::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Dec 16, 2009

Kembali Kepada-Nya



~Allah takkan menguji hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuannya~

Minggu ini, saya kerunsingan. Runsing dengan team futsal yang baru mula membina 'chemistry' untuk 'game' hujung minggu ini, masalah adab dan akhlak manusia yang kurang beradab, sibuk dengan research proposal presentation esok hari, serta kehilangan....

Kini, saya tahu bagaimana rasanya erti cinta dan kasih sayang dalam persahabatan. Tahu apa yang disebut tentang ukhwah kerana Allah dan pengorbanan. Tahu mengapa Abu Bakar menangis tiada henti apabila mengetahui Rasulullah, sahabat kesayangannya akan pergi selamanya. Tahu mengapa Umar pada mulanya tidak dapat menerima hakikat apabila Rasulullah menghembuskan nafas terakhir baginda.

Semuanya adalah kerana kasih dan cinta pada sahabatnya. Kasih dan cinta kerana Allah yang juga dicipta oleh Pencipta.

Pada mulanya, saya juga agak sukar rasanya menerima hakikat, apabila mengetahui musibah yang menimpa sahabat yang kita sayang, yang sama-sama berjuang dan saling menguatkan atas jalan Allah. Andai duduk bersendirian, terakam kembali kenangan dan air mata jatuh berlinang. Nafas deras turun naik, terasa sempit dada, dan akhirnya sepanjang malam saya tidur dalam keadaan separuh duduk.

Namun, hari ini saya sedar, sebagai sahabat yang sejati, saya perlu kuat. Perlu menguatkan sahabat saya yang lebih berat menanggungnya daripada saya. Orang mukmin itu sentiasa ada Allah bersama. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Bahkan, saya harus sedar kembali bahawa Allah menguji kerana Allah sayangkan hambaNya. Dia mahu melihat tingkat keimanan, ketakwaan, dan cinta serta harap pada Allah semakin bertambah. Bahkan, saya harus menumpang gembira bahawa sahabat saya sudah dikurniakan anak yang pasti menunggu mereka di Syurga.

Tinggal kita saja lagi yang masih hidup di dunia ini yang belum tentu menempah Syurga atau Neraka. Selagi kita belum pasti di manakah kita, kita perlu berusaha sehingga ke akhirnya.

Apa yang penting, dalam susah atau senang, kita harus kembali kepada Allah. Kita harus berlari mendapatkan redha Allah. Harus sedar bahawa Allah sentiasa sayangkan hamba-hambaNya dan ingin sentiasa hamba-hambaNya kembali mengingati dan mencintaiNya.

~Apabila sahabat mendapat kebaikan, kita ingin kebaikan atas segala kebaikan untuknya. Apabila sahabat kita kesedihan, kita ingin turut menanggung pedih peritnya. Apabila sahabat kita disakiti, kita ingin menjadi pelindungnya. Itulah rupanya CINTA dan KASIH SAYANG dalam persahabatan.~



Di sini, saya juga memohon kemaafan atas kesensitifan hati saya yang mungkin berlebihan akhir-akhir ini. Kekurangan diri saya sendiri. Allah menguji. Menguji diri kita semua. Segalanya harus kembali kepada Allah. Kemudian, kita akan mendapati cinta dan harap padaNya pasti menambah erat kasih sayang antara kita. Ameen.

1 comments:

Raudhatul Nadwah on December 17, 2009 at 1:31 PM said...

Maaf, andai saya tak mampu untuk menuliskan rentetan peristiwa itu di blog ini. Moga Allah redha.

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino