Rasa sangat bertuah sebenarnya apabila saya masuk ke kulliyyah of nursing ini. Kalau dahulu di Tahun 1 dan Tahun 2 di sini, saya pernah melahirkan hasrat untuk keluar saja dari UIAM dan ambil jurusan lain. Walhal, setelah beberapa lama, saya sedar bahawa jawapan yang saya dapat dalam istikharah saya ini dulu, iaitu memilih jurusan kejuruwatan mempunyai banyak hikmahnya pada diri. Saya percaya ada rakan-rakan saya yang mempunyai hasrat yang sama seperti saya awal-awal dulu juga berfikir begini.
"Kita jealous tengok budak-budak nursing. Korang macam rapat je." Lebih kurang begitulah ayat yang dituturkan seorang rakan saya dari kuliyyah lain.
Salah satu keistimewaan yang saya mungkin sukar jumpa pada yang lain adalah ukhuwwah dan kasih sayang antara satu sama lain di antara kami.
Memang tidak dinafikan dalam jalinan ukhuwwah ini ada turun naik dan pasang surutnya. Namun, inilah keunikan dalam perhubungan.
Karnival Sukan Antara Fakulti IIUM
Interkulliyyah Sports Carnival IIUM Kuantan Campus sudah masuk hari yang ke-4 hari ini. Kehangatan perlawanan antara kulliyyah atau fakulti memang terasa debarannya. Sama ada dalam indoor ataupun outdoor games. Antara outdoor games tahun ini termasuk bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar dan futsal yang dipertandingkan di waktu petang. Manakala indoor games termasuk catur, karom dan ping pong yang diadakan di malam hari.
Jadi, apa kaitannya dengan kulliyyah (fakulti) saya ni ya?
Berdasarkan pemerhatian saya, di mana-mana jua adanya perlawanan antara kulliyyah of nursing dengan kulliyyah lain, penyokongnya ataupun informal cheer leader teamnya memang luar biasa ramainya.
Alhamdulillah, saya juga antara mereka. Berada di tempat penyokong dan disokong.
Beza ya keduanya?
Jadi Penyokong
Satu cerita. Beberapa hari lalu, saya turun ke gelanggang bola keranjang dengan harapan untuk memberikan semangat bersama rakan-rakan lain. Ada juga teman sekulliyyah lain yang sudah sampai ke sana. Sewaktu itu pasukan kami bertemu dengan pasukan kulliyyah lain yang sememangnya sinonim sebagai wakil UIAM dalam bola keranjang.
Mula-mula, kami ketinggalan banyak mata. Namun, dengan sokongan kuat daripada yang lainnya, keadaan berubah. Perlawanan menjadi semakin genting. Beza mata hanya tipis sahaja. Kami yang menyokong mula-mula hanya duduk di atas rumput sudah bangun hingga hampir masuk ke dalam gelanggang. Sokongan itu rasanya menyebabkan 'psycological pressure' di pihak lawan. Sehinggakan bola yang dibaling juga serba tak kena.
Apabila Disokong
Sebelum masuk ke gelanggang futsal, rakan-rakan saya sudah sampai. Ada senior kami yang sudah 'graduate' juga sudi datang. Rakan-rakan daripada perlawanan lain yang sedang berehat antara perlawanan juga datang memberi kata-kata semangat. Rasa terharu sangat. Nampak mungkin perkara biasa tetapi ia benar-benar memberi dorongan yang lebih pada diri, ibarat katalis yang membantu enzim.
Ukhuwwah itu fitrah
Benar, manusia itu fitrahnya hidup berkelompok. Hidup dalam masyarakat dan berkomuniti. Hidup saling sokong menyokong dan saling kuat menguatkan. Hidup untuk ingat mengingatkan. Mengingatkan kita tentang erti kehidupan, tujuan hidup dan ke mana kita akan pergi selepas meninggalkan dunia ini.
Perumpamaan orang dulu-dulu; kalau lidi itu satu, ia mudah dipatahkan. Kalau ia berkelompok, tentu susah dipatahkan.
Itulah pengajaran dari alam buat manusia. Kerana kita hanya manusia. Kita bukan kuat mana pun. Kita pasti memerlukan antara satu sama lain. Lalu, perlunya prinsip kuat menguatkan itu.
Perhubungan antara manusia ini atau disebut ukhuwwah bukan sengaja dicipta-cipta. Tetapi Allah cipta ukhuwwah itu sebagai fitrah. Fitrah yang menjadi kekuatan bagi manusia sendiri. Didasari atas dasar iman dan taqwa. Kerana jika tanpa keduanya itu, maka ukhuwwah akan bersandaran kerana dunia dan material. Ukhuwwah kerana dunia dan material tidak akan berjaya membuahkan kasih sayang sesama insan, apatah lagi dengan Allah.
~Berukhuwwahlah kerana Allah, kerana hanya itulah yang akan kekal abadi hatta hingga ke syurga.~
0 comments:
Post a Comment