Bertudung Labuh?



~Islam itu indah. Bersegeralah mencarinya biarpun pelbagai rintangan melanda.~

"Tak naklah pakai tudung. Orang pakai tudung pun banyak buat maksiat."

Terkedu saya mendengar kata-kata itu. Itu hanya seorang, bahkan mungkin ramai lagi yang beranggapan begitu.

Sewaktu kecil dahulu, saya juga pernah tanamkan dalam diri; 'Saya tak suka orang tudung labuh dan yang konon pakai kopiah."

Perkara ini berlarutan hingga akhir darjah enam apabila ustazah di sekolah tawarkan beberapa borang untuk masuk ke sekolah agama, tak satu pun saya ambil.

Waktu tu dalam hati saya berkata, 'Orang sekolah agama atau tak, sama je.'

Mengapa ya anak kecil sebesar saya ketika itu tak suka pada orang yang membawa imej agama? Walhal, tiada siapa pun yang membisikkan pada seorang anak kecil ini untuk membenci agamanya sendiri.

Semua ini mula terjadi ketika saya berusia lebih kurang 10 atau 11 tahun. Disebabkan sikap saya yang suka memerhati dan mendengar, walaupun masih kecil tapi saya memahami situasi dan suasana yang berlaku.

Terjadi satu peristiwa di kampung saya, melibatkan hal pengambilan tanah oleh pihak kerajaan untuk membuat jalan bertar dari jalan besar ke tempat rekreasi berdekatan. Yang peliknya jalan itu bengkak bengkok bila sampai di tanah sawah nenek saya. (Saya juga turut melihat pelan jalannya.) Hampir dekat separuh juga tanah sawah nenek saya itu mahu diambil pihak kerajaan. Berhadapan tanah sawah kami adalah tanah saudara saya. Beliau terkenal sebagai orang yang dihormati di kampung dan di panggil ustaz , mungkin kerana beliau adalah lepasan universiti terkemuka di negara anbia'.

Entah bagaimana, rupa-rupanya diketahui bahawa pelan jalan tersebut bukan pelan asal yang dibuat. Pelan asal sebenarnya adalah jalan yang lurus dari jalan besar itu ke tempat rekreasi. Namun, mengikut kata pegawai bertugas itu, saudara saya telah berjumpa dengan beliau untuk meminta agar mengubah pelan tersebut agar tanah kebunnya tidak akan diambil banyak oleh kerajaan.

Terkejut saya ketika itu sebab saya tak sangka akan jadi perkara macam tu. Walaupun masih kecil tetapi sebab nenek suka bawa saya ke mana-mana, jadi saya tahu banyak cerita yang sebenar.

Tapi saya selalu kasihan tengok nenek saya. Selalu saya tengok dia bersedih hati dan ada juga menitiskan air mata apatah lagi apabila mendengar tohmahan dan kata-kata. Ya, kami orang susah. Anak-anak nenek pun baru mula bekerja dan tak keluar universiti macam mereka.

Semenjak itu, saya benci pada mereka yang membawa imej agama. Saya benci pada orang-orang yang konon nampak warak tapi buruk bila berkata-kata dan umpama api dalam sekam pada manusia lain.

Saya masih kecil ketika itu. Tapi mungkin kerana Allah dah cipta fitrah manusia itu suka kepada kebaikan dan benci kepada kezaliman, maka hati saya sendiri memberitahu bahawa perkara yang dilakukan itu tidak betul. Bayangkan baru berusia setahun jagung, saya sudah meletakkan persepsi yang buruk kepada Islam kerana orang-orang yang kononnya membawa Islam.

Apabila berada di sekolah menengah, baru saya tahu. Islam sebenarnya bukan seperti apa yang mereka bawakan dan yang mereka tunjukkan melalui akhlak mereka. Islam bukan begitu. Islam bukan suka menjatuhkan orang lain. Islam juga bukan hanya menjaga kepentingan diri sahaja.

Islam itu sebenarnya indah. Islam sentiasa memelihara dan memberi perlindungan bukan saja pada orang-orang yang beriman, bahkan juga kepada mereka yang bukan Islam selagi mereka tidak memerangi Islam. Islam itu membawa kepada kesejahteraan dan ketenangan kerana ia fitrah yang memang sesuai dengan jiwa.

Saya juga ingin mengambil iktibar daripada pengalaman saya yang lalu. Saya tak mahu menjadi fitnah pada Islam kerana diri saya sendiri. Saya tak mahu orang benci pada orang yang bawa imej Islam kerana diri saya sendiri. Alangkah besar dosa yang saya tanggung sekiranya saya menjadi orang yang menyebabkan orang lain menjauhi Islam, benci pada Islam dan orang-orang yang bawa Islam serta tak mahu saya menyebabkan fitnah yang besar pada Islam.

Saudaraku, masih ada waktu lagi untuk itu. Untuk memperbaiki diri. Saya juga masih mahu memperbaiki diri saya ini.

'Ya Allah, jauhkanlah ku dari keburukan diriku sendiri dan beri aku keampunan untuk memilih yang terbaik dalam urusanku. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang ku lakukan secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terang-terangan, dosa yang ku sengaja mahupun yang tidak ku sengaja, serta dosa-dosa yang tidak ku ketahui.'


Memperbaiki diri di samping mengajak orang lain kepada kebaikan. Ini kerana Islam itu untuk semua. Bukan pada sesuatu kaum sahaja. Nilai ketaqwaan tidak terletak pada bangsa, pada rupa, pada harta, pada warna kulit, pada kerakyatan mehupun pada organisasi. Ia terletak pada hati yang dimiliki setiap insan yang bergelar hambaNya.

Pada yang masih mencari keindahan Islam yang sebenar, usah berhenti berusaha dengan pencarian anda. Teruskan hijrah ini biar berkali rebah dan bangunlah semula tanpa pernah kenal jemu dan putus asa.

Ingatlah janjiNya;
"Dan tidak pula mereka menjadi lemah semangat lantaran apa yang mereka deritai dalam perjuangan fisabilillah, mereka tidak kehilangan harapan dan tidak pula berdiam diri. Dan (bahawa) Allah sayang kepada orang-orang yang sabar."
(Surah Ali-Imran:146)


Wallahu'alam.



~Ya Allah, satukanlah hati-hati kami yang mencari cinta dan redhaMu.~

Jan 13, 2010

Ubat Penenang Hati


"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah sahajalah hati akan menjadi tenteram."
(Ar-Ra'd: 28)

Gembirakah rasanya apabila apabila kita sebagai pekerja menjadi perhatian pada Bos paling tinggi pangkatnya di tempat kerja? Bahagiakah rasanya apabila menjadi pelajar kesayangan guru-guru anda?

Namun, jika itu yang dikatakan dengan kegembiraan, bahkan kebahagiaan dan kegembiraan itu lebih lagi apabila antara lebih jutaan manusia di muka bumi ini, kita menjadi perhatian pada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa. Lebih bahagia lagi dari dunia dan seisinya.

Apakah ada kebahagiaan yang lebih tinggi lagi dari itu?

Hanya dengan bersama Allah, hati menjadi tenang. Biarpun manusia cuba menggembirakan, tetap tidak sama dengan Dia yang Maha Lembut, Maha Penyayang dan Maha Melihat itu yang menghiburkan.

Hidup bersama Allah itu sangat menenangkan dan sangat menghiburkan.

Tiada ubat penenang hati lagi yang lebih mujarab daripada itu. Jika ada ubat penenang atau tranquilizer buatan manusia sekalipun pasti ada kesan sampingannya. Namun, ubat penenang dari langit ini Maha Hebat lagi.




Lagu: Ubat Hati
Nyanyian: Opick

Ubat hati ada lima perkaranya
Yang pertama, baca Quran dan maknanya
Yang kedua, solat malam dirikanlah
Yang ketiga, berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat, perbanyaklah berpuasa
Yang kelima, zikir malam berpanjanglah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga gusti Allah mencukupi




"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka dalam keadaan hina dina."
(Al-Mukmin: 60)


~Bersangka baik dengan Allah, Allah tahu dan pasti akan memberikan yang terbaik...~

Jan 12, 2010

Bila Hati Dilambung Badai



~Wahai Tuhan, janganlah Kau biarkan diri ini menentukan takdir untuk diriku sendiri walau sekedip mata pun.~

Wahai diri,
jangan mudah berasa lemah.

Wahai hati,
jangan mudah merasa rapuh.

Carilah bekal terbaik,
Mendekatkan diri kepada Ilah yang Satu.

Wahai hati,
andai sesekali dilambung badai,
berpeganglah pada tali Allah,
andai hati bernanar,
rawatlah dengan ingatan kepada Tuhan.

Ini hanya kehidupan,
pentas menguji insan,
hanya Dia yang memahami,
segala luahan isi hati.

Allah menguji,
kerana Dia sayang padamu...

~Wahai Tuhan, hanya padaMu ku serahkan hati ini...~

Jan 11, 2010

Melangkah Ke Luar Kotak


Dan Allah jadikan tempat bernaung bagimu dari apa yang telah Dia ciptakan, Dia menjadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia menjadikan pakaian bagimu yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikian Allah menyempurnakan nikmat-Nya kepadamu agar kamu berserah diri (kepada-Nya).
(An-Nahl; 16:81)


Sabtu lalu merupakan hari terakhir Interkulliyyah Sports Carnival IIUM Kuantan 09/10. Berlangsungnya 'final match' bagi perlawanan outdoor games.

Alhamdulillah, tahun ini kontinjen kulliyyah of nursing banyak yang sampai hingga ke peringkat separuh akhir dan akhir bagi outdoor games. Indoor games saya tak pasti. Saya juga tak jangka akan berjuang sampai ke hari terakhir, apatah lagi kami pernah kalah di peringkat kumpulan apabila bertemu dengan kontinjen medic. Sampaikan saya sudah membeli tiket balik pada hari Sabtu pagi.

Dalam hati memang berharap. Tapi saya tahu kalah menang adalah ketentuan Tuhan. Namun, kami yang bermain bertanggungjawab untuk berusaha sehabis baik. Hingga titisan peluh yang terakhir. Itu juga yang harus diaplikasikan dalam sebuah kehidupan.

Hari Perlawanan

Pagi itu, saya sempat bersembang dengan Fiey dan Kak Lin (sahabat sebilik) sebelum Fiey berjuang ke medan bola keranjang pada pukul 8 untuk peringkat separuh akhir.

"Naddy, gi je depan tolong attack. Jangan defensive sangat." Fiey memberi semangat.

"Naddy, jangan takut." Sokong Kak Lin apabila mendengar saya mengatakan bahawa saya takut.

Em, memang saya takut. Bukan pada pihak lawan. Tapi pada diri saya sendiri.
Jika saya terus maju ke depan menolong untuk menyerang, sempatkah saya berpatah balik ke belakang untuk bertahan jika ada 'counter attack' dari pihak lawan? Mampukah saya? Bertenaga lagi ke waktu tu? Dan banyak lagilah soalan di kepala saya.

Konflik diri jugalah sekejap.

Petangnya, perlawanan pertama di gelanggang dimulakan oleh futsal lelaki kontinjen nursing bertemu farmasi untuk menentukan tempat 3 dan 4. Penonton yang memang semakin ramai membanjiri kawasan sekitar gelanggang.

"Kak Naddy, pantang berundur!" Hajar, junior saya memberi semangat. Selaku pemain pertahanan, itulah suntikan kata semangat yang diterapkan. Saya ambil pengajaran ketika di Universiti Darul Iman (UDM) dulu.

"Akak silap satu je tadi. Sebab akak berundur, kak." Tegur seorang adik Tahun 3 yang juga menjadi 'coach' ketika di UDM. Kesilapan itu pengajaran buat saya hingga hari ini.

Alhamdulillah, kekalahan dengan kontinjen medic buat kami jadi lebih matang. Keputusan sepanjang 15 minit perlawanan akhir futsal (P) berakhir dengan seri 0-0. Penaltilah yang menentukan. Tiba masa pembuktian tawakkal kami yang diluar ini pada Tuhan setelah berusaha, Dialah saja yang akan menentukannya.

Ramai yang bersorakan. Memang mendebarkan. Ada rasa macam perlawanan Liga Malayasia juga rasanya.

Akhirnya, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah!
Penalti kami mendahului 1-0.

Saya memandang langit. 'Miracles can happen'. Dan keajaiban itu datang dariNya.

Lamunan itu terhenti apabila saya terdengar laungan pelajar lain, "Nursing Juara Liga Futsal!"

Alhamdulillah, kejayaan itu Allah bagi pada siapa yang Dia kehendaki. Kekalahan itu juga ujian. Kejayaan yang berupa nikmat itu juga ujian. Menguji syukur atau tidaknya manusia pada Dia.

Syukur yang tidak terhingga kepada Allah, Tuhan semesta alam.

Terima kasih pada semua; pada rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa memainkan peranan, yang saling kuat menguatkan. Terima kasih juga buat yang sudi datang menyokong , baik daripada kulliyyah (fakulti) kami sendiri mahupun selainnya. Begitu juga buat urusetia dan pengadil perlawanan.

Banyaknya pengajaran dalam permainan ini yang saya dapat kutip buat bekalan untuk menghadapi kehidupan kini dan masa hadapan.

Bekalan

-Dalam kehidupan, bersungguh-sungguhlah dalam berjuang. Berjuang tak pernah senang. Berusaha dan optimislah! Bertawakkallah padaNya atas setiap natijah usaha kita.

-Yakinlah pada kebolehan diri sendiri. Allah cipta manusia sama. Ada kelebihan dan kelemahan. Usah takut untuk terus ke hadapan. Bukan saja berfikir di luar kotak, bahkan melangkah ke luarnya, pasti ketemu perkara-perkara indah dalam hidupmu.

-Manusia itu saling memerlukan. Saling mengingatkan bila kita kealpaan. Ingatlah, mukmin dengan mukmin yang lain ibarat bangunan yang saling kukuh mengukuhkan.

InsyaAllah, moga inilah penamat terbaik saya di arena ini. Di Karnival Sukan ini saya bermula dan moga di sini juga saya akhirinya.


Moga persinggahan saya di transit ini akan memberi bekalan pengalaman dan pengajaran untuk menghadapi transit hidup yang akan saya singgah selepas ini, insyaAllah.

~Akan ku kutip mutiara-mutiara indah dalam setiap perjalanan, dan ku simpan di dalam peti kenangan bagi setiap jejak kehidupan...~

Jan 8, 2010

Pengurusan Cinta


~Hanya pada Dia, kita kembalikan segalanya...~


Saya tidak tahu nak mulakan entri ini dari mana sebenarnya. Namun, jelas saya juga ingin sampaikan apa yang sudah lama tersimpan di lubuk hati saya.

Manusia selalu bertanya pada diri, "Am I in the right path?" atau "Apakah sebenarnya saya ini di jalan yang lurus?"

Soalan itu juga pernah saya tanyakan pada diri ini. Apabila saya kekeliruan, saya cuba mencari solusi; berbicara denganNya, memohon hidayah dan petunjukNya, bermusyawarah (berbincang) dan bertanya pada orang-orang yang lebih jelas kefahaman tentang Islam daripada saya, dan merujuk pada sumber-sumber yang saya yakini dan percayai.

Proses ini tidak ambil masa yang singkat. Mungkin berhari-hari. Mungkin juga berminggu-minggu. Tetapi Allah suka pada mereka yang mencari kebenaran. Mencari yang apa yang Allah redha.

Alhamdulillah, saya berjaya juga akhirnya memperolehi jawapan itu beberapa hari lalu atas perkara yang saya kelirukan.

Soal Cinta

Bila ada orang bertanya tentang cinta, pening juga kepala saya untuk menjawab soalan itu. Saya hanya berkata daripada ilmu yang saya tahu.

Bagi yang belum berkahwin; saya suka untuk mengambil kembali ungkapan Ustaz Hasrizal dalam buku Aku Terima Nikahnya (1).

'Bagi adik-adik yang mempunyai kesedaran Islam, cara mereka 'menjaga hukum Allah', penting untuk dipandu. Bukan apa, 'cara mereka' kadang-kadang menimbulkan kehairanan pada saya. Syariat manakah yang mengajar muslimat supaya menundukkan pandangan hingga terlanggar tong pemadam api yang tergantung di koridor? Islam manakah yang mengajar muslimat kita supaya bercakap seperti 'warden penjara' ketika berurusan dengan muslimin, semata-mata kerana mahu menghayati kehendak syarak agar mereka tidak melunakkan suara yang boleh menimbulkan fitnah.'


Soalan saya; cinta itu adakah hina?

Ya, cinta itu memang hina, memang busuk dan pelakunya pun akan dicampakkan ke lembah kehinaan sekiranya orang-orang yang bercinta ini lupa Tuhan, keluar berdua-duaan, SMS sampai asyik berkepit dengan handphone dan hingga sampai satu tahap semua perkara dibuat hanya kerana si dia. Dia suka warna biru, hari-hari pakai baju biru. Dia suruh jangan makan KFC, biarpun dahulu tiap minggu makan KFC, sebab si dia, tak mahu makan KFC. Hingga buat sesuatu perkara bukan kerana Allah, bukan lillahitaala. Buat kerana dia; seorang manusia. Secara tidak sengaja, jadilah dia sembahan di hati kita. Nauzubillah.

Lalu, di manakah letak nilai cinta itu?
Allah redha ke?
Tercapai ke matlamat cinta itu sebagai satu fitrah yang suci dan patut dipelihara kesuciannya?

Setiap perkara itu ada batasnya. Manusia perlu makan. Tapi kalau berlebihan makan, boleh jadi obesiti, penyakit datang dan maut lebih cepat menjemput. Juga tidak boleh tidak makan langsung, hingga tidak cukup zat makanan pada badan dan menzalimi diri sendiri.

Allah sudah bagi kita fitrah. Fitrah ini perlu dijaga kesuciannya. Allah juga sudah bagi kita syariat atau perlaksanaan menguruskan fitrah. Syariat yang bukan dicipta manusia tapi dicipta Allah yang kenal hambaNya.

Sebelum menuju proses menuju perlaksanaan ini, tanyakan dulu pada diri, apakah asasnya cinta ini?
Adakah ia sebenar-benar cinta yang lahir dari hati atau sekadar mengisi masa lapang hawa nafsu?

Sebagai panduan, saya petik lagi kata-kata Ustaz yang popular dengan slogan 'memberi' ini bahawa:

"Jangan mengambil langkah untuk berpasangan, jika sudah pasti dalam setahun dua jangka masa terdekat ini tiada kemungkinan untuk anda berkahwin!"

Perlaksanaan Fitrah

Setiap manusia yang sudah melalui proses di atas ini pasti berusaha menyediakan diri untuk menjadi seorang suami atau isteri. Bukan mudah ya? Bukan setakat sampai hari pernikahan saja yang perlu disediakan, bahkan lebih lagi dari itu. Sebab perkahwinan itu bukan hanya untuk sehari bahkan kena usaha biar sampai kedua-duanya mendapat redha Allah hingga ke syurga.

Untuk menuju ke arah terlaksananya perkahwinan ini, adakalanya ia bukan seperti yang kita rancang. Ada yang merancang untuk berkahwin sebaik saja tamat pengajian; tiga empat bulan saja lagi, namun, atas hal-hal yang lain seperti kekeluargaan, kewangan yang membataskan, dan 1001 macam lagi rintangan yang datang melambatkan proses tersebut.

Terlihatlah ia sebagai sebuah projek yang tertunda.

Namun, haruskah kita dengan mudahnya berputus asa? Kebahagiaan itu takkan mudah didapati andai kita sendiri tidak berusaha ke arahnya. Ingat, tidak mudah manusia akan dapat apa yang
dikehendakinya. Ingat senang Allah nak bagi syurga percuma bila manusia tidak diuji? Ingat akan jatuh berlian mahupun kepingan-kepingan roti dari langit jika hanya bersujud di tikar sejadah tanpa adanya usaha?

Ia mungkin hanya nampak sebagai projek yang tertunda disebabkan kekangan yang ada. Lalu, berusahalah lagi selagi mampu. Berusahalah juga untuk menjaga apa yang Allah redha.

Sedih juga kalau tiba-tiba mahu berpisah atas alasan mungkin tidak dapat menjaga hati dan perasaan di sepanjang proses yang sudah setengah jalan itu.

Saya petik lagi kata-kata beliau:

'Saya cukup terkilan apabila mendengar dari kalangan adik-adik, khususnya muslimah, yang terlalu mudah mengambil keputusan memutuskan hubungan semata-mata beralasan terasa ada kesilapan malah dosa yang terselit di celah-celah perkenalannya dengan seorang lelaki muslim yang baik. Jika pernah buat silap, bawalah bertaubat dan bukannya sewenang-wenang membatalkan hubungan.

Ingatlah pesan Nabi s.a.w, "Apabila datang melamar kepadamu seseorang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas." (Riwayat Tirmizi)'


Hakikat cinta adalah saling berkait dengan kerinduan. Lalu, jagalah hati-hati kita ini. Saya juga tak mahu anda supaya terlalu rindu hingga merindui si dia melebihi rindu dan cinta anda kepada Allah dan RasulNya. Simpanlah rindu itu untuk Dia.

Perbanyakkan mengingati Pencipta. Perbanyakkan amal untuk menjadi hamba yang diredhai Allah. Jadilah dewasa dan matang dalam mengendalikan fitrah yang Allah beri.

This is the battle between you and yourself. The enemy is within yourself.

Ingatlah jalan dakwah ini masih panjang. Kematian itu pasti datang.

Namun, jika sudah nekad diri untuk berhenti di tengah jalan, berhenti berusaha, berputus asa dan harap terhadap rahmat Tuhan, hanya doa saja mampu saya kirimkan. Kerana pilihan itu di tangan anda. Berbuatlah sesuka hatimu.

Teringat saya pada lagu lama yang dinyanyikan kembali oleh Azhan , Juara Akademi Nasyid di Konsert Amal di UIAM Kuantan 2 Januari lalu:

Rasa cinta pasti ada
Pada makhluk yang bernyawa
Sejak lama sampai kini
Tetap suci dan abadi
Takkan hilang di dunia
Hingga sampai akhir masa
Renungkanlah

~Usaha itu milik kita, natijah milik-Nya~

Jan 7, 2010

Ukhuwwah Itu Kekuatan


~Ukhuwwah itu kekuatan...~


Rasa sangat bertuah sebenarnya apabila saya masuk ke kulliyyah of nursing ini. Kalau dahulu di Tahun 1 dan Tahun 2 di sini, saya pernah melahirkan hasrat untuk keluar saja dari UIAM dan ambil jurusan lain. Walhal, setelah beberapa lama, saya sedar bahawa jawapan yang saya dapat dalam istikharah saya ini dulu, iaitu memilih jurusan kejuruwatan mempunyai banyak hikmahnya pada diri. Saya percaya ada rakan-rakan saya yang mempunyai hasrat yang sama seperti saya awal-awal dulu juga berfikir begini.

"Kita jealous tengok budak-budak nursing. Korang macam rapat je." Lebih kurang begitulah ayat yang dituturkan seorang rakan saya dari kuliyyah lain.

Salah satu keistimewaan yang saya mungkin sukar jumpa pada yang lain adalah ukhuwwah dan kasih sayang antara satu sama lain di antara kami.

Memang tidak dinafikan dalam jalinan ukhuwwah ini ada turun naik dan pasang surutnya. Namun, inilah keunikan dalam perhubungan.

Karnival Sukan Antara Fakulti IIUM

Interkulliyyah Sports Carnival IIUM Kuantan Campus sudah masuk hari yang ke-4 hari ini. Kehangatan perlawanan antara kulliyyah atau fakulti memang terasa debarannya. Sama ada dalam indoor ataupun outdoor games. Antara outdoor games tahun ini termasuk bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar dan futsal yang dipertandingkan di waktu petang. Manakala indoor games termasuk catur, karom dan ping pong yang diadakan di malam hari.

Jadi, apa kaitannya dengan kulliyyah (fakulti) saya ni ya?

Berdasarkan pemerhatian saya, di mana-mana jua adanya perlawanan antara kulliyyah of nursing dengan kulliyyah lain, penyokongnya ataupun informal cheer leader teamnya memang luar biasa ramainya.

Alhamdulillah, saya juga antara mereka. Berada di tempat penyokong dan disokong.

Beza ya keduanya?

Jadi Penyokong

Satu cerita. Beberapa hari lalu, saya turun ke gelanggang bola keranjang dengan harapan untuk memberikan semangat bersama rakan-rakan lain. Ada juga teman sekulliyyah lain yang sudah sampai ke sana. Sewaktu itu pasukan kami bertemu dengan pasukan kulliyyah lain yang sememangnya sinonim sebagai wakil UIAM dalam bola keranjang.

Mula-mula, kami ketinggalan banyak mata. Namun, dengan sokongan kuat daripada yang lainnya, keadaan berubah. Perlawanan menjadi semakin genting. Beza mata hanya tipis sahaja. Kami yang menyokong mula-mula hanya duduk di atas rumput sudah bangun hingga hampir masuk ke dalam gelanggang. Sokongan itu rasanya menyebabkan 'psycological pressure' di pihak lawan. Sehinggakan bola yang dibaling juga serba tak kena.

Apabila Disokong

Sebelum masuk ke gelanggang futsal, rakan-rakan saya sudah sampai. Ada senior kami yang sudah 'graduate' juga sudi datang. Rakan-rakan daripada perlawanan lain yang sedang berehat antara perlawanan juga datang memberi kata-kata semangat. Rasa terharu sangat. Nampak mungkin perkara biasa tetapi ia benar-benar memberi dorongan yang lebih pada diri, ibarat katalis yang membantu enzim.

Ukhuwwah itu fitrah

Benar, manusia itu fitrahnya hidup berkelompok. Hidup dalam masyarakat dan berkomuniti. Hidup saling sokong menyokong dan saling kuat menguatkan. Hidup untuk ingat mengingatkan. Mengingatkan kita tentang erti kehidupan, tujuan hidup dan ke mana kita akan pergi selepas meninggalkan dunia ini.

Perumpamaan orang dulu-dulu; kalau lidi itu satu, ia mudah dipatahkan. Kalau ia berkelompok, tentu susah dipatahkan.

Itulah pengajaran dari alam buat manusia. Kerana kita hanya manusia. Kita bukan kuat mana pun. Kita pasti memerlukan antara satu sama lain. Lalu, perlunya prinsip kuat menguatkan itu.

Perhubungan antara manusia ini atau disebut ukhuwwah bukan sengaja dicipta-cipta. Tetapi Allah cipta ukhuwwah itu sebagai fitrah. Fitrah yang menjadi kekuatan bagi manusia sendiri. Didasari atas dasar iman dan taqwa. Kerana jika tanpa keduanya itu, maka ukhuwwah akan bersandaran kerana dunia dan material. Ukhuwwah kerana dunia dan material tidak akan berjaya membuahkan kasih sayang sesama insan, apatah lagi dengan Allah.

~Berukhuwwahlah kerana Allah, kerana hanya itulah yang akan kekal abadi hatta hingga ke syurga.~

Jan 5, 2010

Kerana Dirimu Begitu Istimewa


~Duhai wanita, jadilah kuntuman bunga yang sentiasa mekar dan segar mewangi lagi mewangikan...~


"Wanita, engkau bulan, engkau juga suria..."

Pernah satu ketika sewaktu kecil dulu lagu tentang wanita itu sering berkumandang di televisyen TV1 dan TV2. Biarpun masih bersekolah rendah di kala itu, saya seakan masih ingat lagi bait-bait inspirasi lagu ini. Bait-baitnya bukan mengajak wanita mengagungkan feminisme, namun, ia lebih membawa erti bahawa wanita ini adalah makhluk yang memang istimewa yang dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Duhai wanita,

Tika dirimu merasa lemah, ingatlah bahawa Islamlah yang menjunjung kemuliaanmu. Agama yang suci inilah yang melindungimu. Semuanya bermula dengan perlaksanaan Islam yang sebenar. Kerana Tuhan Pencipta agama ini mencintai dan menyayangimu.

Duhai wanita,

Adam akan sunyi tanpa Hawa. Dunia tidak akan sempurna tanpa dirimu. Dari rahimmu itu lahir keturunan manusia. Manusia-manusia hebat; para Nabi, para sahabat, pejuang-pejuang kebenaran semuanya lahir darimu. Berkembang manusia dengan kasih sayang di rahimmu.

Duhai wanita,

Betapa dirimu itu sungguh berharga dan istimewa. Peliharalah keistimewaan yang telah dianugerahkan oleh Allah sebaik-baiknya.

Wanita itu unik. Kadang-kadang penuh emosi, penuh ketabahan, penuh kesabaran, penuh kelembutan, penuh sensitif hatinya, penuh ketelitian dan berbagai-bagai lagi karakteristik wanita yang mungkin tiada pada makhluk Adam yang menjadi pelengkapnya.

Saya tertarik dengan teori Erikson yang dikeluarkan pada tahun 1960 bahawa konflik dalaman diri wanita tentang identiti dan intimasi ketika di usia awal kedewasaan akan dapat diselesaikan dengan perkahwinan, di mana teori itu mungkin tidak digunapakai lagi oleh sesetengah pihak kini.

Wanita,

Kerana dirimu, dunia mungkin tenggelam dalam kebinasaan, kehancuran dan kemurkaan dariNya. Kerana dirimu jugalah, dunia gelap bisa menjadi terang, aman, sejahtera dan berada dalam keredhaanNya. Dirimu punya kuasa. Kuasa kepada kebinasaan atau kebahagiaan. Kuasa kepada kebencian atau kasih sayang. Kuasa yang membawa manusia ke syurga atau mengajak ke lembah neraka. Kuasa untuk mendapat redha Allah atau kemurkaanNya.

Allah tidak mengubah nasib seorang hamba melainkan dia yang mengubah dirinya.
Pilihan itu di tanganmu, duhai wanita...

Penghargaan buat insan bernama wanita...



Mahukah ku beritahukan kepada kamu tentang sebaik-baik simpanan seseorang? Iaitu wanita yang solehah yang bila suaminya memandangnya, menyenangkan suaminya; bila suami memerintahkan kepadanya, ia mentaatinya; dan bila suaminya tidak ada di tempatnya, ia memelihara kehormatannya".
(Hadith Riwayat Daud)


Moga jadi inspirasi dari tauladan wanita mulia, semulia Khadijah r.a, Aisyah r.a, Fatimah r.a mahupun Asiah r.a; wanita-wanita penghuni syurga.

~Sesungguhnya kebahagiaan itu ada dalam diri anda. Kerana itu, sudah seharusnya anda mengerahkan jerih-payah anda untuk memperbaiki diri...-Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni~

Jan 4, 2010

Pelangi Selepas Hujan


~Esok akan merekah bunga yang harum, baunya mengusir segala kesedihan dan menjadi penghibur hati... -Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni~


Entah mengapa akhir-akhir ini saya seperti rasa kehilangan diri seketika. Seolah-olah ada langit mendung di atas kepala.

Seperti juga cuaca di sini ketika ini. Hujan, kadang-kadang- lebat dan renyai teduh sebentar. Sinar mentari hanya menyuluh sekejap waktu. Kemudian, ditutupi awan gelap kembali.

Namun, saya percaya hidup ini umpama roda. Sekejap kita di atas dan sekejap kita di bawah. Biar di mana pun kita, paling penting untuk bawa kembali diri kita kepadaNya untuk menyeimbangkan roda kehidupan.

Alhamdulillah, setelah hujan renyai sebentar pagi semalam, saya melihat terbit pelangi yang indah di tanah wakaf IIUM ini. Sungguh cantik ciptaan Tuhan. Lama sudah saya tidak melihat pelangi. Maha Suci Allah. Hanya Dialah yang memahami segala isi hati.

Yakin pada diri bahawa setiap kesusahan pasti akan didatangi kemudahan. Pelangi hanya akan terbentuk selepas titisan hujan jatuh ke bumi. Itulah sunnatullah alam ini.

3 hari ini juga saya kembara mencari diri. Mencari kembali erti sebenar jalan yang dilalui. Memuhasabah diri. Mencari hati. Kerana jalan dakwah ini masih panjang. Begitu juga kerana saya tidak tahu bila pengakhiran diri di dunia ini nanti.

Dan tidakkah mereka memperhatikan bahawa Allah yang melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia (pula) yang membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki.) Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda - tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beriman.
(Ar-Rum; 30:37)



 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino