::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 4, 2009

Kisah Raja Dan Kolam Susu


~Muslim dengan muslim yang lain itu ibarat satu bangunan, saling kuat menguatkan~


Lama benar rasanya tidak bertemu dengan rakan sekolah saya. Rindu benar. Alhamdulillah, di kesempatan masa yang sebentar kami bertemu di majlis walimah sahabat lama, masih sempat berkongsi sesuatu. Mungkin bukan sekadar sesuatu, bahkan mungkin sebuah citra yang benar mungundang rasa pada Pencipta, mengisi rindu yang bersemayam sekian lama dengan cerita kehidupan dan isian ke dalam acuan hati.

Biarpun berada dalam gerakan kerja Islam yang berlainan, kami masih boleh berbicara dengan tenang antara berdua. Masih boleh duduk berbincang dengan rakan-rakan yang lain (yang juga berlainan gerakan Islam) untuk membangun Islam. Kami masih lagi mampu untuk membantu satu sama lain ibarat satu bangunan yang saling kukuh mengukuhkan. Adakalanya juga dulu, saya pernah menemani sahabat saya itu ke usrah bersama-sama adik-adik usrahnya, masih boleh duduk bersama. Ilmu yang ada itu perlu diserap. Serapan bahan mentah yang terbaik akan dipilih dan diproses untuk menjadi sebuah produk. Hasil produknya adalah keimanan yang terpancar dengan kemilaunya akhlak. Ingatlah, akhlak yang indah pasti sentiasa mempesona ibarat bunga kembang di taman.

Kisah raja dan kolam susu ini diceritakan sahabat saya ketika kami dalam perjalanan balik dari rumah walimah teman. Moga ia membawa sesuatu untuk kita fikir-fikirkan.

Pada suatu hari, seorang raja memerintahkan rakyatnya untuk membuat sebuah kolam berisi susu yang sangat besar. Dan raja itu telah memberi tempoh beberapa hari untuk membuatnya. Maka, ada di antara rakyat-rakyatnya yang benar-benar mengisi susu ke dalam kolam, ada yang mengisi susu bercampur air, ada yang mengisi air sahaja, dan ada yang hanya lalu lalang tanpa berbuat apa-apa. Walau bagaimanapun keadaannya, kolam susu itu tetap dapat dihasilkan bila sampai waktunya.

Begitu juga dengan bangunnya Islam, ia tetap akan bangun mengikut janji Pencipta. Namun, di golongan manakah kita?

Belajar untuk mencipta ikhlas itu penting. Kerana ikhlas itu umpama semut hitam di atas batu hitam dalam kelam malam. Terlalu sukar untuk dilihat, diukur, dan dikesan. Carilah ikhlas itu di dalam setiap amal perbuatan baik kecil mahupun besar kerana kita tidak pasti mana satu amal itu akan diterima oleh Tuhan Yang Merhatikan.

Kisah ini terjadi kepada Imam Hasan Al-Banna yang sedang menyusun kerusi di dalam dewan, yang juga sebentar lagi akan menyampaikan ucapan. Perlakuannya diperhatikan oleh seorang sahabat dengan mengatakan bahawa Imam Hasan Al-Banna tidak perlu bersusah untuk melakukan kerja menyusun kerusi.

Lalu, As-Syahid dengan rendah hati berkata: "Aku harus melakukan kerja ini kerana aku tidak tahu mana satu amalku yang diterima Allah. Mungkin aku boleh berpidato dan segalanya tetapi bagaimana hati ini riak dan tidak ikhlas dalam melakukannya, segalanya tertolak oleh Allah. Jadi dengan hal sekecil ini cuba mencari ikhlas dengan berharap ia menjadi asbab diterima amal soleh oleh Alla s.w.t.

Wahai hati, berusahalah untuk meruntuhkan tembok pemisah kasih sayang sesama insan. Rasa diri lebih banyak kelebihan dari kekurangan ibarat mencipta racun yang membunuh sebuah jiwa yang mengharap pada Tuhan, yang merasakan diri ini hanyalah hamba. Dan hamba tidak selayaknya menilai hamba yang lain dengan rasa takbur dan riak berselingkar di dada. Rasakan bahawa diri ini terlalu banyak lompangnya yang perlu ditampal untuk menjadi jalan-jalan indah menuju Ilahi. Sudah yakinkah kita bahawa kita manusia paling bertaqwa di sisiNya? Berusahalah hati dan jangan berangan-angan kosong terhadap Allah. Jangan biarkan amalan yang dilakukan ibarat memetik sebakul padi yang hampa tanpa isinya.

~Ya Allah, jadikanlah kami insan-insan yang sentiasa dengan rendah hati merasakan sentiasa ada kekurangan kami untuk diperbaiki. Moga setiap amalan mendekatkan hati-hati kami kepada-Mu Ya Tuhan. ~

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino