Ramai yang bertanya pada saya. Lama dah.
"Dah tengok dah 2012?"
Namun, tak berkesempatan nak tengok walaupun softcopynya sudah berjeruk ada dalam laptop. Maka, hari ini saya buat 2 perkara dalam 1. Buku di tangan tapi mata juga sekejap-kejap berkelip melihat filem di laptop itu.
Makin lama saya tengok makin tertahan nafas. Ditambah dengan ungkapan kata-kata Mustafa Masyhur tentang Hari Akhirat dalam bab yang dibaca dalam Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah.
Kalau 2012 hanyalah menunjukkan bagaimana gempa, bukit-bukau, gunung-ganang yang hancur, namun, hari akhirat yang sebenar nanti bahkan lebih lagi daripada keadaan itu. Langit terbelah, bintang-bintang berguguran, air lautan meluap-luap, kubur-kubur terbongkar. Nak lari ke langit guna kapal terbang? Tentu sahaja bintang-bintang berguguran mengejar. Nak lari ke dalam lautan? Lautan pula berombak ganas hingga tiada siapa yang boleh selamat. Tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, semua akan mati kecuali orang-orang yang dikehendakiNya (Az-Zumar:68). Wallahu'alam.
"Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seseorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. Tertawa, lagi bersuka ria. Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh berdebu."(Surah Al-'Abasa: Ayat 34-42)
Lalu, anjuran Mustafa Masyhur; maka kita hendaklah bersusah-payah untuk menjadi orang-orang yang wajahnya berseri-seri, tertawa lagi bersuka ria.
Tahun ini juga kita menyaksikan bencana alam di sekeliling kita seperti di Padang. Buat peringatan Allah pada hamba-hambaNya. Malaysia bukan jauh lagi daripada itu. Germpa bumi biarpun berukuran skala richter yang kecil dan sederhana sudah didapati di Manjong, Jerantut dan Kuala Pilah tahun 2009 ini bahkan tahun-tahun sebelumnya.
Kita mungkin tidak kena dan tidak rasa.
Namun, ingatlah diri bahawa hari yang dijanjikan itu pasti menghampiri. Rebutlah kebaikan bila ia datang serta carilah peluang untuk mencipta kebaikan sebelum kebaikan itu datang.
~Pada siapakah lagi kita mahu meminta tolong melainkan hanya kepada Allah semata.~
0 comments:
Post a Comment