::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 8, 2009

Bahagiakan Diri seperti Dandelion


~Bunga itu akan harum berseri jika setiap kelopaknya segar mewangi.~


'Kita akan bahagia bila orang sekeliling kita bahagia.'

Di atas adalah ayat yang terpapar di muka depan majalah Solusi ketika saya melalui sebuah kedai buku, yang menarik perhatian.

Benar sekali. Kita akan bahagia bila orang sekeliling kita bahagia. Dan kalau kita bahagia, kita juga mahu orang sekeliling bahagia. Kita juga akan rasa sedih kalau orang sekeliling kita bersedih hati. Kalau kita berjaya, kita pun mahu orang lain berjaya sama.

Begitu juga jika kita punya nikmat Iman dan Islam, tentu kita mahu orang sekeliling kita merasakan nikmat-nikmat demikian juga.

Indahnya ciptaan Allah. Manusia dengan manusia lain umpama satu bangunan yang saling kukuh mengkuhkan. Begitu juga sama dengan pepatah Melayu, cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya.

Saya teringat di zaman persekolahan berada di asrama dahulu. Masing-masing datang hanya berbekalkan duit yang diberi oleh ibu dan ayah. Tiada pinjaman atau biasiswa seperti di universiti. Tatkala itu, kami hanya akan makan di dewan makan. Tak perlu bayar sebab dah termasuk dalam yuran persekolahan.

Namun, makanan di kantin nampak lebih menyelerakan lagi walau hanya setakat nasi goreng kosong bersama telur mata. Saya dan rakan-rakan rapat saya; Shaheera dan Mawaddah kadang-kadang teringin juga nak makan di kantin macam orang lain sekali sekala. Lalu, kami pun kadang-kadang di kala ketiadaan wang yang mencukupi, masing-masing akan mengeluarkan duit yang ada, hingga sampai mengorek syiling, dan akan makan bersama-sama (walaupun harga nasi goreng itu tak semahal sekarang, hanya RM1 saja.) Terpulang, jika hanya jika salah seorang yang berduit, maka akan belanja rakan-rakannya yang berdua itu walaupun hanya berkongsi. Tapi kami bahagia.

Bahagiakah agaknya bila seseorang itu menikmati kebahagiaannya hanya seorang diri sedangkan orang lain dalam kesedihan?

Orang yang kesedihan duduk bersama dengan orang yang bahagia pasti dapat mengurangkan rasa kesedihannya andai bahagia itu dikongsi bersama. Bahagia itu anugerah Allah. Sama-sama kita kongsikan. Sama juga halnya dengan perkongsian ilmu. Ilmu yang dibahagi-bahagi dan disebarkan pasti menambah jumlah penyebaran ilmu. Tak pernah akan luak, bahkan semakin bertambah.

Saya suka melihat pokok bunga dandelion yang tumbuh liar dan juga kitaran hidupnya. Melihat dan merenung bagaimana sekuntum bunga dandelion yang cantik kekuningan menyebarluaskan debunga-debunganya melalui tiupan angin sebagai salah satu proses survivalnya. Tahukah kita bahawa setiap pohon dandelion mampu menyebarkan 20,000 debunga-debunga untuk menjamin kelangsungan hidupnya? Jadi, tidak hairanlah jika di negara-negara Eropah terutamanya taman-taman dandelion yang tumbuh sendiri di musim bunga amat mudah didapati.

Jadi, apakah agaknya kaitan dandelion dengan kebahagiaan?

Mari jadi seperti bunga dandelion. Yang sentiasa menyebarkanluaskan debunga-debunga kebahagiaan (termasuk nikmat Iman dan Islam) kepada orang-orang disekeliling kita. Agar debunga-debunga kebahagiaan itu akan menumbuhkan rimbunan-rimbunan kebahagiaan yang lebih luas 'coverage'nya.


0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino