::Fikir Zikir::

"Perbaikilah dirimu di samping kamu mengajak orang lain kepada kebaikan." -Hassan Al-Banna-

Oct 17, 2009

Mencari Cinta Dalam Lelah




Suatu hari, seorang pemuda yang miskin diutus oleh ibunya untuk berlayar bersama bapa saudaranya yang merupakan seorang saudagar pelayaran. Ramai yang turut menumpang bapa saudaranya itu untuk ke destinasi mereka. Namun, dia mendapati ada yang tidak enak berlaku di sekitarnya, ada saja laporan kehilangan barang-barang mereka.

"Pakcik, apa yang pakcik buat tu?" soal si pemuda kepada pakciknya ketika melihat dia menyelongkar barang-barang penumpangnya tadi.

"Eh, pakcik ambil sikit je. Lagipun, kita bukan minta bayaran pun kat dia yang kita tumpangkan ni. Yang penting kamu janganlah tiru pakcik ye. Mereka ni kaya-kaya, bukan orang susah pun. " Bapa saudaranya memberi alasan. Ingin saja si pemuda itu menegur kelakuan pakciknya itu, tetapi teringat pesanan ibunya dulu:

"Nanti, bila dah kita ni menumpang tempat orang, banyakkan sabar. Jangan cari fasal. Yang penting, apa yang tidak baik, kita buat jadi sempadan. Ingat, kita ni miskin. Menumpang pula tu. Kena buat cara menumpang."

Pemuda itu termenung sendiri di hujung dek kapal itu. Rasa ingin saja dia menegur, tapi siapakah dia.
Ingin juga dia lari saja dari sini, namun, ke manakah dia mahu pergi.
Seperti tak mampu untuk mengubah apa-apa yang mungkar di depan mata.
Lemah, tak berdaya.

Dia menadah tangan ke langit. 'Ya Allah, tolonglah aku...'



Ya Allah,
HambaMu ini rasa lelah.
Lemah diri untuk menongkah,
Patutkah ku turutkan arus deras ini.

Bagai dihempas ombak keras,
Tuhan, kucari tempat untuk berpaut,
Tak mahu terus hanyut
Menurut sesak manusia ke gemerlap kaca dunia.

Tuhan, aku ingin bernafas dalam cintaMu,
Dalam diri yang semakin lelah
Tercungap-cungap menghela nafas cinta yang berbaki,
Tuhan, selamatkan aku.........

0 comments:

 

Ringkasan Tetamu

Hatiku Milik-Mu Copyright © 2009 Flower Garden is Designed by Ipietoon for Tadpole's Notez Flower Image by Dapino