~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana Allah, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh.~
Persoalan
Seringkali apabila saya ke ceramah-ceramah mahupun ke kuliah agama dulu, selalu saja diberitahukan bahawa menjadi seorang pelajar Muslim, kita kena belajar kerana Allah. Alhamdulillah, di situ pendengar diberi kesedaran bahawa belajar tu kena diniatkan kerana Allah.
Namun, apa yang berlegar di fikiran seorang yang dulunya jahil seperti saya adalah:
"Macammana nak belajar kerana Allah? Cukup ke dengan hanya niat 'aku nak belajar kerana Allah' setiap kali berdepan dengan buku atau ke kuliah walhal sebenarnya diri dan hati nak belajar sebab nak dapat A, lulus periksa atau dapat jadi pelajar cemerlang untuk kepuasan diri saja. Atau sebenarnya belajar sebab nak dapat kerja yang bagus, gaji yang besar dan kehidupan yang selesa bila dah kerja."
"Ke kena baca bismillah dulu sebelum buka buku? Macam tu ke?"
Soalan-soalan itu tidak pernah diluah. Hanya berlegar-legar di kotak fikiran.
Banyak orang tidak memberitahu mekanisme sebenar ataupun 'the exact pathway' pada kejayaan hakiki ini. Ibarat meminta seseorang ke suatu tempat tapi tidak menunjukkan jalan mahupun memberi peta bersama. Lama-lama bila tak jumpa tempat dituju, si polan yang sudah sesat itu berputus asa atas permintaan rakannya.
Hidup saya dahulu sebagai seorang pelajar, boleh dikatakan banyak sangat penyakit menuntut ilmu;
study last minute, belajar sambil lewa dan tak bersungguh-sungguh langsung. Bahkan dalam peperiksaan besar seperti SPM juga, saya baru merangkak-rangkak membuka buku 2 bulan sebelum
exam bermula. Sebelum itu, saya menyibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang lain, dalam kelas pun tidur,
homework saya pun jarang yang siap. Aktiviti-aktiviti kokurrikulum selalu dijadikan lesen untuk meloloskan diri dari kehadiran dalam kelas. Alasannya;
training. Berjaga malam untuk baca buku jauh sekali.
Ibulah manusia yang paling risau dengan saya bila menjelang PMR dan SPM.
'Nadiah boleh buat ke ni?" Tanya ibu.
Tapi anaknya ini tidak pernah risau sampailah hari peperiksaan semakin menghampiri. Tercungap-cungap menghela nafas mengejar hari yang berbaki. Belum lemas saja lagi.
Waktu itu, masih kabur dengan matlamat. Sehinggalah tiba ke alam matrikulasi.
Kadang-kadang bila Allah bagi kelebihan, kita ambil kesempatan atas apa yang Allah kurniakan. Tak selami pun hikmah yang tersembunyi. Pandai bukan untuk tunjuk diri hebat, bukan juga bermalas-malas atau ambil kesempatan berjoli sakan tatkala orang lain sibuk menelaah pelajaran. Segala kekurangan dan kelebihan adalah untuk disyukuri dan dihargai. Kelebihan itu perlu dimanfaatkan atas jalan Allah.
Dahulu, apa yang saya fikir adalah saya tak suka kepada persaingan. Saya tak suka berlumba-lumba dengan orang lain untuk dapat bagus. Rasa lelah kalau berbuat begitu. Jadi, saya hanya belajar ikut sesedap rasa. Yang penting bahagia. Namun, apa yang saya buat bukan juga kerana Allah.
Lalu, bagaimana untuk belajar kerana Allah? Akhirnya, saya jumpa peta jawapan itu apabila diberi penjelasan dan kefahaman di suatu seminar yang dianjurkan.
Jawapan
Ini perkongsian dari apa yang saya faham. Sukar juga untuk diterangkan tapi saya cuba. Boleh tambah perisa dan rencah jika ada kurang rasanya.
Belajar kerana Allah ialah apabila kita sedar bahawa setiap apa yang kita lakukan hanya kerana Dia.
Kita diciptakan sebagai hamba dan juga Khalifah di bumi Allah. Sebagai Khalifah, kita memikul tanggungjawab dalam memakmurkan bumi ini. Iaitu dengan menyebarkan kesejahteraan dan keselamatan yang telah digariskan agama yang luhur budi pekerti; Islam.
Mengapa Allah mahu kita menjadi seorang yang berilmu? Dan mengapa dikatakan bahawa dengan ilmu itu, tinggilah darjatnya?
Ini kerana, dengan ilmu kita mampu membantu ummah. Dengan ilmu dan kepakaran kita juga, kita seolah-olah mendapat kelebihan dan mandat untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Dengan kepakaran ilmu, kita dapat mengembalikan ilmu yang telah disekularkan menjadi ilmu yang benar-benar tulus dan suci dari Tuhan.
Selalu juga kita alami bila pergi ke tempat-tempat tertentu, kita tak jumpa bangunan yang cukup lengkap prasarana dan kemudahan untuk Muslim. Surau jika ada pun terlalu sempit. Kemudahan untuk saudara yang kurang upaya juga tiada. Ada juga kes bangunan-bangunan yang mudah retak, tidak kukuh dan sebagainya. Ia lahir daripada kurangnya sifat amanah pembina dan pemaju. Kita tak nampak ia satu amal kebaikan untuk ummah bila kita buat sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Hanya nampak keuntungan dan kepuasan diri untuk dunia.
Alangkah indahnya jika semuanya itu bersandarkan kerana Allah dan untuk Allah. Jika seorang Jurutera Muslim mempunyai kepakaran dan ilmu membuat bangunan, dan ia dibuat kerana Allah dan untuk Allah, tentu dia mengambil jalan ini untuk berbuat pahala dan mendatangkan kebaikan kepada siapa saja.
Banyaknya kelebihan menuntut ilmu dan pakar dalam ilmu.
Namun, harus diingat bahawa ia bukan wasilah (jalan) untuk jadikan diri kita megah atau hebat. Kita hanya khalifah. Kita perlu memakmurkan bumi ini dengan ilmu Allah. Ilmu adalah wasilah yang sangat berkesan untuk menegakkan Islam di bumi Allah.
Semuanya hanya kerana Dia. Semuanya hanya kerana memenuhi permintaan Sang Kekasih yang mahukan kesejahteraan meliputi segenap maya. Jadi, kitalah agennya.
Saya juga masih dalam proses membaiki diri. Masih bermujahadah membaiki diri dan hati yang sudah sebati dengan penyakit menuntut ilmu ini. Mungkin masih dalam proses rehabilitasi. Moga penyakit yang beransur pergi akan terus meninggalkan diri dan hati.
~Jom, sama-sama bermujahadah!~