::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 23, 2009

Hijrah Lebih Dekat Pada-Nya



~Wahai Tuhan, hati hambaMu ini mudah lemah. Maka, Kau kuatkanlah hati-hati yang lemah ini demi mencari redha dan rahmatMu~

Sudah berhari-hari rasanya saya tidak menulis di blog ini. Musim perubahan Tahun Hijrah kali ini benar-benar menguji. Terasa bukan sebatu dua yang jatuh di pundak saya. Kepenatan. Bukan pada fizikal tapi pada perasaan; pada hati yang menahan setiap panahan-panahan yang menerjah ke jendela hati.

Saya juga hanya seorang hamba. Rasa lemah bila kehabisan bekalan kekuatan yang diberikanNya kepada saya. Andai diri ini tidak kembali kepadaNya, pasti hati ini hampir mati. Pasti hanya jasad hidup berhati mati yang sedang berjalan ketika ini.

Sekitar Sukan IPT Pantai Timur (SIPTAR '09) selama 4 hari di Universiti Darul Iman kali ini, banyak perkara mengajar saya dan tidak sedikit yang menguji kesabaran saya. Menjadi seorang 'defender' dalam futsal mungkin jua kerana ia sesuai dengan jiwa saya. Seorang 'defender' atau disebut 'last man' di barisan akhir pertahanan pasti akan cuba menyelamatkan kubunya dari ditembusi lawan. Seorang 'protector' mungkin.

Ya, bila rakan-rakan dianiayai dan ditindas, terutamanya yang lemah dan tidak mampu bersuara, saya akan jadi marah. Namun, saya cuba menegur dan memberi nasihat kepada pembuat dengan berhikmah. Penat juga bila setiap hari diperli dan disindir sebagai akibat nasihat dan teguran itu. Apapun, itukan semua sunnah berjuang. Sebelum Hijrah Nabi Muhammad s.a.w, baginda dan umat Islam di Mekah ditindas. Baginda dihina dan dicaci di mana-mana. Maka, saya juga ingin merasakan perasaan itu jika berada di tempat baginda. Memang pedih. Perlu jadi kuat untuk membantu yang lemah, biarpun hakikatnya hati hampir lelah.

Buat Teman

Di suatu sudut yang lain, saya juga mengharapkan ada sisi lain yang menggembirakan sebagai penawarnya. Saya tak akan mampu mempertahankan sesuatu itu seorang diri. Biar susah dan senang bersama.

Kadang-kadang terdengar bisikan sumbang; apakah saya harus melepaskan apa yang saya tidak mampu pertahankan?

Namun, cepat-cepat saya mengingatkan diri bahawa seorang mukmin yang redha itu tidak akan mudah berputus asa pada rahmat Tuhan.

Apabila kita merasa ingin berhijrah dari satu titik ke titik yang lain, terasa amat berat untuk melakukan itu tatkala banyak pula rintangan dan halangan.

Saya pohon pada Allah. Saya hamba yang lemah. Saya hamba yang mudah rasa ingin berputus asa. Jika bukan kerana Allah, pasti saya sudah kalah dengan dugaan dan ujian yang datang bertimpa-timpa.

Ketika saya mencari ketenangan sambil mendengar radio ikim.fm semalam, terdengar lagu Sinar Kedamaian dendangan kumpulan Syifa' ini berkumandang. Hanya Allah yang Maha Mendengar dan Maha Memberi Penawar pada hati yang gundah gulana.

Ingin saya letakkan sedikit bait-baitnya:

"Bagaikan sejuta cahaya melimpahi ruangan maya
Indah sinarnya terpancar dari wajah yang penuh ceria
Terdengar senda dan ketawa menyingkirkan resah dan duka
Terbias kasih dan sayangNya dalam senyum setiap hamba

Lupakan kisah yang dulu lara
Semalam yang sengsara
Tangisan kecewa

Dia Maha Memelihara
Sentiasa bersama setiap hambaNya

Jangan pernah engkau ragui
Pada janji dan rahmatNya"

Diri ini juga akan pasti menunggu saat janji itu...

Hijrah

Maka, hijrah ini bukan saja berlaku hanya ketika Maal Hijrah yang disambut setiap tahun. Dalam waktu apa jua pun, hijrah kepada perkara yang lebih baik itu sentiasa diperlukan dalam kehidupan seorang Muslim.

Hijrah perlukan kekuatan. Kekuatan itu akan kita dapatkan apabila kita kembali kepada Tuhan. Mohon harap pada rahmat Ilahi yang sentiasa bersedia memberi kekuatan dan kasih sayang kepada hamba-hambaNya.

-Di bawah ini, sekadar video yang dibuat sempena Maal Hijrah tahun lalu. Moga perkongsian ini dapat dimanfaatkan bersama.-



~Orang yang redha dengan ujian itu menganggap ujian hanya setitik dakwat hitam yang dititiskan ke dalam lautan hati. Moga diri ini juga punya hati seluas itu...~

1 comments:

Syihabudin Ahmad on December 24, 2009 at 9:18 PM said...

hirah itu bukan berjalan.. tapi berlari...

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino