::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Jan 5, 2010

Kerana Dirimu Begitu Istimewa


~Duhai wanita, jadilah kuntuman bunga yang sentiasa mekar dan segar mewangi lagi mewangikan...~


"Wanita, engkau bulan, engkau juga suria..."

Pernah satu ketika sewaktu kecil dulu lagu tentang wanita itu sering berkumandang di televisyen TV1 dan TV2. Biarpun masih bersekolah rendah di kala itu, saya seakan masih ingat lagi bait-bait inspirasi lagu ini. Bait-baitnya bukan mengajak wanita mengagungkan feminisme, namun, ia lebih membawa erti bahawa wanita ini adalah makhluk yang memang istimewa yang dijadikan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Duhai wanita,

Tika dirimu merasa lemah, ingatlah bahawa Islamlah yang menjunjung kemuliaanmu. Agama yang suci inilah yang melindungimu. Semuanya bermula dengan perlaksanaan Islam yang sebenar. Kerana Tuhan Pencipta agama ini mencintai dan menyayangimu.

Duhai wanita,

Adam akan sunyi tanpa Hawa. Dunia tidak akan sempurna tanpa dirimu. Dari rahimmu itu lahir keturunan manusia. Manusia-manusia hebat; para Nabi, para sahabat, pejuang-pejuang kebenaran semuanya lahir darimu. Berkembang manusia dengan kasih sayang di rahimmu.

Duhai wanita,

Betapa dirimu itu sungguh berharga dan istimewa. Peliharalah keistimewaan yang telah dianugerahkan oleh Allah sebaik-baiknya.

Wanita itu unik. Kadang-kadang penuh emosi, penuh ketabahan, penuh kesabaran, penuh kelembutan, penuh sensitif hatinya, penuh ketelitian dan berbagai-bagai lagi karakteristik wanita yang mungkin tiada pada makhluk Adam yang menjadi pelengkapnya.

Saya tertarik dengan teori Erikson yang dikeluarkan pada tahun 1960 bahawa konflik dalaman diri wanita tentang identiti dan intimasi ketika di usia awal kedewasaan akan dapat diselesaikan dengan perkahwinan, di mana teori itu mungkin tidak digunapakai lagi oleh sesetengah pihak kini.

Wanita,

Kerana dirimu, dunia mungkin tenggelam dalam kebinasaan, kehancuran dan kemurkaan dariNya. Kerana dirimu jugalah, dunia gelap bisa menjadi terang, aman, sejahtera dan berada dalam keredhaanNya. Dirimu punya kuasa. Kuasa kepada kebinasaan atau kebahagiaan. Kuasa kepada kebencian atau kasih sayang. Kuasa yang membawa manusia ke syurga atau mengajak ke lembah neraka. Kuasa untuk mendapat redha Allah atau kemurkaanNya.

Allah tidak mengubah nasib seorang hamba melainkan dia yang mengubah dirinya.
Pilihan itu di tanganmu, duhai wanita...

Penghargaan buat insan bernama wanita...



Mahukah ku beritahukan kepada kamu tentang sebaik-baik simpanan seseorang? Iaitu wanita yang solehah yang bila suaminya memandangnya, menyenangkan suaminya; bila suami memerintahkan kepadanya, ia mentaatinya; dan bila suaminya tidak ada di tempatnya, ia memelihara kehormatannya".
(Hadith Riwayat Daud)


Moga jadi inspirasi dari tauladan wanita mulia, semulia Khadijah r.a, Aisyah r.a, Fatimah r.a mahupun Asiah r.a; wanita-wanita penghuni syurga.

~Sesungguhnya kebahagiaan itu ada dalam diri anda. Kerana itu, sudah seharusnya anda mengerahkan jerih-payah anda untuk memperbaiki diri...-Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino