Hari ini saya 'menyelongkar' sambil mengemas barang-barang. Membuat aktiviti kesukaan saya sambil melihat-lihat kembali tinggalan sejarah lama dalam liku perjalanan yang telah dilalui. Saya juga menemui surat-surat cinta lama saya. (Surat-surat cinta yang saya kirim kepada ibu dulu ketika kami tinggal berjauhan). Begitu juga dengan diari-diari lama saya.
Ada rasa lucu. Ada juga rasa ingin menangis sendirian apabila mengingati liku-liku perjalanan ini hinggalah saya ketemu nikmat Iman dan Islam dalam hidup.
Cerita 1
7 tahun lalu, seorang sahabat pernah berkata pada saya apabila saya mengutarakan kata-kata untuk menjadi Rabiah dah tidak mahu bernikah kepadanya, "Kahwin itu sunnah. Kita bukannya Rabiatul Adawiyah."
Saya agak irritated pada mulanya. 'Salahkah saya untuk bersendiri hingga ke akhir hayat saya seperti Rabiah yang mendamba cinta Alllah? Selama ini pun saya bahagia tanpa lelaki,' bentak diri yang kurang faham agama.
Saya tersentuh suatu ketika dahulu apabila membaca dan mendengarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a ini:
Sekumpulan 3 orang lelaki datang ke rumah isteri-isteri Nabi s.a.w bertanyakan mengenai ibadat Nabi s.a.w. Maka setelah diberitahu, mereka menganggap seakan-akan ianya sedikit lalu berkata: "Bagaimana kita boleh berbanding dengan Nabi s.a.w? Demi sesungguhnya beliau diampuni oleh Allah dosa-dosanya yang terdahulu dan yang akan datang."
Berkata salah seorang dari mereka: "Adapun saya, saya akan bersolat malam selama-lamanya." Dan berkata seorang lagi: "Saya akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka." Dan berkata yang terakhir: "Saya akan menjauhi wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya."
Maka (kemudian) datang Rasulullah s.a.w lalu beliau bersabda: "Kaliankah yang berkata sedemikian sedemikian? Demi Allah, akulah yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertakwa kepadaNya dari kalian. Tetapi aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan aku berkahwin dengan wanita-wanita. Maka, barangsiapa yang tidak menyukai sunnahku maka bukanlah dia dari golonganku."
(Sahih Bukhari)
Apa yang penting di sisi Allah? Ianya adalah nilaian iman dan takwa. Sedih tatkala itu saya melihat dan merenung diri.
Islam itu indah.
Tidak terlalu ekstrem dan terlalu membiarkan manusia bermaharajalela di dunia bagai hidup ini tiada akhirnya. Maka, Islam juga tidak perlu diliberalkan lagi oleh sebahagian pihak yang ingin memerdekakan diri dari agamanya sendiri. Jika demikian, cubalah lari dari agama ini dan undang-undang yang telah Allah tetapkan untuk kita di dunia. Tapi jangan lupa, kita tak akan mampu lari daripada azabNya di akhirat nanti. Kerana hanya Allah lah satu-satunya Tuhan kita di mana kita datang dan satu-satunya tempat kita akan kembali.
Cerita 2
Saya mempunyai 2 orang rakan non-muslim berbangsa Inggeris warga negara Britain; seorang lelaki dan seorang wanita. Keduanya sudah berusia lebih kurang separuh abad. Rakan wanita saya itu tinggal bersama rakan lelaki tadi disertai oleh ibu lelaki tersebut. Saya pernah bertanyakan soalan, mengapakah mereka tidak mengambil jalan untuk berkahwin saja?
Rupanya rakan wanita saya itu sudah bersuami. Namun, selalu didera oleh suaminya dan terpaksa melarikan diri dari rumahnya sendiri.
Saya bertanya lagi, mengapa tidak mahu berpisah saja? Jawabnya kepada saya bahawa suaminya tidak mahu melepaskannya. Hasil daripada perbualan kami, baru saya tahu di tempatnya itu hanya lelaki saja yang punya hak untuk memutuskan ikatan perkahwinan. Sempat juga saya bercerita padanya tentang hukum-hukum dalam perkahwinan dalam agama Islam yang juga memberi wanita peluang bersuara andai hak tidak dipenuhi apatah lagi dianiayai serta menggunapakai tuntutan penceraian untuk wanita seperti Fasakh jika cukup syarat-syaratnya.
Mendengarkan ceritanya, saya menjadi kasihan. Apakah undang-undang yang tidak sempurna itu yang menyebabkan cohabitation di kalangan non-Muslim? Alhamdulillah, indahnya menjadi Muslim, mengikut syariat dan undang-undang yang paling sempurna dari sekecil-kecil perkara hingga seluas-luasnya.
Rasa pelik juga pada golongan-golongan yang tidak menghargai nikmat Islam pada dirinya dan mahu meliberalkan agama yang sudah siap sempurna. Mungkin juga kerana tiada kefahaman. Bahkan golongan-golongan ini kebanyakannya golongan cerdik pandai. Jika tiada kefahaman, cubalah mencarinya. Jangan hanya banyak mempersoal dan mengkritik tanpa cuba mencari dan mendalami erti Islam yang sebenar.
Bagaimana untuk mencintai agama ini jika tanpa cuba mengenali Islam yang sedang kita anuti? Gunakan akal fikiran yang diberi.
Kenalilah Allah. Kenalilah Rasul. Kenalilah agama yang memang diciptakan sesuai dan sempurna untuk manusia biar berabad dan berzaman lamanya. Apabila sudah mengenali dan mencintai, kita akan menjadi hamba yang semakin dekat kepadaNya. Kita akan lebih tahu bahawa kedudukan kita di dunia ini hanya sementara. Kita hanya hamba yang mencari bekalnya sekejap di dunia.
Tidak selayaknya hamba menidakkan apa yang diaturkan oleh Tuhannya. Indahnya apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.
~Perjalanan hidup ini pasti akan berakhir. Pandulah ia mengikut peraturanNya agar kita selamat sampai ke destinasi berbekal iman dan takwa dalam diri.~
2 comments:
kadang kita pekak buta dan bisu... bukannya kita tak tahu syariat.... macam mana nak buat ni???
Boleh hayati balik sirah Nabi. Bagi daie-daie, jgn putus asa ajak org pd kebaikan (w'pun kdg2 kita mmg rs nak buat mcm tu). Usaha lah sampai ke hujung nyawa walaupun dgn titipan doa pd mereka agar diberi hidayah dan petunjuk. Sbb hidayah dan petunjuk milik Allah, namun kita punya usaha untuk saling ingat-mengingatkn.
Post a Comment