~Islam itu indah. Bersegeralah mencarinya biarpun pelbagai rintangan melanda.~
"Tak naklah pakai tudung. Orang pakai tudung pun banyak buat maksiat."
Terkedu saya mendengar kata-kata itu. Itu hanya seorang, bahkan mungkin ramai lagi yang beranggapan begitu.
Sewaktu kecil dahulu, saya juga pernah tanamkan dalam diri; 'Saya tak suka orang tudung labuh dan yang konon pakai kopiah."
Perkara ini berlarutan hingga akhir darjah enam apabila ustazah di sekolah tawarkan beberapa borang untuk masuk ke sekolah agama, tak satu pun saya ambil.
Waktu tu dalam hati saya berkata, 'Orang sekolah agama atau tak, sama je.'
Mengapa ya anak kecil sebesar saya ketika itu tak suka pada orang yang membawa imej agama? Walhal, tiada siapa pun yang membisikkan pada seorang anak kecil ini untuk membenci agamanya sendiri.
Semua ini mula terjadi ketika saya berusia lebih kurang 10 atau 11 tahun. Disebabkan sikap saya yang suka memerhati dan mendengar, walaupun masih kecil tapi saya memahami situasi dan suasana yang berlaku.
Terjadi satu peristiwa di kampung saya, melibatkan hal pengambilan tanah oleh pihak kerajaan untuk membuat jalan bertar dari jalan besar ke tempat rekreasi berdekatan. Yang peliknya jalan itu bengkak bengkok bila sampai di tanah sawah nenek saya. (Saya juga turut melihat pelan jalannya.) Hampir dekat separuh juga tanah sawah nenek saya itu mahu diambil pihak kerajaan. Berhadapan tanah sawah kami adalah tanah saudara saya. Beliau terkenal sebagai orang yang dihormati di kampung dan di panggil ustaz , mungkin kerana beliau adalah lepasan universiti terkemuka di negara anbia'.
Entah bagaimana, rupa-rupanya diketahui bahawa pelan jalan tersebut bukan pelan asal yang dibuat. Pelan asal sebenarnya adalah jalan yang lurus dari jalan besar itu ke tempat rekreasi. Namun, mengikut kata pegawai bertugas itu, saudara saya telah berjumpa dengan beliau untuk meminta agar mengubah pelan tersebut agar tanah kebunnya tidak akan diambil banyak oleh kerajaan.
Terkejut saya ketika itu sebab saya tak sangka akan jadi perkara macam tu. Walaupun masih kecil tetapi sebab nenek suka bawa saya ke mana-mana, jadi saya tahu banyak cerita yang sebenar.
Tapi saya selalu kasihan tengok nenek saya. Selalu saya tengok dia bersedih hati dan ada juga menitiskan air mata apatah lagi apabila mendengar tohmahan dan kata-kata. Ya, kami orang susah. Anak-anak nenek pun baru mula bekerja dan tak keluar universiti macam mereka.
Semenjak itu, saya benci pada mereka yang membawa imej agama. Saya benci pada orang-orang yang konon nampak warak tapi buruk bila berkata-kata dan umpama api dalam sekam pada manusia lain.
Saya masih kecil ketika itu. Tapi mungkin kerana Allah dah cipta fitrah manusia itu suka kepada kebaikan dan benci kepada kezaliman, maka hati saya sendiri memberitahu bahawa perkara yang dilakukan itu tidak betul. Bayangkan baru berusia setahun jagung, saya sudah meletakkan persepsi yang buruk kepada Islam kerana orang-orang yang kononnya membawa Islam.
Apabila berada di sekolah menengah, baru saya tahu. Islam sebenarnya bukan seperti apa yang mereka bawakan dan yang mereka tunjukkan melalui akhlak mereka. Islam bukan begitu. Islam bukan suka menjatuhkan orang lain. Islam juga bukan hanya menjaga kepentingan diri sahaja.
Islam itu sebenarnya indah. Islam sentiasa memelihara dan memberi perlindungan bukan saja pada orang-orang yang beriman, bahkan juga kepada mereka yang bukan Islam selagi mereka tidak memerangi Islam. Islam itu membawa kepada kesejahteraan dan ketenangan kerana ia fitrah yang memang sesuai dengan jiwa.
Saya juga ingin mengambil iktibar daripada pengalaman saya yang lalu. Saya tak mahu menjadi fitnah pada Islam kerana diri saya sendiri. Saya tak mahu orang benci pada orang yang bawa imej Islam kerana diri saya sendiri. Alangkah besar dosa yang saya tanggung sekiranya saya menjadi orang yang menyebabkan orang lain menjauhi Islam, benci pada Islam dan orang-orang yang bawa Islam serta tak mahu saya menyebabkan fitnah yang besar pada Islam.
Saudaraku, masih ada waktu lagi untuk itu. Untuk memperbaiki diri. Saya juga masih mahu memperbaiki diri saya ini.
'Ya Allah, jauhkanlah ku dari keburukan diriku sendiri dan beri aku keampunan untuk memilih yang terbaik dalam urusanku. Ya Allah, ampunilah dosa-dosa yang ku lakukan secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terang-terangan, dosa yang ku sengaja mahupun yang tidak ku sengaja, serta dosa-dosa yang tidak ku ketahui.'
Memperbaiki diri di samping mengajak orang lain kepada kebaikan. Ini kerana Islam itu untuk semua. Bukan pada sesuatu kaum sahaja. Nilai ketaqwaan tidak terletak pada bangsa, pada rupa, pada harta, pada warna kulit, pada kerakyatan mehupun pada organisasi. Ia terletak pada hati yang dimiliki setiap insan yang bergelar hambaNya.
Pada yang masih mencari keindahan Islam yang sebenar, usah berhenti berusaha dengan pencarian anda. Teruskan hijrah ini biar berkali rebah dan bangunlah semula tanpa pernah kenal jemu dan putus asa.
Ingatlah janjiNya;
"Dan tidak pula mereka menjadi lemah semangat lantaran apa yang mereka deritai dalam perjuangan fisabilillah, mereka tidak kehilangan harapan dan tidak pula berdiam diri. Dan (bahawa) Allah sayang kepada orang-orang yang sabar."(Surah Ali-Imran:146)
Wallahu'alam.
~Ya Allah, satukanlah hati-hati kami yang mencari cinta dan redhaMu.~
0 comments:
Post a Comment