::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 11, 2009

Kesibukan Melayari Kehidupan


~Moga menjadi bintang utara yang menerangi alam, dan menjadi petunjuk dalam malam kelam~


Baru saja beberapa hari lalu saya katakan di dalam blog ini bahawa nampaknya saya akan mempunyai kelapangan masa di semester ini, dan adakah saya merindui semester lalu yang padat jadual waktunya? Wah, nampaknya dengan sepantas kilat Allah turut membaca bisikan hati saya, lalu, dua hari berturut-turut ini jadual saya tiba-tiba menjadi padat. (Sampai tak tahu nak pilih yang mana satu untuk dihadiri).

Alhamdulillah, malam semalam, saya ke ceramah Ustaz Hasrizal yang dijemput ke UIAM sempena pembukaan program Campus Dakwah Project oleh Students Representative Council dan Mahallah Representative Council.

Kepadatan jadual secara tiba-tiba ini mengingatkan kembali kepada sesi ceramah beliau apabila beliau mengajukan soalan kepada kami semua:

"Sebagai pelajar, apa yang selalunya tidak sanggup kita korbankan?"

Kedengaran suara-suara yang menyahut dari pelajar-pelajar. Antara jawapannya ialah tidur. Dan itu juga jawapan yang diberikan oleh Ustaz kepada kami. Tapi beliau berkata semua itu akan berubah apabila sudah berumahtangga.

Saya berfikir-fikir, kenapa ya? Em, adakah sebab kita akan berubah untuk menjaga sesuatu yang kita sayang?

Bercerita tentang rumahtangga, saya melihat diri sendiri yang sudah makin meningkat usia. Sudah makin hilang zaman remaja. Kalau pergi ke rumah jiran atau saudara, soalan-soalan yang diajukan mesti sama; bila nak berumahtangga? Cuma soalan-soalan itu berlainan bila jumpa dengan orang yang tidak dikenali, lazimnya ditanya; sekolah kat mana?

Berumahtangga bukan semudah yang diucap. Apatah lagi nanti bila kita dan suami sama-sama bergerak menjadi daie. Hidup dalam jadual yang sama-sama padat, maka, apakah hanya akan menambah masalah?

Bagi saya tidak, andai kedua-duanya sama-sama bertolak ansur. Jadikan iman sebagai tiang, agar bila ribut melanda, tiang iman yang kukuh tidak mudah menyembah bumi. Cinta kepadaNya yang lebih utama menjadi dasar atau tapaknya. Disebabkan itu jugalah Rasulullah berpesan jika ingin memilih, pilih yang lebih baik menjadi pasangan hidup itu adalah kerana agama yang ada padanya. Kerana orang yang mencintai dan faham agamanya, pasti akan berbuat seperti apa yang dipesan oleh baginda dan difirman oleh Allah s.w.t dalam KitabNya.

Saya juga suka membaca kisah hidup Khadijah bersama Rasulullah. Hingga apabila membaca buku khas tentang Khadijah, pasti boleh menangis dibuatnya. Kagum juga pada kerelaan Siti Hajar yang ditinggalkan Nabi Ibrahim di padang pasir nan tandus bersama anaknya. Namun, kerana itu adalah perintah Allah, maka Siti Hajar sanggup dengan pemergian suaminya. Walaupun saya bukan setaraf dengan wanita-wanita hebat ini, tentu sahaja ia menjadi inspirasi bagi sesiapa saja yang akan atau sudah bergelar isteri.

Banyak juga yang ingin dikongsikan. Moga-moga di kelapangan waktu yang lain, saya akan berceloteh di sini lagi.




0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino